Gambaran baik umat Islam dalam Filem Kingdom of Heaven

0 comments Tuesday, July 13, 2010

Oleh ASTORA JABAT


SUDAH lama tidak menonton filem di pawagam. Sebenarnya sejak tahun 80-an lagi penulis kurang masuk pawagam dan tahun 90-an pula hanya sekali masuk pawagam ketika bertugas di Bangkok kerana membawa anak-anak menonton filem kegemaran mereka. Ada beberapa sebab menyebabkan penulis tidak menonton di pawagam termasuk kerana ada alternatif lain disebabkan boleh menonton filem di rumah dan tidak suka asap rokok.

Ketika remaja dulu penulis seorang kaki filem. Lebih 350 filem ditonton setahun kerana pernah menjadi budak pawagam dan ketika itu penulis menuntut di sebuah sekolah pondok yang terletak berdekatan dengan pawagam. Bagaimanapun, perbuatan itu terpaksa dihentikan apabila disedari oleh keluarga dan menerima hukuman daripada mereka.

Filem pada zaman budak-budak dulu merupakan satu-satunya medium bersifat visual yang menghubungkan penulis dengan dunia luar kerana pada ketika itu (tahun 60-an) keluarga penulis dan semua penduduk kampung belum lagi memiliki televisyen disebabkan tidak ada bekalan elektrik. Yang aneh rumah dan kampung penulis berada bersebelahan penjana elektrik yang membekal elektrik ke pekan Jabat. Penulis masih ingat ketika siaran televisyen Malaysia dapat dilihat dengan jelas dulu penduduk kampung penulis mengikuti pertandingan membaca al-Quran di setiap bulan Ramadan daripada televisyen seorang penduduk di bangunan Persatuan Islam di Masjid al-Jum'iyah, pekan Jabat.

Pagi Sabtu lepas penulis terpaksa masuk pawagam kerana menjadi ahli panel dalam program apresiasi filem Uwei Haji Shaari, Buai Laju-Laju di pawagam P. Ramlee, Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Klang, Ampang.

Memang menonton filem di pawagam amat berbeza dengan menonton filem di rumah. Selain mendapat kepuasan, ia pula mengundang nostalgia. Buat apa saja dengan nostalgia seolah-olah berada di kayangan.

Kebetulannya pada sebelah malam hari yang sama penulis tergerak untuk masuk pawagam sekali lagi menonton filem Kingdom of Heaven. Kali ini nostalgia lebih sempurna kerana berada di pawagam bersama isteri.

Filem Kingdom of Heaven adalah sebuah filem besar yang penulis mesti menonton sama seperti The Passion of Christ, Alexander The Great, The Gladiator, Puteri Gunung Ledang, Suriyo Thai dan lain-lain. Cuma pada masa lalu hanya menonton filem seperti itu di rumah sahaja.

Penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven sejak membaca berita pembikinan filem itu pada awal tahun lalu lagi. Yang menyebabkan penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven bukan saja kerana ia merupakan filem tentang Perang Salib, tetapi juga kerana pengarahnya terkenal dan ada pelakon Arab berlakon dalam filem itu seperti Ghassan Massoud dari Syria, Khalid Nabawi dari Mesir dan beberapa orang pelakon Maghribi.

Ghassan berlakon sebagai pahlawan terbilang, Salahuddin al-Ayubi dan Khalid berlakon sebagai pemuka agama yang fanatik.

Biasanya filem epik yang dibuat di Hollywood termasuk yang dibiayai dan diarah orang Arab seperti filem The Messenger dan Omar al-Mukhtar hasil karya Mustafa Akkad tidak mengambil pelakon Arab kerana dibimbangi tidak laku di pasaran dunia.

Semua itu menyebabkan penulis menganggap filem Kingdom of Heaven mesti berbeza daripada filem-filem epik buat Hollywood terdahulu. Selepas itu terbaca pula berita pengarah filem itu, Ridley Scott membuat kenyataan bahawa filemnya menampilkan peperangan yang meletus antara orang Kristian dan orang Muslim secara seimbang dan tidak mengutuk Islam dan umatnya. Tidak kurang menariknya ialah penulis skrip filem berkenaan pula Yahudi, iaitu William Monahan.

Dengan itu apa lagi yang perlu dibuat kecuali menunggulah dengan penuh kesabaran. Pada pandangan penulis, Scott dalam filem Kingdom of Heaven lebih berjaya berbanding filem The Gladiator. Penulis menganggap begitu bukan kerana filem ini didakwa sebagai membela Islam dan umatnya seperti mana pendapat sesetengah pengkritik (penulis tidak bersetuju dengan dakwaan ini dan nanti akan dijelaskan di bawah), tetapi kerana ia mempunyai mesej yang lebih kuat dan mendalam berbanding dengan The Gladiator, yang menang anugerah Oscar itu.

Aman damai

Scott menggambarkan dalam filem tersebut bahawa orang Islam, orang Kristian dan orang Yahudi boleh hidup bersama secara aman damai jika tiada angkara daripada orang politik dan orang agama yang korup. Ini mengingatkan penulis dengan pepatah Arab yang bermaksud:

``Terdapat dua jenis manusia jika mereka baik, maka baik orang ramai, iaitu pemerintah dan ulama.''

Sesetengah ulama menganggap pepatah ini sebagai hadis, tetapi sebenarnya ia bukan hadis.

Maksud pepatah ini amat relevan dengan banyak peperangan yang berlaku atas nama agama termasuk Perang Salib. Ini juga yang difahami Scott dan dengan itu antara dialog yang disediakan untuk watak utama dalam filem berkenaan, iaitu Balian Dari Ibelin, (lakonan Orlando Bloom) berbunyi: ``Aku fikir kita berperang demi Tuhan, tetapi kita berperang demi kekayaan dan tanah.''

Penulis percaya antara mesej yang mahu disampaikan oleh Scott melewati Perang Salib zaman silam.

Demikian itu Perang Salib moden yang dilancarkan oleh Presiden George W. Bush untuk membanteras keganasan melalui pelancaran perang ke atas Afghanistan dan Iraq itu mempunyai matlamat yang serupa, iaitu kepentingan ekonomi.

Orang agama yang ditonjol oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven pula adalah paderi Kristian dan ulama Islam, yang digambarkan berfikiran tertutup dan tiada apa yang diajar oleh mereka kecuali permusuhan dan perang antara agama.

Paderi mendesak orang Kristian ikut serta dalam Perang Salib untuk menubuhkan negara tuntutan Tuhan di Baitulmaqdis dan negara itu dipanggil Kingdom of Heaven walaupun terpaksa melakukan kekejaman membunuh beramai-ramai orang tidak berdosa. Mereka menganggap Perang Salib boleh menebus dosa dan siapa yang mati dalam peperangan akan mendapat habuan masuk syurga.

Ini bererti sama dengan orang Muslim yang membunuh dan berperang atas nama agama dan Tuhan.

Paderi ditonjol juga sebagai orang tidak rasional dan mudah menjatuhkan hukum terhadap orang. Oleh itu bila Balian berkata: ``Lindungilah penduduk dan bukan batu-bata yang usang ini.''

Ketika berucap untuk membangkitkan semangat orang Kristian supaya menentang tentera Salahuddin al-Ayubi, seorang paderi memekik: ``Kafir.''

Tetapi paderi itu juga menyuruh penduduk Kristian memeluk Islam bila menyedari tidak mampu lagi melawan tentera Salahuddin.

``Peluk Islam dan kemudian bertaubat,'' kata paderi berkenaan.

Tetapi di akhir filem, Scott menampilkan Salahuddin sebagai seorang pemimpin negara yang memahami peruntukan wahyu Allah berhubung tiada paksaan dalam agama. Dengan itu bila Balian mengalami kekalahan dan dia berhadapan dengan Salahuddin di luar tembok Baitulmaqdis, dia mengancam untuk memusnahkan kota suci itu dengan membakar keseluruhannya. Salahuddin mempertikaikan kewajaran tindakan yang akan dilakukan oleh Balian itu. Lalu Salahuddin melontarkan soalan yang menyebabkan Balian perlu berfikir tentang budak-budak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa jika tindakan pemusnahan itu diambil. Kemudian Salahuddin mengemukakan cadangan alternatif dengan memberitahu bahawa semua orang Kristian tidak akan dibunuh dan Balian serta para pejuang akan dibenarkan pulang ke negeri mereka di Perancis dengan selamat dan pertimbangan menyerahkan Baitulmaqdis kepada Muslim.

Cadangan itu diterima oleh Balian dan para pejuang Kristian yang terkepung itu bertepuk sorak kerana gembira. Balian dan para pejuang Kristian dapat kembali ke negeri masing-masing dengan selamat.

Jika perwatakan paderi yang digambarkan oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven boleh menimbulkan kemarahan orang Kristian, dia juga menggambarkan ulama pun dengan cara yang hampir sama dan boleh menimbulkan kemarahan orang Muslim. Cuma peranan jahat ulama tidak begitu kelihatan berbanding paderi. Bagaimanapun, apa yang penulis jelaskan ini hanya berdasarkan filem yang ditonton di pawagam dan mungkin sudah ditapis babak-babak yang melibatkan ulama itu. Jadi dengan itu tidak begitu nampak sikap negatif ulama berbanding paderi. Watak ulama dipegang oleh pelakon Mesir, Khalid Nabawi.

Sebenarnya Scott dalam filem Kingdom of Heaven mempromosi toleransi antara agama. Dia menampilkan simbol toleransi dalam filem itu secara berulang-ulang seperti babak orang Muslim yang menunaikan sembahyang di Pelabuhan Messina, Sicily, suasana orang Muslim, Kristian dan Yahudi di Baitulmaqdis, Nablus dan lain-lain, orang Kristian bercakap bahasa Arab dan mengucapkan salam kepada orang Muslim dan sebaliknya, mereka bekerja di tempat sama di pasar dan kebun dan lain-lain lagi.

Balian sendiri ketika mula tiba ke Palestin ditonjol sebagai pemerintah Nablus, wilayah ditakluk oleh bapanya seorang kastria Salib terkenal dalam sejarah, Godfrey dari Ibelin (lakonan Liam Neeson) yang meninggal dunia akibat luka dalam pertempuran sesama Kristian ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis. Di Nablus, Scott menggambarkan orang Muslim, Kristian dan Yahudi hidup bersama dalam suasana amat damai. Mereka sama-sama bekerja dalam membangunkan perkampungan mereka termasuk menyediakan sumber air. Itulah contoh Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven yang Scott menggambarkan Godfrey mahu anaknya melaksanakan utopia itu di Baitulmaqdis bila dia dilantik menjadi pemerintah kota suci nanti.

Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven merupakan akidah yang dipegang oleh orang Kristian dan Yahudi.

Ia juga dipanggil Kerajaan Allah.

Bagaimanapun, orang Kristian dan Yahudi berbeza pandangan tentang Kerajaan Langit itu. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh Nabi Isa di bumi selepas baginda turun di akhir zaman nanti. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh baginda di langit dan akidah ini turut dipegang oleh beberapa puak Yahudi ortodoks hari ini dan ini termasuk puak Natutei Karta yang menolak negara Israel sekarang kerana mereka menganggap bercanggah dengan akidah Yahudi. Ada yang menganggap Kerajaan Langit hanya boleh ditegak dalam hati setiap orang beriman di kalangan orang Kristian dan Yahudi. Selain itu ada pula yang menganggap perlu ditegakkan Kerajaan Langit itu di bumi dan itulah yang dilakukan oleh Yahudi berideologi Zionisme di Israel kini.

Manakala Scott dalam filemnya menganggap Kerajaan Langit itu sepertilah Nablus yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama dan hidup aman damai itu.

Tetapi disebabkan wujud orang-orang yang berfikiran tertutup di kalangan pemerintah dan pemuka agama Kristian menyebabkan berlaku perang agama dan seterusnya Kerajaan Langit tidak dapat ditubuhkan di Baitulmaqdis.

Ada persamaan antara pandangan Scott ini dengan pandangan pemimpin Palestin dan pemimpin Yahudi yang berfikiran terbuka mahukan suasana aman damai antara pelbagai agama tertegak di Palestin secara am dan Baitulmaqdis secara khasnya. Yasser Afarat pada akhir hidupnya pun berfikiran begitu dan ini termasuk menjadikan Baitulmaqdis ibu kota ketiga-tiga agama.

Secara keseluruhannya filem Kingdom of Heaven adalah filem yang seimbang dan tidak berpihak kepada Kristian dan tidak berpihak kepada Islam walaupun ada watak-watak Kristian dan watak-watak Muslim digambarkan sangat baik dan tidak kejam seperti kita baca daripada sejarah.

Bagaimanapun, disebabkan pada abad pertengahan itu orang Muslim dianggap maju dan orang Kristian di Eropah dianggap mundur menyebabkan Scott menggambarkan dari sudut pandangan itu. Justeru itu secara nisbinya kelihatan para pejuang Kristian lebih kejam dan jahat. Di sebaliknya para pejuang Muslim. Inilah yang dikritik oleh para pengkritik filem Barat kini.

Tetapi dari segi pakaian, para pejuang Kristian kelihatan lebih hebat daripada para pejuang Muslim seolah-olah mereka lebih maju.

Penulis meninggalkan analisis ringkas tentang Kingdom of Heaven setakat ini dan insya-Allah minggu hadapan penulis akan membincangkan mengenai mesej agama dalam filem Uwei, Buai Laju-Laju.


Mingguan Malaysia, 15/5/2005
Read On

Salah ulama bermentaliti menghukum - Kefahaman Islam terbantut

0 comments Monday, July 5, 2010
ARKIB : 31/03/2002 (Mingguan Malaysia)

Oleh Astora Jabat

PARA ulama perlu menjadi pendakwah dalam kehidupan harian mereka di kalangan masyarakat dan bukan menjadi penghukum (kadi atau hakim). Di antara ciri ulama pendakwah seperti yang disebut dalam al-Quran ialah menyeru ke jalan Allah dengan menggunakan kebijaksanaan (al-hikmah) dan pengajaran yang baik (al-mau'izhah al-hassanah) serta berdialog dan berbincang dengan pendekatan yang terbaik (billati hial ahsan).

Bagaimanapun, kebanyakan cerdik pandai agama yang dikenali sebagai ulama di negara ini lebih mengutamakan pendekatan menghukum berbanding pendekatan dakwah.

Dengan itu tidak hairan jika penghayatan agama kebanyakan masyarakat Islam di negara ini tidak menggambarkan hakikat keimanan, tetapi hakikat ketakutan.

Sebagai hasilnya muncullah orang Islam berkategori beku dan jumud dalam penghayatan agama di mana mereka mengerjakan segala ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain yang lebih bersifat kepada takut kepada Allah daripada beriman dengan-Nya.

Kepincangan ini jarang disedari oleh kebanyakan orang awam kerana pendekatan pendidikan agama yang dilaksanakan dalam masyarakat sejak Islam bertapak di negara ini dan seluruh dunia Melayu adalah pendekatan yang mengasingkan agama daripada dunia.

Gejala pengasingan agama daripada dunia ini berlaku ekoran munculnya sebahagian ulama yang mengasingkan diri daripada kerajaan atau politik selepas runtuhnya kerajaan Khulafa Rasyidun di Madinah dan terbentuknya Kerajaan Umaiyah di Damsyik.

Para ulama yang kecewa dengan beberapa konflik dan perang sesama Islam pada zaman itu mengasingkan diri daripada arus perdana politik negara dan menyebabkan terbentuk beberapa mazhab agama termasuk empat mazhab terkenal dalam kelompok Ahli Sunah Waljamaah iaitu mazhab Maliki, Hambali, Syafii dan Hanafi.

Kini ramai cerdik pandai Islam amat petah membincangkan tentang ketiadaan pemisahan agama daripada dunia dalam Islam. Mereka mengutuk habis-habisan pemisahan tersebut walaupun Islam sebenarnya tidak melarangnya secara mutlak kerana Rasulullah s.a.w. pernah melakukan pemisahan dalam hal-hal pembahagian kerja dan tugas.

Tetapi mereka tidak menerima sunah Rasulullah itu dan mendakwa amalan pemisahan agama daripada dunia itu berasal daripada sekularisme Barat.

Padahal jika mereka melakukan pembacaan dan penyelidikan yang menyeluruh terhadap warisan ilmu Islam, mereka akan mendapati bahawa pengasingan agama daripada dunia dalam bentuk yang tidak baik atau negatif pernah dilakukan oleh ulama-ulama mazhab yang menolak untuk terlibat dalam kerajaan atau mengasingkan diri daripadanya.

Ini bermaksud pemisahan agama daripada dunia dalam bentuk yang tidak baik itu bukan bermula dengan zaman renaissance atau Revolusi Perancis, tetapi bermula dengan ulama-ulama mazhab lagi berdasarkan sebab-sebab yang telah disebutkan di atas.

Ulama-ulama mazhab itu berijtihad secara berasingan dengan kerajaan atau ulama-ulamanya dan menghasilkan hukum yang tidak menepati realiti masyarakat dalam negara Islam pada zaman itu.

Dengan itu tidak hairan jika semua ulama mazhab tersebut membincangkan tentang fikah ibadat (fiqhul `ibadah) secara panjang lebar dan dicatatkan perbincangan mereka dalam berjilid-jilid kitab. Tetapi mereka tidak melakukan perkara yang sama terhadap fikah politik (fiqhus siasah) dan fikah tamadun (fiqhul hadarah).

Sebagai contoh, ada ulama yang mengarang kitab sebanyak 20 jilid hanya untuk membincangkan mengenai ibadat sembahyang saja.

Fikah atau ajaran agama yang menjadi produk para ulama yang mengasingkan diri daripada kerajaan atau politik inilah yang sampai ke negara ini dan seluruh Dunia Melayu.

Memberi pengertian amal (al-'amal) yang disebut dalam al-Quran dan hadis sebagai mengerjakan ibadat semata-mata merupakan fikah atau ajaran agama yang merupakan produk ulama-ulama mazhab itu.

Padahal amal dalam al-Quran dan hadis adalah kerja dan pelaksanaan yang tidak bersifat khusus kepada ibadat. Ia sebaliknya lebih merupakan kerja dan pelaksanaan mengenai pentadbiran dan pembangunan.

Inilah yang menjadi antara punca yang menyebabkan kebanyakan ulama negara ini bermentaliti fikah yang lebih suka menggunakan pendekatan menghukum daripada pendekatan dakwah.

Maksud fikah di sini ialah bukan fikah asal yang bermaksud kefahaman (at-tafaqquh) yang boleh berbeza pandangan mengenainya, tetapi fikah jumud (fiqhul jumud) yang dijadikan oleh sesetengah ulama tanah air sebagai hukum-hakam yang tidak boleh berbeza pandangan mengenainya seolah-olah ia merupakan hukum yang dimuktamadkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Segelintir ulama yang cuba menghalang beberapa penulis membincangkan mengenai Islam adalah tergolong daripada ulama yang bermentaliti fikah yang lebih suka menggunakan pendekatan menghukum daripada pendekatan berdakwah itu.

Penulis tidak berkata para penulis itu tidak melakukan kesilapan, tetapi kesilapan yang dilakukan oleh ulama-ulama itu lebih besar dan penulis telah pun membincangkan perkara itu dalam beberapa tulisan yang telah disiarkan dalam ruangan ini.

Selain itu, menurut pandangan Islam, pendekatan yang perlu digunakan dalam menyelesaikan masalah kesilapan pemikiran itu bukan menghukum, tetapi pendekatan yang disebut `pemikiran tidak diperangi melainkan dengan pemikiran' (al-fikr la yuharibu illa bil fikr).

Sesiapa yang meneliti sejarah dakwah Rasulullah akan mengetahui bahawa baginda menggunakan pendekatan dakwah atau pendekatan `pemikiran tidak diperangi kecuali dengan pemikiran'. Baginda tidak menggunakan pendekatan perang kecuali ketika diperangi oleh pihak lain. Itupun baginda hanya melakukan perkara itu ke atas orang bukan Islam yang melancarkan perang ke atas orang Islam.

Sedangkan para penulis yang mahu dihukum dan diperangi oleh segelintir ulama itu adalah orang Islam yang tidak memerangi orang Islam atau agama mereka, tetapi mereka hanya melakukan kesilapan dalam mencedok fakta, maklumat dan pandangan saja. Kebanyakan mereka pula sudahpun mengaku salah.

Dalam pada itu ada juga orang yang bergelar ulama di kalangan para ulama tersebut sukar untuk dipanggil mereka ulama yang sebenar.

Kenapa?

Kerana salah seorang daripada mereka tidak nampak langsung mempunyai perwatakan ulama disebabkan tidak intelektual (ghaira muthaqqaf), tidak tinggi ilmu agama dan rasional. Membaca pandangan beliau yang disiarkan dalam akhbar ini dan Utusan Melayu serta sebuah risalah yang ada di pasaran kini menyebabkan penulis menganggap beliau setaraf dengan budak-budak nakal yang menulis dalam Internet.

Tidak ada gambaran lain dalam semua pandangan beliau kecuali emosi dan prejudis.

Untuk membuat penilaian yang lebih tepat lagi penulis mengajak pembaca bandingkan pandangan beliau dengan pandangan Dr. Chandra Muzaffar yang juga disiarkan dalam akhbar ini dan Utusan Malaysia serta akhbar-akhbar lain.

Tidakkah Dr. Muzaffar yang bukan seorang ulama dan tidak pernah belajar agama secara formal jauh lebih intelektual, tinggi ilmu agama dan rasional berbanding beliau?

Dengan itu secara terus terang penulis jelaskan di sini bahawa penulis berasa malu untuk memanggil beliau sebagai ulama.

Itulah antara logik yang menyebabkan penulis menganggap Islam bukan milik ulama dan siapa saja boleh membincangkan mengenainya asalkan mempunyai pengetahuan agama yang berpatutan, dan apa yang dibincangkan tidak merupakan akidah, ibadat dan perkara-perkara yang sudah muktamad hukumnya.

Tindakan mengutamakan pendekatan menghukum daripada pendekatan berdakwah boleh menjejaskan perkembangan kefahaman Islam di kalangan orang Islam dan sekali gus tidak dapat menghapuskan salah faham bukan Islam terhadap Islam.

Ramai cerdik pandai Islam di negara ini tidak mendapat pendidikan agama secara formal tetapi mereka yang merupakan penyelidik rajin mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam. Mereka pula bukan tidak mempunyai syeikh atau guru kerana syeikh dan guru mereka adalah pemikir Islam terbilang di dalam dan luar negara.

Mereka tidak patut disekat daripada berkarya dengan apa cara pun.
Read On

Hudud: Wajib ikut PM

0 comments
ARKIB : 29/03/2002 (Debat/Utusan Malaysia)

Oleh Astora Jabat


Pas kini hanya mempertahan diri dan tidak lagi menyerang seperti tahun 1999, 1998, 1997 dan sebelumnya. Malah jika ada serangan pun hanya tidak lebih daripada tindak balas yang biasanya melatah dan merapu. Serangan itu pula dilakukan dalam bentuk biadab dan tidak sopan.

Sebagai contoh serangan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas ulama kerajaan hanya mengeluarkan kata-kata kesat mengecap mereka sebagai ulama barua.

Serangan tidak ilmiah dan intelektual itu memburukkan lagi imej Pas kerana tidak masuk akal pemimpinnya yang dikenali di kalangan orang Pas sebagai ulama dan tok guru boleh mempunyai perangai lebih buruk daripada orang jahil.

Cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan undang-undang hudud mungkin boleh dianggap sebagai usaha Pas untuk memecah keadaan daripada menjadi pihak yang mempertahankan diri dan berubah menjadi pihak yang menyerang seperti yang dilakukan oleh parti itu pada masa lalu.

Tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan agenda itu kerana Pas berada dalam pendirian yang sangat lemah. Suasana politik dalam dan luar negeri tidak berpihak kepadanya.

Selain itu isu hukum hudud sendiri tidak lagi menjadi isu yang boleh mengelirukan orang ramai termasuk bukan Islam kerana mereka mengetahui tentang keterbatasan kuasa yang pada Pas.

Dalam pelaksanaan Islam juga ada perkara yang perlu diberi keutamaan dan ada perkara yang tidak perlu diberi keutamaan. Hudud pula tergolong daripada hukum yang tidak perlu diberi keutamaan berbanding pendidikan, pembangunan dan segala hukuman terhadap kesalahan dan jenayah yang lain. Malah ada ulama menganggap hudud lebih merupakan hukuman untuk mencetuskan ketakutan (al-uquubah al-takhwifiyyah) dan bukan hukuman yang dilaksanakan dalam alam nyata (al-uquubah al-waqi'iyyah).

Bagaimanapun, melihat kepada pendirian Abdul Hadi yang tidak konsisten dalam mengambil keputusan untuk membentangkan undang-undang hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April ini dan kemudian beliau mengubah pendirian menimbulkan banyak tanda tanya.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan Abdul Hadi terlalu ghairah untuk melaksanakan hukum yang dianggap bukan dalam bidang kuasa seorang Menteri Besar itu?

Apakah Abdul Hadi tidak mengetahui kedudukan Menteri Besar seperti beliau dalam kerajaan Islam?

Menteri Besar walaupun diterjemahkan ke dalam bahasa Arab secara tidak tepat sebagai Perdana Menteri, tetapi kedudukannya dalam kerajaan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Rasyidun adalah sama dengan kedudukan amir yang bermaksud pemerintah. Ia samalah dengan kedudukan gabenor pada zaman ini. Dalam bahasa Arab disebut sebagai wali.

Berdasar kepada syariah dan fikah, amir wajib mengikut arahan pemimpin negara. Begitulah yang dilakukan oleh semua amir pada zaman pemerintah Rasulullah dan Khulafa Rasyidun.

Dengan itu jika betul Abdul Hadi mahu mengamal ajaran Islam yang sebenar mengenai pemerintahan, beliau wajib mengikut arahan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana ajaran Islam menyuruh beliau berbuat begitu. Dr. Mahathir tidak mahu melaksanakan hudud dan apa jua perkara yang dianggap bukan bidang kuasa Abdul Hadi, maka beliau mesti akur dan patuh.

Haram bagi Abdul Hadi melawan atau menyanggah arahan Dr. Mahathir yang menjadi pemimpin negara yang sekali gus pemimpin Abdul Hadi juga.

Jika beliau keras kepala dan mahu pelaksanaan juga apa yang dianggap bukan berada dalam bidang kuasa beliau termasuk hukum hudud, beliau dianggap melakukan kesalahan dan dosa besar yang boleh dikenakan hukuman.

Abdul Hadi tidak perlu mendakwa tidak melaksanakan hukum hudud bererti tidak melaksanakan hukum Allah dan dianggap berdosa kerana Dr. Mahathir yang memimpin negara dibantu oleh barisan ulama yang berwibawa lebih mengetahui tentang kepentingan ummah (maslahatul ummah) berbanding beliau (Abdul Hadi) yang memikirkan hanya kepentingan parti dan kedudukannya saja.

Bahkan beliau juga tidak perlu memikirkan tentang dosa pun berhubung tidak melaksanakan hukum hudud itu kerana Dr. Mahathir bertanggungjawab dan bukan beliau.

Sebagai Menteri Besar atau amir, Abdul Hadi perlu melaksanakan kerja-kerja yang dianggap menjadi tanggungjawab beliau dan tidak perlu menyibuk dan campur tangan dalam urusan kepimpinan Kerajaan Pusat yang berada di tangan Dr. Mahathir.

Beliau perlu berhenti sama sekali membuat kerja-kerja yang tidak kena mengena dengan tanggungjawab seorang Menteri Besar seperti yang dilakukan sebelum ini termasuk berusaha untuk melaksanakan hudud. Jika tidak, beliau boleh dianggap sebagai pemberontak atau Khawarij yang boleh dikenakan hukuman yang berat ke atasnya.

Dari aspek lain menjadi tanda tanya juga kerana Abdul Hadi nampak lebih ghairah daripada Nik Aziz untuk melaksanakan hukum hudud?

Nik Aziz tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu. Mungkin beliau mengambil sikap senyap dan tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu kerana beliau kini mula memahami tentang batasan kuasa beliau serta realiti masyarakat tempatan dan dunia yang tidak berpihak kepada Pas itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak dapat mengambil iktibar daripada pengalaman Nik Aziz atau kegagalan Pas dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Padahal beliau lebih mengetahui tentang masalah itu kerana beliau sendiri yang mengetuai jawatankuasa untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dulu.

Pendirian Abdul Hadi yang dianggap tidak konsisten kerana pada 26 Mac lalu beliau mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan meminda perlembagaan negeri bagi meluluskan empat undang-undang jenayah syariah.

Harakahdaily melaporkan bahawa Abdul Hadi berkata, sekiranya kerajaan pusat tidak bersedia untuk melaksanakan Islam, maka rakyat boleh menjadi hakim dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, empat lagi rang undang-undang Enakmen Jenayah Syariah akan dibentangkan pada persidangan DUN yang bermula pada 11 April ini.

Persidangan DUN kali ini juga akan meminda perlembagaan negeri untuk menonjolkan kedaulatan syariah di negeri ini, katanya.

Bagaimanapun, selepas dibantah oleh DAP, Abdul Hadi dalam kenyataan kelmarin menangguhkan pembentangan undang-undang hudud itu dalam persidangan DUN April ini kerana mahu mendapatkan maklum balas rakyat dan parti-parti politik terlebih dahulu.

Kenapa beliau tidak mengambil pandangan rakyat dan parti-parti politik sebelum mengumumkan keputusan untuk membentang undang-undang hukum hudud itu?

Dalam pada itu nampak jelas Abdul Hadi masih berfikir untuk berbaik-baik dengan DAP bagi mempengaruhi orang Cina. Dengan itu pandangan DAP dalam soal pelaksanaan hudud diambil kira.

Para pemimpin kerajaan tidak perlu banyak berpenat lelah bagi menegur keghairahan Abdul Hadi untuk melaksanakan hukum hudud yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya supaya membendung, diampun dan diberi jalan keluar kepadanya itu.

Kerana bantahan DAP dan juga masyarakat bukan Islam boleh menyebabkan beliau berfikir tentang hikmah atau kebijaksanaan Kerajaan Pusat memerintah negara bermasyarakat majmuk ini.
Read On

Tuhan didakwa samseng - Kesilapan terbaru Nik Aziz Nik Mat

0 comments
ARKIB : 24/03/2002 (Mingguan Malaysia)

Oleh: ASTORA JABAT

Rencana ini sebenarnya ditulis untuk disiarkan dalam ruangan Debat Jumaat lalu, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan ia terpaksa disiarkan dalam ruangan ini hari ini.

Oleh itu, sambungan rencana minggu lalu akan disiarkan minggu depan.

Dalam rencana ini penulis ingin memperkatakan tentang keterlanjuran terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di mana beliau menggunakan kata-kata yang tidak sesuai dalam menghuraikan beberapa nama baik Allah yang dipanggil Asmaullah al-Husna.

Bagaimanapun, seperti yang kita semua ketahui orang Pas tidak pernah mengambil tahu tentang keterlaluan yang sering dilakukan oleh Nik Aziz walaupun sesetengahnya amat sensitif dan dianggap menjadi dosa besar.

Sebagai contoh gelaran `barua' yang digunakan oleh Nik Aziz untuk melabelkan ulama-ulama kerajaan. Ia sepatutnya tidak keluar dari mulut beliau sebagai seorang ulama bergelar tok guru.

Bukan saja dalam Kamus Dewan perkataan barua amat keji dan jelik pengertiannya kerana ia bermaksud `kata makian atau orang perantaraan yang digunakan untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat, muncikari, alku, kelolol, pinang muda dan jaruman', tetapi begitu juga dalam kamus budaya orang Kelantan. Setahu penulis kata makian itu dianggap amat keji dan paling tidak disukai orang Kelantan yang terkenal dengan kehalusan bahasa itu.

Namun, orang Pas tetap membela Nik Aziz seperti juga yang mereka lakukan ketika beliau mendakwa Allah pun mencarut dalam al-Quran dulu.

Dengan itu tidak hairanlah jika ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun sanggup mencemarkan imej seluruh orang Kelantan gara-gara mahu membela besannya, Nik Aziz. Beliau menghalalkan penggunaan kata makian itu di Dewan Rakyat Rabu lalu kerana mendakwa ia bahasa biasa rakyat Kelantan.

Yang sedihnya bukan orang Pas saja yang berani mengesahkan perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh Nik Aziz, tetapi terdapat juga orang kerajaan yang melakukan perbuatan yang sama.

Salah seorang ulama kerajaan yang paling lantang bersuara, misalnya, menganggap dakwaan Nik Aziz bahawa Allah pun mencarut hanya merupakan kenyataan politik tok guru itu.

Cuma penulis ingin bertanya ulama berkenaan jika dia menganggap begitu terhadap keterlanjuran yang dianggap dosa besar Nik Aziz, apa pula yang akan dia katakan jika penulis jelaskan di sini bahawa Nik Aziz dalam ceramah terbarunya mendakwa Allah samseng, jahat dan sombong?

Kemungkinan besar dia akan menganggap penulis berbohong kerana dia tidak percaya Nik Aziz yang merupakan seorang ulama boleh berkata begitu.

Sebenarnya siapa saja yang berfikir waras tidak perlu pun menunggu Nik Aziz mendakwa Allah juga mencarut, samseng, jahat dan sombong untuk menolak pandangan karut beliau atau menegurnya kerana beliau telah banyak membuat kenyataan yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Malah jika diandaikan betul dakwaan Nik Aziz bahawa Allah juga mencarut, itu merupakan kenyataan politik seperti anggapan ulama kerajaan berkenaan, tetapi apakah boleh tok guru seperti beliau berpolitik dengan menghina Allah? Begitu juga dengan semua kenyataan keterlaluan Nik Aziz lain yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Keterlanjuran terbaru Nik Aziz berlaku dalam ceramah yang diadakan pada 15 Mac lalu di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa.

Dalam ceramah itu Nik Aziz mendakwa jika terdapat di kalangan orang Islam menganggap dirinya samseng, maka Allah lebih samseng daripadanya; jika dia menganggap dirinya jahat, maka Allah lebih jahat daripadanya dan jika dia pula menganggap dirinya sombong, maka Allah lebih sombong daripadanya.

Berikut penulis siarkan secara harfiah salinan kata-kata Nik Aziz dalam ceramahnya yang telah merendah-rendahkan sifat-sifat Allah yang sempurna dan menyamakan dengan segala sifat manusia yang serba kekurangan itu.

Nik Aziz berkata: ``Percaya-ae (kepercayaan) manusiyo (manusia) kepada kiamat menyebabkan seganah-ganah (seganas-ganas) manusia akan tok (tak) jadi ganah. Kerana dia yakin walau bagaimana ganahnya aku dan bagaimana pangkat... tingginya pangkat aku, tapi apalah nasib aku apabila aku berdepae (berdepan) dengan padang mahsyar. Di padang mahsyar kelak ada lagi yang lebih gagah daripada aku namanya Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih jabaruut, lebih samseng daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih angkuh daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Dan nama Allah Subhanahuwataala satu daripada namanya al-Mutakabbir, al-Jabbarul Mutakabbir. ( Al-Jabbar maknanya gagah kuasa ataupun kita panggil samseng. Al-Mutakabbir sombong, angkuh.) Akulah oghaenya (orangnya) sombong, tok denga (dengar) kato (kata) orang lain. Itu satu daripada sifat Allah Taala. Samseng pun dok (ada) di aku, hanelan (handalan) pun dok di aku, somong (sombong) pun di aku. Kalu (kalau) samseng, aku lebih samseng. Kalu mu jahat, aku lebih jahat, kalu mu somong aku lebih somong. Percayaan kito manusiyo kepada akidah nilah, akidah akhirat kito panggil menyebabkan orang Melayu yang sokong Pas ni tidak jahat...''

Nik Aziz menghuraikan begitu dalam bingkai untuk menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir.

Beliau mahu memberitahu bahawa Allah lebih dalam segala-galanya berbanding semua manusia dan makhluk-makhluk lain.

Bagaimanapun, bahasa dan cara yang beliau gunakan untuk menyampaikan mesej itu tidak betul dan mengelirukan.

(Mana-mana pembaca yang ingin mendapatkan rakaman video ceramah Nik Aziz yang mengandungi huraian yang menyeleweng terhadap Asmaullah al-Husna itu boleh menghubungi penulis melalui alamat e-mel yang tertera di atas.)

Penulis akan membuat perbandingan antara maksud perkataan samseng, jahat dan sombong dalam bahasa Melayu dengan beberapa maksud Asmaullah al-Husna yang disebut dalam al-Quran.

* Perkataan samseng, jika kita merujuk kepada Kamus Dewan, bermaksud orang yang suka merompak, menyamun dan lain-lain.

Manakala al-Jabbar pula dalam kamus as-Sahah fi al-Lughah dan Lisan al-Arab yang masing-masing dikarang oleh al-Jauhari dan Ibn Manzur bermaksud sangat kuat dan tinggi kekuasaan Allah.

Kekuasaan-Nya tidak ada tandingan, kekurangan dan perlu kepada pertolongan pihak lain. (as-Sahah fi al-Lughah, muka surat 210 dan Lisan al- `Arab, juz 4, muka surat 113).

Nama Allah al-Jabbar disebut dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr: ``Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; al-Malik - Yang Menguasai (sekalian alam); al-Quddus - Yang Maha Suci; as-Salam - Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan); al-Mu'mun - Yang Maha Melimpahkan Keamanan; al-Muhaimin - Yang Maha Pengawal serta Pengawas; al-Aziz - Yang Maha Kuasa; al-Jabbar - Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); al-Mutakabbir - Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.''

Al-Qurtubi dalam menghuraikan maksud al-Jabbar dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr itu menukilkan pandangan Abdullah bin Abbas di mana dia (Abdullah bin Abbas) berkata, al-Jabbar bermaksud keagungan dan jabaruut Allah bermaksud keagungan-Nya.

Allah dipanggil al-Jabbar, kata al-Qurtubi, kerana keagungan dan kesucian-Nya daripada segala kekurangan dan sifat baru atau tidak azali.

Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat yang sama berkata al-Jabbar bermaksud tidak sesuai jabaruut atau kekuasaan yang maha besar dan maha agung itu kecuali kepada Allah sahaja.

Ibn Jarir dalam kitab tafsirnya berkata, al-Jabbar bermaksud pemulih kerana Allah merupakan pemulih segala perkara berkaitan kepentingan makhluk termasuk kepentingan manusia.

* Perkataan jahat diberi maksud dalam Kamus Dewan sebagai buruk lakunya, tidak baik perangai, perbuatan dan lain-lain. Nik Aziz tidak menyebut Asmaullah al-Husna yang manakah bermaksud jahat.

Dengan itu penulis tidak dapat membuat perbandingan antara perkataan jahat dengan mana-mana Asmaullah al-Husna.

* Perkataan sombong pula dalam Kamus Dewan bermaksud angkuh, bongkak, congkak, pongah dan lain-lain.

Nik Aziz memberi erti sombong dan angkuh yang merupakan sifat tercela manusia ini sebagai Asmaullah al-Husna yang dipanggil al-Mutakabbir.

Al-Mutakabbir juga disebut dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr di atas. Ia merupakan salah satu Asmaullah al-Husna atau sifat Allah yang sempurna dan tidak sama sekali serupa dengan sifat-sifat makhluk yang serba kekurangan dan cacat cela seperti sifat sombong, angkuh dan lain-lain.

Dengan itu para ulama muktabar zaman dahulu bila membincangkan tentang al-Mutakabbir dan mana-mana Asmaullah al-Husna tidak menyamakan dengan sifat atau perangai manusia.

Sebagai contoh walaupun al-Mutakabbir jika dikaitkan dengan manusia bermaksud takbur, sombong dan angkuh, tetapi bila dikaitkan dengan Allah membawa maksud yang lain. Kerana sifat-sifat Allah yang azali tidak sama dengan sifat-sifat makhluk yang baru.

Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, al-Mutakabbir (yang dikaitkan dengan Allah itu) bermaksud Allah yang sempurna zat dan kewujudan tidak perlu kepada pihak lain. (Lisan al-Arab, juz 5, muka surat 125).

At-Tabari dalam tafsirnya pula berkata, al-Mutakabbir bermaksud Allah terlepas daripada segala keburukan. Begitu juga lebih kurang yang al-Qurtubi huraikan dalam kitab tafsirnya.

Sebenarnya Nik Aziz menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir itu berdasarkan kepada kefahaman bahasa Arab biasa yang diterjemah secara harfiah ke dalam bahasa Melayu. Padahal jika beliau menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna itu dengan merujuk kepada kefahaman ulama-ulama muktabar seperti telah disebut di atas sudah tentu al-Jabbar dan al-Mutakabbir tidak sama sekali mempunyai maksud samseng, jahat dan sombong.
Read On