Tuhan didakwa samseng - Kesilapan terbaru Nik Aziz Nik Mat

ARKIB : 24/03/2002 (Mingguan Malaysia)

Oleh: ASTORA JABAT

Rencana ini sebenarnya ditulis untuk disiarkan dalam ruangan Debat Jumaat lalu, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan ia terpaksa disiarkan dalam ruangan ini hari ini.

Oleh itu, sambungan rencana minggu lalu akan disiarkan minggu depan.

Dalam rencana ini penulis ingin memperkatakan tentang keterlanjuran terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di mana beliau menggunakan kata-kata yang tidak sesuai dalam menghuraikan beberapa nama baik Allah yang dipanggil Asmaullah al-Husna.

Bagaimanapun, seperti yang kita semua ketahui orang Pas tidak pernah mengambil tahu tentang keterlaluan yang sering dilakukan oleh Nik Aziz walaupun sesetengahnya amat sensitif dan dianggap menjadi dosa besar.

Sebagai contoh gelaran `barua' yang digunakan oleh Nik Aziz untuk melabelkan ulama-ulama kerajaan. Ia sepatutnya tidak keluar dari mulut beliau sebagai seorang ulama bergelar tok guru.

Bukan saja dalam Kamus Dewan perkataan barua amat keji dan jelik pengertiannya kerana ia bermaksud `kata makian atau orang perantaraan yang digunakan untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat, muncikari, alku, kelolol, pinang muda dan jaruman', tetapi begitu juga dalam kamus budaya orang Kelantan. Setahu penulis kata makian itu dianggap amat keji dan paling tidak disukai orang Kelantan yang terkenal dengan kehalusan bahasa itu.

Namun, orang Pas tetap membela Nik Aziz seperti juga yang mereka lakukan ketika beliau mendakwa Allah pun mencarut dalam al-Quran dulu.

Dengan itu tidak hairanlah jika ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun sanggup mencemarkan imej seluruh orang Kelantan gara-gara mahu membela besannya, Nik Aziz. Beliau menghalalkan penggunaan kata makian itu di Dewan Rakyat Rabu lalu kerana mendakwa ia bahasa biasa rakyat Kelantan.

Yang sedihnya bukan orang Pas saja yang berani mengesahkan perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh Nik Aziz, tetapi terdapat juga orang kerajaan yang melakukan perbuatan yang sama.

Salah seorang ulama kerajaan yang paling lantang bersuara, misalnya, menganggap dakwaan Nik Aziz bahawa Allah pun mencarut hanya merupakan kenyataan politik tok guru itu.

Cuma penulis ingin bertanya ulama berkenaan jika dia menganggap begitu terhadap keterlanjuran yang dianggap dosa besar Nik Aziz, apa pula yang akan dia katakan jika penulis jelaskan di sini bahawa Nik Aziz dalam ceramah terbarunya mendakwa Allah samseng, jahat dan sombong?

Kemungkinan besar dia akan menganggap penulis berbohong kerana dia tidak percaya Nik Aziz yang merupakan seorang ulama boleh berkata begitu.

Sebenarnya siapa saja yang berfikir waras tidak perlu pun menunggu Nik Aziz mendakwa Allah juga mencarut, samseng, jahat dan sombong untuk menolak pandangan karut beliau atau menegurnya kerana beliau telah banyak membuat kenyataan yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Malah jika diandaikan betul dakwaan Nik Aziz bahawa Allah juga mencarut, itu merupakan kenyataan politik seperti anggapan ulama kerajaan berkenaan, tetapi apakah boleh tok guru seperti beliau berpolitik dengan menghina Allah? Begitu juga dengan semua kenyataan keterlaluan Nik Aziz lain yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Keterlanjuran terbaru Nik Aziz berlaku dalam ceramah yang diadakan pada 15 Mac lalu di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa.

Dalam ceramah itu Nik Aziz mendakwa jika terdapat di kalangan orang Islam menganggap dirinya samseng, maka Allah lebih samseng daripadanya; jika dia menganggap dirinya jahat, maka Allah lebih jahat daripadanya dan jika dia pula menganggap dirinya sombong, maka Allah lebih sombong daripadanya.

Berikut penulis siarkan secara harfiah salinan kata-kata Nik Aziz dalam ceramahnya yang telah merendah-rendahkan sifat-sifat Allah yang sempurna dan menyamakan dengan segala sifat manusia yang serba kekurangan itu.

Nik Aziz berkata: ``Percaya-ae (kepercayaan) manusiyo (manusia) kepada kiamat menyebabkan seganah-ganah (seganas-ganas) manusia akan tok (tak) jadi ganah. Kerana dia yakin walau bagaimana ganahnya aku dan bagaimana pangkat... tingginya pangkat aku, tapi apalah nasib aku apabila aku berdepae (berdepan) dengan padang mahsyar. Di padang mahsyar kelak ada lagi yang lebih gagah daripada aku namanya Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih jabaruut, lebih samseng daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih angkuh daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Dan nama Allah Subhanahuwataala satu daripada namanya al-Mutakabbir, al-Jabbarul Mutakabbir. ( Al-Jabbar maknanya gagah kuasa ataupun kita panggil samseng. Al-Mutakabbir sombong, angkuh.) Akulah oghaenya (orangnya) sombong, tok denga (dengar) kato (kata) orang lain. Itu satu daripada sifat Allah Taala. Samseng pun dok (ada) di aku, hanelan (handalan) pun dok di aku, somong (sombong) pun di aku. Kalu (kalau) samseng, aku lebih samseng. Kalu mu jahat, aku lebih jahat, kalu mu somong aku lebih somong. Percayaan kito manusiyo kepada akidah nilah, akidah akhirat kito panggil menyebabkan orang Melayu yang sokong Pas ni tidak jahat...''

Nik Aziz menghuraikan begitu dalam bingkai untuk menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir.

Beliau mahu memberitahu bahawa Allah lebih dalam segala-galanya berbanding semua manusia dan makhluk-makhluk lain.

Bagaimanapun, bahasa dan cara yang beliau gunakan untuk menyampaikan mesej itu tidak betul dan mengelirukan.

(Mana-mana pembaca yang ingin mendapatkan rakaman video ceramah Nik Aziz yang mengandungi huraian yang menyeleweng terhadap Asmaullah al-Husna itu boleh menghubungi penulis melalui alamat e-mel yang tertera di atas.)

Penulis akan membuat perbandingan antara maksud perkataan samseng, jahat dan sombong dalam bahasa Melayu dengan beberapa maksud Asmaullah al-Husna yang disebut dalam al-Quran.

* Perkataan samseng, jika kita merujuk kepada Kamus Dewan, bermaksud orang yang suka merompak, menyamun dan lain-lain.

Manakala al-Jabbar pula dalam kamus as-Sahah fi al-Lughah dan Lisan al-Arab yang masing-masing dikarang oleh al-Jauhari dan Ibn Manzur bermaksud sangat kuat dan tinggi kekuasaan Allah.

Kekuasaan-Nya tidak ada tandingan, kekurangan dan perlu kepada pertolongan pihak lain. (as-Sahah fi al-Lughah, muka surat 210 dan Lisan al- `Arab, juz 4, muka surat 113).

Nama Allah al-Jabbar disebut dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr: ``Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; al-Malik - Yang Menguasai (sekalian alam); al-Quddus - Yang Maha Suci; as-Salam - Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan); al-Mu'mun - Yang Maha Melimpahkan Keamanan; al-Muhaimin - Yang Maha Pengawal serta Pengawas; al-Aziz - Yang Maha Kuasa; al-Jabbar - Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); al-Mutakabbir - Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.''

Al-Qurtubi dalam menghuraikan maksud al-Jabbar dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr itu menukilkan pandangan Abdullah bin Abbas di mana dia (Abdullah bin Abbas) berkata, al-Jabbar bermaksud keagungan dan jabaruut Allah bermaksud keagungan-Nya.

Allah dipanggil al-Jabbar, kata al-Qurtubi, kerana keagungan dan kesucian-Nya daripada segala kekurangan dan sifat baru atau tidak azali.

Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat yang sama berkata al-Jabbar bermaksud tidak sesuai jabaruut atau kekuasaan yang maha besar dan maha agung itu kecuali kepada Allah sahaja.

Ibn Jarir dalam kitab tafsirnya berkata, al-Jabbar bermaksud pemulih kerana Allah merupakan pemulih segala perkara berkaitan kepentingan makhluk termasuk kepentingan manusia.

* Perkataan jahat diberi maksud dalam Kamus Dewan sebagai buruk lakunya, tidak baik perangai, perbuatan dan lain-lain. Nik Aziz tidak menyebut Asmaullah al-Husna yang manakah bermaksud jahat.

Dengan itu penulis tidak dapat membuat perbandingan antara perkataan jahat dengan mana-mana Asmaullah al-Husna.

* Perkataan sombong pula dalam Kamus Dewan bermaksud angkuh, bongkak, congkak, pongah dan lain-lain.

Nik Aziz memberi erti sombong dan angkuh yang merupakan sifat tercela manusia ini sebagai Asmaullah al-Husna yang dipanggil al-Mutakabbir.

Al-Mutakabbir juga disebut dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr di atas. Ia merupakan salah satu Asmaullah al-Husna atau sifat Allah yang sempurna dan tidak sama sekali serupa dengan sifat-sifat makhluk yang serba kekurangan dan cacat cela seperti sifat sombong, angkuh dan lain-lain.

Dengan itu para ulama muktabar zaman dahulu bila membincangkan tentang al-Mutakabbir dan mana-mana Asmaullah al-Husna tidak menyamakan dengan sifat atau perangai manusia.

Sebagai contoh walaupun al-Mutakabbir jika dikaitkan dengan manusia bermaksud takbur, sombong dan angkuh, tetapi bila dikaitkan dengan Allah membawa maksud yang lain. Kerana sifat-sifat Allah yang azali tidak sama dengan sifat-sifat makhluk yang baru.

Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, al-Mutakabbir (yang dikaitkan dengan Allah itu) bermaksud Allah yang sempurna zat dan kewujudan tidak perlu kepada pihak lain. (Lisan al-Arab, juz 5, muka surat 125).

At-Tabari dalam tafsirnya pula berkata, al-Mutakabbir bermaksud Allah terlepas daripada segala keburukan. Begitu juga lebih kurang yang al-Qurtubi huraikan dalam kitab tafsirnya.

Sebenarnya Nik Aziz menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir itu berdasarkan kepada kefahaman bahasa Arab biasa yang diterjemah secara harfiah ke dalam bahasa Melayu. Padahal jika beliau menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna itu dengan merujuk kepada kefahaman ulama-ulama muktabar seperti telah disebut di atas sudah tentu al-Jabbar dan al-Mutakabbir tidak sama sekali mempunyai maksud samseng, jahat dan sombong.

0 comments:

Post a Comment