Gambaran baik umat Islam dalam Filem Kingdom of Heaven

0 comments Tuesday, July 13, 2010

Oleh ASTORA JABAT


SUDAH lama tidak menonton filem di pawagam. Sebenarnya sejak tahun 80-an lagi penulis kurang masuk pawagam dan tahun 90-an pula hanya sekali masuk pawagam ketika bertugas di Bangkok kerana membawa anak-anak menonton filem kegemaran mereka. Ada beberapa sebab menyebabkan penulis tidak menonton di pawagam termasuk kerana ada alternatif lain disebabkan boleh menonton filem di rumah dan tidak suka asap rokok.

Ketika remaja dulu penulis seorang kaki filem. Lebih 350 filem ditonton setahun kerana pernah menjadi budak pawagam dan ketika itu penulis menuntut di sebuah sekolah pondok yang terletak berdekatan dengan pawagam. Bagaimanapun, perbuatan itu terpaksa dihentikan apabila disedari oleh keluarga dan menerima hukuman daripada mereka.

Filem pada zaman budak-budak dulu merupakan satu-satunya medium bersifat visual yang menghubungkan penulis dengan dunia luar kerana pada ketika itu (tahun 60-an) keluarga penulis dan semua penduduk kampung belum lagi memiliki televisyen disebabkan tidak ada bekalan elektrik. Yang aneh rumah dan kampung penulis berada bersebelahan penjana elektrik yang membekal elektrik ke pekan Jabat. Penulis masih ingat ketika siaran televisyen Malaysia dapat dilihat dengan jelas dulu penduduk kampung penulis mengikuti pertandingan membaca al-Quran di setiap bulan Ramadan daripada televisyen seorang penduduk di bangunan Persatuan Islam di Masjid al-Jum'iyah, pekan Jabat.

Pagi Sabtu lepas penulis terpaksa masuk pawagam kerana menjadi ahli panel dalam program apresiasi filem Uwei Haji Shaari, Buai Laju-Laju di pawagam P. Ramlee, Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Klang, Ampang.

Memang menonton filem di pawagam amat berbeza dengan menonton filem di rumah. Selain mendapat kepuasan, ia pula mengundang nostalgia. Buat apa saja dengan nostalgia seolah-olah berada di kayangan.

Kebetulannya pada sebelah malam hari yang sama penulis tergerak untuk masuk pawagam sekali lagi menonton filem Kingdom of Heaven. Kali ini nostalgia lebih sempurna kerana berada di pawagam bersama isteri.

Filem Kingdom of Heaven adalah sebuah filem besar yang penulis mesti menonton sama seperti The Passion of Christ, Alexander The Great, The Gladiator, Puteri Gunung Ledang, Suriyo Thai dan lain-lain. Cuma pada masa lalu hanya menonton filem seperti itu di rumah sahaja.

Penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven sejak membaca berita pembikinan filem itu pada awal tahun lalu lagi. Yang menyebabkan penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven bukan saja kerana ia merupakan filem tentang Perang Salib, tetapi juga kerana pengarahnya terkenal dan ada pelakon Arab berlakon dalam filem itu seperti Ghassan Massoud dari Syria, Khalid Nabawi dari Mesir dan beberapa orang pelakon Maghribi.

Ghassan berlakon sebagai pahlawan terbilang, Salahuddin al-Ayubi dan Khalid berlakon sebagai pemuka agama yang fanatik.

Biasanya filem epik yang dibuat di Hollywood termasuk yang dibiayai dan diarah orang Arab seperti filem The Messenger dan Omar al-Mukhtar hasil karya Mustafa Akkad tidak mengambil pelakon Arab kerana dibimbangi tidak laku di pasaran dunia.

Semua itu menyebabkan penulis menganggap filem Kingdom of Heaven mesti berbeza daripada filem-filem epik buat Hollywood terdahulu. Selepas itu terbaca pula berita pengarah filem itu, Ridley Scott membuat kenyataan bahawa filemnya menampilkan peperangan yang meletus antara orang Kristian dan orang Muslim secara seimbang dan tidak mengutuk Islam dan umatnya. Tidak kurang menariknya ialah penulis skrip filem berkenaan pula Yahudi, iaitu William Monahan.

Dengan itu apa lagi yang perlu dibuat kecuali menunggulah dengan penuh kesabaran. Pada pandangan penulis, Scott dalam filem Kingdom of Heaven lebih berjaya berbanding filem The Gladiator. Penulis menganggap begitu bukan kerana filem ini didakwa sebagai membela Islam dan umatnya seperti mana pendapat sesetengah pengkritik (penulis tidak bersetuju dengan dakwaan ini dan nanti akan dijelaskan di bawah), tetapi kerana ia mempunyai mesej yang lebih kuat dan mendalam berbanding dengan The Gladiator, yang menang anugerah Oscar itu.

Aman damai

Scott menggambarkan dalam filem tersebut bahawa orang Islam, orang Kristian dan orang Yahudi boleh hidup bersama secara aman damai jika tiada angkara daripada orang politik dan orang agama yang korup. Ini mengingatkan penulis dengan pepatah Arab yang bermaksud:

``Terdapat dua jenis manusia jika mereka baik, maka baik orang ramai, iaitu pemerintah dan ulama.''

Sesetengah ulama menganggap pepatah ini sebagai hadis, tetapi sebenarnya ia bukan hadis.

Maksud pepatah ini amat relevan dengan banyak peperangan yang berlaku atas nama agama termasuk Perang Salib. Ini juga yang difahami Scott dan dengan itu antara dialog yang disediakan untuk watak utama dalam filem berkenaan, iaitu Balian Dari Ibelin, (lakonan Orlando Bloom) berbunyi: ``Aku fikir kita berperang demi Tuhan, tetapi kita berperang demi kekayaan dan tanah.''

Penulis percaya antara mesej yang mahu disampaikan oleh Scott melewati Perang Salib zaman silam.

Demikian itu Perang Salib moden yang dilancarkan oleh Presiden George W. Bush untuk membanteras keganasan melalui pelancaran perang ke atas Afghanistan dan Iraq itu mempunyai matlamat yang serupa, iaitu kepentingan ekonomi.

Orang agama yang ditonjol oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven pula adalah paderi Kristian dan ulama Islam, yang digambarkan berfikiran tertutup dan tiada apa yang diajar oleh mereka kecuali permusuhan dan perang antara agama.

Paderi mendesak orang Kristian ikut serta dalam Perang Salib untuk menubuhkan negara tuntutan Tuhan di Baitulmaqdis dan negara itu dipanggil Kingdom of Heaven walaupun terpaksa melakukan kekejaman membunuh beramai-ramai orang tidak berdosa. Mereka menganggap Perang Salib boleh menebus dosa dan siapa yang mati dalam peperangan akan mendapat habuan masuk syurga.

Ini bererti sama dengan orang Muslim yang membunuh dan berperang atas nama agama dan Tuhan.

Paderi ditonjol juga sebagai orang tidak rasional dan mudah menjatuhkan hukum terhadap orang. Oleh itu bila Balian berkata: ``Lindungilah penduduk dan bukan batu-bata yang usang ini.''

Ketika berucap untuk membangkitkan semangat orang Kristian supaya menentang tentera Salahuddin al-Ayubi, seorang paderi memekik: ``Kafir.''

Tetapi paderi itu juga menyuruh penduduk Kristian memeluk Islam bila menyedari tidak mampu lagi melawan tentera Salahuddin.

``Peluk Islam dan kemudian bertaubat,'' kata paderi berkenaan.

Tetapi di akhir filem, Scott menampilkan Salahuddin sebagai seorang pemimpin negara yang memahami peruntukan wahyu Allah berhubung tiada paksaan dalam agama. Dengan itu bila Balian mengalami kekalahan dan dia berhadapan dengan Salahuddin di luar tembok Baitulmaqdis, dia mengancam untuk memusnahkan kota suci itu dengan membakar keseluruhannya. Salahuddin mempertikaikan kewajaran tindakan yang akan dilakukan oleh Balian itu. Lalu Salahuddin melontarkan soalan yang menyebabkan Balian perlu berfikir tentang budak-budak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa jika tindakan pemusnahan itu diambil. Kemudian Salahuddin mengemukakan cadangan alternatif dengan memberitahu bahawa semua orang Kristian tidak akan dibunuh dan Balian serta para pejuang akan dibenarkan pulang ke negeri mereka di Perancis dengan selamat dan pertimbangan menyerahkan Baitulmaqdis kepada Muslim.

Cadangan itu diterima oleh Balian dan para pejuang Kristian yang terkepung itu bertepuk sorak kerana gembira. Balian dan para pejuang Kristian dapat kembali ke negeri masing-masing dengan selamat.

Jika perwatakan paderi yang digambarkan oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven boleh menimbulkan kemarahan orang Kristian, dia juga menggambarkan ulama pun dengan cara yang hampir sama dan boleh menimbulkan kemarahan orang Muslim. Cuma peranan jahat ulama tidak begitu kelihatan berbanding paderi. Bagaimanapun, apa yang penulis jelaskan ini hanya berdasarkan filem yang ditonton di pawagam dan mungkin sudah ditapis babak-babak yang melibatkan ulama itu. Jadi dengan itu tidak begitu nampak sikap negatif ulama berbanding paderi. Watak ulama dipegang oleh pelakon Mesir, Khalid Nabawi.

Sebenarnya Scott dalam filem Kingdom of Heaven mempromosi toleransi antara agama. Dia menampilkan simbol toleransi dalam filem itu secara berulang-ulang seperti babak orang Muslim yang menunaikan sembahyang di Pelabuhan Messina, Sicily, suasana orang Muslim, Kristian dan Yahudi di Baitulmaqdis, Nablus dan lain-lain, orang Kristian bercakap bahasa Arab dan mengucapkan salam kepada orang Muslim dan sebaliknya, mereka bekerja di tempat sama di pasar dan kebun dan lain-lain lagi.

Balian sendiri ketika mula tiba ke Palestin ditonjol sebagai pemerintah Nablus, wilayah ditakluk oleh bapanya seorang kastria Salib terkenal dalam sejarah, Godfrey dari Ibelin (lakonan Liam Neeson) yang meninggal dunia akibat luka dalam pertempuran sesama Kristian ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis. Di Nablus, Scott menggambarkan orang Muslim, Kristian dan Yahudi hidup bersama dalam suasana amat damai. Mereka sama-sama bekerja dalam membangunkan perkampungan mereka termasuk menyediakan sumber air. Itulah contoh Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven yang Scott menggambarkan Godfrey mahu anaknya melaksanakan utopia itu di Baitulmaqdis bila dia dilantik menjadi pemerintah kota suci nanti.

Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven merupakan akidah yang dipegang oleh orang Kristian dan Yahudi.

Ia juga dipanggil Kerajaan Allah.

Bagaimanapun, orang Kristian dan Yahudi berbeza pandangan tentang Kerajaan Langit itu. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh Nabi Isa di bumi selepas baginda turun di akhir zaman nanti. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh baginda di langit dan akidah ini turut dipegang oleh beberapa puak Yahudi ortodoks hari ini dan ini termasuk puak Natutei Karta yang menolak negara Israel sekarang kerana mereka menganggap bercanggah dengan akidah Yahudi. Ada yang menganggap Kerajaan Langit hanya boleh ditegak dalam hati setiap orang beriman di kalangan orang Kristian dan Yahudi. Selain itu ada pula yang menganggap perlu ditegakkan Kerajaan Langit itu di bumi dan itulah yang dilakukan oleh Yahudi berideologi Zionisme di Israel kini.

Manakala Scott dalam filemnya menganggap Kerajaan Langit itu sepertilah Nablus yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama dan hidup aman damai itu.

Tetapi disebabkan wujud orang-orang yang berfikiran tertutup di kalangan pemerintah dan pemuka agama Kristian menyebabkan berlaku perang agama dan seterusnya Kerajaan Langit tidak dapat ditubuhkan di Baitulmaqdis.

Ada persamaan antara pandangan Scott ini dengan pandangan pemimpin Palestin dan pemimpin Yahudi yang berfikiran terbuka mahukan suasana aman damai antara pelbagai agama tertegak di Palestin secara am dan Baitulmaqdis secara khasnya. Yasser Afarat pada akhir hidupnya pun berfikiran begitu dan ini termasuk menjadikan Baitulmaqdis ibu kota ketiga-tiga agama.

Secara keseluruhannya filem Kingdom of Heaven adalah filem yang seimbang dan tidak berpihak kepada Kristian dan tidak berpihak kepada Islam walaupun ada watak-watak Kristian dan watak-watak Muslim digambarkan sangat baik dan tidak kejam seperti kita baca daripada sejarah.

Bagaimanapun, disebabkan pada abad pertengahan itu orang Muslim dianggap maju dan orang Kristian di Eropah dianggap mundur menyebabkan Scott menggambarkan dari sudut pandangan itu. Justeru itu secara nisbinya kelihatan para pejuang Kristian lebih kejam dan jahat. Di sebaliknya para pejuang Muslim. Inilah yang dikritik oleh para pengkritik filem Barat kini.

Tetapi dari segi pakaian, para pejuang Kristian kelihatan lebih hebat daripada para pejuang Muslim seolah-olah mereka lebih maju.

Penulis meninggalkan analisis ringkas tentang Kingdom of Heaven setakat ini dan insya-Allah minggu hadapan penulis akan membincangkan mengenai mesej agama dalam filem Uwei, Buai Laju-Laju.


Mingguan Malaysia, 15/5/2005
Read On

Salah ulama bermentaliti menghukum - Kefahaman Islam terbantut

0 comments Monday, July 5, 2010
ARKIB : 31/03/2002 (Mingguan Malaysia)

Oleh Astora Jabat

PARA ulama perlu menjadi pendakwah dalam kehidupan harian mereka di kalangan masyarakat dan bukan menjadi penghukum (kadi atau hakim). Di antara ciri ulama pendakwah seperti yang disebut dalam al-Quran ialah menyeru ke jalan Allah dengan menggunakan kebijaksanaan (al-hikmah) dan pengajaran yang baik (al-mau'izhah al-hassanah) serta berdialog dan berbincang dengan pendekatan yang terbaik (billati hial ahsan).

Bagaimanapun, kebanyakan cerdik pandai agama yang dikenali sebagai ulama di negara ini lebih mengutamakan pendekatan menghukum berbanding pendekatan dakwah.

Dengan itu tidak hairan jika penghayatan agama kebanyakan masyarakat Islam di negara ini tidak menggambarkan hakikat keimanan, tetapi hakikat ketakutan.

Sebagai hasilnya muncullah orang Islam berkategori beku dan jumud dalam penghayatan agama di mana mereka mengerjakan segala ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain yang lebih bersifat kepada takut kepada Allah daripada beriman dengan-Nya.

Kepincangan ini jarang disedari oleh kebanyakan orang awam kerana pendekatan pendidikan agama yang dilaksanakan dalam masyarakat sejak Islam bertapak di negara ini dan seluruh dunia Melayu adalah pendekatan yang mengasingkan agama daripada dunia.

Gejala pengasingan agama daripada dunia ini berlaku ekoran munculnya sebahagian ulama yang mengasingkan diri daripada kerajaan atau politik selepas runtuhnya kerajaan Khulafa Rasyidun di Madinah dan terbentuknya Kerajaan Umaiyah di Damsyik.

Para ulama yang kecewa dengan beberapa konflik dan perang sesama Islam pada zaman itu mengasingkan diri daripada arus perdana politik negara dan menyebabkan terbentuk beberapa mazhab agama termasuk empat mazhab terkenal dalam kelompok Ahli Sunah Waljamaah iaitu mazhab Maliki, Hambali, Syafii dan Hanafi.

Kini ramai cerdik pandai Islam amat petah membincangkan tentang ketiadaan pemisahan agama daripada dunia dalam Islam. Mereka mengutuk habis-habisan pemisahan tersebut walaupun Islam sebenarnya tidak melarangnya secara mutlak kerana Rasulullah s.a.w. pernah melakukan pemisahan dalam hal-hal pembahagian kerja dan tugas.

Tetapi mereka tidak menerima sunah Rasulullah itu dan mendakwa amalan pemisahan agama daripada dunia itu berasal daripada sekularisme Barat.

Padahal jika mereka melakukan pembacaan dan penyelidikan yang menyeluruh terhadap warisan ilmu Islam, mereka akan mendapati bahawa pengasingan agama daripada dunia dalam bentuk yang tidak baik atau negatif pernah dilakukan oleh ulama-ulama mazhab yang menolak untuk terlibat dalam kerajaan atau mengasingkan diri daripadanya.

Ini bermaksud pemisahan agama daripada dunia dalam bentuk yang tidak baik itu bukan bermula dengan zaman renaissance atau Revolusi Perancis, tetapi bermula dengan ulama-ulama mazhab lagi berdasarkan sebab-sebab yang telah disebutkan di atas.

Ulama-ulama mazhab itu berijtihad secara berasingan dengan kerajaan atau ulama-ulamanya dan menghasilkan hukum yang tidak menepati realiti masyarakat dalam negara Islam pada zaman itu.

Dengan itu tidak hairan jika semua ulama mazhab tersebut membincangkan tentang fikah ibadat (fiqhul `ibadah) secara panjang lebar dan dicatatkan perbincangan mereka dalam berjilid-jilid kitab. Tetapi mereka tidak melakukan perkara yang sama terhadap fikah politik (fiqhus siasah) dan fikah tamadun (fiqhul hadarah).

Sebagai contoh, ada ulama yang mengarang kitab sebanyak 20 jilid hanya untuk membincangkan mengenai ibadat sembahyang saja.

Fikah atau ajaran agama yang menjadi produk para ulama yang mengasingkan diri daripada kerajaan atau politik inilah yang sampai ke negara ini dan seluruh Dunia Melayu.

Memberi pengertian amal (al-'amal) yang disebut dalam al-Quran dan hadis sebagai mengerjakan ibadat semata-mata merupakan fikah atau ajaran agama yang merupakan produk ulama-ulama mazhab itu.

Padahal amal dalam al-Quran dan hadis adalah kerja dan pelaksanaan yang tidak bersifat khusus kepada ibadat. Ia sebaliknya lebih merupakan kerja dan pelaksanaan mengenai pentadbiran dan pembangunan.

Inilah yang menjadi antara punca yang menyebabkan kebanyakan ulama negara ini bermentaliti fikah yang lebih suka menggunakan pendekatan menghukum daripada pendekatan dakwah.

Maksud fikah di sini ialah bukan fikah asal yang bermaksud kefahaman (at-tafaqquh) yang boleh berbeza pandangan mengenainya, tetapi fikah jumud (fiqhul jumud) yang dijadikan oleh sesetengah ulama tanah air sebagai hukum-hakam yang tidak boleh berbeza pandangan mengenainya seolah-olah ia merupakan hukum yang dimuktamadkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Segelintir ulama yang cuba menghalang beberapa penulis membincangkan mengenai Islam adalah tergolong daripada ulama yang bermentaliti fikah yang lebih suka menggunakan pendekatan menghukum daripada pendekatan berdakwah itu.

Penulis tidak berkata para penulis itu tidak melakukan kesilapan, tetapi kesilapan yang dilakukan oleh ulama-ulama itu lebih besar dan penulis telah pun membincangkan perkara itu dalam beberapa tulisan yang telah disiarkan dalam ruangan ini.

Selain itu, menurut pandangan Islam, pendekatan yang perlu digunakan dalam menyelesaikan masalah kesilapan pemikiran itu bukan menghukum, tetapi pendekatan yang disebut `pemikiran tidak diperangi melainkan dengan pemikiran' (al-fikr la yuharibu illa bil fikr).

Sesiapa yang meneliti sejarah dakwah Rasulullah akan mengetahui bahawa baginda menggunakan pendekatan dakwah atau pendekatan `pemikiran tidak diperangi kecuali dengan pemikiran'. Baginda tidak menggunakan pendekatan perang kecuali ketika diperangi oleh pihak lain. Itupun baginda hanya melakukan perkara itu ke atas orang bukan Islam yang melancarkan perang ke atas orang Islam.

Sedangkan para penulis yang mahu dihukum dan diperangi oleh segelintir ulama itu adalah orang Islam yang tidak memerangi orang Islam atau agama mereka, tetapi mereka hanya melakukan kesilapan dalam mencedok fakta, maklumat dan pandangan saja. Kebanyakan mereka pula sudahpun mengaku salah.

Dalam pada itu ada juga orang yang bergelar ulama di kalangan para ulama tersebut sukar untuk dipanggil mereka ulama yang sebenar.

Kenapa?

Kerana salah seorang daripada mereka tidak nampak langsung mempunyai perwatakan ulama disebabkan tidak intelektual (ghaira muthaqqaf), tidak tinggi ilmu agama dan rasional. Membaca pandangan beliau yang disiarkan dalam akhbar ini dan Utusan Melayu serta sebuah risalah yang ada di pasaran kini menyebabkan penulis menganggap beliau setaraf dengan budak-budak nakal yang menulis dalam Internet.

Tidak ada gambaran lain dalam semua pandangan beliau kecuali emosi dan prejudis.

Untuk membuat penilaian yang lebih tepat lagi penulis mengajak pembaca bandingkan pandangan beliau dengan pandangan Dr. Chandra Muzaffar yang juga disiarkan dalam akhbar ini dan Utusan Malaysia serta akhbar-akhbar lain.

Tidakkah Dr. Muzaffar yang bukan seorang ulama dan tidak pernah belajar agama secara formal jauh lebih intelektual, tinggi ilmu agama dan rasional berbanding beliau?

Dengan itu secara terus terang penulis jelaskan di sini bahawa penulis berasa malu untuk memanggil beliau sebagai ulama.

Itulah antara logik yang menyebabkan penulis menganggap Islam bukan milik ulama dan siapa saja boleh membincangkan mengenainya asalkan mempunyai pengetahuan agama yang berpatutan, dan apa yang dibincangkan tidak merupakan akidah, ibadat dan perkara-perkara yang sudah muktamad hukumnya.

Tindakan mengutamakan pendekatan menghukum daripada pendekatan berdakwah boleh menjejaskan perkembangan kefahaman Islam di kalangan orang Islam dan sekali gus tidak dapat menghapuskan salah faham bukan Islam terhadap Islam.

Ramai cerdik pandai Islam di negara ini tidak mendapat pendidikan agama secara formal tetapi mereka yang merupakan penyelidik rajin mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam. Mereka pula bukan tidak mempunyai syeikh atau guru kerana syeikh dan guru mereka adalah pemikir Islam terbilang di dalam dan luar negara.

Mereka tidak patut disekat daripada berkarya dengan apa cara pun.
Read On

Hudud: Wajib ikut PM

0 comments
ARKIB : 29/03/2002 (Debat/Utusan Malaysia)

Oleh Astora Jabat


Pas kini hanya mempertahan diri dan tidak lagi menyerang seperti tahun 1999, 1998, 1997 dan sebelumnya. Malah jika ada serangan pun hanya tidak lebih daripada tindak balas yang biasanya melatah dan merapu. Serangan itu pula dilakukan dalam bentuk biadab dan tidak sopan.

Sebagai contoh serangan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas ulama kerajaan hanya mengeluarkan kata-kata kesat mengecap mereka sebagai ulama barua.

Serangan tidak ilmiah dan intelektual itu memburukkan lagi imej Pas kerana tidak masuk akal pemimpinnya yang dikenali di kalangan orang Pas sebagai ulama dan tok guru boleh mempunyai perangai lebih buruk daripada orang jahil.

Cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan undang-undang hudud mungkin boleh dianggap sebagai usaha Pas untuk memecah keadaan daripada menjadi pihak yang mempertahankan diri dan berubah menjadi pihak yang menyerang seperti yang dilakukan oleh parti itu pada masa lalu.

Tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan agenda itu kerana Pas berada dalam pendirian yang sangat lemah. Suasana politik dalam dan luar negeri tidak berpihak kepadanya.

Selain itu isu hukum hudud sendiri tidak lagi menjadi isu yang boleh mengelirukan orang ramai termasuk bukan Islam kerana mereka mengetahui tentang keterbatasan kuasa yang pada Pas.

Dalam pelaksanaan Islam juga ada perkara yang perlu diberi keutamaan dan ada perkara yang tidak perlu diberi keutamaan. Hudud pula tergolong daripada hukum yang tidak perlu diberi keutamaan berbanding pendidikan, pembangunan dan segala hukuman terhadap kesalahan dan jenayah yang lain. Malah ada ulama menganggap hudud lebih merupakan hukuman untuk mencetuskan ketakutan (al-uquubah al-takhwifiyyah) dan bukan hukuman yang dilaksanakan dalam alam nyata (al-uquubah al-waqi'iyyah).

Bagaimanapun, melihat kepada pendirian Abdul Hadi yang tidak konsisten dalam mengambil keputusan untuk membentangkan undang-undang hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April ini dan kemudian beliau mengubah pendirian menimbulkan banyak tanda tanya.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan Abdul Hadi terlalu ghairah untuk melaksanakan hukum yang dianggap bukan dalam bidang kuasa seorang Menteri Besar itu?

Apakah Abdul Hadi tidak mengetahui kedudukan Menteri Besar seperti beliau dalam kerajaan Islam?

Menteri Besar walaupun diterjemahkan ke dalam bahasa Arab secara tidak tepat sebagai Perdana Menteri, tetapi kedudukannya dalam kerajaan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Rasyidun adalah sama dengan kedudukan amir yang bermaksud pemerintah. Ia samalah dengan kedudukan gabenor pada zaman ini. Dalam bahasa Arab disebut sebagai wali.

Berdasar kepada syariah dan fikah, amir wajib mengikut arahan pemimpin negara. Begitulah yang dilakukan oleh semua amir pada zaman pemerintah Rasulullah dan Khulafa Rasyidun.

Dengan itu jika betul Abdul Hadi mahu mengamal ajaran Islam yang sebenar mengenai pemerintahan, beliau wajib mengikut arahan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana ajaran Islam menyuruh beliau berbuat begitu. Dr. Mahathir tidak mahu melaksanakan hudud dan apa jua perkara yang dianggap bukan bidang kuasa Abdul Hadi, maka beliau mesti akur dan patuh.

Haram bagi Abdul Hadi melawan atau menyanggah arahan Dr. Mahathir yang menjadi pemimpin negara yang sekali gus pemimpin Abdul Hadi juga.

Jika beliau keras kepala dan mahu pelaksanaan juga apa yang dianggap bukan berada dalam bidang kuasa beliau termasuk hukum hudud, beliau dianggap melakukan kesalahan dan dosa besar yang boleh dikenakan hukuman.

Abdul Hadi tidak perlu mendakwa tidak melaksanakan hukum hudud bererti tidak melaksanakan hukum Allah dan dianggap berdosa kerana Dr. Mahathir yang memimpin negara dibantu oleh barisan ulama yang berwibawa lebih mengetahui tentang kepentingan ummah (maslahatul ummah) berbanding beliau (Abdul Hadi) yang memikirkan hanya kepentingan parti dan kedudukannya saja.

Bahkan beliau juga tidak perlu memikirkan tentang dosa pun berhubung tidak melaksanakan hukum hudud itu kerana Dr. Mahathir bertanggungjawab dan bukan beliau.

Sebagai Menteri Besar atau amir, Abdul Hadi perlu melaksanakan kerja-kerja yang dianggap menjadi tanggungjawab beliau dan tidak perlu menyibuk dan campur tangan dalam urusan kepimpinan Kerajaan Pusat yang berada di tangan Dr. Mahathir.

Beliau perlu berhenti sama sekali membuat kerja-kerja yang tidak kena mengena dengan tanggungjawab seorang Menteri Besar seperti yang dilakukan sebelum ini termasuk berusaha untuk melaksanakan hudud. Jika tidak, beliau boleh dianggap sebagai pemberontak atau Khawarij yang boleh dikenakan hukuman yang berat ke atasnya.

Dari aspek lain menjadi tanda tanya juga kerana Abdul Hadi nampak lebih ghairah daripada Nik Aziz untuk melaksanakan hukum hudud?

Nik Aziz tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu. Mungkin beliau mengambil sikap senyap dan tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu kerana beliau kini mula memahami tentang batasan kuasa beliau serta realiti masyarakat tempatan dan dunia yang tidak berpihak kepada Pas itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak dapat mengambil iktibar daripada pengalaman Nik Aziz atau kegagalan Pas dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Padahal beliau lebih mengetahui tentang masalah itu kerana beliau sendiri yang mengetuai jawatankuasa untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dulu.

Pendirian Abdul Hadi yang dianggap tidak konsisten kerana pada 26 Mac lalu beliau mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan meminda perlembagaan negeri bagi meluluskan empat undang-undang jenayah syariah.

Harakahdaily melaporkan bahawa Abdul Hadi berkata, sekiranya kerajaan pusat tidak bersedia untuk melaksanakan Islam, maka rakyat boleh menjadi hakim dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, empat lagi rang undang-undang Enakmen Jenayah Syariah akan dibentangkan pada persidangan DUN yang bermula pada 11 April ini.

Persidangan DUN kali ini juga akan meminda perlembagaan negeri untuk menonjolkan kedaulatan syariah di negeri ini, katanya.

Bagaimanapun, selepas dibantah oleh DAP, Abdul Hadi dalam kenyataan kelmarin menangguhkan pembentangan undang-undang hudud itu dalam persidangan DUN April ini kerana mahu mendapatkan maklum balas rakyat dan parti-parti politik terlebih dahulu.

Kenapa beliau tidak mengambil pandangan rakyat dan parti-parti politik sebelum mengumumkan keputusan untuk membentang undang-undang hukum hudud itu?

Dalam pada itu nampak jelas Abdul Hadi masih berfikir untuk berbaik-baik dengan DAP bagi mempengaruhi orang Cina. Dengan itu pandangan DAP dalam soal pelaksanaan hudud diambil kira.

Para pemimpin kerajaan tidak perlu banyak berpenat lelah bagi menegur keghairahan Abdul Hadi untuk melaksanakan hukum hudud yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya supaya membendung, diampun dan diberi jalan keluar kepadanya itu.

Kerana bantahan DAP dan juga masyarakat bukan Islam boleh menyebabkan beliau berfikir tentang hikmah atau kebijaksanaan Kerajaan Pusat memerintah negara bermasyarakat majmuk ini.
Read On

Tuhan didakwa samseng - Kesilapan terbaru Nik Aziz Nik Mat

0 comments
ARKIB : 24/03/2002 (Mingguan Malaysia)

Oleh: ASTORA JABAT

Rencana ini sebenarnya ditulis untuk disiarkan dalam ruangan Debat Jumaat lalu, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan ia terpaksa disiarkan dalam ruangan ini hari ini.

Oleh itu, sambungan rencana minggu lalu akan disiarkan minggu depan.

Dalam rencana ini penulis ingin memperkatakan tentang keterlanjuran terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di mana beliau menggunakan kata-kata yang tidak sesuai dalam menghuraikan beberapa nama baik Allah yang dipanggil Asmaullah al-Husna.

Bagaimanapun, seperti yang kita semua ketahui orang Pas tidak pernah mengambil tahu tentang keterlaluan yang sering dilakukan oleh Nik Aziz walaupun sesetengahnya amat sensitif dan dianggap menjadi dosa besar.

Sebagai contoh gelaran `barua' yang digunakan oleh Nik Aziz untuk melabelkan ulama-ulama kerajaan. Ia sepatutnya tidak keluar dari mulut beliau sebagai seorang ulama bergelar tok guru.

Bukan saja dalam Kamus Dewan perkataan barua amat keji dan jelik pengertiannya kerana ia bermaksud `kata makian atau orang perantaraan yang digunakan untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat, muncikari, alku, kelolol, pinang muda dan jaruman', tetapi begitu juga dalam kamus budaya orang Kelantan. Setahu penulis kata makian itu dianggap amat keji dan paling tidak disukai orang Kelantan yang terkenal dengan kehalusan bahasa itu.

Namun, orang Pas tetap membela Nik Aziz seperti juga yang mereka lakukan ketika beliau mendakwa Allah pun mencarut dalam al-Quran dulu.

Dengan itu tidak hairanlah jika ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun sanggup mencemarkan imej seluruh orang Kelantan gara-gara mahu membela besannya, Nik Aziz. Beliau menghalalkan penggunaan kata makian itu di Dewan Rakyat Rabu lalu kerana mendakwa ia bahasa biasa rakyat Kelantan.

Yang sedihnya bukan orang Pas saja yang berani mengesahkan perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh Nik Aziz, tetapi terdapat juga orang kerajaan yang melakukan perbuatan yang sama.

Salah seorang ulama kerajaan yang paling lantang bersuara, misalnya, menganggap dakwaan Nik Aziz bahawa Allah pun mencarut hanya merupakan kenyataan politik tok guru itu.

Cuma penulis ingin bertanya ulama berkenaan jika dia menganggap begitu terhadap keterlanjuran yang dianggap dosa besar Nik Aziz, apa pula yang akan dia katakan jika penulis jelaskan di sini bahawa Nik Aziz dalam ceramah terbarunya mendakwa Allah samseng, jahat dan sombong?

Kemungkinan besar dia akan menganggap penulis berbohong kerana dia tidak percaya Nik Aziz yang merupakan seorang ulama boleh berkata begitu.

Sebenarnya siapa saja yang berfikir waras tidak perlu pun menunggu Nik Aziz mendakwa Allah juga mencarut, samseng, jahat dan sombong untuk menolak pandangan karut beliau atau menegurnya kerana beliau telah banyak membuat kenyataan yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Malah jika diandaikan betul dakwaan Nik Aziz bahawa Allah juga mencarut, itu merupakan kenyataan politik seperti anggapan ulama kerajaan berkenaan, tetapi apakah boleh tok guru seperti beliau berpolitik dengan menghina Allah? Begitu juga dengan semua kenyataan keterlaluan Nik Aziz lain yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Keterlanjuran terbaru Nik Aziz berlaku dalam ceramah yang diadakan pada 15 Mac lalu di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa.

Dalam ceramah itu Nik Aziz mendakwa jika terdapat di kalangan orang Islam menganggap dirinya samseng, maka Allah lebih samseng daripadanya; jika dia menganggap dirinya jahat, maka Allah lebih jahat daripadanya dan jika dia pula menganggap dirinya sombong, maka Allah lebih sombong daripadanya.

Berikut penulis siarkan secara harfiah salinan kata-kata Nik Aziz dalam ceramahnya yang telah merendah-rendahkan sifat-sifat Allah yang sempurna dan menyamakan dengan segala sifat manusia yang serba kekurangan itu.

Nik Aziz berkata: ``Percaya-ae (kepercayaan) manusiyo (manusia) kepada kiamat menyebabkan seganah-ganah (seganas-ganas) manusia akan tok (tak) jadi ganah. Kerana dia yakin walau bagaimana ganahnya aku dan bagaimana pangkat... tingginya pangkat aku, tapi apalah nasib aku apabila aku berdepae (berdepan) dengan padang mahsyar. Di padang mahsyar kelak ada lagi yang lebih gagah daripada aku namanya Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih jabaruut, lebih samseng daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih angkuh daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Dan nama Allah Subhanahuwataala satu daripada namanya al-Mutakabbir, al-Jabbarul Mutakabbir. ( Al-Jabbar maknanya gagah kuasa ataupun kita panggil samseng. Al-Mutakabbir sombong, angkuh.) Akulah oghaenya (orangnya) sombong, tok denga (dengar) kato (kata) orang lain. Itu satu daripada sifat Allah Taala. Samseng pun dok (ada) di aku, hanelan (handalan) pun dok di aku, somong (sombong) pun di aku. Kalu (kalau) samseng, aku lebih samseng. Kalu mu jahat, aku lebih jahat, kalu mu somong aku lebih somong. Percayaan kito manusiyo kepada akidah nilah, akidah akhirat kito panggil menyebabkan orang Melayu yang sokong Pas ni tidak jahat...''

Nik Aziz menghuraikan begitu dalam bingkai untuk menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir.

Beliau mahu memberitahu bahawa Allah lebih dalam segala-galanya berbanding semua manusia dan makhluk-makhluk lain.

Bagaimanapun, bahasa dan cara yang beliau gunakan untuk menyampaikan mesej itu tidak betul dan mengelirukan.

(Mana-mana pembaca yang ingin mendapatkan rakaman video ceramah Nik Aziz yang mengandungi huraian yang menyeleweng terhadap Asmaullah al-Husna itu boleh menghubungi penulis melalui alamat e-mel yang tertera di atas.)

Penulis akan membuat perbandingan antara maksud perkataan samseng, jahat dan sombong dalam bahasa Melayu dengan beberapa maksud Asmaullah al-Husna yang disebut dalam al-Quran.

* Perkataan samseng, jika kita merujuk kepada Kamus Dewan, bermaksud orang yang suka merompak, menyamun dan lain-lain.

Manakala al-Jabbar pula dalam kamus as-Sahah fi al-Lughah dan Lisan al-Arab yang masing-masing dikarang oleh al-Jauhari dan Ibn Manzur bermaksud sangat kuat dan tinggi kekuasaan Allah.

Kekuasaan-Nya tidak ada tandingan, kekurangan dan perlu kepada pertolongan pihak lain. (as-Sahah fi al-Lughah, muka surat 210 dan Lisan al- `Arab, juz 4, muka surat 113).

Nama Allah al-Jabbar disebut dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr: ``Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; al-Malik - Yang Menguasai (sekalian alam); al-Quddus - Yang Maha Suci; as-Salam - Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan); al-Mu'mun - Yang Maha Melimpahkan Keamanan; al-Muhaimin - Yang Maha Pengawal serta Pengawas; al-Aziz - Yang Maha Kuasa; al-Jabbar - Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); al-Mutakabbir - Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.''

Al-Qurtubi dalam menghuraikan maksud al-Jabbar dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr itu menukilkan pandangan Abdullah bin Abbas di mana dia (Abdullah bin Abbas) berkata, al-Jabbar bermaksud keagungan dan jabaruut Allah bermaksud keagungan-Nya.

Allah dipanggil al-Jabbar, kata al-Qurtubi, kerana keagungan dan kesucian-Nya daripada segala kekurangan dan sifat baru atau tidak azali.

Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat yang sama berkata al-Jabbar bermaksud tidak sesuai jabaruut atau kekuasaan yang maha besar dan maha agung itu kecuali kepada Allah sahaja.

Ibn Jarir dalam kitab tafsirnya berkata, al-Jabbar bermaksud pemulih kerana Allah merupakan pemulih segala perkara berkaitan kepentingan makhluk termasuk kepentingan manusia.

* Perkataan jahat diberi maksud dalam Kamus Dewan sebagai buruk lakunya, tidak baik perangai, perbuatan dan lain-lain. Nik Aziz tidak menyebut Asmaullah al-Husna yang manakah bermaksud jahat.

Dengan itu penulis tidak dapat membuat perbandingan antara perkataan jahat dengan mana-mana Asmaullah al-Husna.

* Perkataan sombong pula dalam Kamus Dewan bermaksud angkuh, bongkak, congkak, pongah dan lain-lain.

Nik Aziz memberi erti sombong dan angkuh yang merupakan sifat tercela manusia ini sebagai Asmaullah al-Husna yang dipanggil al-Mutakabbir.

Al-Mutakabbir juga disebut dalam ayat 23 daripada surah al-Hasyr di atas. Ia merupakan salah satu Asmaullah al-Husna atau sifat Allah yang sempurna dan tidak sama sekali serupa dengan sifat-sifat makhluk yang serba kekurangan dan cacat cela seperti sifat sombong, angkuh dan lain-lain.

Dengan itu para ulama muktabar zaman dahulu bila membincangkan tentang al-Mutakabbir dan mana-mana Asmaullah al-Husna tidak menyamakan dengan sifat atau perangai manusia.

Sebagai contoh walaupun al-Mutakabbir jika dikaitkan dengan manusia bermaksud takbur, sombong dan angkuh, tetapi bila dikaitkan dengan Allah membawa maksud yang lain. Kerana sifat-sifat Allah yang azali tidak sama dengan sifat-sifat makhluk yang baru.

Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, al-Mutakabbir (yang dikaitkan dengan Allah itu) bermaksud Allah yang sempurna zat dan kewujudan tidak perlu kepada pihak lain. (Lisan al-Arab, juz 5, muka surat 125).

At-Tabari dalam tafsirnya pula berkata, al-Mutakabbir bermaksud Allah terlepas daripada segala keburukan. Begitu juga lebih kurang yang al-Qurtubi huraikan dalam kitab tafsirnya.

Sebenarnya Nik Aziz menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir itu berdasarkan kepada kefahaman bahasa Arab biasa yang diterjemah secara harfiah ke dalam bahasa Melayu. Padahal jika beliau menghuraikan maksud Asmaullah al-Husna itu dengan merujuk kepada kefahaman ulama-ulama muktabar seperti telah disebut di atas sudah tentu al-Jabbar dan al-Mutakabbir tidak sama sekali mempunyai maksud samseng, jahat dan sombong.
Read On

Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa...

0 comments Saturday, June 26, 2010
Oleh Astora Jabat

Hanya dua jalan keluar sahaja yang disering digunakan untuk masalah anak zina di Malaysia. Pertama, menjadikan seseorang anak zina itu berbin/binti Abdullah dan mana-mana nama Allah yang dipanggil al-Asma'u al-Husna. Jalan keluar yang pertama ini dianggap sah dari segi hukum agama walaupun bukan dianggap terbaik. Kedua, mencampak atau membuangkan anak zina di tepi jalan, dalam longkang dan tong sampah. Jalan keluar kedua ini pula dianggap haram dan tidak sah dari hukum agama.

Beberapa jalan keluar lain yang juga dianggap sah dari segi hukum agama dan mungkin dianggap lebih baik daripada mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana nama Allah al-Husna yang lain, tetapi ia tidak digunakan oleh orang Islam di Malaysia. Demikian itu kerana orang Malaysia lebih suka berpegang dengan hukum fikah yang bersifat satu pandangan dan satu mazhab. Mereka tidak mahu terbuka kepada pandangan-pandangan dan mazhab-mazhab yang lain.

Dua daripada jalan keluar itu akan dibincang secara terperinci di bawah ini.

Berdasar kepada perangkaan tahun 2001, Malaysia mempunyai 53,309 anak zina atau anak tidak sah taraf. Jumlah itu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 1999 hingga tahun 2001. Ia bukan angka kecil yang boleh dipandang remeh. Penulis tidak mempunyai perangkaan mutakhir, tetapi sudah tentu ramai juga yang didaftar sepanjang tahun lalu dan sehingga empat bulan pertama tahun ini.

Mungkin ramai juga anak zina tidak didaftar dengan JPN. Begitu juga jumlah anak zina yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, tepi masjid, di dalam longkang, tong sampah dan lain-lain.

Apakah semua yang dianggap anak zina itu benar-benar anak zina? Mungkin ada di antara ribuan anak zina yang didaftar atau tidak didaftar dengan JPN atau yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, di tepi masjid, dalam longkang dan tong sampah itu sebenarnya bukan anak zina atau boleh dipulih taraf menjadi anak yang sah dari segi hukum syarak. Tetapi mereka yang terlanjur tidak mengetahui perkara itu dan mengambil tindakan yang tidak tepat dengan memangsakan anak mereka.

Sebagai contoh seorang gadis hamil kerana terlanjur dengan tunangnya. Pasangan ini pula tidak mengambil tindakan yang tepat untuk menyelesaikan dilema yang dihadapi. Sepatutnya si gadis yang hamil itu dan tunangnya terus melangsungkan perkahwinan. Tetapi kerana mereka kurang pengetahuan tentang hukum agama serta malu atau takut kepada keluarga, maka mereka membiarkan masalah yang boleh diatasi (hamil) dengan mudah itu menjadi masalah besar (kelahiran anak zina) yang sukar diatasi. Padahal Islam mempunyai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah anak yang terhasil daripada perbuatan zina menjadi anak yang sah taraf dari segi hukum syarak.

Salah satu jalan keluar yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ialah lelaki dan wanita yang terlanjur mesti berkahwin secepat mungkin dan anak yang lahir melebihi tempoh enam bulan dalam kandungan selepas mereka berdua berkahwin adalah anak yang sah taraf dari segi hukum syarak. Anak mereka berdua itu bukan lagi anak zina walaupun terhasil daripada perbuatan zina mereka.

Apakah orang-orang yang telah terlanjur mengetahui ada jalan keluar seperti ini?

Penulis membentangkan di sini salah satu lagi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah orang yang terlanjur itu dan sekali gus dapat menyelamatkan ramai anak zina. Untuk membentangkan jalan keluar yang luas ini, penulis merujuk kepada fatwa ulama pembangkang Mesir terkenal, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan beberapa kitab ulama zaman silam di mana penulis menyebut nama kitab-kitab berkenaan serta nombor juz dan nombor muka suratnya supaya mudah dirujuk oleh sesiapa saja yang ingin mendapat ilmu secara lebih terperinci.

Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, anak zina boleh dibin kepada bapanya dan dia dianggap anak yang sah dan mendapat segala hak yang ditetapkan oleh hukum syarak jika bapanya berkahwin dengan ibunya. Beliau tidak menganggap anak perlu berada dalam kandungan ibu yang terlanjur selama melebihi enam bulan sebelum dia diijabkabulkan dengan pasangannya seperti kata ulama-ulama lain.

Fatwa yang agak janggal di Malaysia ini bukan sama sekali fatwa baru yang diijtihad oleh Dr. Al-Qaradawi, tetapi ia merupakan fatwa lama yang merujuk kepada Rasulullah s.a.w., beberapa orang sahabat, tabii dan ulama terdahulu (salaf) dan terkemudian (khalaf).

Bagaimanapun, fatwa ini tidak diguna pakai langsung di Malaysia. Sebaliknya yang diguna pakai ialah fatwa yang memperuntukkan bahawa anak yang lahir dari ibu yang hamil melebihi tempoh enam bulan setelah dia diijabkabulkan dengan lelaki yang terlanjur dengannya adalah anak sah taraf.

Dalam erti kata lain jika seorang wanita terlanjur dengan seorang lelaki dan hamil tiga bulan atau lebih tiga bulan, kemudian dia diijabkabulkan dengan lelaki itu, maka anak yang dilahirkan dianggap anak mereka yang sah dari segi hukum syarak.

Namun begitu terdapat cerdik pandai agama kita yang tidak menerima fatwa yang membolehkan anak yang lahir daripada ibu yang hamil melebihi enam bulan itu sebagai anak yang sah. Sebaliknya mereka berkata, anak hasil perbuatan zina antara lelaki dan wanita itu tetap dianggap anak zina walaupun mereka berkahwin secara sah tiga bulan selepas mereka terlanjur.

Perkahwinan

Secara harfiah Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, penzina lelaki dan penzina wanita jika mereka berdua bertaubat kepada Allah dan menghendaki keluar daripada haram kepada halal, keluar daripada kehidupan yang kotor kepada kehidupan yang bersih dan mahu mengubah kehidupan mereka berdua daripada zina yang diharamkan untuk hidup dalam kehalalan, maka perkahwinan mereka berdua dianggap sah (oleh ulama) secara ijmak (konsensus). Kebanyakan (jumhur) ulama fikah tidak menjadikan taubat sebagai syarat kesahan berkahwin dengan penzina wanita seperti diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab di mana dia telah memukul (iaitu mengenakan hukum sebat ke atas) seorang lelaki dan seorang wanita dalam kes zina dan dia (Umar) mengambil berat untuk mengumpul (mengahwinkan) mereka berdua.

Cuma ulama mazhab Hanbali sahaja yang meletakkan syarat bertaubat dan mereka berhujah dengan firman Allah: (an-Nur: 3) Lelaki yang berzina tidak berkahwin kecuali wanita yang berzina atau wanita yang musyrik; dan wanita yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik; dan yang demikian itu diharam ke atas orang-orang yang beriman.

Mengenai tindakan mengebin atau menasabkan anak zina, Dr. al-Qaradawi berkata, beberapa orang fuqaha Salaf seperti `Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahawaih dan lain-lain mengharuskan istilhaq (menggabung/mengebin/menasabkan) anak zina kepada lelaki yang mendakwanya jika wanita (yang berzina dengan lelaki itu) bukan isteri orang kerana belum pernah berkahwin atau telah diceraikan atau seorang janda.

Dr. Al-Qaradawi mengutip pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Al-Qaiyyim untuk berhujah tentang perkara itu. Beliau berkata, Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Al-Qaiyyim mentarjih (mengutama dan menguatkan) pandangan tersebut. Ibn Al-Qaiyyim selepas menyebut hadis: Anak adalah bagi katil dan bagi lelaki pelacur adalah hajar. Yang dimaksudkan dalam hadis anak adalah bagi katil ialah mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba wanita yang dimiliki.

Manakala yang dimaksudkan dalam hadis: Bagi lelaki pelacur adalah hajar ialah bagi lelaki yang mengadakan hubungan seks secara haram adalah batu, iaitu kena rejam dengan batu atau tidak dapat apa-apa termasuk anak seolah-olah dia hanya dapat biji-biji batu dan pasir yang tidak berharga. Lihat Syarh an-Nawawi Ala Sahih Muslim, juz 10, muka surat 37.

Ibn Al-Qaiyyim berkata, menurut Dr. Al-Qaradawi jika dikatakan hadis itu menjadi dalil hukum mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak pemilik katil (iaitu suami), maka apa pula akan dikatakan jika penzina mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak yang bukan katil?

Terdapat orang yang menentang, apakah disambungkan anak zina itu dengan nasab lelaki dan disabitkan hukum nasab ke atasnya? Katanya masalah ini merupakan masalah yang jelas di mana ulama berbeza pandangan tentangnya. Ishaq bin Rahawaih menganggap anak kelahiran dari perbuatan zina jika tidak dilahir atas katil yang didakwa dimiliki oleh seseorang dan penzina mendakwa anak itu adalah anaknya, disambungkan anak zina itu kepadanya. Ishaq bin Rahawaih mentakwilkan sabda Nabi s.a.w.: Anak adalah bagi katil, yang digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan antara penzina dengan pemilik katil. Itulah mazhab Al-Hasan Al-Basri yang meriwayatkan daripadanya Ishaq bin Rahawaih dengan sanadnya mengenai seorang lelaki berzina dengan seorang wanita dan wanita itu melahirkan seorang anak lelaki, maka lelaki itu mendakwa anaknya.

Al-Hasan Al-Basri berkata: ``Lelaki disebat dan anak dipertanggungjawab kepadanya.'' Ia juga mazhab `Urwah bin Az-Zubeir dan Sulaiman bin Yasar yang diriwayat mereka berkata: ``Mana-mana lelaki datang kepada budak dan mendakwa ia merupakan anak dan dia berzina dengan emaknya dan tidak mendakwa budak itu ke atas sesiapa, ia (budak) adalah anaknya.

Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menggabungkan anak-anak orang jahiliah dengan mereka yang mendakwa sebagai anak mereka dalam Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas.

Untuk menyokong fatwa Dr. Al-Qaradawi itu penulis merujuk kepada pandangan Imam Asy-SyafiI dalam kitab al-Umm (al-Umm, juz 6, muka surat 197) di mana beliau berkata, Rasulullah s.a.w. menghukum dengan katil (iaitu mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba yang dimiliki) Jika lelaki mengaku bersetubuh dengan emaknya, anak itu digabung (dibin dan dinasabkan) dengannya kecuali jika dia mendakwa istibra wanita itu selepas bersetubuh dengannya dan kemudian dia tidak mendekatinya. Maksud istibra ialah tidak bersetubuh dengan isteri selepas datang haid.

Pandangan yang serupa diungkap oleh Ibn Qudamah di mana beliau menulis dalam kitab al-Mughni (al-Mughni, juz 6, muka surat 228) dengan berkata, anak zina tidak boleh digabung kepada penzina menurut pandangan kebanyakan ulama. Tetapi Hasan, Ibn Sirin menganggap boleh digabung kepada penzina jika didirikan ke atasnya hukuman hudud dan anaknya itu boleh mewarisinya pula.

Ibrahim pula berkata digabungkan anak zina dengan penzina jika dia dikenakan hukuman sebat. Ishak juga berkata digabung anak zina dengan penzina. Begitu juga diriwayat daripada `Urwah dan Sulaiman bin Yasar.

Ibn Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid, juz 2, muka surat 268 pula menulis kebanyakan ulama bersepakat bahawa anak zina tidak digabung dengan bapanya kecuali yang berlaku pada zaman jahiliah seperti diriwayat daripada Umar bin Al-Khattab, tetapi para sahabat yang berbeza pandangan tentang perkara itu. Manakala segelintir menganggap anak zina digabung dengan bapanya juga pada zaman Islam.

Ulama dalam mazhab Hanafi juga menganggap jika tidak orang lain mendakwa anak itu anaknya, maka dia adalah milik pendakwa itu. Tetapi jika ada orang lain mendakwa seperti pendakwa pertama, maka pemilik katil diberi keutamaannya (at-Turuq al-Hukmiah, muka surat 324)

Fatwa Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Dr. Al-Qaradawi terdapat dalam Kutub Wa Rasa-il Wa Fatawa Ibn Taimiah, juz 32, muka surat 137-139. Rujukan-rujukan tambahan lain boleh dilihat dalam kata-kata Imam asy-SyafiI dalam al-Umm, juz 6. muka surat 254, huraian panjang lebar dalam Fathul Bari, juz 12 muka surat 35-37 dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayat oleh Al-Bukhari, hadis no. 1912, 2348, 2040, 3964, 6252 dan 6646, an-Nasaa'i hadis no. 3433, Muwatta' Imam Malik hadis no. 1224 dan ad-Darimi hadis no. 2139.

Fatwa Dr. Al-Qaradawi di atas boleh didapati di Islamonline.net di alamat: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=76246)

Rencana ini salah satu daripada enam rencana mengenai status anak zina dalam fokus yang disiar dalam majalah Al Islam keluaran Jun yang akan berada dalam pasaran pada 16 Mei ini.
Read On

Sembahyang Jumaat berimam wanita di AS

0 comments Friday, June 25, 2010

Oleh ASTORA JABAT

Yang menjadi masalah bukan saja kerana wujud ulama sejak beratus dan beribu tahun lalu lebih ghairah untuk menonjolkan ajaran al-Quran dari sudut hukum dan kebanyakan hukum yang mereka tonjol pula merupakan hukum tidak boleh dan haram
belaka, tetapi kaum wanita juga turut menjadi mangsa perbuatan mereka.

Ini kerana banyak sekali hukum yang membelenggu wanita didakwa sebagai hukum Islam dan syariah, tetapi sebenarnya tidak kena-mengena dengan Islam dan syariah. Sebaliknya ia merupakan hukum ijtihad ulama kerana ia tidak diperuntukkan dalam al-Quran dan hadis secara muktamad.

Sekadar menjadi contoh disebut di sini bahawa majoriti ulama memfatwakan wanita
tidak boleh menjadikan pemimpin. Dalam istilah fikah pemimpin disebut sebagai
imam (al-imam). Maksud pemimpin atau imam ini pula boleh dibahagikan kepada dua,
pertama, pemimpin atau imam dalam maksud yang sempit iaitu pemimpin negara; dan
kedua, pemimpin atau imam yang maksud yang luas mencakupi semua tugas kepimpinan
termasuk pemimpin atau imam sembahyang. Nas yang digunakan untuk mengharamkan
wanita menjadi pemimpin atau imam itu ialah hadis yang bermaksud:

Tidak sama sekali akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada
wanita (wanita menjadi pemimpin mereka). Hadis ini diriwayat oleh al-Bukhari,
at-Tirmizi, al-Hakim dan lain-lain. Larangan wanita menjadi pemimpin ini didakwa
merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulama.

Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata, ulama telah bersepakat secara ijmak
(konsensus) bahawa tidak harus bagi wanita menjadi pemimpin (Tafsir al-Qurtubi
juz 1, muka surat 270). Manakala Abu Bakar bin al-Arabi pula berkata yang
dimaksudkan pemimpin itu khalifah, iaitu pemimpin tertinggi negara (Tafsir
al-Qurtubu juz 13, muka surat 185). Bagaimanapun, ramai ulama meluaskan lagi
maksud hadis di atas dan ada di kalangan mereka yang menghukum wanita tidak
boleh menjadi apa jua pemimpin.

Sebenarnya hadis di atas tidak boleh dijadikan hujah muktamad bahawa semua
wanita tidak boleh menjadi pemimpin, sama ada pemimpin negara mahupun pemimpin
dalam bidang-bidang lain.

Ini kerana apa yang dijelas oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis itu ada
konteksnya, iaitu ia merupakan penjelasan mengenai pendirian baginda tentang
anak puteri raja Parsi yang masih muda tidak layak menjadi pemimpin mengganti
ayahandanya yang telah mangkat. Ini bermaksud baginda tidak sama sekali melarang
semua wanita menjadi pemimpin. Dalam al-Quran sendiri terdapat surah Saba dan
banyak ayat al-Quran lain yang menceritakan tentang wanita yang menjadi pemimpin
negara, iaitu Ratu Balqis yang memerintah negeri Saba (Sheba). Puteri Balqis
yang dulunya bukan orang beriman, tetapi kemudian dia menjadi orang beriman dan
pengikut ajaran Nabi Sulaiman. Tidakkah ini merupakan bukti yang jelas daripada
al-Quran bahawa ada wanita menjadi pemimpin negara?

Dalam sejarah Islam pula terdapat beberapa pemerintah negara yang merupakan
wanita seperti Syajaratud Dur yang menjadi sultanah Mesir pada kurun ke-13,
Radhiah ad-Din yang menjadi sultanah Delhi, India selama empat tahun antara
tahun 1236-1240 dan Raja Hijau, Raja Hibu, Raja Ungu dan Raja Kuning yang
memerintah Pattani di selatan Thailand.

Perlu diterangkan bahawa Sultanah Syajaratud Dur walaupun sangat hebat kerana
berjaya menghalau tentera Salib dari Mesir, tetapi dia terpaksa melepaskan kuasa
selepas memerintah tidak begitu lama kerana ditekan oleh ulama yang memfatwakan
bahawa kaum wanita tidak boleh atau haram memerintah negara. Selain itu
penyelewengan yang berleluasa dalam kerajaan juga turut menjadi faktor
menyebabkan Sultanah Syajaratud Dur ditentang oleh rakyat dan memaksanya
meninggalkan takhta.

Pada zaman ini larangan wanita menjadi pemimpin yang difatwa oleh kebanyakan
ulama sejak beratus dan beribu tahun lalu masih mempengaruhi orang Muslim
walaupun realiti membuktikan bahawa fatwa itu tidak lagi relevan atau tidak lagi
diikuti. Ini kerana kaum wanita sudah pun menjadi pemimpin negara dan menteri.
Malah hak politik wanita nampaknya tidak mampu lagi disekat oleh fatwa-fatwa
ulama. Ambil contoh perubahan Pas membenarkan wanita menjadi calon pilihan raya.
Padahal beberapa tahun lalu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap tidak harus wanita
melakukan perkara itu.

Perubahan yang sama berlaku di sebuah negara Arab yang paling keras mengamal
ajaran agama serta ulama-ulamanya terkenal suka membuat fatwa yang dianggap
benar-benar menindas wanita seperti mengharamkan mereka memandu kereta, tetapi
negara itu telah diadakan pilihan raya majlis perbandaran yang terbatas. Wanita
belum lagi dibenarkan ikut serta dalam pilihan raya pertama negara itu, tetapi
kehadiran mereka di sebalik tabir adalah jelas. Para pemerhati politik berkata
reformasi politik yang sedang dilaksanakan di negara berkenaan akan membolehkan
wanita ikut serta dalam politik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kaum wanita pada zaman ini nampaknya bukan saja menuntut hak dalam
politik, tetapi mereka juga menuntut hak dalam bidang-bidang lain termasuk dalam
bidang agama. Jika dalam politik sudah ada ulama-ulama yang terbuka dan
membenarkan wanita ikut serta, tetapi mereka mengambil pendirian menentang atau
sekurang-kurangnya tidak menyokong kaum wanita terlibat dalam agama sehingga
sampai ke peringkat peneraju dan pemimpin. Wanita pada pandangan ulama-ulama
hanya patut duduk di belakang sahaja.

Menuntut hak

Mereka tidak dipanggil ulama walaupun mempunyai gelaran doktor falsafah dan
berilmu tinggi dalam bidang agama. Contoh terbaru wanita menuntut hak untuk
menjadi peneraju dan pemimpin dalam agama ialah tindakan seorang sarjana
Muslimah Amerika berasal dari Afrika, Dr. Amina Wadud menjadi imam sembahyang
Jumaat yang turut dihadiri kaum lelaki di Manhattan, New York Jumaat lalu.

Dr. Amina Wadud dan para penyokongnya yang terdiri daripada golongan pejuang hak
wanita itu menganggap kaum wanita juga perlu mempunyai hak yang saksama dalam
mengamal ajaran agama seperti kaum lelaki termasuk menjadi imam sembahyang
Jumaat dan sembahyang-sembahyang yang lain.

Lebih 100 orang lelaki dan wanita menghadiri sembahyang Jumaat yang julung kali
dipimpin oleh seorang imam wanita pada zaman moden ini. Sembahyang Jumaat itu
diadakan di sebuah dewan dipanggil Synod House di gereja St. John the Divine di
Manhattan. Menurut rancangan awal sembahyang Jumaat berimamkan Amina Wadud itu
akan diadakan di masjid, tetapi pihak penganjur tidak berjaya mendapatkan
mana-mana rumah Allah untuk melangsungkan ritual wajib mingguan itu.

Lalu mereka memilih The Sundaram Tagore Gallery. Bagaimanapun, disebabkan ada
pihak mengancam mahu meletupkan The Sundaram Tagore Gallery jika sembahyang
jemaah pimpinan wanita diadakan di situ, maka dipindah ke dewan gereja
berkenaan. Kerana takutkan ancaman bom itu, maka sembahyang Jumaat pada hari itu
terpaksa diadakan secara senyap-senyap dan dihadiri oleh para penyokong saja.

Reaksi ulama terhadap sembahyang Jumaat yang paling kontroversi itu ialah Syeikh
al-Azhar Dr. Mohammed Sayed Tantawi berkata, harus wanita menjadi imam
sembahyang, tetapi bukan sembahyang yang disertai lelaki. Maksud wanita harus
menjadi imam kaum wanita sahaja.

Boleh dihalusi pandangan Dr. Tantawi dalam bahasa Arab di sambungan ini:

http://abcnews.go.com/US/wireStory?id=593622

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menganggap tidak harus wanita menjadi imam sembahyang
yang disertai lelaki kerana beliau berpendapat ulama telah bersepakat dengan
yakin bahawa mengatakan wanita tidak boleh melakukan perkara itu.

Hujah yang dipegang Dr. al-Qaradawi dalam melarang wanita menjadi imam
sembahyang lelaki bukan nas yang muktamad daripada al-Quran, tetapi ijtihad
ulama yang tidak muktamad.

Pandangan Dr. al-Qaradawi dalam bahasa Arab dan Inggeris boleh dihalusi di dua
sambungan ini:

1-

http://www.islamonline.net/fatwaapplication/arabic/display.asp?hFatwaID=122680

2-

http://www.islamonline.net/fatwaapplication/english/display.asp?hFatwaID=122751

Bagaimanapun, hanya Mufti Mesir Dr. Ali Gomaa agak berbeza dengan Dr. Tantawi
dan Dr. al-Qaradawi kerana menganggap wanita boleh menjadi imam lelaki jika
masyarakat menerima amalan seperti itu. Dr. Gomaa berkata, kerana ulama berbeza
pandangan mengenai wanita menjadi imam sembayang kaum lelaki, maka harus bagi
Amina Wadud menjadi imam sembahyang Jumaat yang turut dihadiri kaum lelaki pada
18 Mac lalu. Beliau berkata begitu dalam wawancara dengan televisyen Mesir
Selasa lalu. Beliau mengakui bahawa jumhur (majoriti) ulama menganggap wanita
tidak boleh menjadi imam sembahyang lelaki, tetapi sesetengah ulama lain seperti
Imam at-Tabari dan Imam Ibn Arabi menganggap wanita boleh menjadi imam
sembahyang lelaki.

Perkara khilafiah seperti itu terserah kepada orang yang berpegang dengan
perkara itu. Jika mereka menerima wanita menjadi imam (sembahyang) mereka, itu
adalah urusan mereka dan tidak menjadi masalah selagi mana tidak keluar daripada
pandangan-pandangan terkenal itu. Sebaliknya jika mereka menolak (wanita menjadi
imam sembahyang lelaki), itu adalah urusan mereka juga dan ini samalah seperti
kebanyakan negara Islam termasuk Mesir yang dipercayai tidak mungkin berlaku
perkara itu kerana bertentangan dengan yang ada dalam pemikiran dan adat
masyarakat yang telah sebati dengan mereka. Untuk menghalusi pandangan Dr. Gomaa
boleh layari sambungan ini:

http://www.alarabiya.net/Article.aspx?v=11294

Perbezaan pandangan antara Dr. Gomaa dengan Dr. Tantawi dan Dr. al-Qaradawi ini
adalah perkara biasa dan selalu terjadi dalam perkara-perkara yang tidak disebut
dalam al-Quran dan hadis secara muktamad atau disebutnya secara umum. Perkara
yang sama boleh berlaku bila berhujah dengan hadis yang tidak kuat atau
bercanggah antara satu sama lain. Bila berhadapan dengan suasana semacam ini
tiada yang dapat dilakukan oleh ulama kecuali berijtihad mengikut fahaman
masing-masing dan dari sinilah munculnya perbezaan pandangan dan fatwa. Apa yang
diperlu dilakukan orang Muslim bila berhadapan dengan pandangan dan fatwa
seperti ini kecuali mengambil yang dianggap paling sah dan paling baik. Malah
boleh juga mengambil yang paling sesuai dan paling mudah kerana Rasulullah
membenarkan berbuat demikian.

Begitu juga yang perlu diambil oleh orang Muslim berhubung kes Dr. Amina Wadud
mengimamkan sembahyang Jumaat dua hari lepas.

Sebenarnya perbezaan pandangan mengenai wanita menjadi imam sembahyang lelaki
pernah diperkatakan juga oleh para ulama sejak beratus dan beribu tahun dulu
sebagai tercatat dalam kitab tafsir, hadis dan fikah. Sebagai contoh Ibn Arabi
dalam kitab al-Futuhaat al-Makkiah muka surat 535 berkata, ada ulama yang
mengharuskan wanita menjadi imam kaum lelaki dan kaum wanita secara mutlak.
Begitu juga saya menganggapnya. Ada pula ulama yang melarang wanita menjadi imam
(kaum lelaki dan kaum perempuan) secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang
mengharuskan wanita menjadi imam kaum wanita tanpa kaum lelaki. Demikian itu
kerana mengambil iktibar daripada pengakuan Rasulullah tentang kesempurnaan
sesetengah wanita seperti mana pengakuan baginda terhadap kesempurnaan
sesetengah lelaki walaupun kaum lelaki lebih sempurna daripada wanita seperti
dalam kenabian (an-nubuwah).

Yang dimaksudkan lelaki lebih sempurna daripada perempuan menurut pandangan Ibn
Arabi ialah dalam nubuwah. Namun begitu dia menganggap walaupun wujud kelebihan
itu tidak boleh menyekat wanita menjadi imam sembahyang lelaki. Dalam kitab
Subus Salam dalam juz 2 muka surat 29 as-Sanaani menyebut bahawa al-Muzni dan
Abu Thaur mengharuskan wanita menjadi imam (lelaki). Dia juga menyebut bahawa
At-Tabari mengharuskan wanita jadi imam sembahyang tarawih jika orang (imam)
yang hafaz al-Quran tidak hadir (ketika dia dalam sembahyang tarawih itu) .

Kebenaran

Hujah yang digunakan oleh ulama-ulama yang mengharuskan wanita menjadi imam
sembahyang lelaki ialah kebenaran yang diberi oleh Rasulullah kepada Umm Warqah
menjadi imam ahli keluarga yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Hadis Umm
Waraqah itu disebut dalam banyak kitab termasuk Sahih Ibn Khuzaimah dan Aunul
Mabuud. Dalam kitab Sahih Ibn Khuzaimah disebut dalam juz 3, muka surat 89
bahawa:

Diberitahu kepada kami Abu Tahir, Abu Bakar, Nasr bin Ali. Abdullah bin Daud
daripada al-Walid bin Jami daripada Laila binti Malik daripada bapanya dan
daripada Abdul Rahmana bin Khalad daripada Umm Waraqah, kemudian Rasulullah
bersabda: Mari kita pergi melawat Syahidah (Umm Waraqah). Baginda membenarkan
(seorang lelaki tua) melaungkan azan dan dia (Umm Wraqah) mengimamkan ahli
keluarganya dalam sembahyang fardu. Dia juga merupakan pengumpul al-Quran.

Pengarang Aunul Mabuu dalam juz 2 muka surat 212 berkata, yang disebut dalam
kitab as-Subul (Subus Salam) serta hadis (Umm Waraqah) itu adalah menjadi dalil
kesahihan wanita menjadi imam ahli keluarga walaupun ada lelaki di kalangan yang
menjadi makmumnya. Dia mempunyai seorang tukang azan yang merupakan seorang
lelaki tua sebagai disebut dalam riwayat itu.

Nampaknya dia menjadi imam kepada hamba-hambanya yang lelaki dan wanita. Turut
menganggap sah melakukan perkara itu Abu Thaur, al-Muzni dan at-Tabari kecuali
jumhur ulama. Kesimpulannya tidak ada nas yang muktamad daripada al-Quran dan
hadis yang melarang wanita menjadi imam lelaki. Bagaimanapun, tindakan Dr. Amina
Wadud menjadi imam Jumaat lalu mesti dipandang serong oleh ramai orang termasuk
para ulama bukan kerana tidak ada sandaran agama, tetapi kerana sandaran agama
itu tidak ambil kira disebabkan kebiasaan dan adat turun-temurun yang menguasai kita.
Read On

MAWI: Nik Aziz betul, Harun Taib tidak salah

0 comments
Oleh Astora Jabat

WALAUPUN ada kritikan daripada UMNO berhubung tindakan Pas menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3) untuk mengadakan konsert di Kota Bharu pada 30 September ini, tetapi kritikan lebih hebat datang daripada parti berlabel Islam itu sendiri. Bukan setakat mengkritik, tetapi sampai membantah seperti dilakukan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (Utusan Malaysia 15 September).

Harun membantah kerana menganggap Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya dia adalah hasil produk sebuah rancangan realiti televisyen yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.

"Kita mahu penyanyi hiburan alternatif yang solid Islam dan bukannya yang lahir daripada rancangan yang jelas tidak berlandaskan Islam.

"Dewan Ulama tiada halangan sekiranya kerajaan Pas Kelantan menjemput penyanyi yang benar-benar memperjuangkan hiburan Islam sebenar untuk membuat pertunjukan di negeri itu," katanya.

Dewan Ulama merupakan badan tertinggi Pas dan dalam kes konsert Mawi ini, badan tertinggi itu tidak dirujuk untuk mendapat pandangan.

"Dewan Ulama tidak pernah diberitahu mengenai hasrat kerajaan Kelantan untuk menjemput Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.

"Kita hanya mengetahui bahawa kerajaan Kelantan hendak membawa Mawi membuat persembahan, melalui laporan akhbar sahaja," jelas Harun.

Dengan itu beliau menganggap tindakan menjemput Mawi membuat konsert di Kota Bharu itu tidak kena-mengena dengan Pas, tetapi ia urusan kerajaan Kelantan semata-mata.

"Perkara menjemput Mawi ke Kelantan bukan urusan Pas tetapi ia adalah urusan kerajaan Kelantan. Selama ini pun tiada perbincangan dengan parti dan tiada kelulusan mengenainya dibuat," ujarnya.

Mungkin bantahan Harun ini boleh dianggap sebagai mewakili suara golongan ulama atau golongan tua dalam Pas yang tidak bersetuju dengan golongan sekular atau golongan muda yang berada di sebalik perubahan pendirian Nik Aziz terhadap hiburan itu. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada di kalangan golongan ulama atau golongan tua Pas yang keluar memberi pandangan mengenai konsert Mawi itu kecuali Harun.

Akhbar rasmi Pas pada 16 September lalu mendakwa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bersetuju dengan konsert Mawi itu dalam beberapa siri ceramahnya.

Didakwa oleh sesetengah pihak golongan sekular atau golongan muda Pas itu pula kebanyakan mereka merupakan orang JIM (Jamaah Islah Malaysia). Mereka dianggap orang yang paling dekat dengan Nik Aziz kini dan mampu mempengaruhinya untuk melakukan beberapa perubahan dalam Pas seperti membenarkan wanita menjadi calon pilihan raya dan bertanding dalam pemilihan parti.

Dikatakan mereka juga di sebalik perubahan pendirian Nik Aziz terhadap hiburan sehingga sampai ke tahap menjemput Mawi mengadakan konsert di Kelantan itu.

Perlu dijelaskan bahawa JIM menurut laman web www.jim.org.my merupakan pertubuhan bawah tanah yang ditubuhkan oleh para penuntut Malaysia di United Kingdom pada tahun 70-an atas nama Islamic Representative Council (IRC). Selepas tamat belajar, mereka kembali dan menubuhkan IRC di Malaysia. Mereka pada mulanya berusaha untuk menguasai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), tetapi gagal. Kemudian mereka berusaha untuk menguasai Pas, tetapi gagal juga. Setelah misi afiltrasi mereka gagal dalam ABIM dan Pas, mereka menubuhkan JIM. Jadi penubuhan JIM sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada tahun 1990 berlaku selepas para ahli IRC kecewa dalam usaha mendapatkan kuasa dalam menerajui ABIM dan Pas. Itulah serba ringkas tentang JIM menurut laman webnya.

Kembali kepada konsert Mawi. Secara peribadi penulis menyokong pendirian Nik Aziz membenarkan konsert Mawi di Kelantan dan bersetuju tindakan beliau menyoal balik pihak yang membantah supaya menunjukkan manakah hiburan alternatif jika mereka tidak bersetuju.

"Saya ada terima protes beberapa pihak, tapi saya tanya mereka apa pilihan anda terhadap bentuk hiburan yang ada sekarang ini? Jangan marah saja, tapi tunjukkan alternatif supaya kita dapat menyelamatkan mereka," lapor Harakah Daily pada 12 September lalu.

Bercakap tentang hiburan alternatif, mungkin ramai pembaca masih ingat bahawa penulis telah beberapa kali dalam beberapa tahun lalu mengkritik pendirian Pas mengharamkan hiburan tanpa menyediakan alternatif. Kini Nik Aziz menggunakan hujah yang sama untuk menjawab golongan yang membantahnya dalam Pas.

Walaupun menyokong pendirian Nik Aziz berhubung konsert Mawi ini, tetapi ini bukan bererti penulis menolak pendirian Harun. Ini kerana masalah muzik dan lagu merupakan masalah khilafiah yang ulama berbeza pandangan sejak turun-temurun.

Kerana sebab khilafiah, Harun ada hak menyatakan pandangan mengenai konsert Mawi, tetapi beliau tidak boleh memaksa Nik Aziz mengikut pandangannya kerana Nik Aziz sebagai mursyid am Pas dan Menteri Besar lebih berhak untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, agak baik kita meneliti sumber-sumber hukum keras yang mungkin menjadi titik tolak Harun menjadikan hujah menolak konsert Mawi yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Sebenarnya pendirian Harun itu adalah tepat dengan hukum-hukum yang diijtihad oleh kebanyakan ulama zaman silam berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan hadis yang ditafsir dan dihurai mengikut pandangan mereka.

Sebagai contoh kita boleh mendapati pandangan paling keras datang daripada beberapa orang sahabat dan tabi'i termasuk Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin Abbas di mana mereka menganggap lagu itu tergolong daripada perkara terlarang berdasarkan al-Quran dan sunah. (Tafsir al-Qurtubi, juz 14, muka surat 51-52).

Mereka berhujah dengan ayat 6 daripada surah Lukman yang bermaksud: Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada lahwu al-hadis (percakapan-percakapan atau cerita-cerita) yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Ayat di atas sebenarnya tidak qati'ie atau muktamad kerana para ulama yang menggunakannya untuk membuktikan nyanyian itu terlarang atau haram adalah berdasarkan tafsiran dan huraian mereka kepada ungkapan `lahwu al-hadis' (cerita-cerita atau percakapan-percakapan yang melalaikan). Sedangkan para ulama lain mentafsir dan menghuraikan `lahwu al-hadis dengan pengertian yang berbeza seperti syirik (add-Dhahak) dan semua percakapan yang menyebabkan manusia menjauhi ayat-ayat Allah dan jalan-Nya (Ibnu Jarir at-Tabari).

Sesetengah ulama di kalangan sahabat dan tabi'i turut menggunakan ayat 64 daripada surah al-Isra' di bawah ini untuk membuktikan nyanyian itu haram. Ayat itu bermaksud: Dan provokasilah sesiapa yang engkau dapat memprovokasikannya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Tetapi kedudukan ayat ini juga tidak qati'ie atau muktamad.

Jika merujuk kepada hadis didapati banyak sekali hadis yang mengharamkan nyanyian. Malah hadis kategori ini lebih banyak daripada hadis kategori yang menghalalkan nyanyian. Tetapi kedudukan kedua-dua kategori hadis itu bukan tidak boleh pertikai jika dihalusi perawi dan pembawanya dan ini termasuk hadis yang mengharam atau menghalal penggunaan alat palu seperti kompang dan rebana. Penulis tidak akan membincang lebih lanjut tentang perkara ini kerana sudah banyak kali dibincangkan.

Kerana al-Quran tidak memberi hukum yang qati'ie atau muktamad mengenai nyanyian ini serta hadis pula berbeza-beza, maka tidak dapat tidak para ulama pun berbeza pandangan tentangnya.

Bagaimanapun, jika meneliti pandangan dan ijtihad ulama mazhab didapati mereka lebih cenderung kepada pendirian keras tentang nyanyian. Sebagai contoh Imam asy-Syafi'ie dalam kitab al-Umm memfatwakan bahawa nyanyian adalah makruh dan mana-mana lelaki menjadi penyanyi sehingga terkenal dan tersohor, dia tidak sah menjadi saksi, hodoh akhlak/tolol (safih) dan rendah moral (al-Umm, juz 6, muka surat 206). Manakala Imam Abu Hanifah dan ulama-ulama al-Irak lebih keras lagi kerana mereka mengharamkan langsung nyanyian (Syarh an-Nawawi `Ala Sahih Muslim, juz 6, muka surat 182).

Hujah

Berdasarkan hujah-hujah yang dijelaskan di atas menyebabkan terbentuk pendirian yang tidak bertolak ansur di kalangan ramai ulama dahulu dan sekarang ini.

Pada mereka semua hiburan termasuk yang ada kini adalah haram belaka. Harun dan ramai ulama atau golongan tua Pas terpengaruh dengan pendirian keras itu.

Pas sebelum perubahan terbaru Nik Aziz juga berpegang dengan pendirian keras ini. Dengan itu tidak hairan jika yang kelam-kabut bila Nik Aziz menyatakan jatuh hati dengan Mawi dan berhasrat untuk membawanya mengadakan konsert di Kelantan adalah orang Pas sendiri. Mereka yang terbiasa dengan hukum lama yang selalu diratib oleh para ulama Pas dalam ceramah mereka terkejut kerana belum bersedia untuk menerima hukum baru yang mesra hiburan.

Liku-liku perjuangan pihak yang ingin membawa hiburan ke dalam Pas boleh dilihat pada kenyataan Dr. Siti Mariah Mahmud, Ketua Penerangan, Dewan Muslimat Pas ini. Beliau berkata, sebelum kontroversi Mawi timbul di dalam Pas, Dewan Harian DMPP telah beberapa kali memikirkan dan bercadang untuk mengadakan konsert dari zaman Ustazah Jamilah menjadi ketua muslimat lagi.

"Saya sendiri pernah membuat saranan ketika itu, kenapa tidak DMPP mengadakan malam seni dan meminta DMP negeri-negeri menyediakan satu persembahan pada malam sebelum muktamar muslimat semasa muktamar diadakan di Terengganu kerana masa itu kita memerintah dan tentu kita boleh dapatkan dewan tertutup untuk acara kesenian muslimat.

"Saranan tersebut tidak diterima kerana risikonya sangat tinggi kepada pimpinan muslimat. Ahli-ahli Pas masih memandang sepi seni dan hiburan ketika itu. Di kalangan muslimat sendiri, ada yang mengatakan kejatuhan Ustazah Jamilah sebagai ketua DMPP, di antara sebabnya kerana semasa upacara perasmian muktamar muslimat lagu Intifadah yang rancak digunakan sebagai latar belakang persembahan multimedia sehingga dikatakan menimbulkan rasa tidak senang kalangan ulama yang bermuktamar bersebelahan dengan Dewan Muslimat," kata Dr. Siti Mariah.

Bukan sahaja hiburan tetapi mengadakan forum mengenai seni pun tidak dibenarkan juga. Dr. Mariah menjelaskan, Unit Amal Nisa' di bawah Dr. Lo'Lo' juga bercadang mengadakan wacana dan forum seni tetapi forum tersebut dinasihatkan supaya dibatalkan kerana dikhuatiri pendapat panel wacana mendahului pendapat Syura Ulama.

"Pascamuktamar tahun 2003, apabila Ustazah Kalsom menjadi ketua muslimat, saya pernah membuat kenyataan akhbar yang DMPP bercadang untuk membuat konsert muslimat. Namun ditawakufkan (dihentikan) memandangkan tiada garis panduan daripada ulama dan pimpinan muslimat tidak mahu mengundang kritikan dan tentangan daripada dewan sendiri. Tambahan pula apabila usaha Dewan Pemuda mengorak langkah mengadakan malam seni di Taman Melewar menerima pelbagai kritikan daripada ahli Pas sendiri.

"Setiap kali bila persoalan seni dan hiburan dibangkitkan, respons kita hanyalah hiburan dibolehkan Islam tetapi tidak boleh melanggar batas syarak.

"Harakah sendiri pernah menyiarkan rencana dan wawancara mengenai isu seni dan hiburan. Namun usaha mereka untuk memangkin kita untuk memberi kata putus mengenai seni dan hiburan tidak tercapai.

"Perbincangan kita senantiasa berkisar mengenai alat-alat muzik yang boleh dan tidak boleh dimainkan, sama ada wanita boleh turut berlakon di atas pentas, kalau wanita tidak boleh berlakon bolehkah orang lelaki memakai pakaian wanita dan berlakon sebagai wanita dan sebagainya. Sedangkan realiti dunia seni dan hiburan sudah jauh daripada kerangka pemikiran seperti ini," jelasnya.

Menurut Dr. Siti Mariah, tarikan seni dan hiburan begitu kuat serta begitu berakar umbi dan dengan itu Pas memerintah di Kelantan, ia terpaksa `menguruskan seni, hiburan dan kebudayaan dan dalam peringkat awal ia berusaha menghapuskan unsur-unsur syirik di dalam beberapa amalan kebudayaan seperti wayang kulit dan makyung.

Usaha ini sudah berjaya dan kini wayang kulit kembali semula tanpa unsur syirik dan yang tinggal hanya makyung. Makyung bermasalah kerana ramai pemainnya adalah wanita.

Dr. Mariah memuji tindakan Nik Aziz menjemput Mawi mengadakan konsert di Kelantan, tetapi persembahan dalam konsert itu tidak melibatkan kaum wanita.

Beliau menyoal tentang hukum pengharaman penyertaan wanita dalam persembahan hiburan kerana dianggap suara mereka aurat, apakah hukum itu akan dapat bertahan?

"Sampai bilakah hukum wanita tidak boleh memperdengarkan suara merdu akan bertahan? Dalam tahun 60-an atau 70-an saya diberitahu ada pimpinan Pas yang pernah membawa masuk kumpulan El Suraya dari tanah seberang yang masyhur dengan lagu Selimut Putih.

"Bukankah soal suara ialah soal furu' bukan dasar?

"Kalangan ulama (bukan ulama Pas) dan orang Pas sendiri nampaknya boleh menerima artis Siti Nurhaliza kerana secara relatif persembahannya lebih sopan dan kehidupannya sebagai artis ditanggapi bersih. Kalaulah lebih ramai artis boleh membawa imej seperti beliau, mungkin dunia seni dan hiburan tidak akan dipandang sebagai punca kemungkaran," soalnya dengan berani. (Harakah, 16-30 September 2005).

Beberapa orang kawan penulis menyatakan kebimbangan mereka terhadap penyertaan Pas dalam menganjur hiburan kerana mungkin akan berubah menjadi galakan tidak langsung dan sekali gus mencetus persaingan tidak sihat dalam bidang hiburan. Padahal bidang hiburan itu sendiri kini berada dalam tahap berlebih-lebihan atau melampau dan perlu dikenakan kawalan berpatutan.



Read On

Perang keganasan bermula

0 comments
Oleh ASTORA JABAT

Ramai wartawan asing meninggalkan Peshawar dalam beberapa hari yang lalu kerana menjangka perang tidak akan meletus. Malah ramai wartawan yang percaya perang akan meletus pun percaya perang kali ini mungkin berbeza. Ini kerana mereka percaya Amerika Syarikat (AS) akan menggunakan cara yang berbeza dengan cara yang telah digunakan pada masa lalu untuk menumpaskan Osama bin Laden dan Taliban.

Serangan awal AS dan sekutu ke atas Kabul, Kandahar, Jalalabad dan lain-lain adalah cara yang sama yang pernah telah digunakan untuk memerangi Osama bin Laden pada tahun 1998 yang tidak mendatang sebarang kesan. Malah cara yang sama pernah dilakukan oleh AS terhadap Iraq berkali-kali, tetapi Presiden Saddam Hussein tetap gagah seperti sebelumnya.

Sementara itu tunjuk perasaan besar-besaran meletus di Khyber Bazar di Peshawar. Beribu-ribu orang membanjiri beberapa jalan raya di kawasan bandar yang sesak dan dapat disamakan dengan Chow Kit di Malaysia dari segi kegiatan perniagaan. Semua kedai di sekitar Khyber Bazar ini ditutup. Polis dari unit pengawal sempadan mengejar para penunjuk perasaan yang bertindak ganas. Mereka menembak gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan orang ramai di sekitar Masjid Madani yang dianggap pusat Taliban atau penyokongnya di Peshawar.

Wartawan asing tidak dapat berada di tengah-tengah gerombolan para penunjuk perasaan kerana akan dipukul oleh sesetengah penunjuk perasaan yang naik minyak. Dulu jika menyebut nama Islam, kita selamat. Tetapi kerana teramat marah dengan AS, sesetengah penunjuk perasaan memukul wartawan asing tanpa mempedulikan lagi sama ada mereka Islam dan bukan Islam.

Ini berbeza sekali dengan tunjuk perasaan kelmarin dan hari-hari terdahulu di mana kami boleh berada di barisan depan dan dapat mendengar pemimpin-pemimpin pembangkang di sini berucap tanpa masalah.

Tunjuk perasaan turut meletus di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta dan seluruh Pakistan. Kediaman Presiden Jeneral Pervez Musharraf turut menjadi sasaran tunjuk perasaan.

Ketika tulisan ini dihasilkan, penulis sedang memantau dua kejadian. Pertama, tunjuk perasaan yang sedang berkecamuk di luar hotel tempat kami menginap dan kedua, persidangan sebuah parti pembangkang bukan agama, Parti Nasional Rakyat (Awami National Party atau ANP) dipengerusikan oleh pemimpinnya, Ajmal Khattak telah diadakan di dewan utama hotel.

ANP tidak menyokong Taliban, tetapi mengecam serangan AS ke atas Afghanistan.

Tunjuk perasaan di Peshawar ini dianggap terbesar berbanding dengan beberapa tunjuk perasaan yang pernah

diadakan bagi menyokong Taliban dan Osama bin Laden dan menentang AS.

Bagaimanapun, Presiden Musharraf dalam sidang akhbar sebelum tunjuk perasaan meletus pada jam pukul 10.00 pagi semalam, berkata bahawa beliau mempunyai cara untuk bertindak ke atas puak-puak pelampau dan beliau yakin mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebenarnya semua tunjuk perasaan tidak bertujuan untuk mengutuk serangan AS saja, tetapi juga untuk mengutuk dan mengancam kerajaan Presiden Musharraf.

Dengan itu sama ada pelbagai puak pembangkang di sini menyokong AS atau Taliban, mereka akan menggerakkan orang ramai mengadakan tunjuk perasaan juga.

Tunjuk perasaan malah rusuhan pun mudah berlaku di sini kerana suasana sudah tersedia untuk berlaku perkara itu. Rakyat yang miskin sangat ramai dan kadar pengangguran pun sangat tinggi. Selain itu semangat fanatik kepada puak, mazhab dan suku sering menyebabkan pembunuhan seperti yang berlaku antara Sunnah dan Syiah.

Ada satu perkara yang dijelaskan oleh Musharraf dalam sidang akhbar itu ialah beliau mengibaratkan perang terhadap keganasan seperti yang dilancarkan oleh AS dengan mengebom sasaran-sasaran strategi Taliban dan Osama sebagai berusaha untuk memotong sebuah pokok yang tidak dikehendaki saja.

Pokok itu boleh ditumbangkan, tetapi akar dan tunjang berada di dalam tanah.

Dengan kata lain perang terhadap keganasan kini hanya mampu menghapuskan al-Qaeda atau Osama atau Taliban yang dapat diibarat sebagai pokok, tetapi asal keganasan yang dapat diibaratkan sebagai akar dan tunjangnya masih kekal.

Musharraf berkata, asal atau akar dan tunjang keganasan itu ada di merata dunia dan ia boleh tumbuh kembali bila-bila masa. Yang dianggap asal atau akar dan tunjang keganasan inilah yang mesti dibasmikan, bukan saja menebang pokoknya saja.

Pandangan Musharraf ini nampaknya hampir sama dengan pandangan Menteri Pertahanan AS, Donald Rumsfeld.

Rumsfeld berkata ketika beliau mengadakan kunjungan ke Uzbekistan Jumaat, 5 Oktober lalu bahawa perang terhadap keganasan sama dengan Perang Dingin yang berakhir satu dasawarsa lalu.

Ini kerana perang terhadap keganasan kini akan berpanjangan seperti dengan Perang Dingin dulu. Mungkin ia memerlukan jangka masa 50 tahun seperti yang berlaku pada Perang Dingin. Malah mungkin ia memerlukan jangka masa yang lebih panjang.

Perang Dingin dulu tidak meletuskan banyak perang, tapi memberikan tekanan yang terus menerus terhadap komunisme.

Ketika perang itu berakhir tidak diakhiri dengan ledakan dan perang terbuka seperti kedua-dua perang dunia dulu, tetapi melalui keruntuhan sendiri dan hilang dokongan terhadap komunisme di seluruh dunia. Begitu juga akan berlaku pada perang terhadap keganasan.

Dengan itu perang terhadap keganasan tidak berhenti dengan kehilangan kuasa Taliban atau hilangnya Osama. Sebaliknya apa yang dilakukan ke atas Taliban dan Osama hanya pembuka tirai saja. - Utusan

Read On

Perang antara media bermula

0 comments

Oleh ASTORA JABAT


Tunjuk perasaan di beberapa wilayah Pakistan berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas Afghanistan berubah menjadi ganas apabila penyokong-penyokong Taliban menyerang balai polis, membakar bank, pejabat dan kereta. Wartawan asing turut menjadi sasaran mereka, terutama wartawan Barat.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan terbesar hanya yang berlaku pada hari pertama saja terutama di Quetta dan Peshawar. Secara umumnya ia hanya berlaku di kawasan sempadan yang juga merupakan daerah terbentuknya kumpulan Taliban. Kawasan-kawasan ini terkenal mempunyai majoriti penduduk Pashto yang merupakan suku yang membentuk Taliban. Mereka merupakan penduduk majoriti di kawasan-kawasan sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Pemimpin-pemimpin pergerakan agama yang sangat aktif mengadakan tunjuk perasaan menyokong Taliban adalah juga daripada suku yang sama.

Tunjuk perasaan pada hari kedua dan hari ketiga serangan berlaku secara kecil-kecilan dan ini membuktikan bahawa kerajaan Presiden Pervez Musharraf berjaya mengawal keadaan. Tunjuk perasaan dan keganasan dijangka berlaku pada hari ini (Jumaat) dan mungkin lebih hebat daripada hari pertama jika AS terus menerus menyerang Afghanistan.

Mungkin para pembaca yang mengikuti tunjuk perasaan anti-AS melalui kaca televisyen akan merasa takut melihat apa yang dilapor dan dipaparkan di sini, tetapi kami yang berada di tempat kejadian tidak merasai perkara itu.

Ini perkara biasa kerana depan televisyen yang dapat dilihat hanya yang difokuskan dalam ruangan layar lingkup yang sempit. Tetapi kami di tempat kejadian berada dalam ruang yang luas di mana ada satu dua sudut yang dianggap bahaya terjadi sesuatu kejadian, tetapi kebanyakan sudut dianggap tidak berbahaya kerana tiada sebarang kejadian.

Sebenarnya secara umum, hotel tempat penginapan kami di Peshawar terletak di di tengah-tengah tempat yang selalu diadakan tunjuk perasaan di Khyber Bazar. Jadi bila tunjuk perasaan meletus, kami tidak perlu pergi jauh, keluar pintu hotel pun sudah berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, penulis tidak begitu berani berada di dalam hotel. Malah jika berada di dalam hotel pun sentiasa berjaga-jaga kerana takut hotel dibakar pihak pelampau.

Wartawan asing terutama dari negara-negara Barat mengalami masalah besar untuk membuat laporan dari di Peshawar, Quetta dan lain-lain kawasan sempadan kerana mereka tidak dapat bergerak bebas seperti sebelum AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan Ahad lalu. Malah dulu pun pergerakan wartawan Barat agak terbatas juga kerana penduduk kawasan sempadan tidak sukakan kehadiran mereka.

Ramai penduduk sempadan menyatakan kepada penulis, Noor Azam Shairi dan Abdul Kadir Bachok bahawa mereka tidak sukakan wartawan Barat atau bukan Islam, tetapi mereka mengalu-alukan kami atau wartawan-wartawan Islam.

Bagaimanapun, ketika tunjuk perasaan sedang menjadi-jadi di Khyber Bazar, Peshawar Isnin lalu, wartawan Islam juga terkena lontaran batu seperti yang berlaku kepada seorang wartawan Indonesia yang bertugas dengan sebuah agensi berita Barat.

Di Quetta pula lebih teruk di mana wartawan asing dilarang keluar dari hotel mereka. Quetta merupakan kawasan paling bahaya berbanding Peshawar kerana ia penuh dengan pelarian dan di bandar termiskin Pakistan itulah meletusnya tunjuk perasaan yang paling dahsyat.

Semua itu menjadi antara punca yang menyebabkan laporan asing mengenai tunjuk perasaan di Pakistan ini agak lemah terutama laporan televisyen atau laporan video. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan CNN dan BBC.

Bagaimanapun, kelemahan lebih jelas dapat dilihat dalam laporan CNN dan BBC mengenai serangan AS ke atas Afghanistan di mana sehingga sekarang kedua-dua perbadanan berita besar dunia itu belum dapat menyiarkan laporan eksklusif yang boleh menaikkan imejnya. Banyak juga laporan lama diulang siarannya.

BBC yang menggunakan peruntukan jauh lebih besar daripada CNN masih kekal dengan imej lembabnya. BBC dan CNN sama-sama mempunyai wakilnya di Afghanistan, tetapi mereka berada di kawasan utara yang dikuasai oleh puak Mujahidin yang dikenali kini sebagai Perikatan Utara.

Mungkin masyarakat dunia patut bersyukur kepada televisyen Arab, al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar kerana merupakan satu-satunya televisyen yang berjaya membuat laporan dari dalam Afghanistan.

Jika CNN dipopularkan melalui Perang Teluk oleh Iraq atau Presiden Saddam Hussein pada tahun 1991 kerana stesen itu dibenarkan membuat liputan terus dari Baghdad ketika AS menyerang Iraq, maka kini Taliban atau Osama bin Laden mempopularkan al-Jazeera dari Afghanistan.

Al-Jazeera yang dipancar melalui satelit itu boleh ditonton di seluruh dunia dan ia sangat popular di dunia dan di kalangan orang Islam di Eropah dan AS. Penulis berharap stesen televisyen di Malaysia terutama TV1 dapat menyiarkan terjemahan laporan al-Jazeera. Malah Astro pun boleh menyenaraikan al-Jazeera dalam senarai televisyen yang disalurkan kepada penonton di Malaysia. Bagaimanapun, sebelum melaksanakan perkara itu Astro boleh mengkaji saiz pasaran penggunanya di kalangan orang Arab yang tinggal di Malaysia dan pengguna bahasa Arab di kalangan penduduk tempatan.

Penulis membuat cadangan ini kerana laporan al-Jazeera boleh mengimbangi laporan stesen televisyen Barat yang berat sebelah.

Kepopularan al-Jazeera kini bukan saja kerana ia hanya satu-satu televisyen yang dapat melaporkan kejadian serangan AS dari dalam Afghanistan sejak hari pertama sehingga sekarang, tetapi sebelum itu pun ia dapat menyiarkan laporan-laporan yang sangat berwibawa. Ketika semua wartawan CNN dan BBC diusir dari Afghanistan, wartawan al-Jazeera masih dapat melaporkan dari sana seperti biasa.

Kini al-Jazeera satu-satunya stesen televisyen asing yang dapat membuat laporan langsung dari Islamabad dan Kandahar. Semua stesen televisyen seluruh dunia termasuk CNN dan BBC yang hebat itu terpaksa memetik siaran laporan al-Jazeera.

Al-Jazeera membuat kejutan dua jam selepas AS melancarkan serangan Ahad lalu dengan menyiarkan rakaman video pengumuman jihad menentang AS oleh Osama bin Laden dan dua orang penolongnya.

Penyiaran rakaman video itu dianggap mencabar AS di satu pihak kerana ia membuktikan bahawa Osama bin Laden sedar bahawa AS menyerang beliau atau Afghanistan, dan di pihak lain ia juga dianggap mencabar media Barat yang menguasai laporan peristiwa dunia sebelum ini.

Osama nampaknya berbeza pendekatan daripada Presiden Saddam. Tanggapan sedemikian kerana kedua-duanya sama-sama pernah diperalatkan menjadi budak AS, tetapi Osama tidak memberi muka dan mempopularkan media Barat seperti yang dilakukan oleh Saddam terhadap CNN.

Hal itu menyebabkan AS dan media-media elektroniknya tidak puas hati dengan al-Jazeera.

AS telah pun menyampaikan rasa tidak puas hati itu kepada Emir Qatar, Syeikh Hamad al-Khalifah al-Thani ketika beliau mengadakan kunjungan ke Washington minggu lalu. Tetapi pemimpin Qatar memberi alasan bahawa negaranya yang sedang memperluaskan pengamalan demokrasi dalam semua aspek itu menyebabkan al-Jazeera dibenarkan memainkan peranan dalam membuat laporan mengikut kaca mata sendiri.

Pengerusi al-Jazeera, Sheikh Hamad Thamer al-Thani pula berkata, media elektronik Barat cemburu dengan kejayaan al-Jazeera. Oleh itu, ia membuat tuduhan bermacam-macam terhadapnya.

Al-Jazeera sejak ditubuh pada tahun 1996 banyak membuat laporan berani yang dianggap mengejutkan sesetengah negara Arab. Malah sesetengah isu yang dibincang dalam beberapa forumnya dicap sebagai kontroversi termasuk isu agama. Dengan itu tidak hairanlah jika ada pemimpin Arab tidak suka kepada al-Jazeera. - Utusan

Read On

Bila Taliban paksa wanita buka burqa

0 comments
Oleh ASTORA JABAT

Pelaksanaan hukum adat yang menghendaki seluruh tubuh wanita termasuk muka ditutup, yang sebenarnya tidak kena-mengena dengan hukum-hakam syariah, dianggap suatu perkara wajib yang tidak boleh ditolak ansur di kalangan puak Taliban. Mana-mana wanita melanggari hukum adat yang dijadikan hukum-hakam syariah itu dianggap melakukan dosa besar dan mesti dikenakan hukuman.

Dengan itu penguatkuasa amal makruf dan nahi mungkar di Afghanistan akan mengambil tindakan memukul mana-mana wanita yang membuka muka walaupun kepala dan rambut tertutup. Begitulah yang berlaku di Afghanistan di bawah pemerintah militia Taliban kini.

Penulis telah berbincang dengan beberapa penyokong Taliban yang pernah mendapat pendidikan agama secara formal di sekolah-sekolah agama Salafi yang ditubuh oleh orang Arab di Peshawar dan didapati mereka tidak bertolak ansur langsung terhadap hukum adat. Ini kerana mereka percaya, jika wanita dibenarkan mendedahkan muka, ia boleh menyebabkan berlaku kerosakan besar dalam masyarakat termasuk zina.

Penulis berada dalam keadaan tidak mengizinkan untuk berdebat dengan penyokong-penyokong Taliban kerana mungkin boleh mengundang bahaya kepada diri, tetapi kerana tidak tahan bersabar, terpaksa jugalah membaca beberapa nas daripada al-Quran dan hadis untuk membuktikan bahawa amalan memaksa wanita menutup seluruh tubuh itu tidak ada dalam Islam.

Selain itu penulis juga menyebut pandangan terbaru Dr. Yusuf al-Qardhawi yang bermaksud, walaupun tudung itu wajib bagi wanita, tetapi bukan bererti Islam mahu wanita menjadi hantu (hodoh dan jelek).

Untuk melihat wanita berpakaian menutup seluruh tubuh seperti yang dikuatkuasakan oleh Taliban, tidak perlu pun pergi ke Afghanistan, cukup saja berada di Peshawar dan lain-lain bandar sempadan Pakistan-Afghanistan.

Malah Peshawar yang menjadi tempat lahir Taliban itu hampir sama dengan bandar-bandar Afghanistan disebabkan kaum wanita tempatan Peshawar pun sebenarnya beriltizam dengan adat pakaian itu walaupun tiada penguatkuasaan peraturan keras seperti yang dilaksanakan di Afghanistan itu.

Ini kerana adat itu menjadi pegangan majoriti penduduk tempatan di Peshawar, tambahan pula mereka juga dari suku kaum yang sama dengan kebanyakan Taliban, iaitu suku Pashto atau Pathan.

Di Peshawar tidak kelihatan wanita bekerja di hotel, bank dan pejabat-pejabat kerajaan. Begitu juga tidak ada wanita yang bekerja sebagai peniaga atau pekedai.

Selama dua minggu tinggal di Peshawar penulis hanya dapat melihat seorang saja wanita yang bekerja di luar rumah, iaitu dia bertugas sebagai menjaga kedai perkhidmatan Internet.

Sebenarnya Peshawar boleh dianggap seperti bandar tanpa wanita kerana jarang kelihatan wanita yang keluar dari rumah untuk membeli-belah atau berjalan dan bersiar-siar di sekitar bandar yang berdebu itu. Jika ada wanita yang kelihatan di bandar itu pun hanya orang tua yang menjadi peminta sedekah atau anak-anak kecil.

Bagaimanapun, ketiadaan atau kekurangan penglibatan wanita dalam kerja luar rumah bukan saja menjadi fenomena khusus Peshawar, tetapi juga di Islamabad, yang merupakan bandar termoden dan termaju di Pakistan.

Perbezaannya cuma di Islamabad terdapat ramai wanita tidak menutup kepala dan tidak memakai burqa.

Penyokong-penyokong Taliban di Peshawar mendakwa wanita di Afghanistan bukanlah langsung tidak boleh bekerja secara mutlak. Sebaliknya mereka boleh bekerja di tempat-tempat kerja yang diyakini selamat dan tidak menyebabkan mereka rosak atau melakukan kejahatan.

Ahli keluarga wanita wajib memastikan perkara itu. Penguatkuasaan hukum mewajibkan wanita memakai burqa menimbulkan masalah tidak terkira kepada Taliban termasuk dari segi keselamatan. Ini kerana terdapat ramai lelaki menyamar menjadi wanita dengan memakai burqa.

Mereka yang melakukan perbuatan itu, menurut cerita sesetengah pelarian Afghan adalah tergolong daripada mereka yang sama ada mahu menyeludup barang, pesalah yang mahu melepaskan diri daripada ditangkap ataupun musuh yang mahu melaksanakan sesuatu rancangan.

Berpakaian burqa itu juga membolehkan sesetengah wanita Afghan yang tidak bermoral melakukan bermacam-macam perkara haram dan menyalahi undang-undang.

Jadi mahu tidak mahu penguat kuasa amal makruf dan nahi mungkar Taliban yang kesemuanya terdiri daripada lelaki terpaksa memeriksa juga wanita berburqa dengan menyuruh mereka melakukan perkara yang selama ini dianggap sebagai dosa besar iaitu membuka muka.

Penulis tidak pasti apakah ada fatwa dikeluarkan oleh ulama Afghanistan mengharuskan perbuatan itu, tetapi beberapa pelarian Afghan berkata perbuatan itu memang berlaku di negara asal mereka.

Malah menurut mereka, yang menuntut wanita mendedahkan muka adalah penguatkuasa amal makruf dan nahi mungkar golongan lelaki kerana tidak ada wanita yang memegang jawatan itu.

Oleh kerana ada sedikit kelonggaran itu juga, ia menyebabkan Taliban berjaya memberkas dua orang wartawan Barat yang memasuki wilayah Afghanistan secara haram dengan menyamar diri sebagai wanita Afghan.

Wartawan Barat pertama yang melakukan perkara itu ialah Yvonne Ridley dari akhbar Inggeris, The Daily Express dan wartawan Barat kedua ialah Michel Peyrard dari majalah Paris Match.

Ridley yang baru dibebaskan Selasa lalu ditahan ketika dia menyawar sebagai wanita Afghan dengan berpakaian burqa. Manakala Peyrard yang baru ditahan Rabu lalu, juga menyamar sebagai wanita Afghan dengan pakaian yang sama.

Peyrard yang dituduh sebagai pengintip, tidak bernasib seperti Ridley kerana dia akan dilayan sama seperti tahanan tentera. - Utusan

Read On