Gambaran baik umat Islam dalam Filem Kingdom of Heaven


Oleh ASTORA JABAT


SUDAH lama tidak menonton filem di pawagam. Sebenarnya sejak tahun 80-an lagi penulis kurang masuk pawagam dan tahun 90-an pula hanya sekali masuk pawagam ketika bertugas di Bangkok kerana membawa anak-anak menonton filem kegemaran mereka. Ada beberapa sebab menyebabkan penulis tidak menonton di pawagam termasuk kerana ada alternatif lain disebabkan boleh menonton filem di rumah dan tidak suka asap rokok.

Ketika remaja dulu penulis seorang kaki filem. Lebih 350 filem ditonton setahun kerana pernah menjadi budak pawagam dan ketika itu penulis menuntut di sebuah sekolah pondok yang terletak berdekatan dengan pawagam. Bagaimanapun, perbuatan itu terpaksa dihentikan apabila disedari oleh keluarga dan menerima hukuman daripada mereka.

Filem pada zaman budak-budak dulu merupakan satu-satunya medium bersifat visual yang menghubungkan penulis dengan dunia luar kerana pada ketika itu (tahun 60-an) keluarga penulis dan semua penduduk kampung belum lagi memiliki televisyen disebabkan tidak ada bekalan elektrik. Yang aneh rumah dan kampung penulis berada bersebelahan penjana elektrik yang membekal elektrik ke pekan Jabat. Penulis masih ingat ketika siaran televisyen Malaysia dapat dilihat dengan jelas dulu penduduk kampung penulis mengikuti pertandingan membaca al-Quran di setiap bulan Ramadan daripada televisyen seorang penduduk di bangunan Persatuan Islam di Masjid al-Jum'iyah, pekan Jabat.

Pagi Sabtu lepas penulis terpaksa masuk pawagam kerana menjadi ahli panel dalam program apresiasi filem Uwei Haji Shaari, Buai Laju-Laju di pawagam P. Ramlee, Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Klang, Ampang.

Memang menonton filem di pawagam amat berbeza dengan menonton filem di rumah. Selain mendapat kepuasan, ia pula mengundang nostalgia. Buat apa saja dengan nostalgia seolah-olah berada di kayangan.

Kebetulannya pada sebelah malam hari yang sama penulis tergerak untuk masuk pawagam sekali lagi menonton filem Kingdom of Heaven. Kali ini nostalgia lebih sempurna kerana berada di pawagam bersama isteri.

Filem Kingdom of Heaven adalah sebuah filem besar yang penulis mesti menonton sama seperti The Passion of Christ, Alexander The Great, The Gladiator, Puteri Gunung Ledang, Suriyo Thai dan lain-lain. Cuma pada masa lalu hanya menonton filem seperti itu di rumah sahaja.

Penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven sejak membaca berita pembikinan filem itu pada awal tahun lalu lagi. Yang menyebabkan penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven bukan saja kerana ia merupakan filem tentang Perang Salib, tetapi juga kerana pengarahnya terkenal dan ada pelakon Arab berlakon dalam filem itu seperti Ghassan Massoud dari Syria, Khalid Nabawi dari Mesir dan beberapa orang pelakon Maghribi.

Ghassan berlakon sebagai pahlawan terbilang, Salahuddin al-Ayubi dan Khalid berlakon sebagai pemuka agama yang fanatik.

Biasanya filem epik yang dibuat di Hollywood termasuk yang dibiayai dan diarah orang Arab seperti filem The Messenger dan Omar al-Mukhtar hasil karya Mustafa Akkad tidak mengambil pelakon Arab kerana dibimbangi tidak laku di pasaran dunia.

Semua itu menyebabkan penulis menganggap filem Kingdom of Heaven mesti berbeza daripada filem-filem epik buat Hollywood terdahulu. Selepas itu terbaca pula berita pengarah filem itu, Ridley Scott membuat kenyataan bahawa filemnya menampilkan peperangan yang meletus antara orang Kristian dan orang Muslim secara seimbang dan tidak mengutuk Islam dan umatnya. Tidak kurang menariknya ialah penulis skrip filem berkenaan pula Yahudi, iaitu William Monahan.

Dengan itu apa lagi yang perlu dibuat kecuali menunggulah dengan penuh kesabaran. Pada pandangan penulis, Scott dalam filem Kingdom of Heaven lebih berjaya berbanding filem The Gladiator. Penulis menganggap begitu bukan kerana filem ini didakwa sebagai membela Islam dan umatnya seperti mana pendapat sesetengah pengkritik (penulis tidak bersetuju dengan dakwaan ini dan nanti akan dijelaskan di bawah), tetapi kerana ia mempunyai mesej yang lebih kuat dan mendalam berbanding dengan The Gladiator, yang menang anugerah Oscar itu.

Aman damai

Scott menggambarkan dalam filem tersebut bahawa orang Islam, orang Kristian dan orang Yahudi boleh hidup bersama secara aman damai jika tiada angkara daripada orang politik dan orang agama yang korup. Ini mengingatkan penulis dengan pepatah Arab yang bermaksud:

``Terdapat dua jenis manusia jika mereka baik, maka baik orang ramai, iaitu pemerintah dan ulama.''

Sesetengah ulama menganggap pepatah ini sebagai hadis, tetapi sebenarnya ia bukan hadis.

Maksud pepatah ini amat relevan dengan banyak peperangan yang berlaku atas nama agama termasuk Perang Salib. Ini juga yang difahami Scott dan dengan itu antara dialog yang disediakan untuk watak utama dalam filem berkenaan, iaitu Balian Dari Ibelin, (lakonan Orlando Bloom) berbunyi: ``Aku fikir kita berperang demi Tuhan, tetapi kita berperang demi kekayaan dan tanah.''

Penulis percaya antara mesej yang mahu disampaikan oleh Scott melewati Perang Salib zaman silam.

Demikian itu Perang Salib moden yang dilancarkan oleh Presiden George W. Bush untuk membanteras keganasan melalui pelancaran perang ke atas Afghanistan dan Iraq itu mempunyai matlamat yang serupa, iaitu kepentingan ekonomi.

Orang agama yang ditonjol oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven pula adalah paderi Kristian dan ulama Islam, yang digambarkan berfikiran tertutup dan tiada apa yang diajar oleh mereka kecuali permusuhan dan perang antara agama.

Paderi mendesak orang Kristian ikut serta dalam Perang Salib untuk menubuhkan negara tuntutan Tuhan di Baitulmaqdis dan negara itu dipanggil Kingdom of Heaven walaupun terpaksa melakukan kekejaman membunuh beramai-ramai orang tidak berdosa. Mereka menganggap Perang Salib boleh menebus dosa dan siapa yang mati dalam peperangan akan mendapat habuan masuk syurga.

Ini bererti sama dengan orang Muslim yang membunuh dan berperang atas nama agama dan Tuhan.

Paderi ditonjol juga sebagai orang tidak rasional dan mudah menjatuhkan hukum terhadap orang. Oleh itu bila Balian berkata: ``Lindungilah penduduk dan bukan batu-bata yang usang ini.''

Ketika berucap untuk membangkitkan semangat orang Kristian supaya menentang tentera Salahuddin al-Ayubi, seorang paderi memekik: ``Kafir.''

Tetapi paderi itu juga menyuruh penduduk Kristian memeluk Islam bila menyedari tidak mampu lagi melawan tentera Salahuddin.

``Peluk Islam dan kemudian bertaubat,'' kata paderi berkenaan.

Tetapi di akhir filem, Scott menampilkan Salahuddin sebagai seorang pemimpin negara yang memahami peruntukan wahyu Allah berhubung tiada paksaan dalam agama. Dengan itu bila Balian mengalami kekalahan dan dia berhadapan dengan Salahuddin di luar tembok Baitulmaqdis, dia mengancam untuk memusnahkan kota suci itu dengan membakar keseluruhannya. Salahuddin mempertikaikan kewajaran tindakan yang akan dilakukan oleh Balian itu. Lalu Salahuddin melontarkan soalan yang menyebabkan Balian perlu berfikir tentang budak-budak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa jika tindakan pemusnahan itu diambil. Kemudian Salahuddin mengemukakan cadangan alternatif dengan memberitahu bahawa semua orang Kristian tidak akan dibunuh dan Balian serta para pejuang akan dibenarkan pulang ke negeri mereka di Perancis dengan selamat dan pertimbangan menyerahkan Baitulmaqdis kepada Muslim.

Cadangan itu diterima oleh Balian dan para pejuang Kristian yang terkepung itu bertepuk sorak kerana gembira. Balian dan para pejuang Kristian dapat kembali ke negeri masing-masing dengan selamat.

Jika perwatakan paderi yang digambarkan oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven boleh menimbulkan kemarahan orang Kristian, dia juga menggambarkan ulama pun dengan cara yang hampir sama dan boleh menimbulkan kemarahan orang Muslim. Cuma peranan jahat ulama tidak begitu kelihatan berbanding paderi. Bagaimanapun, apa yang penulis jelaskan ini hanya berdasarkan filem yang ditonton di pawagam dan mungkin sudah ditapis babak-babak yang melibatkan ulama itu. Jadi dengan itu tidak begitu nampak sikap negatif ulama berbanding paderi. Watak ulama dipegang oleh pelakon Mesir, Khalid Nabawi.

Sebenarnya Scott dalam filem Kingdom of Heaven mempromosi toleransi antara agama. Dia menampilkan simbol toleransi dalam filem itu secara berulang-ulang seperti babak orang Muslim yang menunaikan sembahyang di Pelabuhan Messina, Sicily, suasana orang Muslim, Kristian dan Yahudi di Baitulmaqdis, Nablus dan lain-lain, orang Kristian bercakap bahasa Arab dan mengucapkan salam kepada orang Muslim dan sebaliknya, mereka bekerja di tempat sama di pasar dan kebun dan lain-lain lagi.

Balian sendiri ketika mula tiba ke Palestin ditonjol sebagai pemerintah Nablus, wilayah ditakluk oleh bapanya seorang kastria Salib terkenal dalam sejarah, Godfrey dari Ibelin (lakonan Liam Neeson) yang meninggal dunia akibat luka dalam pertempuran sesama Kristian ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis. Di Nablus, Scott menggambarkan orang Muslim, Kristian dan Yahudi hidup bersama dalam suasana amat damai. Mereka sama-sama bekerja dalam membangunkan perkampungan mereka termasuk menyediakan sumber air. Itulah contoh Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven yang Scott menggambarkan Godfrey mahu anaknya melaksanakan utopia itu di Baitulmaqdis bila dia dilantik menjadi pemerintah kota suci nanti.

Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven merupakan akidah yang dipegang oleh orang Kristian dan Yahudi.

Ia juga dipanggil Kerajaan Allah.

Bagaimanapun, orang Kristian dan Yahudi berbeza pandangan tentang Kerajaan Langit itu. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh Nabi Isa di bumi selepas baginda turun di akhir zaman nanti. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh baginda di langit dan akidah ini turut dipegang oleh beberapa puak Yahudi ortodoks hari ini dan ini termasuk puak Natutei Karta yang menolak negara Israel sekarang kerana mereka menganggap bercanggah dengan akidah Yahudi. Ada yang menganggap Kerajaan Langit hanya boleh ditegak dalam hati setiap orang beriman di kalangan orang Kristian dan Yahudi. Selain itu ada pula yang menganggap perlu ditegakkan Kerajaan Langit itu di bumi dan itulah yang dilakukan oleh Yahudi berideologi Zionisme di Israel kini.

Manakala Scott dalam filemnya menganggap Kerajaan Langit itu sepertilah Nablus yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama dan hidup aman damai itu.

Tetapi disebabkan wujud orang-orang yang berfikiran tertutup di kalangan pemerintah dan pemuka agama Kristian menyebabkan berlaku perang agama dan seterusnya Kerajaan Langit tidak dapat ditubuhkan di Baitulmaqdis.

Ada persamaan antara pandangan Scott ini dengan pandangan pemimpin Palestin dan pemimpin Yahudi yang berfikiran terbuka mahukan suasana aman damai antara pelbagai agama tertegak di Palestin secara am dan Baitulmaqdis secara khasnya. Yasser Afarat pada akhir hidupnya pun berfikiran begitu dan ini termasuk menjadikan Baitulmaqdis ibu kota ketiga-tiga agama.

Secara keseluruhannya filem Kingdom of Heaven adalah filem yang seimbang dan tidak berpihak kepada Kristian dan tidak berpihak kepada Islam walaupun ada watak-watak Kristian dan watak-watak Muslim digambarkan sangat baik dan tidak kejam seperti kita baca daripada sejarah.

Bagaimanapun, disebabkan pada abad pertengahan itu orang Muslim dianggap maju dan orang Kristian di Eropah dianggap mundur menyebabkan Scott menggambarkan dari sudut pandangan itu. Justeru itu secara nisbinya kelihatan para pejuang Kristian lebih kejam dan jahat. Di sebaliknya para pejuang Muslim. Inilah yang dikritik oleh para pengkritik filem Barat kini.

Tetapi dari segi pakaian, para pejuang Kristian kelihatan lebih hebat daripada para pejuang Muslim seolah-olah mereka lebih maju.

Penulis meninggalkan analisis ringkas tentang Kingdom of Heaven setakat ini dan insya-Allah minggu hadapan penulis akan membincangkan mengenai mesej agama dalam filem Uwei, Buai Laju-Laju.


Mingguan Malaysia, 15/5/2005

0 comments:

Post a Comment