Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa...

0 comments Saturday, June 26, 2010
Oleh Astora Jabat

Hanya dua jalan keluar sahaja yang disering digunakan untuk masalah anak zina di Malaysia. Pertama, menjadikan seseorang anak zina itu berbin/binti Abdullah dan mana-mana nama Allah yang dipanggil al-Asma'u al-Husna. Jalan keluar yang pertama ini dianggap sah dari segi hukum agama walaupun bukan dianggap terbaik. Kedua, mencampak atau membuangkan anak zina di tepi jalan, dalam longkang dan tong sampah. Jalan keluar kedua ini pula dianggap haram dan tidak sah dari hukum agama.

Beberapa jalan keluar lain yang juga dianggap sah dari segi hukum agama dan mungkin dianggap lebih baik daripada mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana nama Allah al-Husna yang lain, tetapi ia tidak digunakan oleh orang Islam di Malaysia. Demikian itu kerana orang Malaysia lebih suka berpegang dengan hukum fikah yang bersifat satu pandangan dan satu mazhab. Mereka tidak mahu terbuka kepada pandangan-pandangan dan mazhab-mazhab yang lain.

Dua daripada jalan keluar itu akan dibincang secara terperinci di bawah ini.

Berdasar kepada perangkaan tahun 2001, Malaysia mempunyai 53,309 anak zina atau anak tidak sah taraf. Jumlah itu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 1999 hingga tahun 2001. Ia bukan angka kecil yang boleh dipandang remeh. Penulis tidak mempunyai perangkaan mutakhir, tetapi sudah tentu ramai juga yang didaftar sepanjang tahun lalu dan sehingga empat bulan pertama tahun ini.

Mungkin ramai juga anak zina tidak didaftar dengan JPN. Begitu juga jumlah anak zina yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, tepi masjid, di dalam longkang, tong sampah dan lain-lain.

Apakah semua yang dianggap anak zina itu benar-benar anak zina? Mungkin ada di antara ribuan anak zina yang didaftar atau tidak didaftar dengan JPN atau yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, di tepi masjid, dalam longkang dan tong sampah itu sebenarnya bukan anak zina atau boleh dipulih taraf menjadi anak yang sah dari segi hukum syarak. Tetapi mereka yang terlanjur tidak mengetahui perkara itu dan mengambil tindakan yang tidak tepat dengan memangsakan anak mereka.

Sebagai contoh seorang gadis hamil kerana terlanjur dengan tunangnya. Pasangan ini pula tidak mengambil tindakan yang tepat untuk menyelesaikan dilema yang dihadapi. Sepatutnya si gadis yang hamil itu dan tunangnya terus melangsungkan perkahwinan. Tetapi kerana mereka kurang pengetahuan tentang hukum agama serta malu atau takut kepada keluarga, maka mereka membiarkan masalah yang boleh diatasi (hamil) dengan mudah itu menjadi masalah besar (kelahiran anak zina) yang sukar diatasi. Padahal Islam mempunyai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah anak yang terhasil daripada perbuatan zina menjadi anak yang sah taraf dari segi hukum syarak.

Salah satu jalan keluar yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ialah lelaki dan wanita yang terlanjur mesti berkahwin secepat mungkin dan anak yang lahir melebihi tempoh enam bulan dalam kandungan selepas mereka berdua berkahwin adalah anak yang sah taraf dari segi hukum syarak. Anak mereka berdua itu bukan lagi anak zina walaupun terhasil daripada perbuatan zina mereka.

Apakah orang-orang yang telah terlanjur mengetahui ada jalan keluar seperti ini?

Penulis membentangkan di sini salah satu lagi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah orang yang terlanjur itu dan sekali gus dapat menyelamatkan ramai anak zina. Untuk membentangkan jalan keluar yang luas ini, penulis merujuk kepada fatwa ulama pembangkang Mesir terkenal, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan beberapa kitab ulama zaman silam di mana penulis menyebut nama kitab-kitab berkenaan serta nombor juz dan nombor muka suratnya supaya mudah dirujuk oleh sesiapa saja yang ingin mendapat ilmu secara lebih terperinci.

Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, anak zina boleh dibin kepada bapanya dan dia dianggap anak yang sah dan mendapat segala hak yang ditetapkan oleh hukum syarak jika bapanya berkahwin dengan ibunya. Beliau tidak menganggap anak perlu berada dalam kandungan ibu yang terlanjur selama melebihi enam bulan sebelum dia diijabkabulkan dengan pasangannya seperti kata ulama-ulama lain.

Fatwa yang agak janggal di Malaysia ini bukan sama sekali fatwa baru yang diijtihad oleh Dr. Al-Qaradawi, tetapi ia merupakan fatwa lama yang merujuk kepada Rasulullah s.a.w., beberapa orang sahabat, tabii dan ulama terdahulu (salaf) dan terkemudian (khalaf).

Bagaimanapun, fatwa ini tidak diguna pakai langsung di Malaysia. Sebaliknya yang diguna pakai ialah fatwa yang memperuntukkan bahawa anak yang lahir dari ibu yang hamil melebihi tempoh enam bulan setelah dia diijabkabulkan dengan lelaki yang terlanjur dengannya adalah anak sah taraf.

Dalam erti kata lain jika seorang wanita terlanjur dengan seorang lelaki dan hamil tiga bulan atau lebih tiga bulan, kemudian dia diijabkabulkan dengan lelaki itu, maka anak yang dilahirkan dianggap anak mereka yang sah dari segi hukum syarak.

Namun begitu terdapat cerdik pandai agama kita yang tidak menerima fatwa yang membolehkan anak yang lahir daripada ibu yang hamil melebihi enam bulan itu sebagai anak yang sah. Sebaliknya mereka berkata, anak hasil perbuatan zina antara lelaki dan wanita itu tetap dianggap anak zina walaupun mereka berkahwin secara sah tiga bulan selepas mereka terlanjur.

Perkahwinan

Secara harfiah Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, penzina lelaki dan penzina wanita jika mereka berdua bertaubat kepada Allah dan menghendaki keluar daripada haram kepada halal, keluar daripada kehidupan yang kotor kepada kehidupan yang bersih dan mahu mengubah kehidupan mereka berdua daripada zina yang diharamkan untuk hidup dalam kehalalan, maka perkahwinan mereka berdua dianggap sah (oleh ulama) secara ijmak (konsensus). Kebanyakan (jumhur) ulama fikah tidak menjadikan taubat sebagai syarat kesahan berkahwin dengan penzina wanita seperti diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab di mana dia telah memukul (iaitu mengenakan hukum sebat ke atas) seorang lelaki dan seorang wanita dalam kes zina dan dia (Umar) mengambil berat untuk mengumpul (mengahwinkan) mereka berdua.

Cuma ulama mazhab Hanbali sahaja yang meletakkan syarat bertaubat dan mereka berhujah dengan firman Allah: (an-Nur: 3) Lelaki yang berzina tidak berkahwin kecuali wanita yang berzina atau wanita yang musyrik; dan wanita yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik; dan yang demikian itu diharam ke atas orang-orang yang beriman.

Mengenai tindakan mengebin atau menasabkan anak zina, Dr. al-Qaradawi berkata, beberapa orang fuqaha Salaf seperti `Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahawaih dan lain-lain mengharuskan istilhaq (menggabung/mengebin/menasabkan) anak zina kepada lelaki yang mendakwanya jika wanita (yang berzina dengan lelaki itu) bukan isteri orang kerana belum pernah berkahwin atau telah diceraikan atau seorang janda.

Dr. Al-Qaradawi mengutip pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Al-Qaiyyim untuk berhujah tentang perkara itu. Beliau berkata, Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Al-Qaiyyim mentarjih (mengutama dan menguatkan) pandangan tersebut. Ibn Al-Qaiyyim selepas menyebut hadis: Anak adalah bagi katil dan bagi lelaki pelacur adalah hajar. Yang dimaksudkan dalam hadis anak adalah bagi katil ialah mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba wanita yang dimiliki.

Manakala yang dimaksudkan dalam hadis: Bagi lelaki pelacur adalah hajar ialah bagi lelaki yang mengadakan hubungan seks secara haram adalah batu, iaitu kena rejam dengan batu atau tidak dapat apa-apa termasuk anak seolah-olah dia hanya dapat biji-biji batu dan pasir yang tidak berharga. Lihat Syarh an-Nawawi Ala Sahih Muslim, juz 10, muka surat 37.

Ibn Al-Qaiyyim berkata, menurut Dr. Al-Qaradawi jika dikatakan hadis itu menjadi dalil hukum mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak pemilik katil (iaitu suami), maka apa pula akan dikatakan jika penzina mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak yang bukan katil?

Terdapat orang yang menentang, apakah disambungkan anak zina itu dengan nasab lelaki dan disabitkan hukum nasab ke atasnya? Katanya masalah ini merupakan masalah yang jelas di mana ulama berbeza pandangan tentangnya. Ishaq bin Rahawaih menganggap anak kelahiran dari perbuatan zina jika tidak dilahir atas katil yang didakwa dimiliki oleh seseorang dan penzina mendakwa anak itu adalah anaknya, disambungkan anak zina itu kepadanya. Ishaq bin Rahawaih mentakwilkan sabda Nabi s.a.w.: Anak adalah bagi katil, yang digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan antara penzina dengan pemilik katil. Itulah mazhab Al-Hasan Al-Basri yang meriwayatkan daripadanya Ishaq bin Rahawaih dengan sanadnya mengenai seorang lelaki berzina dengan seorang wanita dan wanita itu melahirkan seorang anak lelaki, maka lelaki itu mendakwa anaknya.

Al-Hasan Al-Basri berkata: ``Lelaki disebat dan anak dipertanggungjawab kepadanya.'' Ia juga mazhab `Urwah bin Az-Zubeir dan Sulaiman bin Yasar yang diriwayat mereka berkata: ``Mana-mana lelaki datang kepada budak dan mendakwa ia merupakan anak dan dia berzina dengan emaknya dan tidak mendakwa budak itu ke atas sesiapa, ia (budak) adalah anaknya.

Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menggabungkan anak-anak orang jahiliah dengan mereka yang mendakwa sebagai anak mereka dalam Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas.

Untuk menyokong fatwa Dr. Al-Qaradawi itu penulis merujuk kepada pandangan Imam Asy-SyafiI dalam kitab al-Umm (al-Umm, juz 6, muka surat 197) di mana beliau berkata, Rasulullah s.a.w. menghukum dengan katil (iaitu mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba yang dimiliki) Jika lelaki mengaku bersetubuh dengan emaknya, anak itu digabung (dibin dan dinasabkan) dengannya kecuali jika dia mendakwa istibra wanita itu selepas bersetubuh dengannya dan kemudian dia tidak mendekatinya. Maksud istibra ialah tidak bersetubuh dengan isteri selepas datang haid.

Pandangan yang serupa diungkap oleh Ibn Qudamah di mana beliau menulis dalam kitab al-Mughni (al-Mughni, juz 6, muka surat 228) dengan berkata, anak zina tidak boleh digabung kepada penzina menurut pandangan kebanyakan ulama. Tetapi Hasan, Ibn Sirin menganggap boleh digabung kepada penzina jika didirikan ke atasnya hukuman hudud dan anaknya itu boleh mewarisinya pula.

Ibrahim pula berkata digabungkan anak zina dengan penzina jika dia dikenakan hukuman sebat. Ishak juga berkata digabung anak zina dengan penzina. Begitu juga diriwayat daripada `Urwah dan Sulaiman bin Yasar.

Ibn Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid, juz 2, muka surat 268 pula menulis kebanyakan ulama bersepakat bahawa anak zina tidak digabung dengan bapanya kecuali yang berlaku pada zaman jahiliah seperti diriwayat daripada Umar bin Al-Khattab, tetapi para sahabat yang berbeza pandangan tentang perkara itu. Manakala segelintir menganggap anak zina digabung dengan bapanya juga pada zaman Islam.

Ulama dalam mazhab Hanafi juga menganggap jika tidak orang lain mendakwa anak itu anaknya, maka dia adalah milik pendakwa itu. Tetapi jika ada orang lain mendakwa seperti pendakwa pertama, maka pemilik katil diberi keutamaannya (at-Turuq al-Hukmiah, muka surat 324)

Fatwa Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Dr. Al-Qaradawi terdapat dalam Kutub Wa Rasa-il Wa Fatawa Ibn Taimiah, juz 32, muka surat 137-139. Rujukan-rujukan tambahan lain boleh dilihat dalam kata-kata Imam asy-SyafiI dalam al-Umm, juz 6. muka surat 254, huraian panjang lebar dalam Fathul Bari, juz 12 muka surat 35-37 dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayat oleh Al-Bukhari, hadis no. 1912, 2348, 2040, 3964, 6252 dan 6646, an-Nasaa'i hadis no. 3433, Muwatta' Imam Malik hadis no. 1224 dan ad-Darimi hadis no. 2139.

Fatwa Dr. Al-Qaradawi di atas boleh didapati di Islamonline.net di alamat: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=76246)

Rencana ini salah satu daripada enam rencana mengenai status anak zina dalam fokus yang disiar dalam majalah Al Islam keluaran Jun yang akan berada dalam pasaran pada 16 Mei ini.
Read On

Sembahyang Jumaat berimam wanita di AS

0 comments Friday, June 25, 2010

Oleh ASTORA JABAT

Yang menjadi masalah bukan saja kerana wujud ulama sejak beratus dan beribu tahun lalu lebih ghairah untuk menonjolkan ajaran al-Quran dari sudut hukum dan kebanyakan hukum yang mereka tonjol pula merupakan hukum tidak boleh dan haram
belaka, tetapi kaum wanita juga turut menjadi mangsa perbuatan mereka.

Ini kerana banyak sekali hukum yang membelenggu wanita didakwa sebagai hukum Islam dan syariah, tetapi sebenarnya tidak kena-mengena dengan Islam dan syariah. Sebaliknya ia merupakan hukum ijtihad ulama kerana ia tidak diperuntukkan dalam al-Quran dan hadis secara muktamad.

Sekadar menjadi contoh disebut di sini bahawa majoriti ulama memfatwakan wanita
tidak boleh menjadikan pemimpin. Dalam istilah fikah pemimpin disebut sebagai
imam (al-imam). Maksud pemimpin atau imam ini pula boleh dibahagikan kepada dua,
pertama, pemimpin atau imam dalam maksud yang sempit iaitu pemimpin negara; dan
kedua, pemimpin atau imam yang maksud yang luas mencakupi semua tugas kepimpinan
termasuk pemimpin atau imam sembahyang. Nas yang digunakan untuk mengharamkan
wanita menjadi pemimpin atau imam itu ialah hadis yang bermaksud:

Tidak sama sekali akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada
wanita (wanita menjadi pemimpin mereka). Hadis ini diriwayat oleh al-Bukhari,
at-Tirmizi, al-Hakim dan lain-lain. Larangan wanita menjadi pemimpin ini didakwa
merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulama.

Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata, ulama telah bersepakat secara ijmak
(konsensus) bahawa tidak harus bagi wanita menjadi pemimpin (Tafsir al-Qurtubi
juz 1, muka surat 270). Manakala Abu Bakar bin al-Arabi pula berkata yang
dimaksudkan pemimpin itu khalifah, iaitu pemimpin tertinggi negara (Tafsir
al-Qurtubu juz 13, muka surat 185). Bagaimanapun, ramai ulama meluaskan lagi
maksud hadis di atas dan ada di kalangan mereka yang menghukum wanita tidak
boleh menjadi apa jua pemimpin.

Sebenarnya hadis di atas tidak boleh dijadikan hujah muktamad bahawa semua
wanita tidak boleh menjadi pemimpin, sama ada pemimpin negara mahupun pemimpin
dalam bidang-bidang lain.

Ini kerana apa yang dijelas oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis itu ada
konteksnya, iaitu ia merupakan penjelasan mengenai pendirian baginda tentang
anak puteri raja Parsi yang masih muda tidak layak menjadi pemimpin mengganti
ayahandanya yang telah mangkat. Ini bermaksud baginda tidak sama sekali melarang
semua wanita menjadi pemimpin. Dalam al-Quran sendiri terdapat surah Saba dan
banyak ayat al-Quran lain yang menceritakan tentang wanita yang menjadi pemimpin
negara, iaitu Ratu Balqis yang memerintah negeri Saba (Sheba). Puteri Balqis
yang dulunya bukan orang beriman, tetapi kemudian dia menjadi orang beriman dan
pengikut ajaran Nabi Sulaiman. Tidakkah ini merupakan bukti yang jelas daripada
al-Quran bahawa ada wanita menjadi pemimpin negara?

Dalam sejarah Islam pula terdapat beberapa pemerintah negara yang merupakan
wanita seperti Syajaratud Dur yang menjadi sultanah Mesir pada kurun ke-13,
Radhiah ad-Din yang menjadi sultanah Delhi, India selama empat tahun antara
tahun 1236-1240 dan Raja Hijau, Raja Hibu, Raja Ungu dan Raja Kuning yang
memerintah Pattani di selatan Thailand.

Perlu diterangkan bahawa Sultanah Syajaratud Dur walaupun sangat hebat kerana
berjaya menghalau tentera Salib dari Mesir, tetapi dia terpaksa melepaskan kuasa
selepas memerintah tidak begitu lama kerana ditekan oleh ulama yang memfatwakan
bahawa kaum wanita tidak boleh atau haram memerintah negara. Selain itu
penyelewengan yang berleluasa dalam kerajaan juga turut menjadi faktor
menyebabkan Sultanah Syajaratud Dur ditentang oleh rakyat dan memaksanya
meninggalkan takhta.

Pada zaman ini larangan wanita menjadi pemimpin yang difatwa oleh kebanyakan
ulama sejak beratus dan beribu tahun lalu masih mempengaruhi orang Muslim
walaupun realiti membuktikan bahawa fatwa itu tidak lagi relevan atau tidak lagi
diikuti. Ini kerana kaum wanita sudah pun menjadi pemimpin negara dan menteri.
Malah hak politik wanita nampaknya tidak mampu lagi disekat oleh fatwa-fatwa
ulama. Ambil contoh perubahan Pas membenarkan wanita menjadi calon pilihan raya.
Padahal beberapa tahun lalu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap tidak harus wanita
melakukan perkara itu.

Perubahan yang sama berlaku di sebuah negara Arab yang paling keras mengamal
ajaran agama serta ulama-ulamanya terkenal suka membuat fatwa yang dianggap
benar-benar menindas wanita seperti mengharamkan mereka memandu kereta, tetapi
negara itu telah diadakan pilihan raya majlis perbandaran yang terbatas. Wanita
belum lagi dibenarkan ikut serta dalam pilihan raya pertama negara itu, tetapi
kehadiran mereka di sebalik tabir adalah jelas. Para pemerhati politik berkata
reformasi politik yang sedang dilaksanakan di negara berkenaan akan membolehkan
wanita ikut serta dalam politik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kaum wanita pada zaman ini nampaknya bukan saja menuntut hak dalam
politik, tetapi mereka juga menuntut hak dalam bidang-bidang lain termasuk dalam
bidang agama. Jika dalam politik sudah ada ulama-ulama yang terbuka dan
membenarkan wanita ikut serta, tetapi mereka mengambil pendirian menentang atau
sekurang-kurangnya tidak menyokong kaum wanita terlibat dalam agama sehingga
sampai ke peringkat peneraju dan pemimpin. Wanita pada pandangan ulama-ulama
hanya patut duduk di belakang sahaja.

Menuntut hak

Mereka tidak dipanggil ulama walaupun mempunyai gelaran doktor falsafah dan
berilmu tinggi dalam bidang agama. Contoh terbaru wanita menuntut hak untuk
menjadi peneraju dan pemimpin dalam agama ialah tindakan seorang sarjana
Muslimah Amerika berasal dari Afrika, Dr. Amina Wadud menjadi imam sembahyang
Jumaat yang turut dihadiri kaum lelaki di Manhattan, New York Jumaat lalu.

Dr. Amina Wadud dan para penyokongnya yang terdiri daripada golongan pejuang hak
wanita itu menganggap kaum wanita juga perlu mempunyai hak yang saksama dalam
mengamal ajaran agama seperti kaum lelaki termasuk menjadi imam sembahyang
Jumaat dan sembahyang-sembahyang yang lain.

Lebih 100 orang lelaki dan wanita menghadiri sembahyang Jumaat yang julung kali
dipimpin oleh seorang imam wanita pada zaman moden ini. Sembahyang Jumaat itu
diadakan di sebuah dewan dipanggil Synod House di gereja St. John the Divine di
Manhattan. Menurut rancangan awal sembahyang Jumaat berimamkan Amina Wadud itu
akan diadakan di masjid, tetapi pihak penganjur tidak berjaya mendapatkan
mana-mana rumah Allah untuk melangsungkan ritual wajib mingguan itu.

Lalu mereka memilih The Sundaram Tagore Gallery. Bagaimanapun, disebabkan ada
pihak mengancam mahu meletupkan The Sundaram Tagore Gallery jika sembahyang
jemaah pimpinan wanita diadakan di situ, maka dipindah ke dewan gereja
berkenaan. Kerana takutkan ancaman bom itu, maka sembahyang Jumaat pada hari itu
terpaksa diadakan secara senyap-senyap dan dihadiri oleh para penyokong saja.

Reaksi ulama terhadap sembahyang Jumaat yang paling kontroversi itu ialah Syeikh
al-Azhar Dr. Mohammed Sayed Tantawi berkata, harus wanita menjadi imam
sembahyang, tetapi bukan sembahyang yang disertai lelaki. Maksud wanita harus
menjadi imam kaum wanita sahaja.

Boleh dihalusi pandangan Dr. Tantawi dalam bahasa Arab di sambungan ini:

http://abcnews.go.com/US/wireStory?id=593622

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menganggap tidak harus wanita menjadi imam sembahyang
yang disertai lelaki kerana beliau berpendapat ulama telah bersepakat dengan
yakin bahawa mengatakan wanita tidak boleh melakukan perkara itu.

Hujah yang dipegang Dr. al-Qaradawi dalam melarang wanita menjadi imam
sembahyang lelaki bukan nas yang muktamad daripada al-Quran, tetapi ijtihad
ulama yang tidak muktamad.

Pandangan Dr. al-Qaradawi dalam bahasa Arab dan Inggeris boleh dihalusi di dua
sambungan ini:

1-

http://www.islamonline.net/fatwaapplication/arabic/display.asp?hFatwaID=122680

2-

http://www.islamonline.net/fatwaapplication/english/display.asp?hFatwaID=122751

Bagaimanapun, hanya Mufti Mesir Dr. Ali Gomaa agak berbeza dengan Dr. Tantawi
dan Dr. al-Qaradawi kerana menganggap wanita boleh menjadi imam lelaki jika
masyarakat menerima amalan seperti itu. Dr. Gomaa berkata, kerana ulama berbeza
pandangan mengenai wanita menjadi imam sembayang kaum lelaki, maka harus bagi
Amina Wadud menjadi imam sembahyang Jumaat yang turut dihadiri kaum lelaki pada
18 Mac lalu. Beliau berkata begitu dalam wawancara dengan televisyen Mesir
Selasa lalu. Beliau mengakui bahawa jumhur (majoriti) ulama menganggap wanita
tidak boleh menjadi imam sembahyang lelaki, tetapi sesetengah ulama lain seperti
Imam at-Tabari dan Imam Ibn Arabi menganggap wanita boleh menjadi imam
sembahyang lelaki.

Perkara khilafiah seperti itu terserah kepada orang yang berpegang dengan
perkara itu. Jika mereka menerima wanita menjadi imam (sembahyang) mereka, itu
adalah urusan mereka dan tidak menjadi masalah selagi mana tidak keluar daripada
pandangan-pandangan terkenal itu. Sebaliknya jika mereka menolak (wanita menjadi
imam sembahyang lelaki), itu adalah urusan mereka juga dan ini samalah seperti
kebanyakan negara Islam termasuk Mesir yang dipercayai tidak mungkin berlaku
perkara itu kerana bertentangan dengan yang ada dalam pemikiran dan adat
masyarakat yang telah sebati dengan mereka. Untuk menghalusi pandangan Dr. Gomaa
boleh layari sambungan ini:

http://www.alarabiya.net/Article.aspx?v=11294

Perbezaan pandangan antara Dr. Gomaa dengan Dr. Tantawi dan Dr. al-Qaradawi ini
adalah perkara biasa dan selalu terjadi dalam perkara-perkara yang tidak disebut
dalam al-Quran dan hadis secara muktamad atau disebutnya secara umum. Perkara
yang sama boleh berlaku bila berhujah dengan hadis yang tidak kuat atau
bercanggah antara satu sama lain. Bila berhadapan dengan suasana semacam ini
tiada yang dapat dilakukan oleh ulama kecuali berijtihad mengikut fahaman
masing-masing dan dari sinilah munculnya perbezaan pandangan dan fatwa. Apa yang
diperlu dilakukan orang Muslim bila berhadapan dengan pandangan dan fatwa
seperti ini kecuali mengambil yang dianggap paling sah dan paling baik. Malah
boleh juga mengambil yang paling sesuai dan paling mudah kerana Rasulullah
membenarkan berbuat demikian.

Begitu juga yang perlu diambil oleh orang Muslim berhubung kes Dr. Amina Wadud
mengimamkan sembahyang Jumaat dua hari lepas.

Sebenarnya perbezaan pandangan mengenai wanita menjadi imam sembahyang lelaki
pernah diperkatakan juga oleh para ulama sejak beratus dan beribu tahun dulu
sebagai tercatat dalam kitab tafsir, hadis dan fikah. Sebagai contoh Ibn Arabi
dalam kitab al-Futuhaat al-Makkiah muka surat 535 berkata, ada ulama yang
mengharuskan wanita menjadi imam kaum lelaki dan kaum wanita secara mutlak.
Begitu juga saya menganggapnya. Ada pula ulama yang melarang wanita menjadi imam
(kaum lelaki dan kaum perempuan) secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang
mengharuskan wanita menjadi imam kaum wanita tanpa kaum lelaki. Demikian itu
kerana mengambil iktibar daripada pengakuan Rasulullah tentang kesempurnaan
sesetengah wanita seperti mana pengakuan baginda terhadap kesempurnaan
sesetengah lelaki walaupun kaum lelaki lebih sempurna daripada wanita seperti
dalam kenabian (an-nubuwah).

Yang dimaksudkan lelaki lebih sempurna daripada perempuan menurut pandangan Ibn
Arabi ialah dalam nubuwah. Namun begitu dia menganggap walaupun wujud kelebihan
itu tidak boleh menyekat wanita menjadi imam sembahyang lelaki. Dalam kitab
Subus Salam dalam juz 2 muka surat 29 as-Sanaani menyebut bahawa al-Muzni dan
Abu Thaur mengharuskan wanita menjadi imam (lelaki). Dia juga menyebut bahawa
At-Tabari mengharuskan wanita jadi imam sembahyang tarawih jika orang (imam)
yang hafaz al-Quran tidak hadir (ketika dia dalam sembahyang tarawih itu) .

Kebenaran

Hujah yang digunakan oleh ulama-ulama yang mengharuskan wanita menjadi imam
sembahyang lelaki ialah kebenaran yang diberi oleh Rasulullah kepada Umm Warqah
menjadi imam ahli keluarga yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Hadis Umm
Waraqah itu disebut dalam banyak kitab termasuk Sahih Ibn Khuzaimah dan Aunul
Mabuud. Dalam kitab Sahih Ibn Khuzaimah disebut dalam juz 3, muka surat 89
bahawa:

Diberitahu kepada kami Abu Tahir, Abu Bakar, Nasr bin Ali. Abdullah bin Daud
daripada al-Walid bin Jami daripada Laila binti Malik daripada bapanya dan
daripada Abdul Rahmana bin Khalad daripada Umm Waraqah, kemudian Rasulullah
bersabda: Mari kita pergi melawat Syahidah (Umm Waraqah). Baginda membenarkan
(seorang lelaki tua) melaungkan azan dan dia (Umm Wraqah) mengimamkan ahli
keluarganya dalam sembahyang fardu. Dia juga merupakan pengumpul al-Quran.

Pengarang Aunul Mabuu dalam juz 2 muka surat 212 berkata, yang disebut dalam
kitab as-Subul (Subus Salam) serta hadis (Umm Waraqah) itu adalah menjadi dalil
kesahihan wanita menjadi imam ahli keluarga walaupun ada lelaki di kalangan yang
menjadi makmumnya. Dia mempunyai seorang tukang azan yang merupakan seorang
lelaki tua sebagai disebut dalam riwayat itu.

Nampaknya dia menjadi imam kepada hamba-hambanya yang lelaki dan wanita. Turut
menganggap sah melakukan perkara itu Abu Thaur, al-Muzni dan at-Tabari kecuali
jumhur ulama. Kesimpulannya tidak ada nas yang muktamad daripada al-Quran dan
hadis yang melarang wanita menjadi imam lelaki. Bagaimanapun, tindakan Dr. Amina
Wadud menjadi imam Jumaat lalu mesti dipandang serong oleh ramai orang termasuk
para ulama bukan kerana tidak ada sandaran agama, tetapi kerana sandaran agama
itu tidak ambil kira disebabkan kebiasaan dan adat turun-temurun yang menguasai kita.
Read On

MAWI: Nik Aziz betul, Harun Taib tidak salah

0 comments
Oleh Astora Jabat

WALAUPUN ada kritikan daripada UMNO berhubung tindakan Pas menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3) untuk mengadakan konsert di Kota Bharu pada 30 September ini, tetapi kritikan lebih hebat datang daripada parti berlabel Islam itu sendiri. Bukan setakat mengkritik, tetapi sampai membantah seperti dilakukan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (Utusan Malaysia 15 September).

Harun membantah kerana menganggap Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya dia adalah hasil produk sebuah rancangan realiti televisyen yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.

"Kita mahu penyanyi hiburan alternatif yang solid Islam dan bukannya yang lahir daripada rancangan yang jelas tidak berlandaskan Islam.

"Dewan Ulama tiada halangan sekiranya kerajaan Pas Kelantan menjemput penyanyi yang benar-benar memperjuangkan hiburan Islam sebenar untuk membuat pertunjukan di negeri itu," katanya.

Dewan Ulama merupakan badan tertinggi Pas dan dalam kes konsert Mawi ini, badan tertinggi itu tidak dirujuk untuk mendapat pandangan.

"Dewan Ulama tidak pernah diberitahu mengenai hasrat kerajaan Kelantan untuk menjemput Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.

"Kita hanya mengetahui bahawa kerajaan Kelantan hendak membawa Mawi membuat persembahan, melalui laporan akhbar sahaja," jelas Harun.

Dengan itu beliau menganggap tindakan menjemput Mawi membuat konsert di Kota Bharu itu tidak kena-mengena dengan Pas, tetapi ia urusan kerajaan Kelantan semata-mata.

"Perkara menjemput Mawi ke Kelantan bukan urusan Pas tetapi ia adalah urusan kerajaan Kelantan. Selama ini pun tiada perbincangan dengan parti dan tiada kelulusan mengenainya dibuat," ujarnya.

Mungkin bantahan Harun ini boleh dianggap sebagai mewakili suara golongan ulama atau golongan tua dalam Pas yang tidak bersetuju dengan golongan sekular atau golongan muda yang berada di sebalik perubahan pendirian Nik Aziz terhadap hiburan itu. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada di kalangan golongan ulama atau golongan tua Pas yang keluar memberi pandangan mengenai konsert Mawi itu kecuali Harun.

Akhbar rasmi Pas pada 16 September lalu mendakwa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bersetuju dengan konsert Mawi itu dalam beberapa siri ceramahnya.

Didakwa oleh sesetengah pihak golongan sekular atau golongan muda Pas itu pula kebanyakan mereka merupakan orang JIM (Jamaah Islah Malaysia). Mereka dianggap orang yang paling dekat dengan Nik Aziz kini dan mampu mempengaruhinya untuk melakukan beberapa perubahan dalam Pas seperti membenarkan wanita menjadi calon pilihan raya dan bertanding dalam pemilihan parti.

Dikatakan mereka juga di sebalik perubahan pendirian Nik Aziz terhadap hiburan sehingga sampai ke tahap menjemput Mawi mengadakan konsert di Kelantan itu.

Perlu dijelaskan bahawa JIM menurut laman web www.jim.org.my merupakan pertubuhan bawah tanah yang ditubuhkan oleh para penuntut Malaysia di United Kingdom pada tahun 70-an atas nama Islamic Representative Council (IRC). Selepas tamat belajar, mereka kembali dan menubuhkan IRC di Malaysia. Mereka pada mulanya berusaha untuk menguasai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), tetapi gagal. Kemudian mereka berusaha untuk menguasai Pas, tetapi gagal juga. Setelah misi afiltrasi mereka gagal dalam ABIM dan Pas, mereka menubuhkan JIM. Jadi penubuhan JIM sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada tahun 1990 berlaku selepas para ahli IRC kecewa dalam usaha mendapatkan kuasa dalam menerajui ABIM dan Pas. Itulah serba ringkas tentang JIM menurut laman webnya.

Kembali kepada konsert Mawi. Secara peribadi penulis menyokong pendirian Nik Aziz membenarkan konsert Mawi di Kelantan dan bersetuju tindakan beliau menyoal balik pihak yang membantah supaya menunjukkan manakah hiburan alternatif jika mereka tidak bersetuju.

"Saya ada terima protes beberapa pihak, tapi saya tanya mereka apa pilihan anda terhadap bentuk hiburan yang ada sekarang ini? Jangan marah saja, tapi tunjukkan alternatif supaya kita dapat menyelamatkan mereka," lapor Harakah Daily pada 12 September lalu.

Bercakap tentang hiburan alternatif, mungkin ramai pembaca masih ingat bahawa penulis telah beberapa kali dalam beberapa tahun lalu mengkritik pendirian Pas mengharamkan hiburan tanpa menyediakan alternatif. Kini Nik Aziz menggunakan hujah yang sama untuk menjawab golongan yang membantahnya dalam Pas.

Walaupun menyokong pendirian Nik Aziz berhubung konsert Mawi ini, tetapi ini bukan bererti penulis menolak pendirian Harun. Ini kerana masalah muzik dan lagu merupakan masalah khilafiah yang ulama berbeza pandangan sejak turun-temurun.

Kerana sebab khilafiah, Harun ada hak menyatakan pandangan mengenai konsert Mawi, tetapi beliau tidak boleh memaksa Nik Aziz mengikut pandangannya kerana Nik Aziz sebagai mursyid am Pas dan Menteri Besar lebih berhak untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, agak baik kita meneliti sumber-sumber hukum keras yang mungkin menjadi titik tolak Harun menjadikan hujah menolak konsert Mawi yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Sebenarnya pendirian Harun itu adalah tepat dengan hukum-hukum yang diijtihad oleh kebanyakan ulama zaman silam berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan hadis yang ditafsir dan dihurai mengikut pandangan mereka.

Sebagai contoh kita boleh mendapati pandangan paling keras datang daripada beberapa orang sahabat dan tabi'i termasuk Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin Abbas di mana mereka menganggap lagu itu tergolong daripada perkara terlarang berdasarkan al-Quran dan sunah. (Tafsir al-Qurtubi, juz 14, muka surat 51-52).

Mereka berhujah dengan ayat 6 daripada surah Lukman yang bermaksud: Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada lahwu al-hadis (percakapan-percakapan atau cerita-cerita) yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Ayat di atas sebenarnya tidak qati'ie atau muktamad kerana para ulama yang menggunakannya untuk membuktikan nyanyian itu terlarang atau haram adalah berdasarkan tafsiran dan huraian mereka kepada ungkapan `lahwu al-hadis' (cerita-cerita atau percakapan-percakapan yang melalaikan). Sedangkan para ulama lain mentafsir dan menghuraikan `lahwu al-hadis dengan pengertian yang berbeza seperti syirik (add-Dhahak) dan semua percakapan yang menyebabkan manusia menjauhi ayat-ayat Allah dan jalan-Nya (Ibnu Jarir at-Tabari).

Sesetengah ulama di kalangan sahabat dan tabi'i turut menggunakan ayat 64 daripada surah al-Isra' di bawah ini untuk membuktikan nyanyian itu haram. Ayat itu bermaksud: Dan provokasilah sesiapa yang engkau dapat memprovokasikannya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Tetapi kedudukan ayat ini juga tidak qati'ie atau muktamad.

Jika merujuk kepada hadis didapati banyak sekali hadis yang mengharamkan nyanyian. Malah hadis kategori ini lebih banyak daripada hadis kategori yang menghalalkan nyanyian. Tetapi kedudukan kedua-dua kategori hadis itu bukan tidak boleh pertikai jika dihalusi perawi dan pembawanya dan ini termasuk hadis yang mengharam atau menghalal penggunaan alat palu seperti kompang dan rebana. Penulis tidak akan membincang lebih lanjut tentang perkara ini kerana sudah banyak kali dibincangkan.

Kerana al-Quran tidak memberi hukum yang qati'ie atau muktamad mengenai nyanyian ini serta hadis pula berbeza-beza, maka tidak dapat tidak para ulama pun berbeza pandangan tentangnya.

Bagaimanapun, jika meneliti pandangan dan ijtihad ulama mazhab didapati mereka lebih cenderung kepada pendirian keras tentang nyanyian. Sebagai contoh Imam asy-Syafi'ie dalam kitab al-Umm memfatwakan bahawa nyanyian adalah makruh dan mana-mana lelaki menjadi penyanyi sehingga terkenal dan tersohor, dia tidak sah menjadi saksi, hodoh akhlak/tolol (safih) dan rendah moral (al-Umm, juz 6, muka surat 206). Manakala Imam Abu Hanifah dan ulama-ulama al-Irak lebih keras lagi kerana mereka mengharamkan langsung nyanyian (Syarh an-Nawawi `Ala Sahih Muslim, juz 6, muka surat 182).

Hujah

Berdasarkan hujah-hujah yang dijelaskan di atas menyebabkan terbentuk pendirian yang tidak bertolak ansur di kalangan ramai ulama dahulu dan sekarang ini.

Pada mereka semua hiburan termasuk yang ada kini adalah haram belaka. Harun dan ramai ulama atau golongan tua Pas terpengaruh dengan pendirian keras itu.

Pas sebelum perubahan terbaru Nik Aziz juga berpegang dengan pendirian keras ini. Dengan itu tidak hairan jika yang kelam-kabut bila Nik Aziz menyatakan jatuh hati dengan Mawi dan berhasrat untuk membawanya mengadakan konsert di Kelantan adalah orang Pas sendiri. Mereka yang terbiasa dengan hukum lama yang selalu diratib oleh para ulama Pas dalam ceramah mereka terkejut kerana belum bersedia untuk menerima hukum baru yang mesra hiburan.

Liku-liku perjuangan pihak yang ingin membawa hiburan ke dalam Pas boleh dilihat pada kenyataan Dr. Siti Mariah Mahmud, Ketua Penerangan, Dewan Muslimat Pas ini. Beliau berkata, sebelum kontroversi Mawi timbul di dalam Pas, Dewan Harian DMPP telah beberapa kali memikirkan dan bercadang untuk mengadakan konsert dari zaman Ustazah Jamilah menjadi ketua muslimat lagi.

"Saya sendiri pernah membuat saranan ketika itu, kenapa tidak DMPP mengadakan malam seni dan meminta DMP negeri-negeri menyediakan satu persembahan pada malam sebelum muktamar muslimat semasa muktamar diadakan di Terengganu kerana masa itu kita memerintah dan tentu kita boleh dapatkan dewan tertutup untuk acara kesenian muslimat.

"Saranan tersebut tidak diterima kerana risikonya sangat tinggi kepada pimpinan muslimat. Ahli-ahli Pas masih memandang sepi seni dan hiburan ketika itu. Di kalangan muslimat sendiri, ada yang mengatakan kejatuhan Ustazah Jamilah sebagai ketua DMPP, di antara sebabnya kerana semasa upacara perasmian muktamar muslimat lagu Intifadah yang rancak digunakan sebagai latar belakang persembahan multimedia sehingga dikatakan menimbulkan rasa tidak senang kalangan ulama yang bermuktamar bersebelahan dengan Dewan Muslimat," kata Dr. Siti Mariah.

Bukan sahaja hiburan tetapi mengadakan forum mengenai seni pun tidak dibenarkan juga. Dr. Mariah menjelaskan, Unit Amal Nisa' di bawah Dr. Lo'Lo' juga bercadang mengadakan wacana dan forum seni tetapi forum tersebut dinasihatkan supaya dibatalkan kerana dikhuatiri pendapat panel wacana mendahului pendapat Syura Ulama.

"Pascamuktamar tahun 2003, apabila Ustazah Kalsom menjadi ketua muslimat, saya pernah membuat kenyataan akhbar yang DMPP bercadang untuk membuat konsert muslimat. Namun ditawakufkan (dihentikan) memandangkan tiada garis panduan daripada ulama dan pimpinan muslimat tidak mahu mengundang kritikan dan tentangan daripada dewan sendiri. Tambahan pula apabila usaha Dewan Pemuda mengorak langkah mengadakan malam seni di Taman Melewar menerima pelbagai kritikan daripada ahli Pas sendiri.

"Setiap kali bila persoalan seni dan hiburan dibangkitkan, respons kita hanyalah hiburan dibolehkan Islam tetapi tidak boleh melanggar batas syarak.

"Harakah sendiri pernah menyiarkan rencana dan wawancara mengenai isu seni dan hiburan. Namun usaha mereka untuk memangkin kita untuk memberi kata putus mengenai seni dan hiburan tidak tercapai.

"Perbincangan kita senantiasa berkisar mengenai alat-alat muzik yang boleh dan tidak boleh dimainkan, sama ada wanita boleh turut berlakon di atas pentas, kalau wanita tidak boleh berlakon bolehkah orang lelaki memakai pakaian wanita dan berlakon sebagai wanita dan sebagainya. Sedangkan realiti dunia seni dan hiburan sudah jauh daripada kerangka pemikiran seperti ini," jelasnya.

Menurut Dr. Siti Mariah, tarikan seni dan hiburan begitu kuat serta begitu berakar umbi dan dengan itu Pas memerintah di Kelantan, ia terpaksa `menguruskan seni, hiburan dan kebudayaan dan dalam peringkat awal ia berusaha menghapuskan unsur-unsur syirik di dalam beberapa amalan kebudayaan seperti wayang kulit dan makyung.

Usaha ini sudah berjaya dan kini wayang kulit kembali semula tanpa unsur syirik dan yang tinggal hanya makyung. Makyung bermasalah kerana ramai pemainnya adalah wanita.

Dr. Mariah memuji tindakan Nik Aziz menjemput Mawi mengadakan konsert di Kelantan, tetapi persembahan dalam konsert itu tidak melibatkan kaum wanita.

Beliau menyoal tentang hukum pengharaman penyertaan wanita dalam persembahan hiburan kerana dianggap suara mereka aurat, apakah hukum itu akan dapat bertahan?

"Sampai bilakah hukum wanita tidak boleh memperdengarkan suara merdu akan bertahan? Dalam tahun 60-an atau 70-an saya diberitahu ada pimpinan Pas yang pernah membawa masuk kumpulan El Suraya dari tanah seberang yang masyhur dengan lagu Selimut Putih.

"Bukankah soal suara ialah soal furu' bukan dasar?

"Kalangan ulama (bukan ulama Pas) dan orang Pas sendiri nampaknya boleh menerima artis Siti Nurhaliza kerana secara relatif persembahannya lebih sopan dan kehidupannya sebagai artis ditanggapi bersih. Kalaulah lebih ramai artis boleh membawa imej seperti beliau, mungkin dunia seni dan hiburan tidak akan dipandang sebagai punca kemungkaran," soalnya dengan berani. (Harakah, 16-30 September 2005).

Beberapa orang kawan penulis menyatakan kebimbangan mereka terhadap penyertaan Pas dalam menganjur hiburan kerana mungkin akan berubah menjadi galakan tidak langsung dan sekali gus mencetus persaingan tidak sihat dalam bidang hiburan. Padahal bidang hiburan itu sendiri kini berada dalam tahap berlebih-lebihan atau melampau dan perlu dikenakan kawalan berpatutan.



Read On

Perang keganasan bermula

0 comments
Oleh ASTORA JABAT

Ramai wartawan asing meninggalkan Peshawar dalam beberapa hari yang lalu kerana menjangka perang tidak akan meletus. Malah ramai wartawan yang percaya perang akan meletus pun percaya perang kali ini mungkin berbeza. Ini kerana mereka percaya Amerika Syarikat (AS) akan menggunakan cara yang berbeza dengan cara yang telah digunakan pada masa lalu untuk menumpaskan Osama bin Laden dan Taliban.

Serangan awal AS dan sekutu ke atas Kabul, Kandahar, Jalalabad dan lain-lain adalah cara yang sama yang pernah telah digunakan untuk memerangi Osama bin Laden pada tahun 1998 yang tidak mendatang sebarang kesan. Malah cara yang sama pernah dilakukan oleh AS terhadap Iraq berkali-kali, tetapi Presiden Saddam Hussein tetap gagah seperti sebelumnya.

Sementara itu tunjuk perasaan besar-besaran meletus di Khyber Bazar di Peshawar. Beribu-ribu orang membanjiri beberapa jalan raya di kawasan bandar yang sesak dan dapat disamakan dengan Chow Kit di Malaysia dari segi kegiatan perniagaan. Semua kedai di sekitar Khyber Bazar ini ditutup. Polis dari unit pengawal sempadan mengejar para penunjuk perasaan yang bertindak ganas. Mereka menembak gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan orang ramai di sekitar Masjid Madani yang dianggap pusat Taliban atau penyokongnya di Peshawar.

Wartawan asing tidak dapat berada di tengah-tengah gerombolan para penunjuk perasaan kerana akan dipukul oleh sesetengah penunjuk perasaan yang naik minyak. Dulu jika menyebut nama Islam, kita selamat. Tetapi kerana teramat marah dengan AS, sesetengah penunjuk perasaan memukul wartawan asing tanpa mempedulikan lagi sama ada mereka Islam dan bukan Islam.

Ini berbeza sekali dengan tunjuk perasaan kelmarin dan hari-hari terdahulu di mana kami boleh berada di barisan depan dan dapat mendengar pemimpin-pemimpin pembangkang di sini berucap tanpa masalah.

Tunjuk perasaan turut meletus di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta dan seluruh Pakistan. Kediaman Presiden Jeneral Pervez Musharraf turut menjadi sasaran tunjuk perasaan.

Ketika tulisan ini dihasilkan, penulis sedang memantau dua kejadian. Pertama, tunjuk perasaan yang sedang berkecamuk di luar hotel tempat kami menginap dan kedua, persidangan sebuah parti pembangkang bukan agama, Parti Nasional Rakyat (Awami National Party atau ANP) dipengerusikan oleh pemimpinnya, Ajmal Khattak telah diadakan di dewan utama hotel.

ANP tidak menyokong Taliban, tetapi mengecam serangan AS ke atas Afghanistan.

Tunjuk perasaan di Peshawar ini dianggap terbesar berbanding dengan beberapa tunjuk perasaan yang pernah

diadakan bagi menyokong Taliban dan Osama bin Laden dan menentang AS.

Bagaimanapun, Presiden Musharraf dalam sidang akhbar sebelum tunjuk perasaan meletus pada jam pukul 10.00 pagi semalam, berkata bahawa beliau mempunyai cara untuk bertindak ke atas puak-puak pelampau dan beliau yakin mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebenarnya semua tunjuk perasaan tidak bertujuan untuk mengutuk serangan AS saja, tetapi juga untuk mengutuk dan mengancam kerajaan Presiden Musharraf.

Dengan itu sama ada pelbagai puak pembangkang di sini menyokong AS atau Taliban, mereka akan menggerakkan orang ramai mengadakan tunjuk perasaan juga.

Tunjuk perasaan malah rusuhan pun mudah berlaku di sini kerana suasana sudah tersedia untuk berlaku perkara itu. Rakyat yang miskin sangat ramai dan kadar pengangguran pun sangat tinggi. Selain itu semangat fanatik kepada puak, mazhab dan suku sering menyebabkan pembunuhan seperti yang berlaku antara Sunnah dan Syiah.

Ada satu perkara yang dijelaskan oleh Musharraf dalam sidang akhbar itu ialah beliau mengibaratkan perang terhadap keganasan seperti yang dilancarkan oleh AS dengan mengebom sasaran-sasaran strategi Taliban dan Osama sebagai berusaha untuk memotong sebuah pokok yang tidak dikehendaki saja.

Pokok itu boleh ditumbangkan, tetapi akar dan tunjang berada di dalam tanah.

Dengan kata lain perang terhadap keganasan kini hanya mampu menghapuskan al-Qaeda atau Osama atau Taliban yang dapat diibarat sebagai pokok, tetapi asal keganasan yang dapat diibaratkan sebagai akar dan tunjangnya masih kekal.

Musharraf berkata, asal atau akar dan tunjang keganasan itu ada di merata dunia dan ia boleh tumbuh kembali bila-bila masa. Yang dianggap asal atau akar dan tunjang keganasan inilah yang mesti dibasmikan, bukan saja menebang pokoknya saja.

Pandangan Musharraf ini nampaknya hampir sama dengan pandangan Menteri Pertahanan AS, Donald Rumsfeld.

Rumsfeld berkata ketika beliau mengadakan kunjungan ke Uzbekistan Jumaat, 5 Oktober lalu bahawa perang terhadap keganasan sama dengan Perang Dingin yang berakhir satu dasawarsa lalu.

Ini kerana perang terhadap keganasan kini akan berpanjangan seperti dengan Perang Dingin dulu. Mungkin ia memerlukan jangka masa 50 tahun seperti yang berlaku pada Perang Dingin. Malah mungkin ia memerlukan jangka masa yang lebih panjang.

Perang Dingin dulu tidak meletuskan banyak perang, tapi memberikan tekanan yang terus menerus terhadap komunisme.

Ketika perang itu berakhir tidak diakhiri dengan ledakan dan perang terbuka seperti kedua-dua perang dunia dulu, tetapi melalui keruntuhan sendiri dan hilang dokongan terhadap komunisme di seluruh dunia. Begitu juga akan berlaku pada perang terhadap keganasan.

Dengan itu perang terhadap keganasan tidak berhenti dengan kehilangan kuasa Taliban atau hilangnya Osama. Sebaliknya apa yang dilakukan ke atas Taliban dan Osama hanya pembuka tirai saja. - Utusan

Read On

Perang antara media bermula

0 comments

Oleh ASTORA JABAT


Tunjuk perasaan di beberapa wilayah Pakistan berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas Afghanistan berubah menjadi ganas apabila penyokong-penyokong Taliban menyerang balai polis, membakar bank, pejabat dan kereta. Wartawan asing turut menjadi sasaran mereka, terutama wartawan Barat.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan terbesar hanya yang berlaku pada hari pertama saja terutama di Quetta dan Peshawar. Secara umumnya ia hanya berlaku di kawasan sempadan yang juga merupakan daerah terbentuknya kumpulan Taliban. Kawasan-kawasan ini terkenal mempunyai majoriti penduduk Pashto yang merupakan suku yang membentuk Taliban. Mereka merupakan penduduk majoriti di kawasan-kawasan sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Pemimpin-pemimpin pergerakan agama yang sangat aktif mengadakan tunjuk perasaan menyokong Taliban adalah juga daripada suku yang sama.

Tunjuk perasaan pada hari kedua dan hari ketiga serangan berlaku secara kecil-kecilan dan ini membuktikan bahawa kerajaan Presiden Pervez Musharraf berjaya mengawal keadaan. Tunjuk perasaan dan keganasan dijangka berlaku pada hari ini (Jumaat) dan mungkin lebih hebat daripada hari pertama jika AS terus menerus menyerang Afghanistan.

Mungkin para pembaca yang mengikuti tunjuk perasaan anti-AS melalui kaca televisyen akan merasa takut melihat apa yang dilapor dan dipaparkan di sini, tetapi kami yang berada di tempat kejadian tidak merasai perkara itu.

Ini perkara biasa kerana depan televisyen yang dapat dilihat hanya yang difokuskan dalam ruangan layar lingkup yang sempit. Tetapi kami di tempat kejadian berada dalam ruang yang luas di mana ada satu dua sudut yang dianggap bahaya terjadi sesuatu kejadian, tetapi kebanyakan sudut dianggap tidak berbahaya kerana tiada sebarang kejadian.

Sebenarnya secara umum, hotel tempat penginapan kami di Peshawar terletak di di tengah-tengah tempat yang selalu diadakan tunjuk perasaan di Khyber Bazar. Jadi bila tunjuk perasaan meletus, kami tidak perlu pergi jauh, keluar pintu hotel pun sudah berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, penulis tidak begitu berani berada di dalam hotel. Malah jika berada di dalam hotel pun sentiasa berjaga-jaga kerana takut hotel dibakar pihak pelampau.

Wartawan asing terutama dari negara-negara Barat mengalami masalah besar untuk membuat laporan dari di Peshawar, Quetta dan lain-lain kawasan sempadan kerana mereka tidak dapat bergerak bebas seperti sebelum AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan Ahad lalu. Malah dulu pun pergerakan wartawan Barat agak terbatas juga kerana penduduk kawasan sempadan tidak sukakan kehadiran mereka.

Ramai penduduk sempadan menyatakan kepada penulis, Noor Azam Shairi dan Abdul Kadir Bachok bahawa mereka tidak sukakan wartawan Barat atau bukan Islam, tetapi mereka mengalu-alukan kami atau wartawan-wartawan Islam.

Bagaimanapun, ketika tunjuk perasaan sedang menjadi-jadi di Khyber Bazar, Peshawar Isnin lalu, wartawan Islam juga terkena lontaran batu seperti yang berlaku kepada seorang wartawan Indonesia yang bertugas dengan sebuah agensi berita Barat.

Di Quetta pula lebih teruk di mana wartawan asing dilarang keluar dari hotel mereka. Quetta merupakan kawasan paling bahaya berbanding Peshawar kerana ia penuh dengan pelarian dan di bandar termiskin Pakistan itulah meletusnya tunjuk perasaan yang paling dahsyat.

Semua itu menjadi antara punca yang menyebabkan laporan asing mengenai tunjuk perasaan di Pakistan ini agak lemah terutama laporan televisyen atau laporan video. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan CNN dan BBC.

Bagaimanapun, kelemahan lebih jelas dapat dilihat dalam laporan CNN dan BBC mengenai serangan AS ke atas Afghanistan di mana sehingga sekarang kedua-dua perbadanan berita besar dunia itu belum dapat menyiarkan laporan eksklusif yang boleh menaikkan imejnya. Banyak juga laporan lama diulang siarannya.

BBC yang menggunakan peruntukan jauh lebih besar daripada CNN masih kekal dengan imej lembabnya. BBC dan CNN sama-sama mempunyai wakilnya di Afghanistan, tetapi mereka berada di kawasan utara yang dikuasai oleh puak Mujahidin yang dikenali kini sebagai Perikatan Utara.

Mungkin masyarakat dunia patut bersyukur kepada televisyen Arab, al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar kerana merupakan satu-satunya televisyen yang berjaya membuat laporan dari dalam Afghanistan.

Jika CNN dipopularkan melalui Perang Teluk oleh Iraq atau Presiden Saddam Hussein pada tahun 1991 kerana stesen itu dibenarkan membuat liputan terus dari Baghdad ketika AS menyerang Iraq, maka kini Taliban atau Osama bin Laden mempopularkan al-Jazeera dari Afghanistan.

Al-Jazeera yang dipancar melalui satelit itu boleh ditonton di seluruh dunia dan ia sangat popular di dunia dan di kalangan orang Islam di Eropah dan AS. Penulis berharap stesen televisyen di Malaysia terutama TV1 dapat menyiarkan terjemahan laporan al-Jazeera. Malah Astro pun boleh menyenaraikan al-Jazeera dalam senarai televisyen yang disalurkan kepada penonton di Malaysia. Bagaimanapun, sebelum melaksanakan perkara itu Astro boleh mengkaji saiz pasaran penggunanya di kalangan orang Arab yang tinggal di Malaysia dan pengguna bahasa Arab di kalangan penduduk tempatan.

Penulis membuat cadangan ini kerana laporan al-Jazeera boleh mengimbangi laporan stesen televisyen Barat yang berat sebelah.

Kepopularan al-Jazeera kini bukan saja kerana ia hanya satu-satu televisyen yang dapat melaporkan kejadian serangan AS dari dalam Afghanistan sejak hari pertama sehingga sekarang, tetapi sebelum itu pun ia dapat menyiarkan laporan-laporan yang sangat berwibawa. Ketika semua wartawan CNN dan BBC diusir dari Afghanistan, wartawan al-Jazeera masih dapat melaporkan dari sana seperti biasa.

Kini al-Jazeera satu-satunya stesen televisyen asing yang dapat membuat laporan langsung dari Islamabad dan Kandahar. Semua stesen televisyen seluruh dunia termasuk CNN dan BBC yang hebat itu terpaksa memetik siaran laporan al-Jazeera.

Al-Jazeera membuat kejutan dua jam selepas AS melancarkan serangan Ahad lalu dengan menyiarkan rakaman video pengumuman jihad menentang AS oleh Osama bin Laden dan dua orang penolongnya.

Penyiaran rakaman video itu dianggap mencabar AS di satu pihak kerana ia membuktikan bahawa Osama bin Laden sedar bahawa AS menyerang beliau atau Afghanistan, dan di pihak lain ia juga dianggap mencabar media Barat yang menguasai laporan peristiwa dunia sebelum ini.

Osama nampaknya berbeza pendekatan daripada Presiden Saddam. Tanggapan sedemikian kerana kedua-duanya sama-sama pernah diperalatkan menjadi budak AS, tetapi Osama tidak memberi muka dan mempopularkan media Barat seperti yang dilakukan oleh Saddam terhadap CNN.

Hal itu menyebabkan AS dan media-media elektroniknya tidak puas hati dengan al-Jazeera.

AS telah pun menyampaikan rasa tidak puas hati itu kepada Emir Qatar, Syeikh Hamad al-Khalifah al-Thani ketika beliau mengadakan kunjungan ke Washington minggu lalu. Tetapi pemimpin Qatar memberi alasan bahawa negaranya yang sedang memperluaskan pengamalan demokrasi dalam semua aspek itu menyebabkan al-Jazeera dibenarkan memainkan peranan dalam membuat laporan mengikut kaca mata sendiri.

Pengerusi al-Jazeera, Sheikh Hamad Thamer al-Thani pula berkata, media elektronik Barat cemburu dengan kejayaan al-Jazeera. Oleh itu, ia membuat tuduhan bermacam-macam terhadapnya.

Al-Jazeera sejak ditubuh pada tahun 1996 banyak membuat laporan berani yang dianggap mengejutkan sesetengah negara Arab. Malah sesetengah isu yang dibincang dalam beberapa forumnya dicap sebagai kontroversi termasuk isu agama. Dengan itu tidak hairanlah jika ada pemimpin Arab tidak suka kepada al-Jazeera. - Utusan

Read On

Bila Taliban paksa wanita buka burqa

0 comments
Oleh ASTORA JABAT

Pelaksanaan hukum adat yang menghendaki seluruh tubuh wanita termasuk muka ditutup, yang sebenarnya tidak kena-mengena dengan hukum-hakam syariah, dianggap suatu perkara wajib yang tidak boleh ditolak ansur di kalangan puak Taliban. Mana-mana wanita melanggari hukum adat yang dijadikan hukum-hakam syariah itu dianggap melakukan dosa besar dan mesti dikenakan hukuman.

Dengan itu penguatkuasa amal makruf dan nahi mungkar di Afghanistan akan mengambil tindakan memukul mana-mana wanita yang membuka muka walaupun kepala dan rambut tertutup. Begitulah yang berlaku di Afghanistan di bawah pemerintah militia Taliban kini.

Penulis telah berbincang dengan beberapa penyokong Taliban yang pernah mendapat pendidikan agama secara formal di sekolah-sekolah agama Salafi yang ditubuh oleh orang Arab di Peshawar dan didapati mereka tidak bertolak ansur langsung terhadap hukum adat. Ini kerana mereka percaya, jika wanita dibenarkan mendedahkan muka, ia boleh menyebabkan berlaku kerosakan besar dalam masyarakat termasuk zina.

Penulis berada dalam keadaan tidak mengizinkan untuk berdebat dengan penyokong-penyokong Taliban kerana mungkin boleh mengundang bahaya kepada diri, tetapi kerana tidak tahan bersabar, terpaksa jugalah membaca beberapa nas daripada al-Quran dan hadis untuk membuktikan bahawa amalan memaksa wanita menutup seluruh tubuh itu tidak ada dalam Islam.

Selain itu penulis juga menyebut pandangan terbaru Dr. Yusuf al-Qardhawi yang bermaksud, walaupun tudung itu wajib bagi wanita, tetapi bukan bererti Islam mahu wanita menjadi hantu (hodoh dan jelek).

Untuk melihat wanita berpakaian menutup seluruh tubuh seperti yang dikuatkuasakan oleh Taliban, tidak perlu pun pergi ke Afghanistan, cukup saja berada di Peshawar dan lain-lain bandar sempadan Pakistan-Afghanistan.

Malah Peshawar yang menjadi tempat lahir Taliban itu hampir sama dengan bandar-bandar Afghanistan disebabkan kaum wanita tempatan Peshawar pun sebenarnya beriltizam dengan adat pakaian itu walaupun tiada penguatkuasaan peraturan keras seperti yang dilaksanakan di Afghanistan itu.

Ini kerana adat itu menjadi pegangan majoriti penduduk tempatan di Peshawar, tambahan pula mereka juga dari suku kaum yang sama dengan kebanyakan Taliban, iaitu suku Pashto atau Pathan.

Di Peshawar tidak kelihatan wanita bekerja di hotel, bank dan pejabat-pejabat kerajaan. Begitu juga tidak ada wanita yang bekerja sebagai peniaga atau pekedai.

Selama dua minggu tinggal di Peshawar penulis hanya dapat melihat seorang saja wanita yang bekerja di luar rumah, iaitu dia bertugas sebagai menjaga kedai perkhidmatan Internet.

Sebenarnya Peshawar boleh dianggap seperti bandar tanpa wanita kerana jarang kelihatan wanita yang keluar dari rumah untuk membeli-belah atau berjalan dan bersiar-siar di sekitar bandar yang berdebu itu. Jika ada wanita yang kelihatan di bandar itu pun hanya orang tua yang menjadi peminta sedekah atau anak-anak kecil.

Bagaimanapun, ketiadaan atau kekurangan penglibatan wanita dalam kerja luar rumah bukan saja menjadi fenomena khusus Peshawar, tetapi juga di Islamabad, yang merupakan bandar termoden dan termaju di Pakistan.

Perbezaannya cuma di Islamabad terdapat ramai wanita tidak menutup kepala dan tidak memakai burqa.

Penyokong-penyokong Taliban di Peshawar mendakwa wanita di Afghanistan bukanlah langsung tidak boleh bekerja secara mutlak. Sebaliknya mereka boleh bekerja di tempat-tempat kerja yang diyakini selamat dan tidak menyebabkan mereka rosak atau melakukan kejahatan.

Ahli keluarga wanita wajib memastikan perkara itu. Penguatkuasaan hukum mewajibkan wanita memakai burqa menimbulkan masalah tidak terkira kepada Taliban termasuk dari segi keselamatan. Ini kerana terdapat ramai lelaki menyamar menjadi wanita dengan memakai burqa.

Mereka yang melakukan perbuatan itu, menurut cerita sesetengah pelarian Afghan adalah tergolong daripada mereka yang sama ada mahu menyeludup barang, pesalah yang mahu melepaskan diri daripada ditangkap ataupun musuh yang mahu melaksanakan sesuatu rancangan.

Berpakaian burqa itu juga membolehkan sesetengah wanita Afghan yang tidak bermoral melakukan bermacam-macam perkara haram dan menyalahi undang-undang.

Jadi mahu tidak mahu penguat kuasa amal makruf dan nahi mungkar Taliban yang kesemuanya terdiri daripada lelaki terpaksa memeriksa juga wanita berburqa dengan menyuruh mereka melakukan perkara yang selama ini dianggap sebagai dosa besar iaitu membuka muka.

Penulis tidak pasti apakah ada fatwa dikeluarkan oleh ulama Afghanistan mengharuskan perbuatan itu, tetapi beberapa pelarian Afghan berkata perbuatan itu memang berlaku di negara asal mereka.

Malah menurut mereka, yang menuntut wanita mendedahkan muka adalah penguatkuasa amal makruf dan nahi mungkar golongan lelaki kerana tidak ada wanita yang memegang jawatan itu.

Oleh kerana ada sedikit kelonggaran itu juga, ia menyebabkan Taliban berjaya memberkas dua orang wartawan Barat yang memasuki wilayah Afghanistan secara haram dengan menyamar diri sebagai wanita Afghan.

Wartawan Barat pertama yang melakukan perkara itu ialah Yvonne Ridley dari akhbar Inggeris, The Daily Express dan wartawan Barat kedua ialah Michel Peyrard dari majalah Paris Match.

Ridley yang baru dibebaskan Selasa lalu ditahan ketika dia menyawar sebagai wanita Afghan dengan berpakaian burqa. Manakala Peyrard yang baru ditahan Rabu lalu, juga menyamar sebagai wanita Afghan dengan pakaian yang sama.

Peyrard yang dituduh sebagai pengintip, tidak bernasib seperti Ridley kerana dia akan dilayan sama seperti tahanan tentera. - Utusan

Read On

Sekolah agama Pakistan berbahaya

0 comments

Oleh ASTORA JABAT

Sekolah-sekolah agama rakyat di Pakistan nampaknya melencong jauh daripada peranan asalnya dalam memberi pendidikan agama kerana kebanyakannya terlibat dalam menganjurkan pengajian bersifat sektarianisme, melatih tentera, membimbing murid-murid untuk menjadi militia dalam mana-mana pergerakan bersenjata di Afghanistan dan Kashmir.

Kebanyakan sekolah agama rakyat itu didirikan oleh pelbagai pertubuhan agama dan politik dalam negeri. Ada juga yang ditubuhkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama dan politik luar negeri.

Di antara pertubuhan agama dan politik dalam negeri yang terlibat dalam menubuhkan sekolah-sekolah agama itu ialah Jamiat-e-Islami (JI), Jamiat Ulema e-Islami (JUI ), Jamiat Ahle Hadis, Sipah e-Sahaba, Tanzim e-Islami Pakistan, Difa e-Islami Mahaz dan lain-lain. Ada juga sekolah-sekolah yang ditubuh oleh pihak yang tidak ada kaitan dengan pertubuhan-pertubuhan itu.

Malah ada juga sekolah-sekolah agama rakyat yang didirikan oleh beberapa pertubuhan agama bersifat amal dan pertubuhan agama bersifat politik dari negara-negara Arab. Puak-puak pelampau agama yang diharamkan di negara-negara Arab turut mempunyai sekolah-sekolah agama sendiri untuk mendoktrinasikan muda-mudi atau sekurang-kurangnya orang mereka terlibat dalam pendidikan agama di sekolah-sekolah agama yang ditubuhkan oleh pihak lain.

Ramai pemimpin Taliban yang ada sekarang merupakan lulusan sekolah-sekolah agama rakyat ini termasuk Mullah Mohammad Omar. Mullah Omar bekas pelajar sekolah agama aliran Deoband seperti Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Aliran Deoband berasal dari India, tetapi di seluruh Pakistan terdapat banyak sekolah aliran pondok India ini.

Kini terdapat lebih satu juta anak-anak orang miskin belajar di pelbagai sekolah agama rakyat di sekolah seluruh Pakistan.

Maisoon Husain dalam tulisannya yang disiarkan dalam The Review, Dawn, keluaran 4-11 Oktober merujuk kepada kajian dibuat oleh Tariq Mujahid Malik pada tahun 1998 di mana dalam kajian itu dia berkata, sekolah-sekolah agama inilah yang mendoktrinasikan para pemuda mudi sekarang.

Ketika Pakistan mendapat kemerdekaan pada tahun 1947, kajian Tariq Mujahid Malik itu menyatakan, terdapat hanya 137 buah sekolah agama di Pakistan, tetapi kini di Punjab saja terdapat 3,393 buah sekolah.

Kajian itu tidak menyebut bahawa kini terdapat lebih 10,000 buah sekolah agama di seluruh Pakistan termasuk sekolah agama rakyat.

Separuh daripada sekolah-sekolah agama di Pakistan mempromosikan pemikiran sektarianisme, dua hingga empat peratus daripadanya pula terlibat dalam memberikan latihan senjata kepada murid-murid dan lima sehingga tujuh peratus menyediakan pekerja-pekerja keganasan di peringkat dalam negeri, kata kajian yang sama (Where have we gone wrong?, The Review, Dawn, 4 - 11 Oktober 2001)

Dengan itu tidak dianggap keterlaluan jika penulis menganggap di sini bahawa sekolah agama rakyat di Pakistan sangat berbahaya dan mungkin tidak ada sekolah agama rakyat seperti itu di seluruh dunia.

Dari sekolah-sekolah agama rakyat inilah lahirnya murid atau pelajar yang dipanggil Taliban dan di kalangan mereka inilah lahirnya militia Taliban yang memerintah Afghanistan sekarang.

Taliban yang bermaksud pelajar agama sangat dihormati di Pakistan. Malah Taliban yang bermaksud militia pun masih dipandang dengan hormat oleh ramai penduduk negara ini. Berdasar kepada pengelaman menunaikan sembahyang Jumaat sebanyak dua kali di sini, penulis dapati keseluruhan jemaah menyokong militia Taliban. Semua mengaminkan bila imam mendoakan kemenangan kepada militia Taliban. Malah kebanyakan mengangkat tangan bila imam menyeru berjihad membantu militia Taliban.

Khutbah Jumaat dan ceramah sebelum khutbah juga tidak ada perkara lain yang dibincangkan kecuali memberi sokongan kepada militia Taliban dan Osama bin Laden serta menentang AS dan Britain. Doa yang dibaca pula sangat panjang dan hampir separuhnya digunakan untuk menyokong Militia Taliban dan Osama bin Laden.

Salah sebuah pergerakan agama yang banyak melahirkan murid atau pelajar untuk dijadikan militia Taliban melalui sekolah-sekolah agamanya ialah JUI yang dipimpin oleh Maulana Fazlur Rehman. Beliau terlibat dengan Taliban kerana dari suku kaum yang sama dengan Mullah Mohammad Omar dan kebanyakan ahli Taliban. Ia adalah suku Pashtun atau Pathan.

Fazlur Rehman mendakwa beliau telah mengumpul ramai sukarelawan untuk dihantar berjihad menentang AS di Afghanistan, tetapi tidak mengumumkan jumlah mereka.

Beliau adalah antara beberapa pemimpin agama Pakistan yang terkenal mempunyai pendirian keras dan radikal. Sesetengah kalangan di sini menyifat beliau sebagai pelampau agama yang suka kekecohan.

Yang anehnya, beliau tidak disukai oleh sesetengah pelarian Afghan di Peshawar di mana mereka menganggap beliau sebagai orang politik yang mencari makan atas nama Taliban.

Bagaimanapun, perlu diakui bahawa Fazlur Rehman merupakan seorang bintang yang sedang naik. Berbanding pemimpin-pemimpin pergerakan agama lain, beliau dianggap paling menonjol kini.

Cara beliau menggembleng orang ramai melalui ceramah dan tunjuk perasaan pula tampak sama dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas.

Tetapi kerana pergerakan agama di Pakistan terlalu banyak, Fazlur Rehman atau JUI pimpinannya jauh lebih lemah daripada Pas.

Di antara contoh kelemahan Fazlur Rehman atau JUI ialah kini beliau dikenakan tahan rumah buat kali kedua sejak AS menyerang Afghanistan minggu lalu, tetapi belum nampak penyokong-penyokong mahu memberontak atau mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk menuntut kebebasan beliau.

Sekolah-sekolah agama JUI dan sekolah-sekolah swasta yang lain bukan saja tidak memberi pendidikan agama yang bersifat pemikiran, tetapi pendidikan agama yang umum pun lemah juga. Ini kerana kebanyakan sekolah agama hanya mengajar hafaz al-Quran saja.

Dulu terdapat sebilangan rakyat Malaysia menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu termasuk sekolah-sekolah agama di Peshawar yang terkenal sebagai kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar berjihad di Afghanistan.

Tetapi kini tidak ramai rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu seperti sekolah agama aliran Deoband dan sekolah hafaz al-Quran. Rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dianggap menjadi kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar ke Afghanistan juga tidak ada menurut penelitian rambang penulis selama dua minggu di Peshawar. - Mingguan

Read On

Sekolah agama Pakistan berbahaya

0 comments


Oleh ASTORA JABAT

Sekolah-sekolah agama rakyat di Pakistan nampaknya melencong jauh daripada peranan asalnya dalam memberi pendidikan agama kerana kebanyakannya terlibat dalam menganjurkan pengajian bersifat sektarianisme, melatih tentera, membimbing murid-murid untuk menjadi militia dalam mana-mana pergerakan bersenjata di Afghanistan dan Kashmir.

Kebanyakan sekolah agama rakyat itu didirikan oleh pelbagai pertubuhan agama dan politik dalam negeri. Ada juga yang ditubuhkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama dan politik luar negeri.

Di antara pertubuhan agama dan politik dalam negeri yang terlibat dalam menubuhkan sekolah-sekolah agama itu ialah Jamiat-e-Islami (JI), Jamiat Ulema e-Islami (JUI ), Jamiat Ahle Hadis, Sipah e-Sahaba, Tanzim e-Islami Pakistan, Difa e-Islami Mahaz dan lain-lain. Ada juga sekolah-sekolah yang ditubuh oleh pihak yang tidak ada kaitan dengan pertubuhan-pertubuhan itu.

Malah ada juga sekolah-sekolah agama rakyat yang didirikan oleh beberapa pertubuhan agama bersifat amal dan pertubuhan agama bersifat politik dari negara-negara Arab. Puak-puak pelampau agama yang diharamkan di negara-negara Arab turut mempunyai sekolah-sekolah agama sendiri untuk mendoktrinasikan muda-mudi atau sekurang-kurangnya orang mereka terlibat dalam pendidikan agama di sekolah-sekolah agama yang ditubuhkan oleh pihak lain.

Ramai pemimpin Taliban yang ada sekarang merupakan lulusan sekolah-sekolah agama rakyat ini termasuk Mullah Mohammad Omar. Mullah Omar bekas pelajar sekolah agama aliran Deoband seperti Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Aliran Deoband berasal dari India, tetapi di seluruh Pakistan terdapat banyak sekolah aliran pondok India ini.

Kini terdapat lebih satu juta anak-anak orang miskin belajar di pelbagai sekolah agama rakyat di sekolah seluruh Pakistan.

Maisoon Husain dalam tulisannya yang disiarkan dalam The Review, Dawn, keluaran 4-11 Oktober merujuk kepada kajian dibuat oleh Tariq Mujahid Malik pada tahun 1998 di mana dalam kajian itu dia berkata, sekolah-sekolah agama inilah yang mendoktrinasikan para pemuda mudi sekarang.

Ketika Pakistan mendapat kemerdekaan pada tahun 1947, kajian Tariq Mujahid Malik itu menyatakan, terdapat hanya 137 buah sekolah agama di Pakistan, tetapi kini di Punjab saja terdapat 3,393 buah sekolah.

Kajian itu tidak menyebut bahawa kini terdapat lebih 10,000 buah sekolah agama di seluruh Pakistan termasuk sekolah agama rakyat.

Separuh daripada sekolah-sekolah agama di Pakistan mempromosikan pemikiran sektarianisme, dua hingga empat peratus daripadanya pula terlibat dalam memberikan latihan senjata kepada murid-murid dan lima sehingga tujuh peratus menyediakan pekerja-pekerja keganasan di peringkat dalam negeri, kata kajian yang sama (Where have we gone wrong?, The Review, Dawn, 4 - 11 Oktober 2001)

Dengan itu tidak dianggap keterlaluan jika penulis menganggap di sini bahawa sekolah agama rakyat di Pakistan sangat berbahaya dan mungkin tidak ada sekolah agama rakyat seperti itu di seluruh dunia.

Dari sekolah-sekolah agama rakyat inilah lahirnya murid atau pelajar yang dipanggil Taliban dan di kalangan mereka inilah lahirnya militia Taliban yang memerintah Afghanistan sekarang.

Taliban yang bermaksud pelajar agama sangat dihormati di Pakistan. Malah Taliban yang bermaksud militia pun masih dipandang dengan hormat oleh ramai penduduk negara ini. Berdasar kepada pengelaman menunaikan sembahyang Jumaat sebanyak dua kali di sini, penulis dapati keseluruhan jemaah menyokong militia Taliban. Semua mengaminkan bila imam mendoakan kemenangan kepada militia Taliban. Malah kebanyakan mengangkat tangan bila imam menyeru berjihad membantu militia Taliban.

Khutbah Jumaat dan ceramah sebelum khutbah juga tidak ada perkara lain yang dibincangkan kecuali memberi sokongan kepada militia Taliban dan Osama bin Laden serta menentang AS dan Britain. Doa yang dibaca pula sangat panjang dan hampir separuhnya digunakan untuk menyokong Militia Taliban dan Osama bin Laden.

Salah sebuah pergerakan agama yang banyak melahirkan murid atau pelajar untuk dijadikan militia Taliban melalui sekolah-sekolah agamanya ialah JUI yang dipimpin oleh Maulana Fazlur Rehman. Beliau terlibat dengan Taliban kerana dari suku kaum yang sama dengan Mullah Mohammad Omar dan kebanyakan ahli Taliban. Ia adalah suku Pashtun atau Pathan.

Fazlur Rehman mendakwa beliau telah mengumpul ramai sukarelawan untuk dihantar berjihad menentang AS di Afghanistan, tetapi tidak mengumumkan jumlah mereka.

Beliau adalah antara beberapa pemimpin agama Pakistan yang terkenal mempunyai pendirian keras dan radikal. Sesetengah kalangan di sini menyifat beliau sebagai pelampau agama yang suka kekecohan.

Yang anehnya, beliau tidak disukai oleh sesetengah pelarian Afghan di Peshawar di mana mereka menganggap beliau sebagai orang politik yang mencari makan atas nama Taliban.

Bagaimanapun, perlu diakui bahawa Fazlur Rehman merupakan seorang bintang yang sedang naik. Berbanding pemimpin-pemimpin pergerakan agama lain, beliau dianggap paling menonjol kini.

Cara beliau menggembleng orang ramai melalui ceramah dan tunjuk perasaan pula tampak sama dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas.

Tetapi kerana pergerakan agama di Pakistan terlalu banyak, Fazlur Rehman atau JUI pimpinannya jauh lebih lemah daripada Pas.

Di antara contoh kelemahan Fazlur Rehman atau JUI ialah kini beliau dikenakan tahan rumah buat kali kedua sejak AS menyerang Afghanistan minggu lalu, tetapi belum nampak penyokong-penyokong mahu memberontak atau mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk menuntut kebebasan beliau.

Sekolah-sekolah agama JUI dan sekolah-sekolah swasta yang lain bukan saja tidak memberi pendidikan agama yang bersifat pemikiran, tetapi pendidikan agama yang umum pun lemah juga. Ini kerana kebanyakan sekolah agama hanya mengajar hafaz al-Quran saja.

Dulu terdapat sebilangan rakyat Malaysia menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu termasuk sekolah-sekolah agama di Peshawar yang terkenal sebagai kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar berjihad di Afghanistan.

Tetapi kini tidak ramai rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu seperti sekolah agama aliran Deoband dan sekolah hafaz al-Quran. Rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dianggap menjadi kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar ke Afghanistan juga tidak ada menurut penelitian rambang penulis selama dua minggu di Peshawar. - Mingguan

Read On

Petua menawan hati orang Pakistan

0 comments

Oleh ASTORA JABAT

Ada tiga petua yang perlu diketahui bagi sesiapa yang mahu menjadi orang yang dihormati dan diberi layanan baik di Pakistan. Jika anda dapat menggunakan petua itu dengan tepat, anda tidak akan mempunyai masalah untuk menjelajah mana-mana bumi Pakistan.

Petua pertama ialah memperkenalkan diri sebagai orang Islam dan tip ini boleh digunakan untuk semua lapisan masyarakat. Petua kedua ialah menyebut, anda dari Malaysia - anda mesti dihormati dengan cara yang luar biasa. Petua ini boleh digunakan pada banyak kalangan.

Petua ketiga ialah menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Bagi petua pertama iaitu Islam, ia memberi kesan yang dapat dilihat serta merta. Sebagai contohnya dengan menyebut kita orang Islam atau dengan hanya memberi salam saja, orang Pakistan akan menjadi ceria dan mesra dengan kita. Apa pun jika anda boleh berbalas-balas membaca ayat-ayat al-Quran dengan mereka, suasana keceriaan dan kemesraan sudah tentu berlebih-lebihan dan anda boleh pun menguasai mereka.

Kebanyakan orang Pakistan sebenarnya kuat agama. Ketika tiba waktu sembahyang, mereka berduyun-duyun pergi ke masjid. Dengan itu pemandangan orang sembahyang di kaki lima boleh dilihat di mana-mana. Mereka pula sembahyang dengan pakaian harian mereka sahaja dan tidak menukar memakai kain sarung seperti dilakukan orang Islam di Malaysia.

Pakaian mereka jika mengikut pandangan orang kita ketika melaksanakan ibadat, sudah tentu tidak sah. Tetapi sebenarnya cara yang dilakukan oleh orang Pakistan dalam mengerjakan sembahyang adalah tepat dengan hukum-hakam Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya.

Dengan itu penggunaan petua di atas memberi kesan yang serupa dengan golongan kuat agama yang sentiasa beriltizam mengerjakan ibadat sembahyang. Malah orang Pakistan yang suka menipu orang asing seperti penguasa hotel, pemandu kereta sewa yang `cari makan' dengan wartawan serta pemandu pelancong dan penterjemah akan lembut hati bila kita memberi salam dan membaca al-Quran.

Namun yang tidak akan lembut hati pun ada juga, walaupun kita berkhutbah panjang dengan mereka. Tetapi berdasarkan kepada pengalaman berada seminggu di sini, hanya seorang yang ditemui berperangai begitu.

Petua kedua ialah menyebut nama Malaysia. Ini kerana Malaysia sebagai negara Islam contoh mempunyai daya tarikan khas di kalangan orang Pakistan yang tergolong daripada cerdik pandai dan orang yang sentiasa mengikuti perkembangan politik melalui media massa tempatan.

Ramai cerdik pandai dan pelajar di Peshawar ini kagum dengan Malaysia. Sebut saja nama Malaysia mereka akan berpaling memberi perhatian dan menghormati kita. Malah turut memberi reaksi yang sama ialah orang awam yang sudah kenal Malaysia sebagai negara Islam.

Mungkin ramai kalangan kita masih ingat bahawa pada tahun 1970-an dulu ramai cerdik pandai Islam di Malaysia mengambil cara melaksanakan Islam seperti yang dilakukan di Pakistan. Karya-karya agama yang dihasilkan oleh al-Maududi dan lain-lain selalu dirujuk oleh cerdik pandai Islam di Malaysia. Namun kini perkara itu menjadi sebaliknya dan ini dijelaskan oleh seorang pensyarah Universiti Peshawar, Dr. Aman Khan.

Dr. Aman berkata, Pakistan dan negara-negara Islam lain perlu mencontohi Malaysia kerana ia berjaya dalam pembangunan.

Bila penulis berkata, dulu Malaysia pun banyak mengambil pengalaman Pakistan, Dr. Aman berkata, pengalaman negaranya kini tidak lagi relevan dengan Malaysia, sebaliknya pengalaman Malaysia yang relevan dengan negaranya dan negara-negara Islam lain.

Seorang wartawan Perancis, Cloud yang mengikuti penulis atau Noor Azam Shairi ke mana-mana di Peshawar ini kerana beliau mempunyai masalah untuk mengadakan hubungan dengan para pejuang Afghanistan mengaku Malaysia negara Islam terbaik. Cloud yang pernah berkunjung ke Malaysia berkata, dia juga cukup hairan bagaimana Malaysia yang jauh dari negaranya (Perancis) dan Eropah boleh membangun seperti itu.

Petua ketiga ialah menyebut nama Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang sangat popular khususnya di kalangan wartawan dan cerdik pandai secara amnya. Setiap kali penulis menyebut Malaysia pada mereka ini, nama Dr. Mahathirlah yang mereka sentuh.

Pengaruh peristiwa pemecatan pemimpin politik daripada kerajaan dan parti kerana terlibat dalam kegiatan salah laku seks, yang menimbulkan salah faham ramai orang Islam di luar negara tidak ada kesan di sini.

Mungkin kesan seperti itu hanya terdapat di kalangan pergerakan-pergerakan agama yang mempunyai hubungan dengan pemimpin politik itu.

Pengarang kanan akhbar The News yang merupakan penganalisis politik Pakistan terkenal, Rahimullah Yusufzai berkata, beliau mengikuti apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dan beliau berharap Dr. Mahathir dapat meneruskan perjuangannya.

Perlu diterangkan bahawa penulis menceritakan nama Islam, Malaysia dan Mahathir sangat popular di sini, bukan bermaksud untuk menggalakkan pembaca menggunakan nama-nama itu untuk meraih kepentingan-kepentingan tertentu.

Sebaliknya penulis mahu menjelaskan bahawa selain Islam, nama Malaysia dan Dr. Mahathir sangat harum di sini. Dengan itu jika ada mana-mana rakyat Malaysia masih berfikiran menentang dan mahu menjatuh dan memusnahkan nama serta imej Malaysia dan Dr. Mahathir di luar negara, maka hendaklah berfikir berkali-kali. - Utusan

Read On

Umat tertipu dengan jihad Afghan

0 comments

Oleh ASTORA JABAT

Penyertaan orang Malaysia dalam peperangan Afghanistan yang dipanggil jihad itu tidak begitu besar berbanding bangsa-bangsa Islam yang lain. Dengan itu mereka tidak terkenal di kalangan penduduk pelbagai suku kaum di Peshawar ini walaupun ada di kalangan telah mati di medan perang. Sebaliknya yang terkenal ialah orang Arab, orang Moro dan lain-lain bangsa.

Begitu juga rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa ada orang Malaysia ikut serta dalam peperangan di Afghanistan kecuali selepas terdedahnya Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Ini kerana selain pemergian mereka adalah rahsia, mereka juga mempunyai matlamat untuk menggunakan ilmu dan kepakaran dalam ketenteraan yang dipelajari di Peshawar dan Afghanistan untuk mengguling Kerajaan Malaysia.

Mereka ini walaupun kebanyakannya merupakan ahli Pas atau menjadi penyokongnya, tetapi bermentaliti seperti Ibrahim Libya kerana tidak percaya bahawa perjuangan melalui parlimen atau pilihan raya boleh menyebabkan parti mereka memerintah negara. Ini bermaksud mereka sendiri tidak bersetuju dengan Pas yang masih berpegang dengan demokrasi.

Perkara ini samalah dengan yang berlaku ke atas al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan) di Mesir di mana pejuang-pejuang darah mudanya yang sempit fikiran dan cenderung kepada kekerasan meninggalkan al-Ikhwan dan menubuhkan kumpulan-kumpulan sendiri yang dikenali sebagai puak-puak pelampau agama seperti puak Takfir Wal Hijrah, puak al-Jihad dan lain-lain.

Kembali kepada penyertaan orang Malaysia dalam peperangan di Afghanistan yang dipanggil jihad itu, apakah betul ia merupakan jihad?

Jika melihat apa yang berlaku pada tahun 80-an, maka sudah tentu peperangan di Afghanistan itu boleh diterima secara reserve untuk dipanggil jihad kerana pada waktu itu para pejuang Islam, sama ada orang Afghan, pelbagai bangsa Arab dan bangsa Islam seluruh dunia termasuk Malaysia berperang menentang tentera Komunis.

Tetapi jika melihat apa yang berlaku pada tahun 90-an di mana tujuh pertubuhan puak Mujahidin berperang sesama sendiri, maka sudah tentu peperangan di Afghanistan tidak lagi dapat dianggap jihad. Begitu juga yang berlaku antara puak Taleban dan Pakatan Utara (sisa-sisa pelbagai puak Mujahidin). Perlu diterangkan bahawa Perikatan Utara turut mendapat bekalan senjata daripada Komunis atau Russia yang mereka perangi pada tahun 80-an. Manakala Taleban pula mendapat bekalan senjata dari Pakistan sebelum Islamabad terpaksa tunduk kepada Washington.

Untuk memahami secara lebih jelas apakah peperangan di Afghanistan itu jihad atau tidak, tidak dapat tidak kita mesti mengambil kira perbalahan politik yang berlaku di negara itu sejak beberapa dasawarsa. Penulis di sini hanya merujuk kepada perbalahan politik yang berlaku di kalangan orang-orang politik yang gilakan kuasa yang berlaku sejak 70-an. Dimulakan dengan kejadian gila kuasa aneh Raja Afghanistan, Zahir Shah diguling oleh sepupunya yang merupakan bekas Perdana Menteri, Mohammad Daoud. Daoud melakukan konspirasi itu pada tahun 1973 dengan mendapat bantuan Kesatuan Soviet (Soviet). Daoud menjadikan Afghanistan sebagai republik.

Kerana naik ke kekuasaan secara kekerasan, Daoud juga mengalami kesudahan dengan kekerasan. Dia dibunuh pada tahun 1978 oleh Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA). Noor Mohammad Taraki yang juga berkiblat kepada Kremlin dilantik menjadi presiden. Taraki telah melaksanakan dasar yang menimbulkan kemarahan pergerakan-pergerakan agama, iaitu dasar pemulihan tanah (land reform) dan mewajibkan wanita belajar. Pergerakan-pergerakan agama melancarkan jihad menentang Taraki kerana dasar pemulihan tanah menyentuh hak orang kaya dan mewajibkan wanita belajar dianggap bercanggah dengan ajaran agama pada pandangan golongan ultrakonservatif.

Itu antara titik permulaan isytihar jihad di Afghanistan, iaitu jihad menentang Taraki dan jihad tidak membenar wanita menuntut ilmu. Jihad pertama agak relevan kerana Taraki boneka Kremlin, tetapi jihad kedua bercanggah dengan ajaran Islam yang menganggap menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan perempuan.

Setahun lepas itu Taraki melayang dibunuh timbalan presiden yang juga gila kuasa melampau batas, Hafizullah Amin. Amin menamat kisah hidupnya tiga bulan selepas itu kerana dikenakan hukuman bunuh ke atasnya.

Perbalahan politik di kalangan orang-orang gila kuasa di Afghanistan menjadi bertambah teruk selepas Soviet menghantarkan tentera ke Afghanistan pada Disember 1979. Soviet melantik pemimpin PDPA dalam buangan di Moscow Babrak Karmal sebagai presiden.

Sejak itu pelarian Afghan di Peshawar mula mendapat perhatian. Tujuh pertubuhan Mujahidin di Peshawar dipilih oleh Pakistan dan Amerika Syarikat (AS) sebagai berkelayakan untuk mendapat bantuan.

Senjata mula mengalir kepada tujuh pertubuhan Mujahidin. Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) mula melatih pelarian untuk menjadi Mujahidin. Negara-negara Islam mula bergerak di bawah telunjuk AS dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mula membincangkan isu Afghan dalam persidangan-persidangannya.

Pada tahun 1986 Moscow melantik Mohammad Najibullah sebagai presiden menggantikan Karmal untuk meredakan tentang terhadap kerajaan bonekanya di Kabul.

Bagaimanapun keadaan menjadi bertambah buruk kerana Soviet tidak lagi berperang dengan puak-puak Afghan yang menentang kerana bonekanya, tetapi berperang dengan AS, kebanyakan negara Barat dan Islam.

Selain itu selepas sangat ramai tentera Soviet terkorban, Mikhail Gorbachev mengisytiharkan pada tahun 1988 pengunduran tenteranya dari Afghanistan secara bertahap dalam jangka masa 10 bulan.

Malangnya kemenangan tidak membawa sebarang erti kepada bangsa Afghanistan kerana pelbagai puak Mujahidin mula bertarung sesama sendiri. Mereka mengubah jihad menentang tentera Soviet kepada jihad sesama Islam.

Tujuh parti pakatan yang dikenali sebagai mujahidin membentuk kerajaan sementara pada tahun 1989 di mana Sibghatullah Mojaddedi sebagai presiden. Puak Syiah dikeluarkan daripada kerajaan itu. Itulah antara titik awal permulaan jihad sesama Islam.

Pada bulan Ogos tahun yang sama Menteri Luar Negeri Gulbuddin Hekmatyar, pemimpin parti radikal Hizbi Islami keluar pakatan kerana beliau menganggap diri lebih berhak menjadi presiden. Kini Hekmatyar dalam buangan di Iran dan beliau dikatakan akan berpihak kepada musuh lamanya, Taliban jika AS serang Afghanistan.

Pada tahun 1990 tembelang AS mula terdedah apabila ia bersepakat dengan Soviet untuk mengekalkan boneka Moscow , Najibullah sebagai presiden sehingga satu pilihan raya di bawah penyeliaan antarabangsa dapat diadakan.

Lantas pada tahun 21 Mei 1991 AS putuskan bantuan kepada pelbagai puak Mujahidin.

April 1992 memperlihatkan pelbagai puak Mujahidin dapat menakluki Kabul. Pemimpin puak Mujahidin di Peshawar bersepakat perkongsian kuasa dalam pembentukan kerajaan peralihan. Hekmatyar enggan menandatangani persepakatan itu. Beliau terus memberontak tanpa menyedari mainan politik baru AS dan Soviet.

Pada 24 Jun, tahun yang sama Burhanuddin Rabbani diisytiharkan sebagai presiden peralihan Republik Islam Afghanistan selama enam bulan. Hekmatyar terus menggila dan beliau lancarkan serangan roket ke atas Kabul.

Antara bulan Julai-Ogos pada tahun yang sama perang merebak dan melibatkan puak-puak Mujahidin yang lain. Umat Islam seluruh dunia kecewa dengan apa yang dilakukan oleh pelbagai puak Mujahidin. Kemudian Rabbani dianggap mencabar perjanjian Peshawar kerana beliau diisytiharkan sebagai presiden selama dua tahun. Perkara itu berlaku pada 30 Disember 1992.

Pada 19 Januari 1993, kerajaan Rabbani melancarkan serangan besar-besaran menentang Hekmatyar. Pada 7 Mac 1993, tempoh pemerintah Rabbani dipendekkan kepada 18 bulan, Hekmatyar dipujuk untuk dijadikan Perdana Menteri. Dua hari kemudian perang meletus pula kerana masalah tidak dapat diselesaikan antara Menteri Pertahanan Ahmad Shah Masoud dan Jeneral Rashid Dostum. Dostum adalah bekas tentera komunis yang perang di pihak Soviet dan beliau berpaling tadah dan dilantik menjadi jeneral dan diberi gelaran Khalid bin Walid. Dostum yang melarikan diri ke Turki selepas hampir 80 peratus wilayah Afghanistan jatuh ke tangan Taleban kembali ke Afghanistan beberapa minggu lalu untuk menyertai Perikatan Utara melancarkan serangan ke atas Taliban.

Manakala Masoud baru saja meninggal dunia bulan lalu kerana dibunuh oleh dua penyerang berani daripada Algeria. Dikatakan orang Osama bin Laden yang bertanggungjawab atas pembunuhan Masoud itu kerana Osama tidak mahu membiarkan AS menggunakan Masoud melancarkan serangan ke atas Taliban. Osama dan Taleban menganggap Masoud dan lain-lain pemimpin Mujahidin dalam Perikatan Utara sebagai alat AS. Cuma perlu diterangkan bahawa Perikatan Utara kini juga mendapat bantuan ketenteraan dari Rusia.

Ini bererti demi untuk memerangi Taliban dan Osama yang dulu juga merupakan sekutu AS, pelbagai puak Mujahidin dalam Perikatan Utara sanggup bekerjasama dengan Rusia.

Pada 7 Mac 1993, Hekmatyar mengangkat sumpah menjadi perdana menteri, dan Masoud yang tidak dapat menerima sahsiah anarkis seperti Hekmatyar itu meletak jawatan dalam kerajaan. Pada 1 Januari 1994 Hekmatyar muncul sebagai kambing hitam sekali lagi apabila beliau membentuk pakatan dengan Dostum melancarkan serangan besar-besaran ke atas Kabul.

Selepas itu pada Oktober 1994 Kandahar jatuh kepada militia pelajar agama yang dikenali sebagai Taliban dan dipimpin oleh guru agama paling ultrakonservatif, Mullah Mohammad Omar.

Pada 27 September 1996 Taleban menakluki Kabul dan mengisytiharkan sebuah negara Islam yang sempurna. Tiga negara mengiktirafkan kerajaan Taliban.

Pertama Pakistan yang dianggap pencipta Taleban, kedua, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). Kini selepas ditekan oleh AS, UAE tarik balik pengiktirafan kepada kerajaan Taliban. Kemudian Saudi pula selepas beberapa teragak-agak terpaksa ikut telunjuk AS. Bagaimanapun, Saudi mempunyai sebab yang boleh diterima kenapa ia terpaksa memutuskan hubungan dengan Taliban AS kerana Mullah Omar sendiri tidak pernah berterima kasih kepada Saudi sebagai negara Islam yang paling banyak membantu perjuangan di Afghanistan.

Malah beliau sering menghentam Saudi dan menyokong Osama menggunakan kekerasan mengguling takhta keluarga Saudi.

Kesimpulannya ialah apa yang berlaku di Afghanistan sejak tahun 70-an sehingga ke era pembentukan pelbagai puak Mujahidin dengan bantuan Pakistan dan AS pada tahun 80-an bukan boleh dinamakan jihad kerana ia hanya perbalahan politik dan perebutan kuasa semata-mata. - Utusan

Read On

Kisah rakyat Malaysia belajar dengan Taliban

0 comments

Oleh ASTORA JABAT

Kesungguhan sesetengah anak muda Melayu dalam usaha menuntut ilmu agama di luar negara patut dipuji, tetapi jika ada yang sampai sanggup belajar dengan anak-anak pelarian Afghanistan di Peshawar yang dikenali sebagai Taliban, itu tidak patut dipuji sebaliknya dikeji.

Kenapa? Kerana tidak patut rakyat Malaysia belajar di sekolah-sekolah agama yang dibina khusus untuk anak-anak pelarian Afghan itu. Ini menggambarkan seolah-olah tidak ada sekolah-sekolah agama yang lebih baik di Malaysia dan negara-negara Islam lain. Selain itu sekolah-sekolah agama untuk anak pelarian Afghan sangat daif dan kekurangan dalam serba-serbi. Malah di Peshawar ini, walaupun ada sekolah-sekolah lain yang lebih baik serta ada pula universiti-universiti moden, tetapi suasana kucar-kacir, tidak terurus di bandar yang penuh dengan pelarian dan sentiasa berlaku bermacam-macam jenayah ini tidak layak dijadikan tempat menuntut ilmu bagi rakyat kita.

Jika mahu belajar juga boleh memilih sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang berwibawa di Islamabad, Lahore, Karachi dan lain-lain. Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad umpamanya sangat berwibawa. Beberapa pelajar universiti itu yang sempat penulis bertukar fikiran dengan mereka, didapati berfikiran terbuka dan boleh bertutur bahasa Arab dengan baik.

Dengan itu, ada kemungkinan besar rakyat Malaysia yang pernah atau masih berlajar di Peshawar bukan tujuan utamanya untuk menuntut ilmu, tetapi mendapatkan latihan ketenteraan dan berjihad di Afghanistan.

Inilah juga yang menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia yang datang menuntut di Peshawar adalah mereka yang tidak pernah belajar agama secara formal atau gagal dalam pembelajarannya itu di Malaysia, jelas seorang pelajar di Islamabad.

Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Peshawar pada masa lalu, tetapi yang pasti ialah anak seorang pemimpin sebuah negeri di Malaysia pernah belajar di Peshawar dan dia juga pernah pergi ke Afghanistan sebagaimana diakui oleh bapanya sendiri.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang pernah belajar di Peshawar ialah anak kepada bekas ulama parti pembangkang dan kini sudah pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, tidak dapat diketahui apakah masih ada rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar kini. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Sopian Ahmad ketika menyampai taklimat kepada para pelajar di Rumah Malaysia di Islamabad Ahad lalu berkata, beliau ada mendengar khabar kini terdapat seramai 20 orang rakyat Malaysia menuntut di Peshawar.

Tetapi beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana di kalangan 410 orang pelajar yang mendaftar diri di Kedutaan Malaysia di Islamabad, tidak terdapat pelajar yang menuntut di Peshawar.

Ini bererti, menurut Sopian, jika benar terdapat 20 orang rakyat Malaysia belajar di Peshawar, ia sudah tentu antara pelajar yang tidak melapor dan mendaftarkan diri dengan Kedutaan Malaysia.

Sementara beberapa orang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad pula memberitahu penulis bahawa mungkin terdapat rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar terdiri daripada mereka yang tidak melaporkan diri di Kedutaan Malaysia. Mereka ini tiba ke negara ini secara senyap-senyap dan menuntut di merata tempat di Pakistan termasuk Peshawar.

Bagaimanapun, sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dahulunya diketahui menerima rakyat Malaysia sebagai pelajarnya telah pun ditutup dan antaranya ialah Sekolah al-Salman, kata mereka. Sebuah sumber Kedutaan Malaysia memberitahu bahawa ada pelajar-pelajar Malaysia yang dahulu tidak mendaftarkan diri di kedutaan, kini telah pun datang untuk mendaftarkan diri mereka kerana bimbang kesukaran yang mungkin timbul kepada diri mereka jika perang meletus.

Dengan itu pegawai kedutaan itu berkata, kemungkinan sudah tidak ada lagi pelajar Malaysia yang tidak mendaftarkan diri mereka di kedutaan.

Sementara itu orang Arab yang bertugas sebagai guru di sekolah-sekolah agama di Peshawar ini semakin berkurangan dan mereka dikawal rapi oleh pihak berkuasa di sini. Segelintir daripada mereka yang masih ada di Peshawar akan dihantar pulang oleh kerajaan Pakistan dalam masa terdekat.

Akhbar The Nation dalam laporan pada 3 Oktober lalu menyebut bahawa pentadbiran Wilayah Sempadan Barat Laut (NWFP) menuntut Kerajaan Persekutuan Pakistan menghantar pulang lebih awal 56 orang warga Arab yang bertugas di pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Peshawar dan kawasan-kawasan berhampirannya kerana pentadbiran NWFP tidak akan berupaya menjaga keselamatan mereka jika perang meletus.

Pentadbir NWFP dalam surat yang diutus kepada Kerajaan Pakistan menyebut bahawa orang Arab yang berasal dari beberapa negara Arab seperti Sudan, Iraq, Syria, Algeria, Morocco dan Jordan itu bertugas dalam tujuh NGO yang memberi khidmat kepada para pelarian Afghanistan.

Kemungkinan juga rakyat Malaysia yang dikatakan masih ada menuntut di Peshawar ini berada di pelbagai sekolah agama di kem-kem pelarian Afghan yang dikendalikan oleh NGO itu.

Walaupun kini belum jelas tentang wujud atau tidak rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar, tetapi berdasarkan pada masa lalu mungkin ada rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar. - Utusan
Read On

Bila jihad berubah jadi keganasan

0 comments

Oleh ASTORA JABAT

Jihad fi sabilillah atau berperang pada jalan Allah mempunyai maksud yang sangat luhur dalam ajaran Islam dan bidangnya pula sangat luas bermula daripada menuntut ilmu sehingga kepada pembangunan tamadun bangsa.

Berjihad pula ada yang dianggap lebih besar, lebih baik dan lebih utama. Berjihad melawan hawa nafsu disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai jihad lebih besar daripada jihad di medan perang. Malah berbuat baik dan berjasa kepada dua ibu bapa dianggap lebih baik dan perlu diberi keutamaan daripada berjihad di medan perang seperti disebut dalam satu hadis ini.

(Datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w dan dia meminta izin baginda untuk pergi berjihad. Lantas Nabi menyoalnya: "Apakah dua ibu bapa kamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya." Lalu Nabi memberitahu lelaki itu: "Berjihadlah engkau pada mereka berdua.") (Hadis al-Bukhari No. 2783)

Selain itu perang tidak semestinya di medan perang. Malah perang juga tidak semestinya memegang pedang atau senapang, tetapi memegang pena, buku, keyboard komputer juga dianggap perang atau jihad. Begitu juga medan perang tidak semestinya di tanah lapang, dalam hutan, laut dan di udara, tetapi dalam bidang ilmu, teknologi, pembangunan ekonomi ummah dan lain-lain.

Pada waktu yang sama perang atau jihad yang dilaksanakan di Afghanistan sejak dua dasawarsa lalu sukar untuk dipanggil jihad sebagaimana yang telah penulis jelaskan Jumaat lalu kerana ia sebenarnya lebih bersifat perbalahan politik dan perebutan kuasa antara pelbagai puak politik Afghanistan termasuk yang memanggil diri sebagai Mujahidin. (Sila baca rencana berkenaan di www.utusan.com.my)

Dalam pada itu jika melihat kepada orang Islam yang datang ke Afghanistan kononnya untuk berjihad, sebenarnya tidak semua mereka berniat untuk berjihad, tetapi datang untuk belajar ilmu ketenteraan bagi menggunakannya untuk mengguling kerajaan mereka. Golongan inilah sangat ramai. Ada juga yang datang mencari kerja.

Golongan ini juga ramai kerana ramai pemuda Arab yang hidup susah dan melarat di negara sendiri mahu keluar negeri dengan apa cara jua. Mereka ini berjaya dikerahkan oleh pergerakan-pergerakan agama tertentu untuk ke Peshawar atau ke mana-mana bandar sempadan di Afghanistan seperti Jalalabad.

Beberapa orang daripada pemuda ini pernah diwawancara oleh akhbar-akhbar Mesir beberapa tahun lalu.

Seorang lelaki Arab dari Jordan yang mahu dikenali sebagai Abu al-Laith memberitahu penulis Isnin lalu bahawa memang benar terdapat orang yang datang ke Peshawar untuk mencari kerja dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah yang ada di sini.

Dia yang merupakan pegawai NGO sebuah negara Arab di kawasan Teluk berkata, suatu ketika dulu pertubuhannya pernah mengambil ramai pemuda Arab dari Mesir, Algeria, Maghribi, Tunisia, Pakistan dan lain-lain. Tetapi kini kebanyakan mereka pulang ke negara masing-masing atau berpindah ke negara lain.

Abu al-Laith mendakwa, semua pemuda itu tidak pernah pergi berjuang di Afghanistan, tetapi ada di antara mereka pergi ke Afghanistan untuk tujuan lain termasuk menjalani latihan tentera secara ringkas.

Beberapa orang bekas penuntut sekolah Salafi, Sekolah Anak Yatim Othman bin Affan berkata semua guru mereka orang Arab.

"Semua guru saya tidak pergi berperang di Afghanistan dan jika mereka memasuki Afghanistan melalui jalan bukit mereka akan balik pada hari yang sama," kata Najibullah Rehman yang berasal dari Kunar, Afghanistan.

Sekolah agama yang didirikan oleh Perhimpunan Pemulihan Warisan Islam (Jami'iah Ihya' at-Turathi al-Islami atau JITI) dari Kuwait itu terletak di Bajaur, kira-kira dua jam perjalanan dengan bas dari Peshawar.

JITI mempunyai tiga sebuah sekolah di Peshawar dan salah sebuah sekolah dipindahkan ke Jalalabad, Afghanistan. Sekolah-sekolah agama JITI ini masih memberi perkhidmatan kepada anak-anak pelarian Afghanistan dan tidak ditutup oleh Pakistan disebabkan ia sekolah rasmi yang sah.

Dulu terdapat penuntut dari Asia menuntut di sekolah JITI di Bajaur Agency ini, tetapi dari China dan bukan dari Malaysia.

Gul Masood yang sangat fasih bahasa Arab berkata, terdapat penuntut Malaysia menuntut di Sekolah Imam Muhamamd bin Ismail Al-Bukhari yang terletak di Chamkani More, kira-kira 15 kilometer di pinggir bandar Peshawar.

Penulis akan membuat kunjungan ke sekolah agama berkenaan dan sekolah-sekolah agama lain dalam waktu terdekat ini untuk mencari 20 orang pelajar Malaysia yang didakwa menuntut di Peshawar. Mereka dikatakan tidak mendaftarkan diri di Kedutaan Malaysia di Islamabad.

Penulis ingin memberi penjelasan sedikit mengenai kawasan-kawasan yang mempunyai perkataan agency di akhirnya termasuk Bajaur Agency dan Khyber Agency sebenarnya merupakan kawasan yang berkongsi kuasa antara kerajaan persekutuan dengan bermacam-macam suku di Pakistan.

Semua suku itu mempunyai bermacam-macam kuasa istimewa seperti pemungutan cukai atau bayaran perlindungan yang dikenakan ke atas orang asing yang memasuki kawasan mereka. Di sesetengah kawasan mereka mempunyai kuasa untuk menjual-beli barang-barang larangan seperti senjata, dadah dan lain-lain.

Kembali kepada isu orang Arab yang didakwa datang untuk berjihad di Afghanistan.

Gul Masood seterusnya berkata, semasa beliau belajar dulu terdapat seorang guru dari Maghribi bernama Abu Aiman yang pernah ditahan selama setahun dalam penjara di Peshawar kerana dituduh terlibat dengan puak pengganas.

"Kebanyakan guru yang mengajar sekolah saya adalah dari Sudan dan beberapa orang daripada mereka dari Somalia. Mereka dipilih mengajar kerana mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Mereka berperangai baik, sederhana pemikiran dan tidak terlibat dengan puak pengganas.

"Sesetengah orang Arab sangat berbahaya seperti orang Palestin, Mesir, Iraq, Algeria dan Maghribi. Sekolah kami tidak lagi mengambil mereka sebagai guru dan orang Afghan juga tidak sukakan mereka kerana mereka terlibat dalam keganasan di merata tempat," katanya.

Apa yang dapat disimpul daripada penjelasan bekas belajar JITI ini ialah, JITI mempunyai agenda perjuangan sendiri di sebalik kebajikan memberi pendidikan agama kepada anak-anak pelarian Afghan. Agendanya berbeza dengan agenda lain-lain pergerakan atau pertubuhan agama seperti al-Ikhwan al-Muslim (al-Ikhwan) yang memilih pendekatan politik sederhana, puak al-Jihad yang melampau dan lain-lain.

Al-Ikhwan dalam misinya di Peshawar lebih memberi tumpuan kepada jihad perkhidmatan ilmu moden, komunikasi dan perubatan. Manakala puak Jihad dan lain-lain puak pelampau agama berperang di medan perang adalah jihad yang sebenar.

Dari aspek lain JITI bergerak dengan saluran rasmi. Sedangkan kebanyakan pergerakan atau pertubuhan agama lain kecuali al-Ikhwan bergerak di bawah di tanah. Mereka di Peshawar dan di Afghanistan diterima sebagai pejuang termasuk Osama bin Laden, tetapi tidak dikehendaki oleh negara mereka sendiri. Jika ada di antara mereka yang berani pulang ke negara sendiri, mereka akan dipenjara atau dibunuh.

Atas alasan menyokong perjuangan pembangkang atau membalas dendam terhadap kerajaan yang mengerahkan mereka untuk pergi berjihad dan kemudian tidak membenarkan mereka pulang, mereka mengubahkan apa yang didakwa sebagai jihad menentang tentera Soviet itu menjadi keganasan menentang kerajaan sendiri.

Mereka melancarkan percubaan bunuh ke atas pemimpin negara mereka seperti yang dilakukan lebih 10 kali terhadap Presiden Hosni Mubarak. Mereka meletupkan bom pada sasaran-sasaran kerajaan mereka di dalam dan luar negeri seperti yang dilakukan ke atas Mesir dan Arab Saudi pada tahun 90-an.

Babak baru jihad berubah menjadi keganasan akan bermula jika AS menyerang Afghanistan. - Mingguan

Read On