Perang antara media bermulaOleh ASTORA JABAT Tunjuk perasaan di beberapa wilayah Pakistan berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas Afghanistan berubah menjadi ganas apabila penyokong-penyokong Taliban menyerang balai polis, membakar bank, pejabat dan kereta. Wartawan asing turut menjadi sasaran mereka, terutama wartawan Barat. Bagaimanapun, tunjuk perasaan terbesar hanya yang berlaku pada hari pertama saja terutama di Quetta dan Peshawar. Secara umumnya ia hanya berlaku di kawasan sempadan yang juga merupakan daerah terbentuknya kumpulan Taliban. Kawasan-kawasan ini terkenal mempunyai majoriti penduduk Pashto yang merupakan suku yang membentuk Taliban. Mereka merupakan penduduk majoriti di kawasan-kawasan sempadan Pakistan dan Afghanistan. Pemimpin-pemimpin pergerakan agama yang sangat aktif mengadakan tunjuk perasaan menyokong Taliban adalah juga daripada suku yang sama. Tunjuk perasaan pada hari kedua dan hari ketiga serangan berlaku secara kecil-kecilan dan ini membuktikan bahawa kerajaan Presiden Pervez Musharraf berjaya mengawal keadaan. Tunjuk perasaan dan keganasan dijangka berlaku pada hari ini (Jumaat) dan mungkin lebih hebat daripada hari pertama jika AS terus menerus menyerang Afghanistan. Mungkin para pembaca yang mengikuti tunjuk perasaan anti-AS melalui kaca televisyen akan merasa takut melihat apa yang dilapor dan dipaparkan di sini, tetapi kami yang berada di tempat kejadian tidak merasai perkara itu. Ini perkara biasa kerana depan televisyen yang dapat dilihat hanya yang difokuskan dalam ruangan layar lingkup yang sempit. Tetapi kami di tempat kejadian berada dalam ruang yang luas di mana ada satu dua sudut yang dianggap bahaya terjadi sesuatu kejadian, tetapi kebanyakan sudut dianggap tidak berbahaya kerana tiada sebarang kejadian. Sebenarnya secara umum, hotel tempat penginapan kami di Peshawar terletak di di tengah-tengah tempat yang selalu diadakan tunjuk perasaan di Khyber Bazar. Jadi bila tunjuk perasaan meletus, kami tidak perlu pergi jauh, keluar pintu hotel pun sudah berada di tempat kejadian. Bagaimanapun, penulis tidak begitu berani berada di dalam hotel. Malah jika berada di dalam hotel pun sentiasa berjaga-jaga kerana takut hotel dibakar pihak pelampau. Wartawan asing terutama dari negara-negara Barat mengalami masalah besar untuk membuat laporan dari di Peshawar, Quetta dan lain-lain kawasan sempadan kerana mereka tidak dapat bergerak bebas seperti sebelum AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan Ahad lalu. Malah dulu pun pergerakan wartawan Barat agak terbatas juga kerana penduduk kawasan sempadan tidak sukakan kehadiran mereka. Ramai penduduk sempadan menyatakan kepada penulis, Noor Azam Shairi dan Abdul Kadir Bachok bahawa mereka tidak sukakan wartawan Barat atau bukan Islam, tetapi mereka mengalu-alukan kami atau wartawan-wartawan Islam. Bagaimanapun, ketika tunjuk perasaan sedang menjadi-jadi di Khyber Bazar, Peshawar Isnin lalu, wartawan Islam juga terkena lontaran batu seperti yang berlaku kepada seorang wartawan Indonesia yang bertugas dengan sebuah agensi berita Barat. Di Quetta pula lebih teruk di mana wartawan asing dilarang keluar dari hotel mereka. Quetta merupakan kawasan paling bahaya berbanding Peshawar kerana ia penuh dengan pelarian dan di bandar termiskin Pakistan itulah meletusnya tunjuk perasaan yang paling dahsyat. Semua itu menjadi antara punca yang menyebabkan laporan asing mengenai tunjuk perasaan di Pakistan ini agak lemah terutama laporan televisyen atau laporan video. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan CNN dan BBC. Bagaimanapun, kelemahan lebih jelas dapat dilihat dalam laporan CNN dan BBC mengenai serangan AS ke atas Afghanistan di mana sehingga sekarang kedua-dua perbadanan berita besar dunia itu belum dapat menyiarkan laporan eksklusif yang boleh menaikkan imejnya. Banyak juga laporan lama diulang siarannya. BBC yang menggunakan peruntukan jauh lebih besar daripada CNN masih kekal dengan imej lembabnya. BBC dan CNN sama-sama mempunyai wakilnya di Afghanistan, tetapi mereka berada di kawasan utara yang dikuasai oleh puak Mujahidin yang dikenali kini sebagai Perikatan Utara. Mungkin masyarakat dunia patut bersyukur kepada televisyen Arab, al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar kerana merupakan satu-satunya televisyen yang berjaya membuat laporan dari dalam Afghanistan. Jika CNN dipopularkan melalui Perang Teluk oleh Iraq atau Presiden Saddam Hussein pada tahun 1991 kerana stesen itu dibenarkan membuat liputan terus dari Baghdad ketika AS menyerang Iraq, maka kini Taliban atau Osama bin Laden mempopularkan al-Jazeera dari Afghanistan. Al-Jazeera yang dipancar melalui satelit itu boleh ditonton di seluruh dunia dan ia sangat popular di dunia dan di kalangan orang Islam di Eropah dan AS. Penulis berharap stesen televisyen di Malaysia terutama TV1 dapat menyiarkan terjemahan laporan al-Jazeera. Malah Astro pun boleh menyenaraikan al-Jazeera dalam senarai televisyen yang disalurkan kepada penonton di Malaysia. Bagaimanapun, sebelum melaksanakan perkara itu Astro boleh mengkaji saiz pasaran penggunanya di kalangan orang Arab yang tinggal di Malaysia dan pengguna bahasa Arab di kalangan penduduk tempatan. Penulis membuat cadangan ini kerana laporan al-Jazeera boleh mengimbangi laporan stesen televisyen Barat yang berat sebelah. Kepopularan al-Jazeera kini bukan saja kerana ia hanya satu-satu televisyen yang dapat melaporkan kejadian serangan AS dari dalam Afghanistan sejak hari pertama sehingga sekarang, tetapi sebelum itu pun ia dapat menyiarkan laporan-laporan yang sangat berwibawa. Ketika semua wartawan CNN dan BBC diusir dari Afghanistan, wartawan al-Jazeera masih dapat melaporkan dari sana seperti biasa. Kini al-Jazeera satu-satunya stesen televisyen asing yang dapat membuat laporan langsung dari Islamabad dan Kandahar. Semua stesen televisyen seluruh dunia termasuk CNN dan BBC yang hebat itu terpaksa memetik siaran laporan al-Jazeera. Al-Jazeera membuat kejutan dua jam selepas AS melancarkan serangan Ahad lalu dengan menyiarkan rakaman video pengumuman jihad menentang AS oleh Osama bin Laden dan dua orang penolongnya. Penyiaran rakaman video itu dianggap mencabar AS di satu pihak kerana ia membuktikan bahawa Osama bin Laden sedar bahawa AS menyerang beliau atau Afghanistan, dan di pihak lain ia juga dianggap mencabar media Barat yang menguasai laporan peristiwa dunia sebelum ini. Osama nampaknya berbeza pendekatan daripada Presiden Saddam. Tanggapan sedemikian kerana kedua-duanya sama-sama pernah diperalatkan menjadi budak AS, tetapi Osama tidak memberi muka dan mempopularkan media Barat seperti yang dilakukan oleh Saddam terhadap CNN. Hal itu menyebabkan AS dan media-media elektroniknya tidak puas hati dengan al-Jazeera. AS telah pun menyampaikan rasa tidak puas hati itu kepada Emir Qatar, Syeikh Hamad al-Khalifah al-Thani ketika beliau mengadakan kunjungan ke Washington minggu lalu. Tetapi pemimpin Qatar memberi alasan bahawa negaranya yang sedang memperluaskan pengamalan demokrasi dalam semua aspek itu menyebabkan al-Jazeera dibenarkan memainkan peranan dalam membuat laporan mengikut kaca mata sendiri. Pengerusi al-Jazeera, Sheikh Hamad Thamer al-Thani pula berkata, media elektronik Barat cemburu dengan kejayaan al-Jazeera. Oleh itu, ia membuat tuduhan bermacam-macam terhadapnya. Al-Jazeera sejak ditubuh pada tahun 1996 banyak membuat laporan berani yang dianggap mengejutkan sesetengah negara Arab. Malah sesetengah isu yang dibincang dalam beberapa forumnya dicap sebagai kontroversi termasuk isu agama. Dengan itu tidak hairanlah jika ada pemimpin Arab tidak suka kepada al-Jazeera. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
FollowersBlog Archive
About Me |

0 comments:
Post a Comment