Sembahyang Jumaat berimam wanita di AS


Oleh ASTORA JABAT

Yang menjadi masalah bukan saja kerana wujud ulama sejak beratus dan beribu tahun lalu lebih ghairah untuk menonjolkan ajaran al-Quran dari sudut hukum dan kebanyakan hukum yang mereka tonjol pula merupakan hukum tidak boleh dan haram
belaka, tetapi kaum wanita juga turut menjadi mangsa perbuatan mereka.

Ini kerana banyak sekali hukum yang membelenggu wanita didakwa sebagai hukum Islam dan syariah, tetapi sebenarnya tidak kena-mengena dengan Islam dan syariah. Sebaliknya ia merupakan hukum ijtihad ulama kerana ia tidak diperuntukkan dalam al-Quran dan hadis secara muktamad.

Sekadar menjadi contoh disebut di sini bahawa majoriti ulama memfatwakan wanita
tidak boleh menjadikan pemimpin. Dalam istilah fikah pemimpin disebut sebagai
imam (al-imam). Maksud pemimpin atau imam ini pula boleh dibahagikan kepada dua,
pertama, pemimpin atau imam dalam maksud yang sempit iaitu pemimpin negara; dan
kedua, pemimpin atau imam yang maksud yang luas mencakupi semua tugas kepimpinan
termasuk pemimpin atau imam sembahyang. Nas yang digunakan untuk mengharamkan
wanita menjadi pemimpin atau imam itu ialah hadis yang bermaksud:

Tidak sama sekali akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada
wanita (wanita menjadi pemimpin mereka). Hadis ini diriwayat oleh al-Bukhari,
at-Tirmizi, al-Hakim dan lain-lain. Larangan wanita menjadi pemimpin ini didakwa
merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulama.

Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata, ulama telah bersepakat secara ijmak
(konsensus) bahawa tidak harus bagi wanita menjadi pemimpin (Tafsir al-Qurtubi
juz 1, muka surat 270). Manakala Abu Bakar bin al-Arabi pula berkata yang
dimaksudkan pemimpin itu khalifah, iaitu pemimpin tertinggi negara (Tafsir
al-Qurtubu juz 13, muka surat 185). Bagaimanapun, ramai ulama meluaskan lagi
maksud hadis di atas dan ada di kalangan mereka yang menghukum wanita tidak
boleh menjadi apa jua pemimpin.

Sebenarnya hadis di atas tidak boleh dijadikan hujah muktamad bahawa semua
wanita tidak boleh menjadi pemimpin, sama ada pemimpin negara mahupun pemimpin
dalam bidang-bidang lain.

Ini kerana apa yang dijelas oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis itu ada
konteksnya, iaitu ia merupakan penjelasan mengenai pendirian baginda tentang
anak puteri raja Parsi yang masih muda tidak layak menjadi pemimpin mengganti
ayahandanya yang telah mangkat. Ini bermaksud baginda tidak sama sekali melarang
semua wanita menjadi pemimpin. Dalam al-Quran sendiri terdapat surah Saba dan
banyak ayat al-Quran lain yang menceritakan tentang wanita yang menjadi pemimpin
negara, iaitu Ratu Balqis yang memerintah negeri Saba (Sheba). Puteri Balqis
yang dulunya bukan orang beriman, tetapi kemudian dia menjadi orang beriman dan
pengikut ajaran Nabi Sulaiman. Tidakkah ini merupakan bukti yang jelas daripada
al-Quran bahawa ada wanita menjadi pemimpin negara?

Dalam sejarah Islam pula terdapat beberapa pemerintah negara yang merupakan
wanita seperti Syajaratud Dur yang menjadi sultanah Mesir pada kurun ke-13,
Radhiah ad-Din yang menjadi sultanah Delhi, India selama empat tahun antara
tahun 1236-1240 dan Raja Hijau, Raja Hibu, Raja Ungu dan Raja Kuning yang
memerintah Pattani di selatan Thailand.

Perlu diterangkan bahawa Sultanah Syajaratud Dur walaupun sangat hebat kerana
berjaya menghalau tentera Salib dari Mesir, tetapi dia terpaksa melepaskan kuasa
selepas memerintah tidak begitu lama kerana ditekan oleh ulama yang memfatwakan
bahawa kaum wanita tidak boleh atau haram memerintah negara. Selain itu
penyelewengan yang berleluasa dalam kerajaan juga turut menjadi faktor
menyebabkan Sultanah Syajaratud Dur ditentang oleh rakyat dan memaksanya
meninggalkan takhta.

Pada zaman ini larangan wanita menjadi pemimpin yang difatwa oleh kebanyakan
ulama sejak beratus dan beribu tahun lalu masih mempengaruhi orang Muslim
walaupun realiti membuktikan bahawa fatwa itu tidak lagi relevan atau tidak lagi
diikuti. Ini kerana kaum wanita sudah pun menjadi pemimpin negara dan menteri.
Malah hak politik wanita nampaknya tidak mampu lagi disekat oleh fatwa-fatwa
ulama. Ambil contoh perubahan Pas membenarkan wanita menjadi calon pilihan raya.
Padahal beberapa tahun lalu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap tidak harus wanita
melakukan perkara itu.

Perubahan yang sama berlaku di sebuah negara Arab yang paling keras mengamal
ajaran agama serta ulama-ulamanya terkenal suka membuat fatwa yang dianggap
benar-benar menindas wanita seperti mengharamkan mereka memandu kereta, tetapi
negara itu telah diadakan pilihan raya majlis perbandaran yang terbatas. Wanita
belum lagi dibenarkan ikut serta dalam pilihan raya pertama negara itu, tetapi
kehadiran mereka di sebalik tabir adalah jelas. Para pemerhati politik berkata
reformasi politik yang sedang dilaksanakan di negara berkenaan akan membolehkan
wanita ikut serta dalam politik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kaum wanita pada zaman ini nampaknya bukan saja menuntut hak dalam
politik, tetapi mereka juga menuntut hak dalam bidang-bidang lain termasuk dalam
bidang agama. Jika dalam politik sudah ada ulama-ulama yang terbuka dan
membenarkan wanita ikut serta, tetapi mereka mengambil pendirian menentang atau
sekurang-kurangnya tidak menyokong kaum wanita terlibat dalam agama sehingga
sampai ke peringkat peneraju dan pemimpin. Wanita pada pandangan ulama-ulama
hanya patut duduk di belakang sahaja.

Menuntut hak

Mereka tidak dipanggil ulama walaupun mempunyai gelaran doktor falsafah dan
berilmu tinggi dalam bidang agama. Contoh terbaru wanita menuntut hak untuk
menjadi peneraju dan pemimpin dalam agama ialah tindakan seorang sarjana
Muslimah Amerika berasal dari Afrika, Dr. Amina Wadud menjadi imam sembahyang
Jumaat yang turut dihadiri kaum lelaki di Manhattan, New York Jumaat lalu.

Dr. Amina Wadud dan para penyokongnya yang terdiri daripada golongan pejuang hak
wanita itu menganggap kaum wanita juga perlu mempunyai hak yang saksama dalam
mengamal ajaran agama seperti kaum lelaki termasuk menjadi imam sembahyang
Jumaat dan sembahyang-sembahyang yang lain.

Lebih 100 orang lelaki dan wanita menghadiri sembahyang Jumaat yang julung kali
dipimpin oleh seorang imam wanita pada zaman moden ini. Sembahyang Jumaat itu
diadakan di sebuah dewan dipanggil Synod House di gereja St. John the Divine di
Manhattan. Menurut rancangan awal sembahyang Jumaat berimamkan Amina Wadud itu
akan diadakan di masjid, tetapi pihak penganjur tidak berjaya mendapatkan
mana-mana rumah Allah untuk melangsungkan ritual wajib mingguan itu.

Lalu mereka memilih The Sundaram Tagore Gallery. Bagaimanapun, disebabkan ada
pihak mengancam mahu meletupkan The Sundaram Tagore Gallery jika sembahyang
jemaah pimpinan wanita diadakan di situ, maka dipindah ke dewan gereja
berkenaan. Kerana takutkan ancaman bom itu, maka sembahyang Jumaat pada hari itu
terpaksa diadakan secara senyap-senyap dan dihadiri oleh para penyokong saja.

Reaksi ulama terhadap sembahyang Jumaat yang paling kontroversi itu ialah Syeikh
al-Azhar Dr. Mohammed Sayed Tantawi berkata, harus wanita menjadi imam
sembahyang, tetapi bukan sembahyang yang disertai lelaki. Maksud wanita harus
menjadi imam kaum wanita sahaja.

Boleh dihalusi pandangan Dr. Tantawi dalam bahasa Arab di sambungan ini:

http://abcnews.go.com/US/wireStory?id=593622

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menganggap tidak harus wanita menjadi imam sembahyang
yang disertai lelaki kerana beliau berpendapat ulama telah bersepakat dengan
yakin bahawa mengatakan wanita tidak boleh melakukan perkara itu.

Hujah yang dipegang Dr. al-Qaradawi dalam melarang wanita menjadi imam
sembahyang lelaki bukan nas yang muktamad daripada al-Quran, tetapi ijtihad
ulama yang tidak muktamad.

Pandangan Dr. al-Qaradawi dalam bahasa Arab dan Inggeris boleh dihalusi di dua
sambungan ini:

1-

http://www.islamonline.net/fatwaapplication/arabic/display.asp?hFatwaID=122680

2-

http://www.islamonline.net/fatwaapplication/english/display.asp?hFatwaID=122751

Bagaimanapun, hanya Mufti Mesir Dr. Ali Gomaa agak berbeza dengan Dr. Tantawi
dan Dr. al-Qaradawi kerana menganggap wanita boleh menjadi imam lelaki jika
masyarakat menerima amalan seperti itu. Dr. Gomaa berkata, kerana ulama berbeza
pandangan mengenai wanita menjadi imam sembayang kaum lelaki, maka harus bagi
Amina Wadud menjadi imam sembahyang Jumaat yang turut dihadiri kaum lelaki pada
18 Mac lalu. Beliau berkata begitu dalam wawancara dengan televisyen Mesir
Selasa lalu. Beliau mengakui bahawa jumhur (majoriti) ulama menganggap wanita
tidak boleh menjadi imam sembahyang lelaki, tetapi sesetengah ulama lain seperti
Imam at-Tabari dan Imam Ibn Arabi menganggap wanita boleh menjadi imam
sembahyang lelaki.

Perkara khilafiah seperti itu terserah kepada orang yang berpegang dengan
perkara itu. Jika mereka menerima wanita menjadi imam (sembahyang) mereka, itu
adalah urusan mereka dan tidak menjadi masalah selagi mana tidak keluar daripada
pandangan-pandangan terkenal itu. Sebaliknya jika mereka menolak (wanita menjadi
imam sembahyang lelaki), itu adalah urusan mereka juga dan ini samalah seperti
kebanyakan negara Islam termasuk Mesir yang dipercayai tidak mungkin berlaku
perkara itu kerana bertentangan dengan yang ada dalam pemikiran dan adat
masyarakat yang telah sebati dengan mereka. Untuk menghalusi pandangan Dr. Gomaa
boleh layari sambungan ini:

http://www.alarabiya.net/Article.aspx?v=11294

Perbezaan pandangan antara Dr. Gomaa dengan Dr. Tantawi dan Dr. al-Qaradawi ini
adalah perkara biasa dan selalu terjadi dalam perkara-perkara yang tidak disebut
dalam al-Quran dan hadis secara muktamad atau disebutnya secara umum. Perkara
yang sama boleh berlaku bila berhujah dengan hadis yang tidak kuat atau
bercanggah antara satu sama lain. Bila berhadapan dengan suasana semacam ini
tiada yang dapat dilakukan oleh ulama kecuali berijtihad mengikut fahaman
masing-masing dan dari sinilah munculnya perbezaan pandangan dan fatwa. Apa yang
diperlu dilakukan orang Muslim bila berhadapan dengan pandangan dan fatwa
seperti ini kecuali mengambil yang dianggap paling sah dan paling baik. Malah
boleh juga mengambil yang paling sesuai dan paling mudah kerana Rasulullah
membenarkan berbuat demikian.

Begitu juga yang perlu diambil oleh orang Muslim berhubung kes Dr. Amina Wadud
mengimamkan sembahyang Jumaat dua hari lepas.

Sebenarnya perbezaan pandangan mengenai wanita menjadi imam sembahyang lelaki
pernah diperkatakan juga oleh para ulama sejak beratus dan beribu tahun dulu
sebagai tercatat dalam kitab tafsir, hadis dan fikah. Sebagai contoh Ibn Arabi
dalam kitab al-Futuhaat al-Makkiah muka surat 535 berkata, ada ulama yang
mengharuskan wanita menjadi imam kaum lelaki dan kaum wanita secara mutlak.
Begitu juga saya menganggapnya. Ada pula ulama yang melarang wanita menjadi imam
(kaum lelaki dan kaum perempuan) secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang
mengharuskan wanita menjadi imam kaum wanita tanpa kaum lelaki. Demikian itu
kerana mengambil iktibar daripada pengakuan Rasulullah tentang kesempurnaan
sesetengah wanita seperti mana pengakuan baginda terhadap kesempurnaan
sesetengah lelaki walaupun kaum lelaki lebih sempurna daripada wanita seperti
dalam kenabian (an-nubuwah).

Yang dimaksudkan lelaki lebih sempurna daripada perempuan menurut pandangan Ibn
Arabi ialah dalam nubuwah. Namun begitu dia menganggap walaupun wujud kelebihan
itu tidak boleh menyekat wanita menjadi imam sembahyang lelaki. Dalam kitab
Subus Salam dalam juz 2 muka surat 29 as-Sanaani menyebut bahawa al-Muzni dan
Abu Thaur mengharuskan wanita menjadi imam (lelaki). Dia juga menyebut bahawa
At-Tabari mengharuskan wanita jadi imam sembahyang tarawih jika orang (imam)
yang hafaz al-Quran tidak hadir (ketika dia dalam sembahyang tarawih itu) .

Kebenaran

Hujah yang digunakan oleh ulama-ulama yang mengharuskan wanita menjadi imam
sembahyang lelaki ialah kebenaran yang diberi oleh Rasulullah kepada Umm Warqah
menjadi imam ahli keluarga yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Hadis Umm
Waraqah itu disebut dalam banyak kitab termasuk Sahih Ibn Khuzaimah dan Aunul
Mabuud. Dalam kitab Sahih Ibn Khuzaimah disebut dalam juz 3, muka surat 89
bahawa:

Diberitahu kepada kami Abu Tahir, Abu Bakar, Nasr bin Ali. Abdullah bin Daud
daripada al-Walid bin Jami daripada Laila binti Malik daripada bapanya dan
daripada Abdul Rahmana bin Khalad daripada Umm Waraqah, kemudian Rasulullah
bersabda: Mari kita pergi melawat Syahidah (Umm Waraqah). Baginda membenarkan
(seorang lelaki tua) melaungkan azan dan dia (Umm Wraqah) mengimamkan ahli
keluarganya dalam sembahyang fardu. Dia juga merupakan pengumpul al-Quran.

Pengarang Aunul Mabuu dalam juz 2 muka surat 212 berkata, yang disebut dalam
kitab as-Subul (Subus Salam) serta hadis (Umm Waraqah) itu adalah menjadi dalil
kesahihan wanita menjadi imam ahli keluarga walaupun ada lelaki di kalangan yang
menjadi makmumnya. Dia mempunyai seorang tukang azan yang merupakan seorang
lelaki tua sebagai disebut dalam riwayat itu.

Nampaknya dia menjadi imam kepada hamba-hambanya yang lelaki dan wanita. Turut
menganggap sah melakukan perkara itu Abu Thaur, al-Muzni dan at-Tabari kecuali
jumhur ulama. Kesimpulannya tidak ada nas yang muktamad daripada al-Quran dan
hadis yang melarang wanita menjadi imam lelaki. Bagaimanapun, tindakan Dr. Amina
Wadud menjadi imam Jumaat lalu mesti dipandang serong oleh ramai orang termasuk
para ulama bukan kerana tidak ada sandaran agama, tetapi kerana sandaran agama
itu tidak ambil kira disebabkan kebiasaan dan adat turun-temurun yang menguasai kita.

0 comments:

Post a Comment