Perang keganasan bermula

Oleh ASTORA JABAT

Ramai wartawan asing meninggalkan Peshawar dalam beberapa hari yang lalu kerana menjangka perang tidak akan meletus. Malah ramai wartawan yang percaya perang akan meletus pun percaya perang kali ini mungkin berbeza. Ini kerana mereka percaya Amerika Syarikat (AS) akan menggunakan cara yang berbeza dengan cara yang telah digunakan pada masa lalu untuk menumpaskan Osama bin Laden dan Taliban.

Serangan awal AS dan sekutu ke atas Kabul, Kandahar, Jalalabad dan lain-lain adalah cara yang sama yang pernah telah digunakan untuk memerangi Osama bin Laden pada tahun 1998 yang tidak mendatang sebarang kesan. Malah cara yang sama pernah dilakukan oleh AS terhadap Iraq berkali-kali, tetapi Presiden Saddam Hussein tetap gagah seperti sebelumnya.

Sementara itu tunjuk perasaan besar-besaran meletus di Khyber Bazar di Peshawar. Beribu-ribu orang membanjiri beberapa jalan raya di kawasan bandar yang sesak dan dapat disamakan dengan Chow Kit di Malaysia dari segi kegiatan perniagaan. Semua kedai di sekitar Khyber Bazar ini ditutup. Polis dari unit pengawal sempadan mengejar para penunjuk perasaan yang bertindak ganas. Mereka menembak gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan orang ramai di sekitar Masjid Madani yang dianggap pusat Taliban atau penyokongnya di Peshawar.

Wartawan asing tidak dapat berada di tengah-tengah gerombolan para penunjuk perasaan kerana akan dipukul oleh sesetengah penunjuk perasaan yang naik minyak. Dulu jika menyebut nama Islam, kita selamat. Tetapi kerana teramat marah dengan AS, sesetengah penunjuk perasaan memukul wartawan asing tanpa mempedulikan lagi sama ada mereka Islam dan bukan Islam.

Ini berbeza sekali dengan tunjuk perasaan kelmarin dan hari-hari terdahulu di mana kami boleh berada di barisan depan dan dapat mendengar pemimpin-pemimpin pembangkang di sini berucap tanpa masalah.

Tunjuk perasaan turut meletus di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta dan seluruh Pakistan. Kediaman Presiden Jeneral Pervez Musharraf turut menjadi sasaran tunjuk perasaan.

Ketika tulisan ini dihasilkan, penulis sedang memantau dua kejadian. Pertama, tunjuk perasaan yang sedang berkecamuk di luar hotel tempat kami menginap dan kedua, persidangan sebuah parti pembangkang bukan agama, Parti Nasional Rakyat (Awami National Party atau ANP) dipengerusikan oleh pemimpinnya, Ajmal Khattak telah diadakan di dewan utama hotel.

ANP tidak menyokong Taliban, tetapi mengecam serangan AS ke atas Afghanistan.

Tunjuk perasaan di Peshawar ini dianggap terbesar berbanding dengan beberapa tunjuk perasaan yang pernah

diadakan bagi menyokong Taliban dan Osama bin Laden dan menentang AS.

Bagaimanapun, Presiden Musharraf dalam sidang akhbar sebelum tunjuk perasaan meletus pada jam pukul 10.00 pagi semalam, berkata bahawa beliau mempunyai cara untuk bertindak ke atas puak-puak pelampau dan beliau yakin mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebenarnya semua tunjuk perasaan tidak bertujuan untuk mengutuk serangan AS saja, tetapi juga untuk mengutuk dan mengancam kerajaan Presiden Musharraf.

Dengan itu sama ada pelbagai puak pembangkang di sini menyokong AS atau Taliban, mereka akan menggerakkan orang ramai mengadakan tunjuk perasaan juga.

Tunjuk perasaan malah rusuhan pun mudah berlaku di sini kerana suasana sudah tersedia untuk berlaku perkara itu. Rakyat yang miskin sangat ramai dan kadar pengangguran pun sangat tinggi. Selain itu semangat fanatik kepada puak, mazhab dan suku sering menyebabkan pembunuhan seperti yang berlaku antara Sunnah dan Syiah.

Ada satu perkara yang dijelaskan oleh Musharraf dalam sidang akhbar itu ialah beliau mengibaratkan perang terhadap keganasan seperti yang dilancarkan oleh AS dengan mengebom sasaran-sasaran strategi Taliban dan Osama sebagai berusaha untuk memotong sebuah pokok yang tidak dikehendaki saja.

Pokok itu boleh ditumbangkan, tetapi akar dan tunjang berada di dalam tanah.

Dengan kata lain perang terhadap keganasan kini hanya mampu menghapuskan al-Qaeda atau Osama atau Taliban yang dapat diibarat sebagai pokok, tetapi asal keganasan yang dapat diibaratkan sebagai akar dan tunjangnya masih kekal.

Musharraf berkata, asal atau akar dan tunjang keganasan itu ada di merata dunia dan ia boleh tumbuh kembali bila-bila masa. Yang dianggap asal atau akar dan tunjang keganasan inilah yang mesti dibasmikan, bukan saja menebang pokoknya saja.

Pandangan Musharraf ini nampaknya hampir sama dengan pandangan Menteri Pertahanan AS, Donald Rumsfeld.

Rumsfeld berkata ketika beliau mengadakan kunjungan ke Uzbekistan Jumaat, 5 Oktober lalu bahawa perang terhadap keganasan sama dengan Perang Dingin yang berakhir satu dasawarsa lalu.

Ini kerana perang terhadap keganasan kini akan berpanjangan seperti dengan Perang Dingin dulu. Mungkin ia memerlukan jangka masa 50 tahun seperti yang berlaku pada Perang Dingin. Malah mungkin ia memerlukan jangka masa yang lebih panjang.

Perang Dingin dulu tidak meletuskan banyak perang, tapi memberikan tekanan yang terus menerus terhadap komunisme.

Ketika perang itu berakhir tidak diakhiri dengan ledakan dan perang terbuka seperti kedua-dua perang dunia dulu, tetapi melalui keruntuhan sendiri dan hilang dokongan terhadap komunisme di seluruh dunia. Begitu juga akan berlaku pada perang terhadap keganasan.

Dengan itu perang terhadap keganasan tidak berhenti dengan kehilangan kuasa Taliban atau hilangnya Osama. Sebaliknya apa yang dilakukan ke atas Taliban dan Osama hanya pembuka tirai saja. - Utusan

0 comments:

Post a Comment