Bila Taliban paksa wanita buka burqa

Oleh ASTORA JABAT

Pelaksanaan hukum adat yang menghendaki seluruh tubuh wanita termasuk muka ditutup, yang sebenarnya tidak kena-mengena dengan hukum-hakam syariah, dianggap suatu perkara wajib yang tidak boleh ditolak ansur di kalangan puak Taliban. Mana-mana wanita melanggari hukum adat yang dijadikan hukum-hakam syariah itu dianggap melakukan dosa besar dan mesti dikenakan hukuman.

Dengan itu penguatkuasa amal makruf dan nahi mungkar di Afghanistan akan mengambil tindakan memukul mana-mana wanita yang membuka muka walaupun kepala dan rambut tertutup. Begitulah yang berlaku di Afghanistan di bawah pemerintah militia Taliban kini.

Penulis telah berbincang dengan beberapa penyokong Taliban yang pernah mendapat pendidikan agama secara formal di sekolah-sekolah agama Salafi yang ditubuh oleh orang Arab di Peshawar dan didapati mereka tidak bertolak ansur langsung terhadap hukum adat. Ini kerana mereka percaya, jika wanita dibenarkan mendedahkan muka, ia boleh menyebabkan berlaku kerosakan besar dalam masyarakat termasuk zina.

Penulis berada dalam keadaan tidak mengizinkan untuk berdebat dengan penyokong-penyokong Taliban kerana mungkin boleh mengundang bahaya kepada diri, tetapi kerana tidak tahan bersabar, terpaksa jugalah membaca beberapa nas daripada al-Quran dan hadis untuk membuktikan bahawa amalan memaksa wanita menutup seluruh tubuh itu tidak ada dalam Islam.

Selain itu penulis juga menyebut pandangan terbaru Dr. Yusuf al-Qardhawi yang bermaksud, walaupun tudung itu wajib bagi wanita, tetapi bukan bererti Islam mahu wanita menjadi hantu (hodoh dan jelek).

Untuk melihat wanita berpakaian menutup seluruh tubuh seperti yang dikuatkuasakan oleh Taliban, tidak perlu pun pergi ke Afghanistan, cukup saja berada di Peshawar dan lain-lain bandar sempadan Pakistan-Afghanistan.

Malah Peshawar yang menjadi tempat lahir Taliban itu hampir sama dengan bandar-bandar Afghanistan disebabkan kaum wanita tempatan Peshawar pun sebenarnya beriltizam dengan adat pakaian itu walaupun tiada penguatkuasaan peraturan keras seperti yang dilaksanakan di Afghanistan itu.

Ini kerana adat itu menjadi pegangan majoriti penduduk tempatan di Peshawar, tambahan pula mereka juga dari suku kaum yang sama dengan kebanyakan Taliban, iaitu suku Pashto atau Pathan.

Di Peshawar tidak kelihatan wanita bekerja di hotel, bank dan pejabat-pejabat kerajaan. Begitu juga tidak ada wanita yang bekerja sebagai peniaga atau pekedai.

Selama dua minggu tinggal di Peshawar penulis hanya dapat melihat seorang saja wanita yang bekerja di luar rumah, iaitu dia bertugas sebagai menjaga kedai perkhidmatan Internet.

Sebenarnya Peshawar boleh dianggap seperti bandar tanpa wanita kerana jarang kelihatan wanita yang keluar dari rumah untuk membeli-belah atau berjalan dan bersiar-siar di sekitar bandar yang berdebu itu. Jika ada wanita yang kelihatan di bandar itu pun hanya orang tua yang menjadi peminta sedekah atau anak-anak kecil.

Bagaimanapun, ketiadaan atau kekurangan penglibatan wanita dalam kerja luar rumah bukan saja menjadi fenomena khusus Peshawar, tetapi juga di Islamabad, yang merupakan bandar termoden dan termaju di Pakistan.

Perbezaannya cuma di Islamabad terdapat ramai wanita tidak menutup kepala dan tidak memakai burqa.

Penyokong-penyokong Taliban di Peshawar mendakwa wanita di Afghanistan bukanlah langsung tidak boleh bekerja secara mutlak. Sebaliknya mereka boleh bekerja di tempat-tempat kerja yang diyakini selamat dan tidak menyebabkan mereka rosak atau melakukan kejahatan.

Ahli keluarga wanita wajib memastikan perkara itu. Penguatkuasaan hukum mewajibkan wanita memakai burqa menimbulkan masalah tidak terkira kepada Taliban termasuk dari segi keselamatan. Ini kerana terdapat ramai lelaki menyamar menjadi wanita dengan memakai burqa.

Mereka yang melakukan perbuatan itu, menurut cerita sesetengah pelarian Afghan adalah tergolong daripada mereka yang sama ada mahu menyeludup barang, pesalah yang mahu melepaskan diri daripada ditangkap ataupun musuh yang mahu melaksanakan sesuatu rancangan.

Berpakaian burqa itu juga membolehkan sesetengah wanita Afghan yang tidak bermoral melakukan bermacam-macam perkara haram dan menyalahi undang-undang.

Jadi mahu tidak mahu penguat kuasa amal makruf dan nahi mungkar Taliban yang kesemuanya terdiri daripada lelaki terpaksa memeriksa juga wanita berburqa dengan menyuruh mereka melakukan perkara yang selama ini dianggap sebagai dosa besar iaitu membuka muka.

Penulis tidak pasti apakah ada fatwa dikeluarkan oleh ulama Afghanistan mengharuskan perbuatan itu, tetapi beberapa pelarian Afghan berkata perbuatan itu memang berlaku di negara asal mereka.

Malah menurut mereka, yang menuntut wanita mendedahkan muka adalah penguatkuasa amal makruf dan nahi mungkar golongan lelaki kerana tidak ada wanita yang memegang jawatan itu.

Oleh kerana ada sedikit kelonggaran itu juga, ia menyebabkan Taliban berjaya memberkas dua orang wartawan Barat yang memasuki wilayah Afghanistan secara haram dengan menyamar diri sebagai wanita Afghan.

Wartawan Barat pertama yang melakukan perkara itu ialah Yvonne Ridley dari akhbar Inggeris, The Daily Express dan wartawan Barat kedua ialah Michel Peyrard dari majalah Paris Match.

Ridley yang baru dibebaskan Selasa lalu ditahan ketika dia menyawar sebagai wanita Afghan dengan berpakaian burqa. Manakala Peyrard yang baru ditahan Rabu lalu, juga menyamar sebagai wanita Afghan dengan pakaian yang sama.

Peyrard yang dituduh sebagai pengintip, tidak bernasib seperti Ridley kerana dia akan dilayan sama seperti tahanan tentera. - Utusan

0 comments:

Post a Comment