Kumpulan agama ancam kedudukan Musharraf0 comments Friday, June 25, 2010
Oleh ASTORA JABAT
Nampaknya penjelasan Presiden Jeneral Pervez Musharraf bahawa Pakistan hanya memerangi keganasan dan bukan memerangi Afghanistan sukar diterima di kalangan orang ramai di sini. Penjelasan itu juga memakan diri Musharraf sendiri. Bukan saja pergerakan-pergerakan agama yang sekarang melancarkan tunjuk perasaan setiap hari di setiap pelosok Pakistan, tetapi golongan intelek pun sukar menerima penjelasan Musharraf itu. Penganalisis politik Pakistan terkenal Rahimullah Yusufzai dalam satu wawancara eksklusif dengan penulis kelmarin menggambarkan bahawa sesiapa saja berhak mencurigai apa yang didakwa sebagai perang ke atas keganasan berdasar kepada tindakan yang sama dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) pada masa lalu. "Serangan ke atas sasaran pengganas yang dilakukan oleh AS pada masa lalu sama ada di Afghanistan mahupun di negara-negara lain, biasanya melibatkan sasaran awam yang menyebabkan ramai orang tidak berdosa terbunuh. "Malah ada juga sasaran-sasaran yang diserang oleh AS adalah sekolah, hospital, kilang susu dan lain-lain infrastruktur awam," jelas Rahimullah yang merupakan penganalisis politik Pakistan yang paling sibuk kini dan mukanya selalu muncul di kaca televisyen dunia. Malah Rahimullah yang menolak untuk menjadi menteri dalam kabinet Musharraf juga berkata, AS tidak dapat membukti dalam serangan ke atas Afghanistan pada tahun 1998 bahawa Osama bin Laden terlibat dalam keganasan mengebom beberapa kedutaan AS di Afrika. Seperti kes-kes terdahulu dan terbaru kes serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon pada 11 September lalu, Osama menafikan bahawa beliau terlibat. Yang menarik, seperti jelas Rahimullah yang pernah mewawancara Osama sebanyak dua kali dan beliau juga merupakan merupakan wartawan terakhir mewawancara pemimpin yang menjadi hero ramai orang Islam di sini, ialah Osama mahu meninggalkan Afghanistan kerana beliau sedar bahawa kewujudannya di negara itu boleh mendatangkan malapetaka yang tidak terhingga kepada bangsa Afghanistan. Malah Osama enggan membuat sebarang kenyataan sekarang kerana sedar,segala ungkapan yang keluar dari mulut beliau akan membawa padah dan kesengsaraan kepada Afghanistan dan rakyatnya. Washington Post dalam laporan Sabtu lalu melaporkan, tidak ada bukti bahawa empat hingga 19 orang ahli kumpulan al-Qaeda yang berada di AS beberapa tahun lalu, mempunyai kaitan dengan 19 orang perampas pesawat AS yang digunakan dalam serangan pada 11 September itu. Kumpulan yang dipanggil `usrah' oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS itu diperhatikan dengan rapi oleh agensi itu dan mereka tidak ditahan kerana mereka memasuki AS dengan cara yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menyalahi undang-undang. Ketidakpastian AS ini barangkali menyebabkan pentadbiran Presiden Bush mahu memperluaskan tindakan memerangi keganasan di semua tempat dan ia juga berkata tindakan itu mungkin memakan masa bertahun-tahun. Sehubungan itu, jika betul pentadbiran Presiden Bush mahu memperluaskan tindakan memerangi keganasan di semua tempat dalam jangka masa yang lama, ia mungkin meletuskan konflik lama antara Pakistan dengan India. Ini kerana India dan pihak-pihak tertentu di Barat menentang usaha Pakistan untuk mewujudkan satu kuasa nuklear umat Islam dengan menggunakan isu Kashmir untuk menekan Islamabad. Kelmarin beberapa laporan televisyen Barat dan India menonjolkan Islam sebagai bertanggungjawab ke atas keganasan kerana ia menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan wilayah Islam itu. Malah televisyen berkenaan menuduh Islamabad terlibat dalam menciptakan Taleban. Bagaimanapun, Forum Wartawan Kashmir mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Islamabad menuntut Setiausaha Agungnya, Kofi Annan menggesa India menghentikan keganasan tenteranya ke atas wilayah Kashmir yang didudukinya. Kini terdapat 700,000 orang tentera India yang melakukan bermacam keganasan ke atas penduduk Islam di wilayah itu, jelas forum berkenaan. Forum yang sama juga mengutuk serangan ke atas AS. Perkembangan tempatan pula, beberapa pergerakan agama dan pemimpin agama Pakistan nampaknya boleh mengancam kedudukan kerajaan Musharraf terutama jika perang meletus. Jama'at Islami yang lahir sebelum pemisahan benua India hingga tertubuhnya negara Pakistan adalah antara pergerakan agama yang melancarkan tunjuk perasaan menentang serangan yang bakal dilancar oleh AS. Pengasas pergerakan Jama'at Islami ialah al-Marhum Abu al-A'la al-Maududi (1903-1979). Al-Maududi mula aktif berdakwah melalui dunia kewartawanan pada 1918. Beliau antara orang yang mempengaruhi Sayed Qutb dalam mengungkapkan teori mengkafirkan masyarakat moden di negara-negara Islam dan menyebabkan orang tertentu dalam al-Ikhwan al-Muslimin (al-Ikhwan) menggerakkan kegiatan sayap pelampau agama yang menggunakan kekerasan dan keganasan sebagai cara berjuang. Pemikiran al-Maududi sangat popular di Malaysia dan menjadi salah satu rujukan utama Pas. Dengan itu tidak hairan jika dalam Pas terdapat puak-puak pelampau agama seperti kumpulan al-Ma'unah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) kerana pemikiran al-Maududi yang tidak relevan dengan Malaysia sudah berakar tunjang dalam pemikiran ramai orang Pas. Kenapa pemikiran al-Maududi tidak relevan dengan Malaysia? Jawabnya, kerana salah satu bukunya yang ditulis dan diedar pada tahun 1928 adalah sebagai respons terhadap penjajah Inggeris, puak-puak Hindu dan lain-lain puak serta sebagai respons kepada usaha menubuhkan negara Islam berdasar kepada perbezaan agama. Bagaimanapun, Musharraf mendakwa pergerakan-pergerakan agama tidak mampu mengancam pemerintah beliau. Ini kerana menurut beliau, segelintir saja rakyat Pakistan yang menentang tindakan kerajaan beliau yang berpihak kepada AS dalam usaha untuk melancarkan perang ke atas keganasan kali ini. Tetapi penganalisis Pakistan, Rahimullah memberitahu penulis, kata-kata Musharraf tidak tepat kerana jumlah rakyat yang menentang tindakan beliau tunduk kepada AS adalah sangat ramai. Meskipun sekarang mereka dilihat tidak ramai, tetapi jumlah itu akan meningkat bila AS menyerang Afghanistan. Malah seorang penduduk tempatan yang tidak dikenali berkata, jika perang berlaku, Musharraf pun akan kecundang juga. - Utusan Taliban cuba meraih simpati media Barat0 comments
ASTORA JABAT
Perang di Afghanistan bukan saja serangan udara dan darat yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Britain, tetapi juga merupakan perang media melalui pelbagai saluran media cetak dan elektronik. Bagaimanapun, perkara ini bukan saja berlaku dalam perang di Afghanistan, tetapi juga dalam semua perang yang dicetuskan oleh manusia, makhluk terpintar di muka bumi ini. Taliban atau Afghanistan boleh dikatakan kalah dalam semua perang itu kerana ia tidak mempunyai kelengkapan atau persediaan untuk berhadapan dengan serangan AS dan Britain. Bagaimana Afghanistan boleh mempunyai kelengkapan atau persediaan kerana ia tidak ubah seperti negara yang berada di abad pertengahan dulu? Bagaimana mungkin negara yang berada di zaman gelap boleh berhadapan dengan perang yang dilancarkan oleh negara paling maju dari segi peralatan perang di dunia. Dalam tulisan ini, kita hanya membincangkan dari sudut perang media saja. Ada beberapa kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh Taliban berkaitan dengan perang media ini. Kesilapan dan kelemahan pertama ialah Taliban mengharamkan gambar berdasarkan pada kepada beberapa hadis yang dilihat di luar konteks yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. Selain hadis itu, terdapat juga hadis ahad yang tidak begitu kuat serta ia bercanggah dengan hadis-hadis yang lain seperti hadis Rasulullah membenarkan isterinya yang masih kecil Aisyah bermain dengan patung. Taliban telah menggunakan hadis-hadis yang tidak kuat itu sebagai hujah untuk mengharamkan semua bentuk gambar, sama ada gambar lukisan, foto dan video mahupun dalam bentuk ukiran. Mungkin pembaca masih ingat bagaimana Taliban memusnahkan dua patung besar Buddha di Bamiyan tidak lama dulu menimbulkan kekecohan seluruh dunia. Ulama-ulama besar dunia Islam pun turut membantah perbuatan Taliban itu. Bagaimanapun, Taliban ada bertolak ansur juga dalam hal ini. Pada peringkat awal, Taliban mengharamkan segala bentuk gambar, tetapi selepas menerima banyak kritikan, mereka bertolak ansur terhadap gambar yang dianggap perlu dan tidak dapat dielakkan seperti gambar untuk kad pengenalan dan pasport. Tetapi bergambar atau mengambil gambar tanpa keperluan tetap dianggap haram. Sedangkan gambar video atau televisyen masih dianggap haram mutlak. Dengan itu di Afghanistan kini tidak ada televisyen. Seorang wartawan Pakistan bernama Farooq Ahmad memberitahu penulis, beberapa akhbar Afghanistan yang diterbitkan dalam bahasa Pashtun juga tidak menyiarkan sebarang gambar. Kerana tidak ada televisyen dan akhbar-akhbar yang menyiarkan gambar menyebabkan Taliban tidak dapat membalas perang media terhadap AS, Britain dan sekutunya, walaupun di peringkat dalam negara untuk menggerak dan menggemblengkan rakyat. Ia satu kerugian besar kerana gambar, sama ada foto mahupun video lebih berkesan daripada tulisan untuk menggerakkan dan menggemblengkan perjuangan rakyat. Kesilapan dan kelemahan kedua ialah Taliban lebih mengutamakan media Barat terutama yang merupakan media elektronik gergasi seperti CNN, BBC daripada media-media dari negara-negara Islam. Jadi ini bererti walaupun Taliban mengharamkan gambar dalam akhbar dan televisyen di Afghanistan, tetapi mereka mahu menggunakan media-media Barat yang menyiarkan gambar dan video (yang dianggap haram) untuk menyampai maklumat kepada masyarakat dunia dalam usahanya menyerang balas perang media terhadap AS, Britain dan sekutu. Untuk menjayakan matlamat itu Taliban telah membenarkan sekumpulan wartawan asing terutama dari negara-negara Barat memasuki Afghanistan dua minggu lalu. Beberapa wartawan Pakistan turut mengikuti rombongan media itu. Mereka dibawa menjelajah ke kawasan awam di Jalalabad yang dibom dalam serangan udara AS dan Britain itu. Bagaimanapun, pihak Taliban tidak berjaya mencapai matlamat yang dihajatinya kerana media Barat tidak melaporkan apa yang sebenarnya terjadi di Afghanistan. Malah wartawan-wartawan CNN dan BBC dalam laporan mereka hanya berkata mereka tidak dapat memastikan kerosakan harta benda dan kematian orang awam sebagai hasil daripada serangan udara AS dan Britain itu. Kedutaan Afghanistan di Pakistan menyedari bahawa media Barat tidak melaporkan perkara yang sebenar seperti mana diberitahu oleh beberapa orang pegawainya kepada penulis. Abdul Ahad Nasiri dan Sadiqullah berkata, sekumpulan wartawan asing yang dibenarkan masuk ke Afghanistan dua minggu lalu tidak melaporkan perkara sebenar yang berlaku di sana. Mereka dibawa ke kawasan-kawasan yang dibom, tetapi mereka berkata tidak dapat dipastikan jumlah orang yang terkorban. Malah kata mereka, para wartawan Barat mendakwa, mereka dikawal dan tidak dapat bergerak bebas, tetapi sebenarnya perkara itu dilakukan hanya untuk menjaga keselamatan mereka saja. Penulis berhujah dengan Abdul Ahad, Sadiqullah dan lain-lain bahawa mereka tidak boleh marah kepada para wartawan Barat itu kerana kerajaan mereka sendiri melalui kedutaannya di Islamabad yang memilih dan menentukan siapa dan media mana yang akan dibenarkan membuat liputan di Afghanistan. Seterusnya penulis berhujah, Taliban pun mengetahui bahawa media Barat secara khusus tidak pernah melaporkan kecuali perkara yang buruk tentang Afghanistan di bawah Taliban kini. Sebagai contoh penulis menyebutkan bahawa media Barat membuat laporan bahawa Taliban terlibat dalam penanaman popi secara besar-besaran. Padahal sebuah badan pembanterasan dadah dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan terbarunya berkata, Taliban sejak berkuasa berjaya mengurangkan penanaman popi sebanyak 90 peratus. Penulis juga berhujah, mungkin media dari negara-negara Islam atau negara-negara bukan Islam yang membuat laporan dari kaca mata sendiri berbeza pandangan dan tidak setuju dengan Taliban, tetapi ia akan berpihak kepada AS dan Britain yang menyerang sasaran awam dan lebih banyak membunuh orang tidak berdosa itu. Untuk mengatasi masalah laporan berat sebelah atau tidak benar itu penulis mencadangkan kepada para pegawai Kedutaan Afghanistan itu supaya membenarkan satu kumpulan wartawan akhbar dan televisyen dari negara-negara Islam memasuki Afghanistan. Para pegawai kedutaan Afghanistan itu menerima pandangan dan cadangan penulis itu dan mereka berjanji akan mempertimbangkannya, tetapi sampai sekarang belum terbayang pun penulis, Noor Azam Shairi dan Abdul Kadir Bachok akan mendapat visa untuk masuk ke Afghanistan. Ada sesetengah wartawan Arab membuat permohonan untuk mendapat visa sejak lebih sebulan, tetapi belum dapat juga. Penulis pergi setiap hari ke Kedutaan Afghanistan kerana jika bernasib baik, terbuka hati pihak kedutaan itu membenarkan penulis dan kawan-kawan memasuki Afghanistan. Bagaimanapun, kini sudah masuk minggu kedua penulis berada di Islamabad dan meninggalkan kawan-kawan di Peshawar sehingga dapat berkenalan dengan ramai pegawai kedutaan Afghanistan. Walaupun ada yang sangat baik dengan penulis, tetapi nampaknya tidak ada harapan untuk mendapatkan visa. Sebenarnya ada cara lain untuk masuk ke Afghanistan, iaitu masuk secara haram dengan membayar wang kepada orang Afghan atau orang Taliban di Peshawar, tetapi risikonya besar. - Utusan Pertembungan ulama kerajaan, pembangkang0 comments
Oleh ASTORA JABAT
Ulama kerajaan dan ulama yang menyokong kerajaan di Pakistan sama dengan ulama kerajaan dan ulama yang menyokong kerajaan di Malaysia. Mereka tidak menonjol berbanding ulama politik di kalangan pelbagai puak pembangkang agama yang selalu mengadakan ceramah dan tunjuk perasaan menentang kerajaan. Kini selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang Afghanistan mereka menambah pula satu moto baru dalam semua acara ceramah dan tunjuk perasaan mereka, iaitu moto anti-AS dan sekutu. Kehadiran orang ramai dalam majlis ceramah dan tunjuk perasaan ulama-ulama pembangkang pula meningkat setiap kali meningkatnya mangsa keganasan AS dan sekutu di Afghanistan. Sepuluh dua puluh ribu kehadiran adalah menjadi angka biasa dalam majlis ceramah dan tunjuk perasaan di Pakistan kini terutama di Peshawar, Quetta dan Karachi. Tetapi angka itu tidak menakutkan, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Islamabad, Datuk Sopian Ahmad kerana sebelum perang pun serang diadakan tunjuk perasaan sebesar itu dan begitu juga jika diukur dari saiz penduduk Pakistan. Pakistan mempunyai penduduk seramai 150 juta orang. Beberapa orang pelajar Malaysia di Islamabad ini pula berkata, tunjuk perasaan di Pakistan adalah perkara lumrah dan perbalahan antara puak dan mazhab agama pun boleh meletuskan tunjuk perasaan dan rusuhan yang melibat beribu-ribu orang. Selain itu ramai juga terbunuh jika perkara itu berlaku. Seorang wartawan bernama Habib Khan berkata, jumlah orang ramai yang ikut serta dalam tunjuk perasaan bertambah ramai berbanding hari-hari pertama AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan pada 7 Oktober lalu, tetapi masih dianggap kecil. "Parti-parti agama yang menjadi pembangkang walaupun berjaya menggerakkan massa ke jalan raya, tetapi ketika diadakan pilihan raya mereka hanya peroleh 10 peratus undi saja. "Mereka tidak kuat dan tidak mungkin memerintah, tetapi dapat membuat kacau kepada pemerintah," katanya. Pokoknya walaupun ulama pembangkang daripada pelbagai parti dan puak agama nampak sangat menonjol nama mereka kini, tetapi kemampuan mereka untuk mengubah status quo tidak ada, apatah lagi jika sampai ke pihak memerintah negara. Kenapa? Jawapannya selain alasan-alasan yang telah disebut di atas terdapat perkara lain yang menyebabkan ulama-ulama Pakistan lantang suara, tetapi lemah kuasa iaitu kerana mereka mempunyai terlalu banyak parti politik. Sedangkan ulama kerajaan dan ulama yang menyokong menyokong kerajaan walaupun berpuak-puak, mazhab dan parti, tetapi semua mereka mempunyai satu matlamat, iaitu menjaga dan memelihara kesatuan negara dan umat Pakistan dari segala ancaman dalam dan luar. Dengan ada sikap patriotik yang direstui Islam inilah menyebabkan ulama-ulama yang menyokong kerajaan dari pelbagai puak, mazhab dan parti seperti Pir Muhammad Ibrahim, Maulana Abdul Qadir Azad, Nufti Abdul Rashid, Qari Afzal Qadri, Syed Kazim Raza, Shakir Raza Rizvi, Maulana Munir Madni, Shakir Ali Rizvi, Haider Ali Mirza dan lain-lain keluar menyatakan pendirian menyokong polisi kerajaan Presiden Jeneral Pervez Musharraf berhubung Afghanistan dan India pada waktu sekarang. Semua nama ulama di atas itu adalah hanya ulama yang menyokong kerajaan dan bukan lagi ulama kerajaan dalam erti ulama yang berada dalam kerajaan dan memegang jawatan-jawatan tertentu di dalamnya. Ulama-ulama yang menyokong kerajaan ini menyatakan pendirian mereka dalam satu sidang yang dipanggil sebagai Persidangan Menyelamatkan Pakistan ( Tahafuz-I-Pakistan Conference) diadakan di Lahore pada hari Selasa, 22 Oktober lalu. Para ulama itu dalam pernyataan persidangan berkenaan menyebut bahawa mereka menyokong polisi kerajaan Presiden Musharraf berhubungan Afghanistan kerana polisi itu dapat menyelamatkan Pakistan daripada menjadi sasaran persekongkolan jahat India untuk diumumkan Pakistan sebagai negara pengganas. Pakistan dituduh sebagai negara pengganas oleh India kerana ia memberi sokongan kepada perjuangan umat Islam di Kashmir. Pakistan membuat tuduhan yang sama dengan India kerana ia juga memberi sokongan kepada golongan yang berkuasa di Kashmir di bahagian yang berada di bawah India. Ulama-ulama pembangkang yang menentang polisi kerajaan Pakistan dan mengguna pendekatan menghasut rakyat keluar mengadakan tunjuk perasaan adalah bukan kawan Pakistan, tetapi kawan India kerana India sama seperti dengan ulama-ulama pembangkang itu kerana sama-sama mahu kerajaan Pakistan dan rakyatnya berlaga antara satu sama lain, kata pernyataan itu. Apa yang betul sekarang ialah menyelamatkan negara dan bukan menciptakan masalah kepadanya menerusi peletusan tunjuk perasaan-tunjuk perasaan yang menganjurkan kekerasan. Majoriti penduduk mahukan keselamatan kepada negara dan mereka akan keluar menentang golongan yang mahu mencipta kekacauan dalam negara, kata pernyataan itu seterusnya. Sebenarnya mereka yang menentang tunjuk perasaan pelbagai puak pembangkang telah pun keluar menyatakan pendirian mereka dalam satu perarakan yang kecil diadakan di Islamabad minggu lalu. Tetapi mujurlah perarakan itu tidak melibatkan penyertaan ramai orang. Jika tidak, selain ia akan menjadi seperti tunjuk perasaan pembangkang, mungkin pula akan meletuskan rusuhan yang besar kerana pertembungan antara penyokong kerajaan dan menyokong pembangkang. Ia akan menjadi lebih teruk lagi jika majoriti senyap keluar ke jalan raya juga. Pada pandangan penulis walaupun para ulama yang menyokong kerajaan perlu menyatakan pandangan dan kekuatan mereka kepada ulama-ulama pembangkang dan masyarakat, tetapi tidak patut menggunakan tunjuk perasaan kaunter oleh kerana ia akan menjahamankan negara. Seterusnya pernyataan persidangan ulama-ulama yang menyokong kerajaan itu menyelar parti-parti pembangkang agama dan pemimpin-pemimpinnya seperti Maulana Fazlur Rehman, Maulana Samiul Haq kerana mereka tidak mengambil pendirian terhadap keganasan antara puak dan mazhab yang berleluasa di Pakistan ini. Pakistan adalah sebuah negara Islam yang paling teruk menghadapi masalah keganasan sektarianisme yang menyebabkan berlaku pembunuhan antara Sunnah dan Syiah dan antara pelbagai mazhab dan puak agama. - Utusan Pimpinan ulama Taliban0 comments
Oleh ASTORA JABAT
Apakah betul menganggap politik tidak dapat dipisah daripada agama? Tafsiran terhadap pengucapan sebegitu dianggap tidak betul, malah karut. Oleh kerana menganggap politik tidak dapat dipisahkan daripada agama, maka negara Islam itu mesti diperintah oleh orang agama iaitu ulama! Pemimpin sekular tidak boleh memerintah negara Islam, golongan tok guru lebih layak daripada pemimpin politik berwibawa menjadi perdana menteri dan bermacam-macam lagi. Jika kita mengambil kira anggapan tidak betul dan karut-marut itu sebagai kriteria kepimpinan, sudah tentu semua negara Islam sejak zaman Umawiyah sehingga ke zaman Abbasiyah, Uthmaniah dan negara-negara orang Islam hari ini bukan negara Islam belaka kerana tiada seorang pun ulama yang memerintah negara-negara tersebut. Para ulama yang mula muncul pada akhir pemerintahan Umawiyah dan awal pemerintah Abbasiyah sehingga ke zaman ini hanya menjadi penasihat atau membantu para pemerintah saja. Malah kadangkala mereka hanya menjadi penasihat dan membantu para pemerintah dari jauh tanpa mahu terikat dengan jawatan rasmi. Dan inilah yang dilakukan oleh ramai ulama zaman silam termasuk ulama empat mazhab seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafi'I, Imam Ahmad bin Handal. Penulis tidak akan membincangkan secara ilmiah tentang negara pimpinan ulama dalam tradisi Yahudi dan Kristian dan bila ia berlaku di kalangan orang Islam, tetapi hanya akan membincangkan tentang satu saja model negara pimpinan ulama pada zaman ini, iaitu negara Taliban di Afghanistan. Negara Taliban adalah negara pimpinan ulama sebenar kerana semua yang memegang jawatan dalam kerajaan bermula daripada pemimpin negara sehingga kepada pak menteri pun adalah mullah belaka. Malah duta-duta Taliban pun mullah juga. Mullah dalam bahasa Afghan dan Parsi bermaksud ulama. Tetapi jika dihalusi lagi, perkataan mullah digunakan dalam banyak maksud dan konteks. Bagaimanapun, semuanya berkaitan dengan kedudukan agama tinggi yang ada pada orang seorang tokoh agama. Di Iran, Turki dan selatan India umpamanya mullah dimaksud ulama. Manakala mullah di kalangan penganut Syiah bermazhab Ismailiyah diberi maksud pemimpin spiritual yang dianggap sebagai pengganti Imam Mahdi yang belum turun ke bumi. Mullah di kalangan penganut Syiah bermazhab Imamiyah pula adalah ahli fiqah atau hakim atau mujtahid (yang boleh membuat hukum sendiri) dalam masyarakat. Di Pakistan ini mullah disebut dalam bahasa Urdu sebagai maulana, kata orang Pakistan. Maulana berasal daripada bahasa Arab dan ia bermaksud `tuan kami'. Maulana atau `tuan kami' boleh bermaksud Tuhan ataupun manusia. Jika maulana atau `tuan kami' dikaitkan dengan manusia pula, boleh diertikan raja atau pemilik hamba atau orang yang sangat dihormati. Penggunaan istilah ini dalam bahasa Urdu bermaksud ulama kerana ulama merupakan orang yang sangat dihormati. Ini agaknya samalah dengan istilah ustaz yang digunakan di kalangan orang Islam di Malaysia secara salah dengan maksud mereka sebagai orang yang pakar dalam bidang agama. Padahal ustaz adalah bererti cikgu, guru dan profesor secara umum. Malah ustaz dalam penggunaan bahasa harian orang awam di negara-negara Arab bermaksud tuan dan encik. Mungkin ada orang bertanya bagaimana Afghanistan yang berperang tidak berhenti-henti selama 22 tahun boleh mempunyai barisan pemerintah yang merupakan ulama sepenuhnya? Dari manakah datang begitu ramai ulama yang pandai dalam politik dan pentadbiran negara? Tidakkah yang memerintah Afghanistan hanya penuntut sekolah agama kerana Taliban itu penuntut agama? Jika ada timbul persoalan-persoalan seperti itu dalam diri para pembaca, penulis ingin jelaskan begini. Mereka yang dianggap ulama di Afghanistan sebenarnya tidak sama dengan ulama di Malaysia dan negara-negara Arab. Ini kerana ulama di Afghanistan bukan orang berpendidikan agama tinggi dan pernah terlibat dalam penyelidikan yang mendalam, tetapi hanya penuntut sekolah-sekolah agama rakyat di Afghanistan dan Pakistan yang dipanggil sebagai madrasah. Pendidikan agama di sekolah-sekolah agama itu pula hanya memberi lebih tumpuan kepada hafaz al-Quran berbanding mata pelajaran agama lain. Mata pelajaran agama yang bersifat pemikiran termasuk yang berkaitan falsafah dan politik tidak ada langsung. Sekolah-sekolah agama rakyat di Afghanistan dan Pakistan itu bukan saja tidak mempunyai pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang sepatut ada termasuk bangunan yang sesuai, tetapi pembelajaran pun tidak pernah diadakan secara teratur dan sempurna. Perang yang berterusan sejak tahun 1979 sehingga kini menyebabkan sekolah-sekolah agama itu lebih memainkan peranan dalam mengeluarkan tenaga perang daripada tenaga dakwah. Dalam keadaan yang serba berkurangan dan lemah ini, muncullah murid-murid agama yang lebih besar serban daripada ilmu dalam kepala dan diberi gelaran ulama. Justeru berlakulah pelaksanaan Islam yang tidak betul, tidak dapat membezakan antara ajaran Islam dan adat orang Islam, tidak mengetahui yang mana perlu diutamakan dan yang mana tidak perlu, tidak mengetahui yang mana bersifat qati'I (putus dan muktamad) yang mesti dilaksanakan secara bulat-bulat dan yang mana khilafiyah yang terserah kepada pilihan seseorang Islam dan macam-macam lagi. Ulama pembangkang Mesir terkenal Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasel terkejut besar apabila membuat kunjungan ke Afghanistan untuk memujuk Taliban supaya tidak memusnahkan dua patung Buddha di Bamiyan dulu. Pemimpin tertinggi Taliban Mullah Muhammad Omar yang bergelar Amir Mu'minin itu menyifatkan kedatangan Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel sebagai silap jalan kerana beliau menganggap patung wajib dihapuskan dalam negara Islam. Taliban tidak mengendah fatwa Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel yang tidak membenarkan dimusnahkan kedua-dua patung Buddha itu. Lalu mereka memusnahkannya sebelum pesawat yang membawa Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel sempat mendarat di Kandahar, Afghanistan. Apa yang menyebabkan Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel terkejut besar ialah kerana mereka dapati bahawa ulama-ulama Afghanistan yang sempat berbincang dengan mereka tidak ada hubungan dengan dunia luar termasuk hubungan institusi-institusi ulama di negara-negara Islam dan ini menyebabkan mereka mempunyai pemikiran zaman pertengahan dulu. Kesimpulannya perang selama 22 tahun menyebabkan muncul `ulama-ulama' bermentaliti kurun pertengahan itu. Jika Amerika Syarikat (AS) dan sekutu meneruskan perang terhadap Afghanistan begitu lama seperti perang Vietnam, mungkin ulama-ulama Taliban akan terhapus, tetapi muncul pula `ulama-ulama' berfikiran zaman batu. Dan jika dulu AS dengan bantuan Arab Saudi yang dianggap bertanggungjawab dalam melahirkan ulama-ulama Taliban, maka AS juga yang bertanggungjawab dalam melahirkan bakal ulama zaman batu itu. - Utusan Jihad atau minyak punca perang di Afghanistan?0 commentsOleh ASTORA JABAT Sudah ramai orang Islam bukan Afghan, termasuk rakyat Malaysia yang mati di Afghanistan pada tahun 80-an kerana kononnya berjihad pada jalan Allah. Kini pun sudah ada puluhan orang Islam bukan Afghan mati diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kerana kononnya berjihad pada jalan Allah. Kebanyakan mereka adalah orang Pakistan yang menjadi anggota Harakat-e-Mujahidin dan segelintir daripada mereka adalah orang Arab yang menjadi anggota pertubuhan al-Qaedah atau penyokong Osama bin Laden. Semua mereka dianggap mati syahid dan penulis pun berdoa supaya mereka ganjaran syahid. Tetapi sedarkah kita bahawa di sebalik apa yang dianggap oleh orang Islam sebagai jihad itu ada pelbagai kepentingan ekonomi termasuk kepentingan minyak dan gas yang menjadi rebutan antara beberapa negara terutamanya AS dan Kesatuan Soviet (Soviet)? Soviet menghantar tentera ke Afghanistan pada tahun 1997 juga bermotif pelbagai kepentingan ekonomi termasuk untuk mendapatkan laluan ke Laut Arab. Soviet pada ketika itu telah menguasai gas di Afghanistan. Ia menguasai gas Afghanistan sejak tahun 1967. Pada tahun 1980-an jumlah besar gas Afghanistan hanya dieksport ke Soviet dan dengan mendapat laluan ke Laut Arab ini membolehkannya meluaskan pengeksportan gas dan lain-lain ke Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik. Tetapi rancangan Soviet akhirnya digagalkan oleh AS melalui memperalatkan orang Islam dalam apa yang disebut sebagai jihad menentang Komunis di Afghanistan. Ekorannya, Soviet berundur dari Afghanistan pada tahun 1989. Selepas itu AS dijangka akan membolot perusahaan gas Afghanistan di samping simpanan minyak yang banyak di utara banjaran gunung Hindu Khosh yang belum diusahakan disebabkan oleh peperangan itu. Malah lebih menguntungkan lagi, selepas kejatuhan Soviet AS mendapat pula durian runtuh daripada negara-negara Asia Tengah dan Laut Caspian. Pemimpin Tertinggi Taliban, Mullah Mohammad Omar turut terhidu durian runtuhan itu, tetapi belum sempat makan isi durian dengan sebaik-baiknya kerana hubungan beliau dengan Osama bin Laden menjadi halangan. CIA menyedari tentang potensi Mullah Omar di Afghanistan sejak mula Taliban menunjukkan kemenangan di Kandahar. Lalu ia minta Perdana Menteri Pakistan ketika itu, Benazir Bhutto mendampingi dan memberi bantuan kepada militia pelajar itu. Selepas Taliban menguasai 90 peratus bumi Afghanistan, hubungan AS dengan Taliban semakin terjalin. Kini AS yang mahu membina saluran paip daripada negara-negara Asia Tengah dan Laut Caspian melalui Afghanistan dan Pakistan untuk dipasarkan ke Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik menyedari ia perlukan kerajaan yang kuat seperti Taliban. Dengan itu pentadbiran Bill Clinton sejak mula muncul Taliban pada tahun 1994 sehingga kejatuhan Kabul pada tahun 1996 telah melobi untuk syarikat minyak AS, Unocal. Ini kerana AS mahu projek pembinaan saluran paip dari Turkmenistan ke Pakistan menerusi Afghanistan yang menelan belanja sebanyak AS$5 bilion itu diselenggarakan oleh Unocal. AS percaya dengan bantuan Pakistan dan Arab Saudi bahawa Taliban boleh mewujudkan kestabilan dalam negara memandangkan mereka menguasai hampir seluruh Afghanistan. Pelbagai puak Mujahidin yang kini dikenali sebagai Perikatan Utara hanya menguasai lima sehingga 10 peratus saja wilayah Afghanistan dan mereka sudah tentu tidak akan berjaya memerintah negara atau mengancamnya. AS juga percaya walaupun Taliban ultra konservatif dan jumud serta tidak menghormati hak-hak asasi manusia termasuk menindas wanita, tetapi berjuta-juta dolar yang akan mengalir kepada mereka akan menyebabkan mereka berubah. AS mempunyai contoh yang serupa dengan Saudi di mana kekayaan dan kemewahan menyebabkan puak Wahhabiah yang tidak begitu berbeza dengan Taliban itu jinak dan lembut. Lantaran itu Unocal telah menyumbangkan banyak dana untuk membuat persiapan melabur di Afghanistan termasuk menyumbang dana awal berjumlah AS$900,000 kepada Pusat Pengajian Afghanistan di Universiti Omaha, Nebraska. Pusat Pengajian Afghanistan itu telah pun menubuhkan sebuah pusat latihan dan bantuan kemanusiaan untuk orang Afghan termasuk menubuh sebuah sekolah latihan di Kandahar di mana ia telah memberi latihan kepada 400 orang guru, juruelektrik, tukang kayu, tukang cat dan lain-lain. Semua mereka itu bakal dijadikan pekerja dengan Unocal. Ini tidak termasuk berjuta-juta bantuan kemanusiaan yang disalurkan secara rasmi oleh AS kepada Taliban dalam beberapa tahun lalu. Bantuan kemanusiaan itu diteruskan juga pada era pemerintahan Presiden George W. Bush. Pada Julai lalu, Penolong Setiausaha Negara AS bahagian Asia Tenggara, Christina Rocca telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Taliban di Islamabad dan mengumumkan penyaluran bantuan kemanusiaan bermotif politik berjumlah AS$43 juta. Dengan bantuan itu ia menjadikan kesemua bantuan kemanusiaan meningkat kepada AS$124 juta untuk tahun ini saja. Bagaimanapun, Osama bin Laden dilihat menjadi di antara halangan AS dan Taliban tidak dapat menjalinkan hubungan dalam peringkat diplomasi. Sebagai contoh selepas Kabul jatuh ke tangan Taliban pada tahun 1996, AS mahu mengadakan hubungan diplomasi dengan Taliban. Jurucakap Jabatan Negara AS, Glyen Davies berkata, AS dapat tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap usaha Taliban untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Dengan itu beberapa pegawai AS mengadakan kunjungan ke Kabul seperti bekas Penolong Setiausaha Negara bahagian Asia Selatan, Robin Raphel dan penggantinya Karl Inderfurth, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Politik, Thomas Pickering dan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bill Richardson. Richardson adalah merupakan pegawai AS yang paling tinggi membuat kunjungan ke Afghanistan. Bagaimanapun, serangan bom ke atas dua kedutaan AS di Afrika Timur pada Ogos dan Disember 1998 yang didakwa dilakukan oleh Osama bin Laden telah membantutkan usaha menjalinkan hubungan antara AS dan Taliban. Pun begitu, usaha AS untuk mengadakan hubungan diplomasi belum tertutup sepenuhnya. Dengan itu tidak hairan jika para pegawai AS terus berhubung dengan Taliban selepas itu sehingga ke peringkat mengadakan lawatan ke Kabul. Sehingga beberapa hari sebelum serangan ke atas New York dan Washington pada 11 September lalu masih terdapat tiga orang pegawai AS membuat kunjungan ke Kabul. Selepas 11 September, AS masih bertolak ansur dengan Taliban. AS hanya meminta Taliban menyerahkan Osama bin Laden dan berjanji tidak akan menyerang Afghanistan. Malah setelah melancarkan serangan ke atas Afghanistan Presiden George W. Bush masih lagi memberi peluang kepada Taliban dan hanya menuntut penyerahan Osama. Bagaimanapun Mullah Omar tidak mempercayai Bush. Malah Mullah Omar bukan saja tidak percaya kepada Bush dan memberi perlindungan kepada Osama, beliau juga mengancam kepentingan AS di Afghanistan. Beliau seterusnya bertindak dengan tidak memberi kontrak pembinaan saluran paip dari Turkmenistan ke Pakistan melalui Afghanistan kepada Unocal, serta menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat Pridas dari Argentina. Hamid Mir dalam akhbar mingguan Friday Times keluar 12-18 Oktober berkata, perkara itu menjadi punca kemarahan AS dan ia menjadi permulaan konfrontasinya dengan Taliban. Sampai di sini penjelasan penulis dan penulis percaya para pembaca dapat mengetahui apa sebenarnya di sebalik seruan jihad itu. - Mingguan Jihad dan keganasan di Afghanistan, Pakistan0 commentsOleh ASTORA JABAT Keganasan yang berlaku di Afghanistan ada persamaan dengan keganasan yang terjadi di Pakistan. Bagaimanapun, ini bukan pula bererti penulis menuduh Taliban dan pertubuhan al-Qaeda di Afghanistan atau lain-lain pertubuhan dan pergerakan agama di Pakistan sebagai pengganas. Penulis sekadar membincangkan tentang fenomena keganasan yang dilakukan oleh pihak tertentu di kedua-dua negara itu. Semua keganasan tersebut berlaku di atas asas kaum/etnik, puak/parti, mazhab dan agama yang masing-masing dipanggil kaum, keganasan puak/parti, keganasan mazhab dan keganasan agama. Cuma yang berbeza ialah semua keganasan itu dibungkus dengan nama Islam dan diberi label jihad di Afghanistan, tetapi tidak sesiapa pun berani membungkuskan keganasan sama yang berlaku di Pakistan dengan nama Islam dan melabelkannya sebagai jihad. Punca yang menyebabkan semua keganasan yang berlaku di Afghanistan dianggap sebagai jihad kerana sejarah campur tangan tentera Komunis Kesatuan Soviet (Soviet) di negara itu pada tahun 1980-an dulu. Jika tidak, semua keganasan di Afghanistan tidak mungkin dikenali sebagai jihad. Sebaliknya ia akan dikenali sebagai perang saudara atau perang sesama Islam saja. Bagaimanapun, oleh kerana sudah banyak penulis membincangkan tentang Afghanistan termasuk mengenai keganasan, penulis kini akan memberi tumpuan yang lebih untuk membicarakan mengenai fenomena keganasan kaum/etnik, keganasan puak/parti, keganasan mazhab dan keganasan agama yang berlaku di Pakistan. Maksud keganasan kaum/etnik ialah keganasan yang berlaku ekoran perbalahan antara pelbagai kaum/etnik di Pakistan macam antara Punjabi dengan Sindhi dan sebaliknya atau keganasan yang berlaku antara Sindhi dengan Balochi dan sebaliknya, serta lain-lain. Maksud keganasan puak/parti ialah keganasan yang berlaku berikutan perselisihan antara pelbagai puak dan parti agama/politik. Perselisihan seperti ini dalam konteks banyak negara dunia Islam termasuk Malaysia tidak membawa kepada keganasan, tetapi keadaan berlaku sebaliknya di Pakistan. Sebagai contoh perbalahan di antara dua puak atau parti politik di Pakistan boleh mencetuskan rusuhan besar yang menyebabkan berlaku keganasan yang mengorbankan jiwa dan harta. Kerana ada keganasan, gejala ini menyebabkan parti-parti politik di Pakistan tidak begitu kuat kerana berpecah belah, apatah lagi di kalangan parti-parti agama. Ini juga yang menyebabkan Pakistan selalu diperintah oleh tentera. Malah penulis percaya negara yang sering dilanda kekerasan dan keganasan dalaman itu tidak layak diperintah oleh kerajaan awam ketika ini kecuali oleh tentera. Maksud keganasan mazhab pula ialah keganasan yang berlaku disebabkan tiada tolak ansur antara puak Ahlus Sunnah dan Syiah. Gejala ini jarang berlaku kecuali di Iran, Iraq dan Arab Saudi, tetapi ia tidak sehebat yang berlaku di Pakistan dan Afghanistan. Penulis ingin cantumkan semua kategori keganasan itu dalam satu istilah yang dipanggil `keganasan sektarian' (sectarian terrorism/al-irhab al-Tai'ifi). Fenomena keganasan ini dikatakan muncul di Pakistan dan Afghanistan sejak tahun 1980-an, tetapi ia menjadi bertambah ketara pada tahun 1990-an. Sesetengah penulis Pakistan mendakwa fenomena `keganasan sektarian' itu bermula di Pakistan selepas meletusnya revolusi Syiah di Iran pada tahun 1979. Sesetengah penulis Pakistan yang lain pula mendakwa ia berpunca daripada pelaksanaan dasar islamisasi oleh Presiden Zia ul-Haq (1977-1988). Kumpulan minoriti Syiah menentang pelaksanaan dasar Islamisasi mengikut tafsiran puak Ahlus Sunnah itu. Mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Islamabad pada tahun 1981. Ekoran tunjuk perasaan itu kerajaan Pakistan menunjukkan perubahan dalam dasar Islamisasi bagi memenuhi juga kehendak puak Syiah. Bagaimanapun, di peringkat hubungan antara rakyat dan rakyat berlaku ketegangan yang menimbulkan keganasan antara puak Ahlus Sunnah dengan puak Syiah. Puak mazhab Syiah yang menjadi menjadi mangsa utama. Keganasan mazhab yang berlaku di kalangan umat Islam semasa tidak begitu berbeza dengan keganasan mazhab yang berlaku antara Katholik melawan Protestan di kalangan orang Kristian di utara Ireland. Namun keganasan mazhab lebih parah lagi di kalangan orang Islam terutama di Pakistan dan Afghanistan. Di kedua-dua negara itu majoriti Islam dari puak sunnah melakukan keganasan ke atas orang Islam minoriti dari puak Syiah seolah-olah mereka bermusuh dan berperang dengan manusia bukan seagama. Punca permasalahan antara puak Sunnah dan puak Syiah bukan politik, ekonomi dan sosial, tetapi kerana puak Sunnah yang majoriti mahu puak Syiah yang minoriti menerima tafsiran agama yang dibuat oleh mereka. Pandangan karut-marut yang hampir sama terdapat di Malaysia apabila sebuah parti pembangkang agama tidak dapat menerima perbezaan pendapat dalam perkara-perkara khilafiah dan mendakwa tafsirannya saja yang betul dan tepat. Ini termasuk juga dalam soal negara Islam. Keganasan yang dilakukan puak Ahlus-Sunnah ke atas puak Syiah di Pakistan lebih teruk daripada apa yang berlaku terhadap orang Kristian dan Hindu. Dalam erti kata lain, orang Islam yang berbeza mazhab itu lebih suka bermusuh dan berperang antara satu sama lain, sedangkan permusuhan dan berperang dengan bukan Islam jarang berlaku. Minggu lalu ketika penulis berada di Lahore seramai 17 orang Kristian bersama dengan seorang polis beragama Islam dibunuh oleh orang Islam dalam sebuah gereja Katholik di wilayah Bahawalpur. Enam orang Islam yang menunggang motosikal memasuki gereja dan menutup pintunya. Mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah orang Kristian yang sedang melakukan upacara beribadat dalam gereja itu. Pembunuhan itu dikatakan dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Afghanistan. Pengikut Kristian hanyalah 1 peratus daripada jumlah keseluruhan 140 juta penduduk Pakistan. Keganasan sesama Islam kerana berlainan mazhab kebanyakannya berlaku di kawasan Punjab dan kawasan utara Pakistan. Karachi adalah antara bandar yang paling ketara berlaku `keganasan sektarian' itu. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa termasuk ahli-ahli parti agama dan sahsiah terkenal dalam masyarakat. Yang anehnya sekarang muncul semacam trend membunuh doktor perubatan dalam keganasan sesama Islam di Pakistan. Dalam masa 40 hari penulis berada di Pakistan tidak kurang daripada lima doktor dibunuh oleh orang-orang tidak dikenali yang menunggang motosikal. Terakhir sekali berlaku dua minggu lalu di mana seorang doktor yang sedang menjalankan tugas di kliniknya di Karachi ditembak mati oleh lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal. Seorang pesakit turut terkorban. Sejak tahun 2000 sehingga sekarang lebih 75 orang doktor telah menjadi mangsa `keganasan sektarian' itu. Memerhatikan keganasan kaum/etnik, puak/parti, mazhab dan agama yang berlaku di Pakistan dan juga Afghanistan, ia menyebabkan penulis percaya rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama adalah bertuah kerana masih dapat hidup aman damai di negara ini. Padahal Malaysia hampir sama dengan Pakistan dan Afghanistan dari sudut komposisi kaum/etnik, kaum/etnik, puak/parti, mazhab dan agama. Tetapi kerana wujud kerajaan Melayu/Islam yang berfikiran terbuka dan memerintah dengan cara berkongsi kuasa dengan bukan Melayu/bukan Islam, ia membolehkan diwujudkan suasana toleransi di kalangan rakyat. Justeru gejala seperti yang melanda Pakistan dan Afghanistan itu tidak terjadi di negara ini. - Utusan Istilah Islam Hadhari cerdik pandai Arab0 commentsOleh ASTORA JABAT PENULIS telah jelaskan dalam tulisan minggu lalu bahawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dalam Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari mendakwa konsep Islam Hadhari adalah bidaah yang menyesatkan, ia adalah Islam dalam bentuk baru (baca agama baru), ia disadur daripada pemikiran orientalis dan sebagainya. Dalam tulisan minggu ini penulis akan membincangkan pula tentang kesahan istilah Islam Hadhari yang dipertikai oleh Abdul Hadi. Beliau mempertikaikan istilah Islam Hadhari dan menganggapnya salah. Bagaimanapun, dalam perbincangan yang panjang lebar dalam bukunya Abdul Hadi membangkitkan semua perkara yang dianggap salah sejak zaman Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sedangkan isu konsep Islam Hadhari boleh dikatakan dijadikan tajuk buku sahaja dan tidak berapa bab dan muka surat yang membincangkannya secara agak mendalam. Cuba perhatikan kandungan buku Abdul Hadi ini. SALAM PENERBIT PRAKATA PENGARANG SEKAPUR SIRIH BAB 1. MUKADIMAH 1. Perkataan Hadharah Dari Segi Bahasa BAB 2. TAKRIF TAMADUN ATAU HADHARAH MENGIKUT ISLAM 1. Hadharah Islamiyyah 2. Mengapa Hadharah Islamiyyah, Tidak Islam Hadhari? BAB 3. UMNO MENCIPTA PENYELEWENGAN 1. Negara Islam BAB 4. PELAKSANAAN SYARIAT 1. Islam dan Ilmu BAB 5. KRISIS NILAI 1. Fardhu Kifayah BAB 6. PRINSIP HADHARAH ISLAMIYYAH 1. Ibadah 2. Khilafah 3. Amanah 4. Adalah (Keadilan) 5. Hurriyyah (Kebebasan) 6. Syumuliyyah (Lengkap) 7. Ilmu dan Hikmah (Kebijaksanaan) 8. Wahdah (Kesatuan atau Perpaduan) BAB 7. SEJARAH PELAKSANAAN HADHARAH ISLAMIYYAH 1. Nabi Sulaiman a.s. 2. Pengajaran Hadharah Zaman Nabi Sulaiman 3. Zul Qarnain 4. Pengajaran Hadharah Zaman Zul Qarnain BAB 8. PENGARUH HADHARAH GHARBIYYAH TERHADAP UMMAH 1. Politik 2. Pendidikan 3. Media 4. Ekonomi BAB 9. FAKTOR KEMUSNAHAN HADHARAH BAB 10. PENILAIAN HADHARAH BAB 11. TASAWWUR HADHARAH ISLAMIYYAH MENGIKUT AL-QURAN BAB 12. PENUTUP BIBLIOGRAFI Manakah bab yang boleh dianggap beliau membincangkan tentang konsep Islam Hadhari tanpa membaca kandungannya? Tidak ada. Bagaimanapun, bila membaca keseluruhan buku beliau baru dapat dikesan pada bab dan muka surat berapa terdapat perbincangan beliau mengenai konsep Islam Hadhari. Tetapi perkara itu hanya dilakukan oleh beliau sambil lewa tanpa memfokuskan kepada konsep Islam Hadhari. Dalam bahasa kasar cara Abdul Hadi menulis buku itu adalah cara goreng. Cara goreng ini boleh berlaku bila seseorang penulis itu kekurangan fakta dan maklumat untuk dijadikan hujah mengenai sesuatu isu yang dibincangkan. Kerana sebab yang sama Abdul Hadi terpaksa menggunakan pendekatan goreng dalam menghasilkan buku bersaiz 214 muka surat itu. Dengan itu tidak hairan jika buku Abdul Hadi hanya pada tajuknya Islam Hadhari, tetapi kandungannya adalah mengenai perkara-perkara lain. Mungkin jika nak dikira dengan angka hanya dua peratus kandungan buku beliau yang menyentuh konsep Islam Hadhari. Penulis mendapati bahawa Abdul Hadi ada membincangkan tentang konsep Islam Hadhari dalam Prakata Pengarang pada muka surat v. Kemudian beliau membincangkan lebih panjang sedikit tentang konsep itu dalam Bab 1 (Mukadimah) di muka surat 1-15, tetapi secara keseluruhannya bab ini juga ditumpukan untuk mengutuk kerajaan termasuk dengan menyamakannya dengan kaum Tatar yang menyerang Baghdad, Raja Jajaluddin Akbar yang menyelewengkan agama Islam di India dan puak Qadyani yang menjadi alat Inggeris di India. Dalam Bab 2 yang bertajuk Takrif Tamadun Atau Hadharah Mengikut Islam di muka surat 16-34 beliau menggunakan pendekatan goreng secara amat jelas dan hanya menyentuh sedikit sahaja tentang konsep Islam Hadhari termasuk dari segi bahasa. Bermula dari Bab 3 sehingga ke bab terakhir, iaitu Bab 12 pula tiada lagi perbincangan mengenai konsep Islam Hadhari. Namun istilah Islam Hadhari masih muncul sekali-sekala dalam bab-bab berkenaan ketika membuat perbandingan. ISLAM HADHARI DARI SEGI TATABAHASA ARAB Pada pandangan penulis, Abdul Hadi dalam bukunya itu berusaha untuk meyakinkan para pembaca bahawa konsep Islam Hadhari adalah salah dari segi tatabahasa Arab. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terang-terang bahawa istilah Islam Hadhari itu salah dari segi tatabahasa Arab. Cuma beliau memberi gambaran yang membolehkan para pembaca menganggap demikian. Sebagai contoh beliau berkata: ``Jika hadharah hendak dinisbahkan kepada Islam maka kalimah yang perlu digunakan ialah Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari. Jika Islam dinisbahkan kepada hadharah dengan menyebut perkataan Islam Hadhari, maka adalah bahasa yang tidak sopan terhadap Islam, malah ia begitu janggal, tempang dan songsang terhadap ajaran Islam. (Muka surat 18). Di muka surat lain pula beliau berkata: ``Bagi mereka yang mendalami bahasa Arab; yang merupakan bahasa al-Quran dapat memahami hakikat mengapa para ilmuwan Islam menggunakan perkataan HADHARAH ISLAMIYYAH dan tidak menggunakan perkataan ISLAM HADHARI, walaupun sesuatu perkataan itu boleh dinisbahkan dengan apa tanpa mengira baik atau buruk.'' (Muka surat 24). Gambaran yang dibuat Abdul Hadi dalam dua ungkapannya di atas membolehkan sesetengah orang menganggap istilah Islam Hadhari itu salah dari segi tatabahasa Arab. Itulah menyebabkan pemimpin bukan ahli agama seperti Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub membuat kenyataan pada 11 Februari lalu bahawa istilah Islam Hadhari tidak menepati kaedah bahasa dan boleh memberi maksud negatif kepada Islam. Mungkin yang dimaksudkan Salahuddin bahawa istilah Islam Hadhari tidak menepati kaedah bahasa adalah bahasa Arab dan bukan bahasa Melayu. Pandangan seperti itu turut disebar oleh ustaz-ustaz Pas dalam ceramah. Begitu juga dilakukan oleh penyokong parti dalam Internet. Agaknya tidak perlu penulis membincangkan tentang istilah Islam Hadhari dari sudut tatabahasa kerana ia sukar difahami oleh kebanyakan pembaca. Sebaliknya penulis akan membawa contoh penggunaan istilah berkenaan di kalangan cerdik pandai dan ulama di negara-negara Arab. Cuma perlu diterangkan sedikit bahawa istilah Islam Hadhari merupakan konsep atau pendekatan atau program dalam Islam dan ia bukan diri agama Islam itu sendiri. Konsep atau pendekatan atau program dalam Islam ini disebut dalam bahasa Arab sebagai mabda' al-Islaam al-Hadhaariy (konsep Islam Hadhari), atau manhaj al-Islaam al-Hadhaariy (pendekatan Islam Hadhari) dan ia dianggap paling sempurna kerana mencakupi segala tuntutan agama dan dunia, rohani dan jasmani dan sebagainya. Ia dianggap berlawanan dengan konsep Islam politik (al-Islaam as-Siasi) yang lebih memberi perhatian kepada politik. Ia juga dianggap berlawanan dengan Islam tasauf (al-Islaam as-Sufi) yang lebih mementingkan spirituil dari segala-galanya. Jadi dengan itu dakwah Abdul Hadi bahawa Islam tidak boleh dinisbah atau dibangsakan kepada hadhari atau hadharah yang bermaksud tamadun tidak timbul sama sekali. Ini kerana yang hadhari itu adalah konsep, pendekatan dan program syumul dan menyeluruh yang terdapat dalam agama Islam itu. Berikut dibawa beberapa contoh penggunaan istilah Islam Hadhari sebagai konsep atau pendekatan atau program di kalangan cerdik pandai dan ulama di negara-negara Arab. Penulis akan menyebut rujukan contoh-contoh berkenaan bagi membolehkan para pembaca terutama yang menjadi penyokong Pas mengkaji sendiri. 1. Dr. Mohammad Said Ramadhan al-Bouti menggunakan istilah Islam Hadhari dalam ceramah bertajuk Islam dan Kristian Untuk Berhadapan Dengan Suasana Dunia Baru yang diadakan oleh Kementerian Wakaf Syria pada 25 Disember 2000. Ceramah Dr. al-Bouti boleh dirujuk di laman web http://www.bouti.com/bouti_ lecture4.htm 2. Dr. Khaled Abdullah Al-Qasim dalam forum di Kuliah Pendidikan, Universiti Raja Saud, Arab Saudi yang diadakan pada 20-22 April 2004 ada membentangkan kertas kerja menuntut pembaharuan program Islam Hadhari (Tatwir Masyru' al-Islam al-Hadhari). Laporan mengenai forum dan kertas kerja berkenaan boleh dirujuk di laman web http://www.ksu.edu.sa/seminars/gpe/ Recuomendation.htm 3. Dr. Yusuf Ghalum menyampaikan ceramah bertajuk Islam Hadhari di forum bertajuk Islam dan Barat, Dialog atau Konflik yang diadakan di Kuwait pada 1 Disember 2001. Laporan mengenai forum berkenaan boleh dirujuk di laman web http://www.ebaa.net/khaber/2001/12/10/ khaber1.htm 4. Mursyid Am al-Ikhwan al-Muslimun, Dr. Abdul Monem Abol Fotoh menganggap Islam Hadhari merupakan pendekatan sebenarnya untuk menyelesaikan masalah ummah. Rujukan ini pernah penulis sebut dalam ruangan ini pada masa lalu dan ia boleh dirujuk di laman web http://www.islamonline.net/arabic/daawa/2004 /07/article02.shtml 5. Dr. Fahmi Jada'an dalam rencana yang disiarkan dalam majalah Al-Arabi bilangan 519, keluaran 1 Februari 2002 membincangkan tentang keperluan kepada Islam Hadhari sebagai ganti Islam politik yang banyak merosakkan imej Islam dan umatnya. Rujukan ini juga pernah penulis sebut dalam ruangan ini pada masa lalu. Rencana beliau boleh dibaca di laman web http:// www.balagh.com/mosoa/fekr/rz0q52c0.htm 6. Ahmad al-Masallamani menulis rencana bertajuk Permulaaan Program Islam Hadhari dan Kesudahan Program-Program Islam Politik. Rencana beliau boleh dibaca di laman web http:// www.bab.com/articles/full_article.cfm?id=8271 7. Hassan al-Husni membincangkan tentang pergerakan Taliban yang melampau dianggap mencemarkan imej Islam Hadhari. Tulisan beliau boleh dibaca di laman web http://www. alshahid. com/ameda/o50b449w.htm 8. Yahya Abu Zakaria membincangkan tentang agama Islam sebagai agama kehidupan dan bukan agama pembunuhan turut menyebut tentang istilah Islam Hadhari. Tulisan beliau boleh diikuti di laman web http://www.arabtimes.com /writer/zakaria/doc54.html Semua contoh di atas membuktikan bahawa dakwaan Abdul Hadi bahawa ulama tidak menggunakan istilah Islam Hadhari (muka surat 15) adalah pembohongan semata-mata. Begitu juga tidak tepat jika Abdul Hadi dan orang Pas menganggap istilah berkenaan salah dari sudut tatabahasa Arab. Masakan para cerdik pandai dan ulama yang disebut di atas terutama yang terkenal seperti Dr. al-Bouti itu boleh melakukan kesilapan dari sudut tatabahasa Arab dan dianggap merosak dan menyesatkan pula seperti dakwa Abdul Hadi. Ustaz Melampau Rosak Imej Islam0 comments
Oleh Astora Jabat
Ramai orang tertentu yang digelar sebagai ustaz mempunyai pemikiran tidak begitu berbeza dengan puak-puak pelampau agama di negara-negara Arab. Selain itu mempunyai pandangan melampau, ada di kalangan mereka menghasut orang ramai supaya melaksanakan pandangan melampaunya. Biasanya di negara-negara Arab golongan yang boleh dipanggil pelampau agama ini bergerakan di bawah tanah, tetapi di Malaysia mereka berada dalam parti berlabel Islam yang boleh menyampai ceramah berciri Khawarij dan Hasysyasyiyyun kepada orang ramai. Untuk mengetahui siapakah ustaz yang merupakan pelampau agama itu, cubalah baca e-mel dan jawapan saya di bawah. Penceramah pembangkang suruh hadirin bunuh Astora Saudara Astora, JIKA tuan-tuan jumpa dia (saudara), tangkap dan pancung kepalanya, tuan-tuan berani? Demikianlah antara kata-kata Shahrir Long yang boleh saya ingat walaupun mungkin ada sedikit perbezaan kerana saya hanya sempat mendengar sekali lalu saja. Kata-kata itu diluahkan di dalam VCD ceramah beliau yang telah di rakamkan di dalam sebuah masjid di Lembah Pantai. VCD tersebut sedang dijual dengan meluas terutama di Kelantan. Pada hari Sabtu yang lepas, saya telah sempat bersiar-siar di bandar Kota Bharu. Saya singgah di sebuah kedai menjual buku-buku agama dan lain-lain seperti VCD dan kaset ceramah agama yang rata-ratanya adalah penceramah pembangkang. Pada masa itu, sebuah rakaman ceramah yang dibuat oleh Shahrir Long itu dimainkan. Saya terkejut apabila perkataan dajal disebut dan ia ditujukan kepada saudara. Dia melabelkan saudara telah murtad kerana tiga perkara yang telah saudara ketengahkan, terutama melalui majalah Al Islam. Yang pertama kerana saudara menyatakan rambut wanita itu bukan aurat, kedua kerana tidak ada azab kubur dan ketiga Nabi Isa tidak akan turun ke bumi di akhir zaman dan telah mati sebagaimana manusia biasa. Jadi, saya amat-amat khuatir akan keselamatan saudara. Cuma saya hanya mampu berdoa agar saudara diberi perlindungan oleh Allah. Manalah tahu, mungkin ada yang terlalu taksub dengan kata-kata Shahrir Long akan mengambil tindakan ke atas saudara kerana bagi mereka membunuh dajal adalah jihad dan amat dituntut dalam fahaman Islam mereka. Oleh itu saya berharap agar saudara sentiasa berwaspada. Pada mulanya saya ingin membeli VCD tersebut dan membuat salinan untuk dihantar kepada saudara, tetapi saya tidak mahu bersubahat melariskan VCD yang jahat itu. Maka saya cuma cuba mengingati kata-kata dalam ceramah yang penuh dengan hasutan supaya membenci sesama Islam sehinggakan menghalalkan darah saudara. Saya sekali lagi mengingatkan kepada saudara, bahawa nyawa saudara sedang terancam. Tetapi jangan takut, yang benar akan tetap benar. - Ust. Namra, Jerteh, Terengganu (ust_namra@yahoo.com) JAWAPAN: Terima kasih tidak terhingga kepada Namra kerana tolong mengingatkan tentang keselamatan diri penulis. Memang penulis banyak memikirkan tentang masalah keselamatan itu terutama terhadap keluarga. Anak-anak dan isteri paling tidak selesa dan mereka menuntut pergi bekerja di luar negara setiap kali mendengar berita kurang baik. Penulis baru saja menonton VCD Shahrir Long itu dua hari lepas dan didapati beliau benar-benar mengancam keselamatan penulis. Ini kerana beliau dengan terang-terang menghasut orang-orang yang menghadiri ceramah beliau di masjid Pantai Dalam itu (sebenarnya Masjid Lembah Pantai ) supaya membunuh penulis. Penulis tidak kenal siapa penceramah pembangkang itu, tetapi tahun lalu pun ada seorang penyokong pembangkang menghubungi penulis dari Terengganu. Dia menghubungi penulis sebanyak dua kali dan di antara soalan yang dia cetuskan ialah apakah bersedia untuk berdebat dengan Ustaz Shahrir Long? Penulis menyoal penyokong pembangkang itu, siapa Ustaz Shahrir Long? Dia menjawab Ustaz Shahrir Long adalah seorang penceramah agama yang selalu menyampaikan ceramah di Terengganu. Beliau dalam ceramahnya selalu mencabar penulis, kata penyokong pembangkang itu. Penulis memberitahu penyokong Pas itu biarlah penceramah itu mencabar dan penulis tidak mahu berdebat dengan beliau, tetapi bersedia untuk berjumpa dengan beliau bagi membincang isu-isu agama yang dipertikai. Ketika di Kelantan penulis memberitahu penyokong pembangkang itu supaya memberitahu penceramah itu agar berjumpa dengan penulis di Kota Bharu. Penulis berikan nombor telefon bimbit peribadi. Bagaimanapun, tiga hari penulis berada di Kota Bharu bukan saja batang hidung penceramah tidak kelihatan, tetapi telefon daripada penyokong pembangkang berkenaan pun tidak ada. Selepas menerima e-mel saudara minggu lepas, penulis terus menghubungi orang-orang tertentu untuk bertanya mereka siapakah penceramah yang merupakan pelampau agama itu? Tetapi tiada seorang pun yang kenal beliau. Akhirnya penulis bertemu nama dan nombor telefon beliau dalam senarai nama para penceramah Pas. Justeru penulis menghubungi beliau. Pada mulanya penulis menghubungi rumahnya dan didapati beliau tiada di rumah. Lalu penulis menghubungi beliau melalui telefon bimbitnya. Penulis memperkenalkan diri sebagai Hassan Abdul Rahman (nama benar penulis) dari Utusan. Penulis memberitahu bahawa penulis ada dengar berita bahawa beliau menghukum Astora Jabat sebagai murtad. Apakah betul ustaz menghukum Astora begitu? Tanya penulis. Beliau menjawab Astora itu seorang penulis yang sesat. Beliau memberi contoh dianggap Astora sesat kerana dia berkata azab kubur tidak ada. Penulis menyoal beliau lagi mana beliau belajar agama? Beliau tidak mahu menjawab. Seterusnya penulis menjelaskan bahawa Astora tidak berkata, azab kubur tidak ada, tetapi dia berkata azab itu berlaku ke atas roh dan bukan ke atas jasad. Belum dapat menghurai panjang lebar tentang isu azab kubur, beliau mengesyaki bahawa orang yang bercakap dengan beliau adalah Astora Jabat. Siapa ni? Astora Jabat ke? Penulis menjawab: Ya. Sayalah Astora Jabat. Menyedari hakikat itu beliau menjadi bertambah tidak sopan dan mengutuk penulis habis-habisan. Penulis berusaha dengan sedaya upaya mengajak beliau berbincang dengan tenang terutama berhubung seruan beliau supaya para hadirin dalam masjid di Pantai Dalam (Lembah Pantai) itu membunuh penulis, tetapi beliau menolak. Beliau mendakwa tidak ada waktu dan bateri telefon hampir habis. Lantas beliau menutup felefon. Ketika menyampaikan ceramah sebagaimana dirakam dalam VCD, beliau menjelaskan bahawa penulis murtad sebanyak tiga kali kerana penulis menulis dalam majalah Al Islam menganggap rambut wanita bukan aurat, tiada azab kubur dan Nabi Isa tidak akan turun di akhir zaman. Bagaimanapun, beliau sendiri mengakui tidak membaca Al Islam. Memang jika orang yang mempunyai akal yang waras membaca Al Islam, dia akan mengetahui bahawa bukan penulis yang menulis rencana rambut wanita bukan aurat dan Nabi Isa tidak akan turun di akhir zaman itu. Malah rencana yang ditulis oleh penulis mengenai azab kubur pun bukan pandangan penulis, tetapi pandangan orang lain yang bersifat pro dan kontra termasuk pandangan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya. Manakala penulis pula menganggap keazaban selepas mati hanya berlaku ke atas roh dan tidak berlaku ke atas jasad. Pandangan penulis ini sama dengan pandangan ramai ulama terdahulu dan sekarang. Perang agama di Gaza?0 comments
RENCANA
01/02/2009 Oleh Astora Jabat Kenapa ada negara-negara Arab merestui Israel membunuh penduduk Gaza? Jika pun betul mereka sangat marah kepada Hamas kerana perkiraan permainan politik semasa di rantau Asia Barat memaksa mereka berbuat demikian, tetapi tercapaikah matlamat mereka? Hamas masih kuat dan mungkin dalam masa beberapa bulan akan datang, ia akan menjadi lebih kuat dari masa lalu. Buktinya selepas sehari tentera berundur dari Gaza, beribu-ribu orang Hamas lengkap dengan senjata keluar mengadakan tunjuk perasaan mengisytiharkan kemenangan. Kebanyakan mereka keluar dari ratusan terowong bawah tanah. Mungkin pada masa akan datang jika proses damai tidak diteruskan, bukan saja Yahudi akan menjadi sasaran keganasan, tetapi juga negara-negara Arab. Pada penelitian saya, kebanyakan orang Muslim, orang Yahudi dan orang Kristian melihat perang Israel ke atas Gaza itu sebagai perang agama atau sekurang-kurangnya perang yang mempunyai ciri-ciri agama. Pandangan stereotaip ini mungkin terpantul daripada semua perang yang berlaku antara Arab dan Yahudi dalam jangka sama lebih enam dasawarsa lalu. Malah ia mugkin juga terpantul daripada pengalaman pelbagai perang Salib dan perang jihad orang Muslim pada zaman silam. Jika dihalusi memang terdapat faktor agama dan budaya menyebabkan perang Arab-Israel termasuk perang ke atas Gaza dianggap sebagai perang agama atau sekurang-kurangnya perang yang mempunyai ciri-ciri agama. Dalam masa empat minggu berturut-turut saya memantau media massa Yahudi, saya dapati selain rencana-rencana yang memperkatakan perang ke atas Gaza merupakan perang agama, ramai anggota tentera Israel merupakan orang yang kuat agama, membawa dan membaca kitab suci ketika di medan perang, memakai kopiah dan menjadi ahli pergerakan atau parti pelampau agama Yahudi. Dengan itu dapat dikatakan bahawa perang agama menjadi gagasan perjuangan Yahudi sejak sekian lama. Ini juga yang terjadi di kalangan orang Palestin dan bangsa-bangsa Arab lain kerana terpengaruh dengan gagasan perjuangan Yahudi. Umat Muslim di seluruh dunia turut dijangkiti fahaman ini. Kerana pandangan stereotaip ini, sejarah silam yang amat buruk dan keji itu diulangi serta dimainkan semula oleh manusia yang moden dan maju kini. Mereka yang memilih jalan untuk berperang atau mempunyai mentaliti mahu berperang di kalangan orang Muslim, Kristian, Yahudi dan lain-lain tidak berbeza. Hanya diri mereka berada pada zaman serba maju dan canggih ini, tetapi otak dan akal tercampak jauh ke zaman kuno.. Semua mereka bermusuh dan berperang atas nama agama dan Tuhan. Pada hal agama dan Tuhan tidak pernah merestui perang. Sebenarnya jika merujuk kepada wacana agama (al-khitab ad-dini) dalam ketiga-tiga agama langit (Islam, Kristian dan Yahudi), kita akan dapati bahawa terdapat banyak wacana agama yang bermasalah. Begitu juga dalam Islam ada konsep jihad, yang sering disalah fahamkan ramai orang terutama orang bukan Islam. Jihad bila dikaitkan dengan perang seperti disebut dalam al-Quran, maka ia bererti bersugguh-sunguh dalam perang mempertahankan diri. Perang mempertahan diri adalah satu-satunya perang yang sah dalam Islam berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Islam tidak pernah mensyariatkan perang untuk menceroboh dan merampas wilayah orang lain. Jika merujuk kepada wacana agama dalam Kristian dan Yahudi terdapat nas-nas Injil dalam Perjanjian Lama yang secara jelas menganjurkan pembunuhan dan perang. Jika nas-nas Injil itu difahami secara harfiah, nescaya pembunuhan dan perang tidak dapat dielak dan orang atau bangsa yang disuruh dibunuh dalam nas-nas itu pula adalah orang atau bangsa Palestin. Saya tidak pasti apakah para pemimpin Yahudi yang membuat keputusan melancarkan perang ke atas Gaza pada 27 Disember lalu turut berhujah dengan peruntukan Injil dalam Perjanjian Lama di bawah ini. Cuba teliti nas-nas Injil di bawah. 33:50-56 Tuhan berfirman kepada Musa di Dataran Moab di tepi sungai Jordan dekat Jericho: Berbicaralah kepada orang Israel dan katakanlah kepada mereka: Apabila kamu menyeberangi sungai Jordan ke tanah Kanaan, maka haruslah kamu menghalau semua penduduk negeri itu (Palestin) dari depanmu dan membinasakan segala batu berukir kepunyaan mereka; juga haruslah kamu membinasakan segala patung tuangan mereka dan memusnahkan segala bukit pengorbanan mereka. Haruslah kamu menduduki negeri itu dan diam di sana, sebab kepadamulah Kuberikan negeri itu untuk diduduki. Maka haruslah kamu membahagi negeri itu sebagai milik pusaka dengan membuang undi menurut kaummu: kepada yang besar jumlahnya haruslah kamu memberikan milik pusaka yang besar, dan kepada yang kecil jumlahnya haruslah kamu memberikan milik pusaka yang kecil; yang ditunjuk oleh undi bagi masing-masing, itulah bahagian undiannya; menurut suku nenek moyangmu haruslah kamu membahagi milik pusaka itu. Tetapi jika kamu tidak menghalau penduduk negeri itu dari depanmu, maka orang-orang yang kamu tinggalkan hidup dari mereka akan menjadi seperti selumbar di matamu dan seperti duri yang menusuk lambungmu, dan mereka akan menyesatkan kamu di negeri yang kamu diami itu. Akhirnya sekali saya ingin jelaskan bahawa walaupun Israel yang melancarkan perang ke atas Gaza, tetapi negara-negara Arab yang kena kutuk. Bukan Israel tidak kena kutuk, tetapi kali ini negara-negara Arab kena kutuk dengan cara yang agak luar biasa. Ia bukan pertama kali negara-negara Arab kena kutuk disebabkan angkara Yahudi. Pada masa lalu kebanyakan negara Arab kena kutuk kerana dilihat tidak mampu melakukan apa-apa yang sepatutnya untuk berhadapan dengan ancaman Israel, tetapi kini beberapa negara Arab berpengaruh kena kutuk kerana didakwa bersekongkol dengan rejim Tel Aviv untuk menjatuhkan Pergerakan Pertahanan Islam (Hamas). Pada negara-negara Arab itu, Hamas patut diperangi kerana ia adalah al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan), mahu menubuhkan negara Islam, menjadi proksi Iran dan menjadi paksi yang tidak disukai dengan Hizbullah, Syria dan Iran. Malah negara-negara Arab itu juga memerangi Hamas kerana melihatnya sebagai Taliban Palestin. Islam liberal gertak sosial takutkan umat Islam0 comments
BICARA AGAMA
05/06/2005 Oleh ASTORA JABAT MINGGU ini penulis akan meneruskan perbincangan mengenai isu Islam liberal. Minggu lepas penulis telah pun membincangkan tentang fitrah liberal dalam diri semua manusia dan sejarah kemunculan liberalisme pada abad pertengahan di Eropah serta kaitannya dengan tamadun Islam. Turut dibincangkan beberapa nama cerdik pandai Muslim di seluruh dunia yang memanggil diri mereka sebagai Islam liberal atau pihak lain yang memanggil mereka begitu. Mana-mana pembaca yang tidak sempat membaca perbincangan penulis minggu lepas boleh membacanya di dua sambungan ini. 1.http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm 2.http://www.astorajabat.com/modules.php?name=News&file=article&sid=362 Sebagai lanjutan kepada perbincangan berkenaan penulis ingin memperincikan sedikit lagi tentang kecelaruan dan salah faham sesetengah cerdik pandai Muslim kita berhubung Islam liberal ini. Perlu diterangkan bahawa Islam dalam istilah Islam liberal bukan dimaksudkan agama Islam, tetapi ia yang dimaksudkan orang Muslim serta ijtihad dan fahaman Islamnya. Dalam erti kata lain, Islam liberal itu bukan dimaksudkan membahagi dan memisahkan Islam menjadi liberal dan tidak liberal seperti tanggapan sesetengah cerdik pandai kita, tetapi aliran pemikiran orang Muslim. Dalam konteks ini Islam liberal itu sebenarnya bermaksud orang Muslim atau pemikiran dan fahaman Islamnya yang bersifat bebas, sederhana dan terbuka. Ia dianggap sinonim dengan istilah Islam madani (awam/sivil), Islam demokrasi, Islam moden, Islam progresif dan sebagainya. Penggunaan istilah Islam liberal ini ada yang datang daripada mereka yang dikenali sebagai Islam liberal sendiri seperti Islam liberal di Indonesia kerana mereka sendiri yang menamakan diri mereka begitu. Ada media massa terutama media massa Barat memanggil dan menamakan para cerdik pandai Muslim tertentu sebagai Islam liberal termasuk Syeikh Mohammad al-Ghazali, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Mohammad Amara, Fahmi Huwedi, Dr. Kamal Abu al-Magd dan lain-lain cerdik pandai Muslim yang berfikiran bebas, sederhana dan terbuka. Padahal mereka sendiri tidak memanggil dan menamakan diri mereka begitu. Bagaimanapun, dalam suasana Islam dan umatnya menghadapi serangan dari setiap penjuru ini menyebabkan sesetengah cerdik pandai Muslim tidak membantah jika mereka dilabel sebagai Islam liberal oleh media Barat kerana mereka sendiri mahu dilihat sebagai berfikiran bebas, sederhana dan terbuka serta berbeza dengan puak-puak konservatif yang tiada pembaharuan dan memadai dengan status quo yang sedia ada di negara-negara Arab dan puak-puak pelampau agama yang menggunakan kekerasan dan keganasan untuk memerangi negara-negara Arab itu. Demi mempelbagaikan pandangan dalam perbincangan mengenai Islam liberal ini penulis fikir amat tepat sekali dikemukakan di ruangan ini penelitian seorang penulis bebas yang benar-benar membuat penyelidikan mengenai Islam liberal, iaitu Fathi Aris Omar. Beliau kini sedang menjalankan kajian budaya dan media di Jakarta termasuk tentang sejarah, perkembangan dan wacana Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Sebutan penelitian Fathi disiarkan dalam forum di laman web penulis, http://www.astorajabat.com Di bawah tajuk `Islam Liberal' propaganda ciptaan Pas, tahu tak? Fathi menulis: ``Memang kata `Islam Liberal' - cuba dikaitkan dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) atau beberapa wacana `bergengsi' di beberapa negara Islam - sudah ada pada aktivis agama kita. Namun, belum meluas. Tetapi peristiwa-peristiwa politik pada bulan-bulan terakhir di Malaysia mengetengahkan ungkapan dan label itu ke tingkat wacana popular masyarakat kita. Ia mahu dirembeskan ke ruang kesedaran awam. ``Label `Islam Liberal' dijadikan sejenis `gertak sosial' yang menakutkan supaya sebarang wacana perubahan dalam pemikiran umat Islam atau kritik agama mengalami jalan buntu. Sebab itu, pada hemat saya, label yang dibawa oleh aktivis agama kita ini akan membantut proses perubahan pemikiran orang Melayu. Ia boleh mencipta mental block atau hadangan nalar yang baru. ``Pemakaian label dan wacana `Islam Liberal' di negara kita dikaitkan dengan Sisters in Islam (SIS), gejala imam Amina Wadud, gerakan anti-hadis Kassim Ahmad, beberapa yayasan luar negara yang mempromosi demokrasi, program kerajaan yang dimusuhi mereka (misalnya `Islam Hadhari') atau artikel Astora Jabat di Mingguan Malaysia. Semuanya dipukul borong! Strategi seumpama ini memang ciri khas propaganda dan taktik `klasik' kepungan minda. ``Maka, tidaklah hairan, apabila kumpulan-kumpulan Islam di negara kita enggan sama sekali mengiktiraf satu kenyataan pahit ini - sememangnya di dalam tubuh umat Islam itu sendiri ada `rasa gelisah' yang sangat dalam. Rasa `gelisah' pada jawapan-jawapan dangkal dan tradisional, pada sikap-sikap mundur pemikir dan aktivis Islam, pada persoalan-persoalan semasa yang masih tergantung tanpa jawapan meyakinkan.'' Memang seperti biasa mesti ada yang pro dan kontra terhadap pandangan Fathi di atas. Bagaimanapun, penulis yakin bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan Fathi tidak mempunyai hujah-hujah yang kuat untuk membuat sanggahan. Namun jika ada yang berfikir sebaliknya, silalah menyahut cabaran penulis dan hantarkan sanggahan mereka kepada penulis. Insya-Allah penulis akan menilai dengan sebaik-baiknya untuk disiarkan dalam ruangan ini atau dalam ruang E-Pembaca. Seterusnya Fathi dalam tulisannya berkata: ``JIL, Amina Wadud, Taliban, SIS dan Jamaah Islamiah (JI) itu bukan wacana Barat, Yahudi atau Amerika Syarikat seperti suka digembar-gemburkan oleh aktivis-aktivis agama. Kita selalu ingin menyisihkan mereka. Mereka bukan daripada ummah, begitulah nada kita demi menjaga air muka sendiri apabila telah terconteng arang. Ada sindrom sangkalan (denial syndrome) yang tebal bersarang bersama kita, sebenarnya. ``Sama seperti negara ini memenjarakan penganut-penganut Syiah, menafikan hak mereka untuk belajar di universiti Islam kita atau memecat mereka daripada menganggotai Pas. Hakikatnya, walau bagaimana nakal dan jahatnya `anak' kita, ``air dicincang, tidak akan putus.'' Sepotong tazkirah dari lagu dalam filem Ada apa dengan cinta?, ``Jujurlah pada hatimu.'' Untuk apa kita berpura-pura? ``Acara `Cabaran Islam Liberal' di Johor besok (15 Mei lalu) dengan rangka memanjangkan propaganda buruk Pas dan beberapa kumpulan Islam untuk mengepung pemikiran orang ramai. ``Kenyataan penganjur di laman-laman web Harakahdaily.net (7 Mei 2005) dan Malaysiakini.com (13 Mei 2005) menjelaskan segala-galanya. ``Isu asalnya mereka abaikan, iaitu persoalan (debat) tentang kawalan moral dari perspektif syariat, budaya Malaysia (atau Melayu) dan juga hak asasi manusia dan demokrasi. Sekali sahaja isu ini dibawa ketika Pas menghadiri forum bersama SIS anjuran `Malaysian Liberal Forum' yayasan FNS. Begitu juga soal cadangan mendirikan suruhanjaya antara iman (IFC). ``Kenyataan Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan pada 14 April 2005 mengajak orang ramai berdemonstrasi dengan memburuk-burukkan JIL - tanpa sebarang asas dan hujah (malah fitnah semata-mata). Saya petik sebahagiannya di sini: ``Pihak DPPWP memandang serius penglibatan Sisters In Islam - Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang tidak bertanggungjawab serta mempergunakan nama persaudaraan Islam dan rakyat Malaysia untuk membawa ideologi Jaringan Islam Liberal (JIL) dalam masyarakat Malaysia. ``Di negara luar, khususnya Indonesia Jaringan Islam Liberal yang tumbuh bagai cendawan selepas kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah di Turki telah mewujudkan satu gelombang kegusaran baru dalam gelodak akidah umat Islam. Ideologi baru ini melahirkan akidah bidaah yang diinspirasikan dari pemikiran Kamal Attarturk ...'' ``Beberapa aktivis kanan pertubuhan Islam juga berbuat hal yang sama. Saya kutip satu tulisan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini: `` ... era lahirnya pendakwah-pendakwah di pintu neraka. Salah satu aliran yang sedang menyerang dunia hari ini ialah Islam Liberal.'' (tulisan Dr. Danial Zainal Abidin pada 20 Mac 2005 di laman web JIM). ``Sementara dari ABIM pula, seperti berikut: ``Hipotesis kajian ini adalah bahawa adanya kesinambungan dan pengaruh yang kuat antara sekularisme, orientalisme, modenisme Islam dengan Islam Liberal.'' (Ditulis oleh Khalif Muammar A. Harris pada 12 Mei 2005 di laman web `Minda Madani Online'). ``Penulis yang sama pernah juga mengupas satu artikel dengan judul `Islam Liberal dan Agenda Depolitisasi Islam' - satu gambaran yang tersasul benar daripada pergolakan `Islam Liberal'. ``Saya memang tidak mengutip lengkap di sini tetapi ternyata semuanya ini ke arah memburuk-burukkan, mencemarkan, distorsi (menyeleweng) perspektif dan fakta tentang banyaknya ragam pemikiran dalam tubuh umat Islam. Kata `Islam Liberal' dan malah kata `Islam' itu sendiri terlalu besar untuk menjelaskan sesuatu gejala (gambaran) dengan adil dan wajar. ``Mereka bercakap dengan jahil, berunsur fitnah, dangkal, serong dan dengan niat memburukkan pihak lain (dalam umat Islam), dan mereka namakan ini agama Allah atau dakwah? Wah... yang Pas pula, asal boleh perbodohkan orang, bodohkan lagi.'' Memang pedas kritikan Fathi tetapi benar. Kurang membaca dan malas mengkaji serta lebih suka mengutamakan pendekatan hukum daripada pendekatan dakwah menyebabkan itu menjadi begitu... Perhatikan tulisan Fathi seterusnya. Beliau berkata: ``Perang ini perang psikologi taraf rendah, usaha mengepung minda kolektif. Ia bukan usaha membuka wacana yang mencerahkan akal tentang beberapa isu dasar awam (public policy) dan hubungannya dengan agama. Bukan mendidik rakyat memperhalusi isu, mengajar orang ramai tentang pokok dan isi persoalan negara (dan kaitannya dengan agama) secara rasional, kritis dan tenang. Tetapi, mengobarkan semangat bergerombolan (atau, herd mentality) dalam wacana politik. Ketika berdemonstrasi, mentaliti gerombolan disebut mob rule. ``Lagak mereka ini, seimbas lalu, seperti anak-anak hingusan - tidak mampu memujuk ibu bapa membeli barang kesukaannya, anak akan duduk mengeras diri, menghentak-hentakkan kaki atau meraung-raung sekuat hati tanpa mempedulikan sekeliling lagi! Jika tidak suka perlambangan anak ini, dalam bahasa politik, kita boleh sebut lagak aktivis Islam ini sejenis `pendekatan fasisme' dalam mengepung minda orang ramai. ``Pendek kata, mereka bercadang untuk `menang', meraih keuntungan politik, bukan untuk membentangkan posisi dan keyakinan politik mereka sendiri kepada rakyat agar orang ramai nampak jernih persoalan-persoalan, mempertimbangkannya dan kemudian membuat keputusan. Supaya fikiran masyarakat menjadi lebih berstruktur, berdaya analisis, matang dan tinggi tingkat penghujahannya; supaya rakyat `celik politik'. ``Minda awam yang `celik politik' akan cenderung independen, kritis dan tidak mudah dikawal lagi. Minda awam seperti ini diperlukan di negara kita ke arah pemupukan demokrasi. Tetapi Pas, kumpulan-kumpulan Islam dan UMNO sama sahaja - melemahkan pemikiran massa dengan menyebarkan propaganda selapis, berpihak, beremosi, pandangan sehala, dan tidak jamak perspektif. ``Semua isu awam akhirnya tidak jernih. Semuanya diselaputi nada cemas, amaran atau gertak psikologi. Wacana bertambah kusut, hujung dan pangkal isu tidak dikenali lagi. ``Oleh itu, umat Islam akan lambat berfikir secara independen untuk menentukan sikap sendiri, dan selama-lamanya mereka memerlukan kumpulan, parti atau ketua tertentu untuk memandu arah mereka. Siapa lagi yang boleh memimpin, kalau bukan puak-puak Islam ini?'' Harap baca dengan fikiran terbuka. Minggu hadapan penulis akan membincang pula tentang Islam liberal di Arab Saudi. Islam liberal di Arab Saudi muncul di kalangan cerdik pandai Muslim muda puak Wahhabi. Mereka dulu berfikiran konservatif dan tertutup, kini mereka berfikiran progresif dan terbuka. Mereka mengkritik ulama-ulama Wahhabi termasuk Syeikh Muhammad Abdul Wahab, pengasas puak Wahhabi. Mereka mendapat sokongan kerajaan Arab Saudi, tetapi sesetengah mereka dipenjara dua minggu lalu kerana tergopoh-gapah mengkritik kerajaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
|

