Istilah Islam Hadhari cerdik pandai ArabOleh ASTORA JABAT PENULIS telah jelaskan dalam tulisan minggu lalu bahawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dalam Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari mendakwa konsep Islam Hadhari adalah bidaah yang menyesatkan, ia adalah Islam dalam bentuk baru (baca agama baru), ia disadur daripada pemikiran orientalis dan sebagainya. Dalam tulisan minggu ini penulis akan membincangkan pula tentang kesahan istilah Islam Hadhari yang dipertikai oleh Abdul Hadi. Beliau mempertikaikan istilah Islam Hadhari dan menganggapnya salah. Bagaimanapun, dalam perbincangan yang panjang lebar dalam bukunya Abdul Hadi membangkitkan semua perkara yang dianggap salah sejak zaman Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sedangkan isu konsep Islam Hadhari boleh dikatakan dijadikan tajuk buku sahaja dan tidak berapa bab dan muka surat yang membincangkannya secara agak mendalam. Cuba perhatikan kandungan buku Abdul Hadi ini. SALAM PENERBIT PRAKATA PENGARANG SEKAPUR SIRIH BAB 1. MUKADIMAH 1. Perkataan Hadharah Dari Segi Bahasa BAB 2. TAKRIF TAMADUN ATAU HADHARAH MENGIKUT ISLAM 1. Hadharah Islamiyyah 2. Mengapa Hadharah Islamiyyah, Tidak Islam Hadhari? BAB 3. UMNO MENCIPTA PENYELEWENGAN 1. Negara Islam BAB 4. PELAKSANAAN SYARIAT 1. Islam dan Ilmu BAB 5. KRISIS NILAI 1. Fardhu Kifayah BAB 6. PRINSIP HADHARAH ISLAMIYYAH 1. Ibadah 2. Khilafah 3. Amanah 4. Adalah (Keadilan) 5. Hurriyyah (Kebebasan) 6. Syumuliyyah (Lengkap) 7. Ilmu dan Hikmah (Kebijaksanaan) 8. Wahdah (Kesatuan atau Perpaduan) BAB 7. SEJARAH PELAKSANAAN HADHARAH ISLAMIYYAH 1. Nabi Sulaiman a.s. 2. Pengajaran Hadharah Zaman Nabi Sulaiman 3. Zul Qarnain 4. Pengajaran Hadharah Zaman Zul Qarnain BAB 8. PENGARUH HADHARAH GHARBIYYAH TERHADAP UMMAH 1. Politik 2. Pendidikan 3. Media 4. Ekonomi BAB 9. FAKTOR KEMUSNAHAN HADHARAH BAB 10. PENILAIAN HADHARAH BAB 11. TASAWWUR HADHARAH ISLAMIYYAH MENGIKUT AL-QURAN BAB 12. PENUTUP BIBLIOGRAFI Manakah bab yang boleh dianggap beliau membincangkan tentang konsep Islam Hadhari tanpa membaca kandungannya? Tidak ada. Bagaimanapun, bila membaca keseluruhan buku beliau baru dapat dikesan pada bab dan muka surat berapa terdapat perbincangan beliau mengenai konsep Islam Hadhari. Tetapi perkara itu hanya dilakukan oleh beliau sambil lewa tanpa memfokuskan kepada konsep Islam Hadhari. Dalam bahasa kasar cara Abdul Hadi menulis buku itu adalah cara goreng. Cara goreng ini boleh berlaku bila seseorang penulis itu kekurangan fakta dan maklumat untuk dijadikan hujah mengenai sesuatu isu yang dibincangkan. Kerana sebab yang sama Abdul Hadi terpaksa menggunakan pendekatan goreng dalam menghasilkan buku bersaiz 214 muka surat itu. Dengan itu tidak hairan jika buku Abdul Hadi hanya pada tajuknya Islam Hadhari, tetapi kandungannya adalah mengenai perkara-perkara lain. Mungkin jika nak dikira dengan angka hanya dua peratus kandungan buku beliau yang menyentuh konsep Islam Hadhari. Penulis mendapati bahawa Abdul Hadi ada membincangkan tentang konsep Islam Hadhari dalam Prakata Pengarang pada muka surat v. Kemudian beliau membincangkan lebih panjang sedikit tentang konsep itu dalam Bab 1 (Mukadimah) di muka surat 1-15, tetapi secara keseluruhannya bab ini juga ditumpukan untuk mengutuk kerajaan termasuk dengan menyamakannya dengan kaum Tatar yang menyerang Baghdad, Raja Jajaluddin Akbar yang menyelewengkan agama Islam di India dan puak Qadyani yang menjadi alat Inggeris di India. Dalam Bab 2 yang bertajuk Takrif Tamadun Atau Hadharah Mengikut Islam di muka surat 16-34 beliau menggunakan pendekatan goreng secara amat jelas dan hanya menyentuh sedikit sahaja tentang konsep Islam Hadhari termasuk dari segi bahasa. Bermula dari Bab 3 sehingga ke bab terakhir, iaitu Bab 12 pula tiada lagi perbincangan mengenai konsep Islam Hadhari. Namun istilah Islam Hadhari masih muncul sekali-sekala dalam bab-bab berkenaan ketika membuat perbandingan. ISLAM HADHARI DARI SEGI TATABAHASA ARAB Pada pandangan penulis, Abdul Hadi dalam bukunya itu berusaha untuk meyakinkan para pembaca bahawa konsep Islam Hadhari adalah salah dari segi tatabahasa Arab. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terang-terang bahawa istilah Islam Hadhari itu salah dari segi tatabahasa Arab. Cuma beliau memberi gambaran yang membolehkan para pembaca menganggap demikian. Sebagai contoh beliau berkata: ``Jika hadharah hendak dinisbahkan kepada Islam maka kalimah yang perlu digunakan ialah Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari. Jika Islam dinisbahkan kepada hadharah dengan menyebut perkataan Islam Hadhari, maka adalah bahasa yang tidak sopan terhadap Islam, malah ia begitu janggal, tempang dan songsang terhadap ajaran Islam. (Muka surat 18). Di muka surat lain pula beliau berkata: ``Bagi mereka yang mendalami bahasa Arab; yang merupakan bahasa al-Quran dapat memahami hakikat mengapa para ilmuwan Islam menggunakan perkataan HADHARAH ISLAMIYYAH dan tidak menggunakan perkataan ISLAM HADHARI, walaupun sesuatu perkataan itu boleh dinisbahkan dengan apa tanpa mengira baik atau buruk.'' (Muka surat 24). Gambaran yang dibuat Abdul Hadi dalam dua ungkapannya di atas membolehkan sesetengah orang menganggap istilah Islam Hadhari itu salah dari segi tatabahasa Arab. Itulah menyebabkan pemimpin bukan ahli agama seperti Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub membuat kenyataan pada 11 Februari lalu bahawa istilah Islam Hadhari tidak menepati kaedah bahasa dan boleh memberi maksud negatif kepada Islam. Mungkin yang dimaksudkan Salahuddin bahawa istilah Islam Hadhari tidak menepati kaedah bahasa adalah bahasa Arab dan bukan bahasa Melayu. Pandangan seperti itu turut disebar oleh ustaz-ustaz Pas dalam ceramah. Begitu juga dilakukan oleh penyokong parti dalam Internet. Agaknya tidak perlu penulis membincangkan tentang istilah Islam Hadhari dari sudut tatabahasa kerana ia sukar difahami oleh kebanyakan pembaca. Sebaliknya penulis akan membawa contoh penggunaan istilah berkenaan di kalangan cerdik pandai dan ulama di negara-negara Arab. Cuma perlu diterangkan sedikit bahawa istilah Islam Hadhari merupakan konsep atau pendekatan atau program dalam Islam dan ia bukan diri agama Islam itu sendiri. Konsep atau pendekatan atau program dalam Islam ini disebut dalam bahasa Arab sebagai mabda' al-Islaam al-Hadhaariy (konsep Islam Hadhari), atau manhaj al-Islaam al-Hadhaariy (pendekatan Islam Hadhari) dan ia dianggap paling sempurna kerana mencakupi segala tuntutan agama dan dunia, rohani dan jasmani dan sebagainya. Ia dianggap berlawanan dengan konsep Islam politik (al-Islaam as-Siasi) yang lebih memberi perhatian kepada politik. Ia juga dianggap berlawanan dengan Islam tasauf (al-Islaam as-Sufi) yang lebih mementingkan spirituil dari segala-galanya. Jadi dengan itu dakwah Abdul Hadi bahawa Islam tidak boleh dinisbah atau dibangsakan kepada hadhari atau hadharah yang bermaksud tamadun tidak timbul sama sekali. Ini kerana yang hadhari itu adalah konsep, pendekatan dan program syumul dan menyeluruh yang terdapat dalam agama Islam itu. Berikut dibawa beberapa contoh penggunaan istilah Islam Hadhari sebagai konsep atau pendekatan atau program di kalangan cerdik pandai dan ulama di negara-negara Arab. Penulis akan menyebut rujukan contoh-contoh berkenaan bagi membolehkan para pembaca terutama yang menjadi penyokong Pas mengkaji sendiri. 1. Dr. Mohammad Said Ramadhan al-Bouti menggunakan istilah Islam Hadhari dalam ceramah bertajuk Islam dan Kristian Untuk Berhadapan Dengan Suasana Dunia Baru yang diadakan oleh Kementerian Wakaf Syria pada 25 Disember 2000. Ceramah Dr. al-Bouti boleh dirujuk di laman web http://www.bouti.com/bouti_ lecture4.htm 2. Dr. Khaled Abdullah Al-Qasim dalam forum di Kuliah Pendidikan, Universiti Raja Saud, Arab Saudi yang diadakan pada 20-22 April 2004 ada membentangkan kertas kerja menuntut pembaharuan program Islam Hadhari (Tatwir Masyru' al-Islam al-Hadhari). Laporan mengenai forum dan kertas kerja berkenaan boleh dirujuk di laman web http://www.ksu.edu.sa/seminars/gpe/ Recuomendation.htm 3. Dr. Yusuf Ghalum menyampaikan ceramah bertajuk Islam Hadhari di forum bertajuk Islam dan Barat, Dialog atau Konflik yang diadakan di Kuwait pada 1 Disember 2001. Laporan mengenai forum berkenaan boleh dirujuk di laman web http://www.ebaa.net/khaber/2001/12/10/ khaber1.htm 4. Mursyid Am al-Ikhwan al-Muslimun, Dr. Abdul Monem Abol Fotoh menganggap Islam Hadhari merupakan pendekatan sebenarnya untuk menyelesaikan masalah ummah. Rujukan ini pernah penulis sebut dalam ruangan ini pada masa lalu dan ia boleh dirujuk di laman web http://www.islamonline.net/arabic/daawa/2004 /07/article02.shtml 5. Dr. Fahmi Jada'an dalam rencana yang disiarkan dalam majalah Al-Arabi bilangan 519, keluaran 1 Februari 2002 membincangkan tentang keperluan kepada Islam Hadhari sebagai ganti Islam politik yang banyak merosakkan imej Islam dan umatnya. Rujukan ini juga pernah penulis sebut dalam ruangan ini pada masa lalu. Rencana beliau boleh dibaca di laman web http:// www.balagh.com/mosoa/fekr/rz0q52c0.htm 6. Ahmad al-Masallamani menulis rencana bertajuk Permulaaan Program Islam Hadhari dan Kesudahan Program-Program Islam Politik. Rencana beliau boleh dibaca di laman web http:// www.bab.com/articles/full_article.cfm?id=8271 7. Hassan al-Husni membincangkan tentang pergerakan Taliban yang melampau dianggap mencemarkan imej Islam Hadhari. Tulisan beliau boleh dibaca di laman web http://www. alshahid. com/ameda/o50b449w.htm 8. Yahya Abu Zakaria membincangkan tentang agama Islam sebagai agama kehidupan dan bukan agama pembunuhan turut menyebut tentang istilah Islam Hadhari. Tulisan beliau boleh diikuti di laman web http://www.arabtimes.com /writer/zakaria/doc54.html Semua contoh di atas membuktikan bahawa dakwaan Abdul Hadi bahawa ulama tidak menggunakan istilah Islam Hadhari (muka surat 15) adalah pembohongan semata-mata. Begitu juga tidak tepat jika Abdul Hadi dan orang Pas menganggap istilah berkenaan salah dari sudut tatabahasa Arab. Masakan para cerdik pandai dan ulama yang disebut di atas terutama yang terkenal seperti Dr. al-Bouti itu boleh melakukan kesilapan dari sudut tatabahasa Arab dan dianggap merosak dan menyesatkan pula seperti dakwa Abdul Hadi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
FollowersBlog Archive
About Me |

0 comments:
Post a Comment