Kumpulan agama ancam kedudukan Musharraf

Oleh ASTORA JABAT


Nampaknya penjelasan Presiden Jeneral Pervez Musharraf bahawa Pakistan hanya memerangi keganasan dan bukan memerangi Afghanistan sukar diterima di kalangan orang ramai di sini. Penjelasan itu juga memakan diri Musharraf sendiri.

Bukan saja pergerakan-pergerakan agama yang sekarang melancarkan tunjuk perasaan setiap hari di setiap pelosok Pakistan, tetapi golongan intelek pun sukar menerima penjelasan Musharraf itu.

Penganalisis politik Pakistan terkenal Rahimullah Yusufzai dalam satu wawancara eksklusif dengan penulis kelmarin menggambarkan bahawa sesiapa saja berhak mencurigai apa yang didakwa sebagai perang ke atas keganasan berdasar kepada tindakan yang sama dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) pada masa lalu.

"Serangan ke atas sasaran pengganas yang dilakukan oleh AS pada masa lalu sama ada di Afghanistan mahupun di negara-negara lain, biasanya melibatkan sasaran awam yang menyebabkan ramai orang tidak berdosa terbunuh.

"Malah ada juga sasaran-sasaran yang diserang oleh AS adalah sekolah, hospital, kilang susu dan lain-lain infrastruktur awam," jelas Rahimullah yang merupakan penganalisis politik Pakistan yang paling sibuk kini dan mukanya selalu muncul di kaca televisyen dunia.

Malah Rahimullah yang menolak untuk menjadi menteri dalam kabinet Musharraf juga berkata, AS tidak dapat membukti dalam serangan ke atas Afghanistan pada tahun 1998 bahawa Osama bin Laden terlibat dalam keganasan mengebom beberapa kedutaan AS di Afrika.

Seperti kes-kes terdahulu dan terbaru kes serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon pada 11 September lalu, Osama menafikan bahawa beliau terlibat.

Yang menarik, seperti jelas Rahimullah yang pernah mewawancara Osama sebanyak dua kali dan beliau juga merupakan merupakan wartawan terakhir mewawancara pemimpin yang menjadi hero ramai orang Islam di sini, ialah Osama mahu meninggalkan Afghanistan kerana beliau sedar bahawa kewujudannya di negara itu boleh mendatangkan malapetaka yang tidak terhingga kepada bangsa Afghanistan. Malah Osama enggan membuat sebarang kenyataan sekarang kerana sedar,segala ungkapan yang keluar dari mulut beliau akan membawa padah dan kesengsaraan kepada Afghanistan dan rakyatnya.

Washington Post dalam laporan Sabtu lalu melaporkan, tidak ada bukti bahawa empat hingga 19 orang ahli kumpulan al-Qaeda yang berada di AS beberapa tahun lalu, mempunyai kaitan dengan 19 orang perampas pesawat AS yang digunakan dalam serangan pada 11 September itu.

Kumpulan yang dipanggil `usrah' oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS itu diperhatikan dengan rapi oleh agensi itu dan mereka tidak ditahan kerana mereka memasuki AS dengan cara yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menyalahi undang-undang.

Ketidakpastian AS ini barangkali menyebabkan pentadbiran Presiden Bush mahu memperluaskan tindakan memerangi keganasan di semua tempat dan ia juga berkata tindakan itu mungkin memakan masa bertahun-tahun.

Sehubungan itu, jika betul pentadbiran Presiden Bush mahu memperluaskan tindakan memerangi keganasan di semua tempat dalam jangka masa yang lama, ia mungkin meletuskan konflik lama antara Pakistan dengan India. Ini kerana India dan pihak-pihak tertentu di Barat menentang usaha Pakistan untuk mewujudkan satu kuasa nuklear umat Islam dengan menggunakan isu Kashmir untuk menekan Islamabad.

Kelmarin beberapa laporan televisyen Barat dan India menonjolkan Islam sebagai bertanggungjawab ke atas keganasan kerana ia menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan wilayah Islam itu. Malah televisyen berkenaan menuduh Islamabad terlibat dalam menciptakan Taleban.


Bagaimanapun, Forum Wartawan Kashmir mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Islamabad menuntut Setiausaha Agungnya, Kofi Annan menggesa India menghentikan keganasan tenteranya ke atas wilayah Kashmir yang didudukinya.

Kini terdapat 700,000 orang tentera India yang melakukan bermacam keganasan ke atas penduduk Islam di wilayah itu, jelas forum berkenaan. Forum yang sama juga mengutuk serangan ke atas AS.

Perkembangan tempatan pula, beberapa pergerakan agama dan pemimpin agama Pakistan nampaknya boleh mengancam kedudukan kerajaan Musharraf terutama jika perang meletus. Jama'at Islami yang lahir sebelum pemisahan benua India hingga tertubuhnya negara Pakistan adalah antara pergerakan agama yang melancarkan tunjuk perasaan menentang serangan yang bakal dilancar oleh AS.

Pengasas pergerakan Jama'at Islami ialah al-Marhum Abu al-A'la al-Maududi (1903-1979). Al-Maududi mula aktif berdakwah melalui dunia kewartawanan pada 1918. Beliau antara orang yang mempengaruhi Sayed Qutb dalam mengungkapkan teori mengkafirkan masyarakat moden di negara-negara Islam dan menyebabkan orang tertentu dalam al-Ikhwan al-Muslimin (al-Ikhwan) menggerakkan kegiatan sayap pelampau agama yang menggunakan kekerasan dan keganasan sebagai cara berjuang.

Pemikiran al-Maududi sangat popular di Malaysia dan menjadi salah satu rujukan utama Pas. Dengan itu tidak hairan jika dalam Pas terdapat puak-puak pelampau agama seperti kumpulan al-Ma'unah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) kerana pemikiran al-Maududi yang tidak relevan dengan Malaysia sudah berakar tunjang dalam pemikiran ramai orang Pas.

Kenapa pemikiran al-Maududi tidak relevan dengan Malaysia? Jawabnya, kerana salah satu bukunya yang ditulis dan diedar pada tahun 1928 adalah sebagai respons terhadap penjajah Inggeris, puak-puak Hindu dan lain-lain puak serta sebagai respons kepada usaha menubuhkan negara Islam berdasar kepada perbezaan agama.

Bagaimanapun, Musharraf mendakwa pergerakan-pergerakan agama tidak mampu mengancam pemerintah beliau. Ini kerana menurut beliau, segelintir saja rakyat Pakistan yang menentang tindakan kerajaan beliau yang berpihak kepada AS dalam usaha untuk melancarkan perang ke atas keganasan kali ini.

Tetapi penganalisis Pakistan, Rahimullah memberitahu penulis, kata-kata Musharraf tidak tepat kerana jumlah rakyat yang menentang tindakan beliau tunduk kepada AS adalah sangat ramai. Meskipun sekarang mereka dilihat tidak ramai, tetapi jumlah itu akan meningkat bila AS menyerang Afghanistan.

Malah seorang penduduk tempatan yang tidak dikenali berkata, jika perang berlaku, Musharraf pun akan kecundang juga. - Utusan

0 comments:

Post a Comment