Jihad dan keganasan di Afghanistan, PakistanOleh ASTORA JABAT Keganasan yang berlaku di Afghanistan ada persamaan dengan keganasan yang terjadi di Pakistan. Bagaimanapun, ini bukan pula bererti penulis menuduh Taliban dan pertubuhan al-Qaeda di Afghanistan atau lain-lain pertubuhan dan pergerakan agama di Pakistan sebagai pengganas. Penulis sekadar membincangkan tentang fenomena keganasan yang dilakukan oleh pihak tertentu di kedua-dua negara itu. Semua keganasan tersebut berlaku di atas asas kaum/etnik, puak/parti, mazhab dan agama yang masing-masing dipanggil kaum, keganasan puak/parti, keganasan mazhab dan keganasan agama. Cuma yang berbeza ialah semua keganasan itu dibungkus dengan nama Islam dan diberi label jihad di Afghanistan, tetapi tidak sesiapa pun berani membungkuskan keganasan sama yang berlaku di Pakistan dengan nama Islam dan melabelkannya sebagai jihad. Punca yang menyebabkan semua keganasan yang berlaku di Afghanistan dianggap sebagai jihad kerana sejarah campur tangan tentera Komunis Kesatuan Soviet (Soviet) di negara itu pada tahun 1980-an dulu. Jika tidak, semua keganasan di Afghanistan tidak mungkin dikenali sebagai jihad. Sebaliknya ia akan dikenali sebagai perang saudara atau perang sesama Islam saja. Bagaimanapun, oleh kerana sudah banyak penulis membincangkan tentang Afghanistan termasuk mengenai keganasan, penulis kini akan memberi tumpuan yang lebih untuk membicarakan mengenai fenomena keganasan kaum/etnik, keganasan puak/parti, keganasan mazhab dan keganasan agama yang berlaku di Pakistan. Maksud keganasan kaum/etnik ialah keganasan yang berlaku ekoran perbalahan antara pelbagai kaum/etnik di Pakistan macam antara Punjabi dengan Sindhi dan sebaliknya atau keganasan yang berlaku antara Sindhi dengan Balochi dan sebaliknya, serta lain-lain. Maksud keganasan puak/parti ialah keganasan yang berlaku berikutan perselisihan antara pelbagai puak dan parti agama/politik. Perselisihan seperti ini dalam konteks banyak negara dunia Islam termasuk Malaysia tidak membawa kepada keganasan, tetapi keadaan berlaku sebaliknya di Pakistan. Sebagai contoh perbalahan di antara dua puak atau parti politik di Pakistan boleh mencetuskan rusuhan besar yang menyebabkan berlaku keganasan yang mengorbankan jiwa dan harta. Kerana ada keganasan, gejala ini menyebabkan parti-parti politik di Pakistan tidak begitu kuat kerana berpecah belah, apatah lagi di kalangan parti-parti agama. Ini juga yang menyebabkan Pakistan selalu diperintah oleh tentera. Malah penulis percaya negara yang sering dilanda kekerasan dan keganasan dalaman itu tidak layak diperintah oleh kerajaan awam ketika ini kecuali oleh tentera. Maksud keganasan mazhab pula ialah keganasan yang berlaku disebabkan tiada tolak ansur antara puak Ahlus Sunnah dan Syiah. Gejala ini jarang berlaku kecuali di Iran, Iraq dan Arab Saudi, tetapi ia tidak sehebat yang berlaku di Pakistan dan Afghanistan. Penulis ingin cantumkan semua kategori keganasan itu dalam satu istilah yang dipanggil `keganasan sektarian' (sectarian terrorism/al-irhab al-Tai'ifi). Fenomena keganasan ini dikatakan muncul di Pakistan dan Afghanistan sejak tahun 1980-an, tetapi ia menjadi bertambah ketara pada tahun 1990-an. Sesetengah penulis Pakistan mendakwa fenomena `keganasan sektarian' itu bermula di Pakistan selepas meletusnya revolusi Syiah di Iran pada tahun 1979. Sesetengah penulis Pakistan yang lain pula mendakwa ia berpunca daripada pelaksanaan dasar islamisasi oleh Presiden Zia ul-Haq (1977-1988). Kumpulan minoriti Syiah menentang pelaksanaan dasar Islamisasi mengikut tafsiran puak Ahlus Sunnah itu. Mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Islamabad pada tahun 1981. Ekoran tunjuk perasaan itu kerajaan Pakistan menunjukkan perubahan dalam dasar Islamisasi bagi memenuhi juga kehendak puak Syiah. Bagaimanapun, di peringkat hubungan antara rakyat dan rakyat berlaku ketegangan yang menimbulkan keganasan antara puak Ahlus Sunnah dengan puak Syiah. Puak mazhab Syiah yang menjadi menjadi mangsa utama. Keganasan mazhab yang berlaku di kalangan umat Islam semasa tidak begitu berbeza dengan keganasan mazhab yang berlaku antara Katholik melawan Protestan di kalangan orang Kristian di utara Ireland. Namun keganasan mazhab lebih parah lagi di kalangan orang Islam terutama di Pakistan dan Afghanistan. Di kedua-dua negara itu majoriti Islam dari puak sunnah melakukan keganasan ke atas orang Islam minoriti dari puak Syiah seolah-olah mereka bermusuh dan berperang dengan manusia bukan seagama. Punca permasalahan antara puak Sunnah dan puak Syiah bukan politik, ekonomi dan sosial, tetapi kerana puak Sunnah yang majoriti mahu puak Syiah yang minoriti menerima tafsiran agama yang dibuat oleh mereka. Pandangan karut-marut yang hampir sama terdapat di Malaysia apabila sebuah parti pembangkang agama tidak dapat menerima perbezaan pendapat dalam perkara-perkara khilafiah dan mendakwa tafsirannya saja yang betul dan tepat. Ini termasuk juga dalam soal negara Islam. Keganasan yang dilakukan puak Ahlus-Sunnah ke atas puak Syiah di Pakistan lebih teruk daripada apa yang berlaku terhadap orang Kristian dan Hindu. Dalam erti kata lain, orang Islam yang berbeza mazhab itu lebih suka bermusuh dan berperang antara satu sama lain, sedangkan permusuhan dan berperang dengan bukan Islam jarang berlaku. Minggu lalu ketika penulis berada di Lahore seramai 17 orang Kristian bersama dengan seorang polis beragama Islam dibunuh oleh orang Islam dalam sebuah gereja Katholik di wilayah Bahawalpur. Enam orang Islam yang menunggang motosikal memasuki gereja dan menutup pintunya. Mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah orang Kristian yang sedang melakukan upacara beribadat dalam gereja itu. Pembunuhan itu dikatakan dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Afghanistan. Pengikut Kristian hanyalah 1 peratus daripada jumlah keseluruhan 140 juta penduduk Pakistan. Keganasan sesama Islam kerana berlainan mazhab kebanyakannya berlaku di kawasan Punjab dan kawasan utara Pakistan. Karachi adalah antara bandar yang paling ketara berlaku `keganasan sektarian' itu. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa termasuk ahli-ahli parti agama dan sahsiah terkenal dalam masyarakat. Yang anehnya sekarang muncul semacam trend membunuh doktor perubatan dalam keganasan sesama Islam di Pakistan. Dalam masa 40 hari penulis berada di Pakistan tidak kurang daripada lima doktor dibunuh oleh orang-orang tidak dikenali yang menunggang motosikal. Terakhir sekali berlaku dua minggu lalu di mana seorang doktor yang sedang menjalankan tugas di kliniknya di Karachi ditembak mati oleh lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal. Seorang pesakit turut terkorban. Sejak tahun 2000 sehingga sekarang lebih 75 orang doktor telah menjadi mangsa `keganasan sektarian' itu. Memerhatikan keganasan kaum/etnik, puak/parti, mazhab dan agama yang berlaku di Pakistan dan juga Afghanistan, ia menyebabkan penulis percaya rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama adalah bertuah kerana masih dapat hidup aman damai di negara ini. Padahal Malaysia hampir sama dengan Pakistan dan Afghanistan dari sudut komposisi kaum/etnik, kaum/etnik, puak/parti, mazhab dan agama. Tetapi kerana wujud kerajaan Melayu/Islam yang berfikiran terbuka dan memerintah dengan cara berkongsi kuasa dengan bukan Melayu/bukan Islam, ia membolehkan diwujudkan suasana toleransi di kalangan rakyat. Justeru gejala seperti yang melanda Pakistan dan Afghanistan itu tidak terjadi di negara ini. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
FollowersBlog Archive
About Me |

0 comments:
Post a Comment