Oleh ASTORA JABAT
Ulama kerajaan dan ulama yang menyokong kerajaan di Pakistan sama dengan ulama kerajaan dan ulama yang menyokong kerajaan di Malaysia.
Mereka tidak menonjol berbanding ulama politik di kalangan pelbagai puak pembangkang agama yang selalu mengadakan ceramah dan tunjuk perasaan menentang kerajaan.
Kini selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang Afghanistan mereka menambah pula satu moto baru dalam semua acara ceramah dan tunjuk perasaan mereka, iaitu moto anti-AS dan sekutu.
Kehadiran orang ramai dalam majlis ceramah dan tunjuk perasaan ulama-ulama pembangkang pula meningkat setiap kali meningkatnya mangsa keganasan AS dan sekutu di Afghanistan.
Sepuluh dua puluh ribu kehadiran adalah menjadi angka biasa dalam majlis ceramah dan tunjuk perasaan di Pakistan kini terutama di Peshawar, Quetta dan Karachi.
Tetapi angka itu tidak menakutkan, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Islamabad, Datuk Sopian Ahmad kerana sebelum perang pun serang diadakan tunjuk perasaan sebesar itu dan begitu juga jika diukur dari saiz penduduk Pakistan.
Pakistan mempunyai penduduk seramai 150 juta orang.
Beberapa orang pelajar Malaysia di Islamabad ini pula berkata, tunjuk perasaan di Pakistan adalah perkara lumrah dan perbalahan antara puak dan mazhab agama pun boleh meletuskan tunjuk perasaan dan rusuhan yang melibat beribu-ribu orang. Selain itu ramai juga terbunuh jika perkara itu berlaku.
Seorang wartawan bernama Habib Khan berkata, jumlah orang ramai yang ikut serta dalam tunjuk perasaan bertambah ramai berbanding hari-hari pertama AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan pada 7 Oktober lalu, tetapi masih dianggap kecil.
"Parti-parti agama yang menjadi pembangkang walaupun berjaya menggerakkan massa ke jalan raya, tetapi ketika diadakan pilihan raya mereka hanya peroleh 10 peratus undi saja.
"Mereka tidak kuat dan tidak mungkin memerintah, tetapi dapat membuat kacau kepada pemerintah," katanya.
Pokoknya walaupun ulama pembangkang daripada pelbagai parti dan puak agama nampak sangat menonjol nama mereka kini, tetapi kemampuan mereka untuk mengubah status quo tidak ada, apatah lagi jika sampai ke pihak memerintah negara.
Kenapa? Jawapannya selain alasan-alasan yang telah disebut di atas terdapat perkara lain yang menyebabkan ulama-ulama Pakistan lantang suara, tetapi lemah kuasa iaitu kerana mereka mempunyai terlalu banyak parti politik.
Sedangkan ulama kerajaan dan ulama yang menyokong menyokong kerajaan walaupun berpuak-puak, mazhab dan parti, tetapi semua mereka mempunyai satu matlamat, iaitu menjaga dan memelihara kesatuan negara dan umat Pakistan dari segala ancaman dalam dan luar.
Dengan ada sikap patriotik yang direstui Islam inilah menyebabkan ulama-ulama yang menyokong kerajaan dari pelbagai puak, mazhab dan parti seperti Pir Muhammad Ibrahim, Maulana Abdul Qadir Azad, Nufti Abdul Rashid, Qari Afzal Qadri, Syed Kazim Raza, Shakir Raza Rizvi, Maulana Munir Madni, Shakir Ali Rizvi, Haider Ali Mirza dan lain-lain keluar menyatakan pendirian menyokong polisi kerajaan Presiden Jeneral Pervez Musharraf berhubung Afghanistan dan India pada waktu sekarang.
Semua nama ulama di atas itu adalah hanya ulama yang menyokong kerajaan dan bukan lagi ulama kerajaan dalam erti ulama yang berada dalam kerajaan dan memegang jawatan-jawatan tertentu di dalamnya.
Ulama-ulama yang menyokong kerajaan ini menyatakan pendirian mereka dalam satu sidang yang dipanggil sebagai Persidangan Menyelamatkan Pakistan ( Tahafuz-I-Pakistan Conference) diadakan di Lahore pada hari Selasa, 22 Oktober lalu.
Para ulama itu dalam pernyataan persidangan berkenaan menyebut bahawa mereka menyokong polisi kerajaan Presiden Musharraf berhubungan Afghanistan kerana polisi itu dapat menyelamatkan Pakistan daripada menjadi sasaran persekongkolan jahat India untuk diumumkan Pakistan sebagai negara pengganas.
Pakistan dituduh sebagai negara pengganas oleh India kerana ia memberi sokongan kepada perjuangan umat Islam di Kashmir. Pakistan membuat tuduhan yang sama dengan India kerana ia juga memberi sokongan kepada golongan yang berkuasa di Kashmir di bahagian yang berada di bawah India.
Ulama-ulama pembangkang yang menentang polisi kerajaan Pakistan dan mengguna pendekatan menghasut rakyat keluar mengadakan tunjuk perasaan adalah bukan kawan Pakistan, tetapi kawan India kerana India sama seperti dengan ulama-ulama pembangkang itu kerana sama-sama mahu kerajaan Pakistan dan rakyatnya berlaga antara satu sama lain, kata pernyataan itu.
Apa yang betul sekarang ialah menyelamatkan negara dan bukan menciptakan masalah kepadanya menerusi peletusan tunjuk perasaan-tunjuk perasaan yang menganjurkan kekerasan.
Majoriti penduduk mahukan keselamatan kepada negara dan mereka akan keluar menentang golongan yang mahu mencipta kekacauan dalam negara, kata pernyataan itu seterusnya.
Sebenarnya mereka yang menentang tunjuk perasaan pelbagai puak pembangkang telah pun keluar menyatakan pendirian mereka dalam satu perarakan yang kecil diadakan di Islamabad minggu lalu.
Tetapi mujurlah perarakan itu tidak melibatkan penyertaan ramai orang. Jika tidak, selain ia akan menjadi seperti tunjuk perasaan pembangkang, mungkin pula akan meletuskan rusuhan yang besar kerana pertembungan antara penyokong kerajaan dan menyokong pembangkang. Ia akan menjadi lebih teruk lagi jika majoriti senyap keluar ke jalan raya juga.
Pada pandangan penulis walaupun para ulama yang menyokong kerajaan perlu menyatakan pandangan dan kekuatan mereka kepada ulama-ulama pembangkang dan masyarakat, tetapi tidak patut menggunakan tunjuk perasaan kaunter oleh kerana ia akan menjahamankan negara.
Seterusnya pernyataan persidangan ulama-ulama yang menyokong kerajaan itu menyelar parti-parti pembangkang agama dan pemimpin-pemimpinnya seperti Maulana Fazlur Rehman, Maulana Samiul Haq kerana mereka tidak mengambil pendirian terhadap keganasan antara puak dan mazhab yang berleluasa di Pakistan ini.
Pakistan adalah sebuah negara Islam yang paling teruk menghadapi masalah keganasan sektarianisme yang menyebabkan berlaku pembunuhan antara Sunnah dan Syiah dan antara pelbagai mazhab dan puak agama. - Utusan

0 comments:
Post a Comment