Oleh ASTORA JABAT
Apakah betul menganggap politik tidak dapat dipisah daripada agama? Tafsiran terhadap pengucapan sebegitu dianggap tidak betul, malah karut.
Oleh kerana menganggap politik tidak dapat dipisahkan daripada agama, maka negara Islam itu mesti diperintah oleh orang agama iaitu ulama!
Pemimpin sekular tidak boleh memerintah negara Islam, golongan tok guru lebih layak daripada pemimpin politik berwibawa menjadi perdana menteri dan bermacam-macam lagi.
Jika kita mengambil kira anggapan tidak betul dan karut-marut itu sebagai kriteria kepimpinan, sudah tentu semua negara Islam sejak zaman Umawiyah sehingga ke zaman Abbasiyah, Uthmaniah dan negara-negara orang Islam hari ini bukan negara Islam belaka kerana tiada seorang pun ulama yang memerintah negara-negara tersebut.
Para ulama yang mula muncul pada akhir pemerintahan Umawiyah dan awal pemerintah Abbasiyah sehingga ke zaman ini hanya menjadi penasihat atau membantu para pemerintah saja. Malah kadangkala mereka hanya menjadi penasihat dan membantu para pemerintah dari jauh tanpa mahu terikat dengan jawatan rasmi.
Dan inilah yang dilakukan oleh ramai ulama zaman silam termasuk ulama empat mazhab seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafi'I, Imam Ahmad bin Handal.
Penulis tidak akan membincangkan secara ilmiah tentang negara pimpinan ulama dalam tradisi Yahudi dan Kristian dan bila ia berlaku di kalangan orang Islam, tetapi hanya akan membincangkan tentang satu saja model negara pimpinan ulama pada zaman ini, iaitu negara Taliban di Afghanistan.
Negara Taliban adalah negara pimpinan ulama sebenar kerana semua yang memegang jawatan dalam kerajaan bermula daripada pemimpin negara sehingga kepada pak menteri pun adalah mullah belaka. Malah duta-duta Taliban pun mullah juga.
Mullah dalam bahasa Afghan dan Parsi bermaksud ulama.
Tetapi jika dihalusi lagi, perkataan mullah digunakan dalam banyak maksud dan konteks. Bagaimanapun, semuanya berkaitan dengan kedudukan agama tinggi yang ada pada orang seorang tokoh agama.
Di Iran, Turki dan selatan India umpamanya mullah dimaksud ulama. Manakala mullah di kalangan penganut Syiah bermazhab Ismailiyah diberi maksud pemimpin spiritual yang dianggap sebagai pengganti Imam Mahdi yang belum turun ke bumi. Mullah di kalangan penganut Syiah bermazhab Imamiyah pula adalah ahli fiqah atau hakim atau mujtahid (yang boleh membuat hukum sendiri) dalam masyarakat.
Di Pakistan ini mullah disebut dalam bahasa Urdu sebagai maulana, kata orang Pakistan. Maulana berasal daripada bahasa Arab dan ia bermaksud `tuan kami'.
Maulana atau `tuan kami' boleh bermaksud Tuhan ataupun manusia. Jika maulana atau `tuan kami' dikaitkan dengan manusia pula, boleh diertikan raja atau pemilik hamba atau orang yang sangat dihormati.
Penggunaan istilah ini dalam bahasa Urdu bermaksud ulama kerana ulama merupakan orang yang sangat dihormati. Ini agaknya samalah dengan istilah ustaz yang digunakan di kalangan orang Islam di Malaysia secara salah dengan maksud mereka sebagai orang yang pakar dalam bidang agama.
Padahal ustaz adalah bererti cikgu, guru dan profesor secara umum. Malah ustaz dalam penggunaan bahasa harian orang awam di negara-negara Arab bermaksud tuan dan encik.
Mungkin ada orang bertanya bagaimana Afghanistan yang berperang tidak berhenti-henti selama 22 tahun boleh mempunyai barisan pemerintah yang merupakan ulama sepenuhnya?
Dari manakah datang begitu ramai ulama yang pandai dalam politik dan pentadbiran negara? Tidakkah yang memerintah Afghanistan hanya penuntut sekolah agama kerana Taliban itu penuntut agama? Jika ada timbul persoalan-persoalan seperti itu dalam diri para pembaca, penulis ingin jelaskan begini.
Mereka yang dianggap ulama di Afghanistan sebenarnya tidak sama dengan ulama di Malaysia dan negara-negara Arab. Ini kerana ulama di Afghanistan bukan orang berpendidikan agama tinggi dan pernah terlibat dalam penyelidikan yang mendalam, tetapi hanya penuntut sekolah-sekolah agama rakyat di Afghanistan dan Pakistan yang dipanggil sebagai madrasah. Pendidikan agama di sekolah-sekolah agama itu pula hanya memberi lebih tumpuan kepada hafaz al-Quran berbanding mata pelajaran agama lain. Mata pelajaran agama yang bersifat pemikiran termasuk yang berkaitan falsafah dan politik tidak ada langsung.
Sekolah-sekolah agama rakyat di Afghanistan dan Pakistan itu bukan saja tidak mempunyai pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang sepatut ada termasuk bangunan yang sesuai, tetapi pembelajaran pun tidak pernah diadakan secara teratur dan sempurna.
Perang yang berterusan sejak tahun 1979 sehingga kini menyebabkan sekolah-sekolah agama itu lebih memainkan peranan dalam mengeluarkan tenaga perang daripada tenaga dakwah.
Dalam keadaan yang serba berkurangan dan lemah ini, muncullah murid-murid agama yang lebih besar serban daripada ilmu dalam kepala dan diberi gelaran ulama.
Justeru berlakulah pelaksanaan Islam yang tidak betul, tidak dapat membezakan antara ajaran Islam dan adat orang Islam, tidak mengetahui yang mana perlu diutamakan dan yang mana tidak perlu, tidak mengetahui yang mana bersifat qati'I (putus dan muktamad) yang mesti dilaksanakan secara bulat-bulat dan yang mana khilafiyah yang terserah kepada pilihan seseorang Islam dan macam-macam lagi.
Ulama pembangkang Mesir terkenal Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasel terkejut besar apabila membuat kunjungan ke Afghanistan untuk memujuk Taliban supaya tidak memusnahkan dua patung Buddha di Bamiyan dulu.
Pemimpin tertinggi Taliban Mullah Muhammad Omar yang bergelar Amir Mu'minin itu menyifatkan kedatangan Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel sebagai silap jalan kerana beliau menganggap patung wajib dihapuskan dalam negara Islam.
Taliban tidak mengendah fatwa Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel yang tidak membenarkan dimusnahkan kedua-dua patung Buddha itu. Lalu mereka memusnahkannya sebelum pesawat yang membawa Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel sempat mendarat di Kandahar, Afghanistan.
Apa yang menyebabkan Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel terkejut besar ialah kerana mereka dapati bahawa ulama-ulama Afghanistan yang sempat berbincang dengan mereka tidak ada hubungan dengan dunia luar termasuk hubungan institusi-institusi ulama di negara-negara Islam dan ini menyebabkan mereka mempunyai pemikiran zaman pertengahan dulu.
Kesimpulannya perang selama 22 tahun menyebabkan muncul `ulama-ulama' bermentaliti kurun pertengahan itu.
Jika Amerika Syarikat (AS) dan sekutu meneruskan perang terhadap Afghanistan begitu lama seperti perang Vietnam, mungkin ulama-ulama Taliban akan terhapus, tetapi muncul pula `ulama-ulama' berfikiran zaman batu. Dan jika dulu AS dengan bantuan Arab Saudi yang dianggap bertanggungjawab dalam melahirkan ulama-ulama Taliban, maka AS juga yang bertanggungjawab dalam melahirkan bakal ulama zaman batu itu. - Utusan

0 comments:
Post a Comment