ASTORA JABAT
Perang di Afghanistan bukan saja serangan udara dan darat yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Britain, tetapi juga merupakan perang media melalui pelbagai saluran media cetak dan elektronik.
Bagaimanapun, perkara ini bukan saja berlaku dalam perang di Afghanistan, tetapi juga dalam semua perang yang dicetuskan oleh manusia, makhluk terpintar di muka bumi ini.
Taliban atau Afghanistan boleh dikatakan kalah dalam semua perang itu kerana ia tidak mempunyai kelengkapan atau persediaan untuk berhadapan dengan serangan AS dan Britain.
Bagaimana Afghanistan boleh mempunyai kelengkapan atau persediaan kerana ia tidak ubah seperti negara yang berada di abad pertengahan dulu? Bagaimana mungkin negara yang berada di zaman gelap boleh berhadapan dengan perang yang dilancarkan oleh negara paling maju dari segi peralatan perang di dunia.
Dalam tulisan ini, kita hanya membincangkan dari sudut perang media saja. Ada beberapa kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh Taliban berkaitan dengan perang media ini.
Kesilapan dan kelemahan pertama ialah Taliban mengharamkan gambar berdasarkan pada kepada beberapa hadis yang dilihat di luar konteks yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w.
Selain hadis itu, terdapat juga hadis ahad yang tidak begitu kuat serta ia bercanggah dengan hadis-hadis yang lain seperti hadis Rasulullah membenarkan isterinya yang masih kecil Aisyah bermain dengan patung.
Taliban telah menggunakan hadis-hadis yang tidak kuat itu sebagai hujah untuk mengharamkan semua bentuk gambar, sama ada gambar lukisan, foto dan video mahupun dalam bentuk ukiran. Mungkin pembaca masih ingat bagaimana Taliban memusnahkan dua patung besar Buddha di Bamiyan tidak lama dulu menimbulkan kekecohan seluruh dunia.
Ulama-ulama besar dunia Islam pun turut membantah perbuatan Taliban itu.
Bagaimanapun, Taliban ada bertolak ansur juga dalam hal ini. Pada peringkat awal, Taliban mengharamkan segala bentuk gambar, tetapi selepas menerima banyak kritikan, mereka bertolak ansur terhadap gambar yang dianggap perlu dan tidak dapat dielakkan seperti gambar untuk kad pengenalan dan pasport. Tetapi bergambar atau mengambil gambar tanpa keperluan tetap dianggap haram. Sedangkan gambar video atau televisyen masih dianggap haram mutlak.
Dengan itu di Afghanistan kini tidak ada televisyen. Seorang wartawan Pakistan bernama Farooq Ahmad memberitahu penulis, beberapa akhbar Afghanistan yang diterbitkan dalam bahasa Pashtun juga tidak menyiarkan sebarang gambar.
Kerana tidak ada televisyen dan akhbar-akhbar yang menyiarkan gambar menyebabkan Taliban tidak dapat membalas perang media terhadap AS, Britain dan sekutunya, walaupun di peringkat dalam negara untuk menggerak dan menggemblengkan rakyat. Ia satu kerugian besar kerana gambar, sama ada foto mahupun video lebih berkesan daripada tulisan untuk menggerakkan dan menggemblengkan perjuangan rakyat.
Kesilapan dan kelemahan kedua ialah Taliban lebih mengutamakan media Barat terutama yang merupakan media elektronik gergasi seperti CNN, BBC daripada media-media dari negara-negara Islam.
Jadi ini bererti walaupun Taliban mengharamkan gambar dalam akhbar dan televisyen di Afghanistan, tetapi mereka mahu menggunakan media-media Barat yang menyiarkan gambar dan video (yang dianggap haram) untuk menyampai maklumat kepada masyarakat dunia dalam usahanya menyerang balas perang media terhadap AS, Britain dan sekutu.
Untuk menjayakan matlamat itu Taliban telah membenarkan sekumpulan wartawan asing terutama dari negara-negara Barat memasuki Afghanistan dua minggu lalu. Beberapa wartawan Pakistan turut mengikuti rombongan media itu. Mereka dibawa menjelajah ke kawasan awam di Jalalabad yang dibom dalam serangan udara AS dan Britain itu.
Bagaimanapun, pihak Taliban tidak berjaya mencapai matlamat yang dihajatinya kerana media Barat tidak melaporkan apa yang sebenarnya terjadi di Afghanistan.
Malah wartawan-wartawan CNN dan BBC dalam laporan mereka hanya berkata mereka tidak dapat memastikan kerosakan harta benda dan kematian orang awam sebagai hasil daripada serangan udara AS dan Britain itu.
Kedutaan Afghanistan di Pakistan menyedari bahawa media Barat tidak melaporkan perkara yang sebenar seperti mana diberitahu oleh beberapa orang pegawainya kepada penulis.
Abdul Ahad Nasiri dan Sadiqullah berkata, sekumpulan wartawan asing yang dibenarkan masuk ke Afghanistan dua minggu lalu tidak melaporkan perkara sebenar yang berlaku di sana.
Mereka dibawa ke kawasan-kawasan yang dibom, tetapi mereka berkata tidak dapat dipastikan jumlah orang yang terkorban.
Malah kata mereka, para wartawan Barat mendakwa, mereka dikawal dan tidak dapat bergerak bebas, tetapi sebenarnya perkara itu dilakukan hanya untuk menjaga keselamatan mereka saja.
Penulis berhujah dengan Abdul Ahad, Sadiqullah dan lain-lain bahawa mereka tidak boleh marah kepada para wartawan Barat itu kerana kerajaan mereka sendiri melalui kedutaannya di Islamabad yang memilih dan menentukan siapa dan media mana yang akan dibenarkan membuat liputan di Afghanistan.
Seterusnya penulis berhujah, Taliban pun mengetahui bahawa media Barat secara khusus tidak pernah melaporkan kecuali perkara yang buruk tentang Afghanistan di bawah Taliban kini.
Sebagai contoh penulis menyebutkan bahawa media Barat membuat laporan bahawa Taliban terlibat dalam penanaman popi secara besar-besaran. Padahal sebuah badan pembanterasan dadah dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan terbarunya berkata, Taliban sejak berkuasa berjaya mengurangkan penanaman popi sebanyak 90 peratus.
Penulis juga berhujah, mungkin media dari negara-negara Islam atau negara-negara bukan Islam yang membuat laporan dari kaca mata sendiri berbeza pandangan dan tidak setuju dengan Taliban, tetapi ia akan berpihak kepada AS dan Britain yang menyerang sasaran awam dan lebih banyak membunuh orang tidak berdosa itu.
Untuk mengatasi masalah laporan berat sebelah atau tidak benar itu penulis mencadangkan kepada para pegawai Kedutaan Afghanistan itu supaya membenarkan satu kumpulan wartawan akhbar dan televisyen dari negara-negara Islam memasuki Afghanistan. Para pegawai kedutaan Afghanistan itu menerima pandangan dan cadangan penulis itu dan mereka berjanji akan mempertimbangkannya, tetapi sampai sekarang belum terbayang pun penulis, Noor Azam Shairi dan Abdul Kadir Bachok akan mendapat visa untuk masuk ke Afghanistan.
Ada sesetengah wartawan Arab membuat permohonan untuk mendapat visa sejak lebih sebulan, tetapi belum dapat juga.
Penulis pergi setiap hari ke Kedutaan Afghanistan kerana jika bernasib baik, terbuka hati pihak kedutaan itu membenarkan penulis dan kawan-kawan memasuki Afghanistan.
Bagaimanapun, kini sudah masuk minggu kedua penulis berada di Islamabad dan meninggalkan kawan-kawan di Peshawar sehingga dapat berkenalan dengan ramai pegawai kedutaan Afghanistan. Walaupun ada yang sangat baik dengan penulis, tetapi nampaknya tidak ada harapan untuk mendapatkan visa.
Sebenarnya ada cara lain untuk masuk ke Afghanistan, iaitu masuk secara haram dengan membayar wang kepada orang Afghan atau orang Taliban di Peshawar, tetapi risikonya besar. - Utusan

0 comments:
Post a Comment