Oleh Astora Jabat
Ramai orang tertentu yang digelar sebagai ustaz mempunyai pemikiran tidak begitu berbeza dengan puak-puak pelampau agama di negara-negara Arab. Selain itu mempunyai pandangan melampau, ada di kalangan mereka menghasut orang ramai supaya melaksanakan pandangan melampaunya.
Biasanya di negara-negara Arab golongan yang boleh dipanggil pelampau agama ini bergerakan di bawah tanah, tetapi di Malaysia mereka berada dalam parti berlabel Islam yang boleh menyampai ceramah berciri Khawarij dan Hasysyasyiyyun kepada orang ramai.
Untuk mengetahui siapakah ustaz yang merupakan pelampau agama itu, cubalah baca e-mel dan jawapan saya di bawah.
Penceramah pembangkang suruh hadirin bunuh Astora
Saudara Astora,
JIKA tuan-tuan jumpa dia (saudara), tangkap dan pancung kepalanya, tuan-tuan berani? Demikianlah antara kata-kata Shahrir Long yang boleh saya ingat walaupun mungkin ada sedikit perbezaan kerana saya hanya sempat mendengar sekali lalu saja. Kata-kata itu diluahkan di dalam VCD ceramah beliau yang telah di rakamkan di dalam sebuah masjid di Lembah Pantai. VCD tersebut sedang dijual dengan meluas terutama di Kelantan.
Pada hari Sabtu yang lepas, saya telah sempat bersiar-siar di bandar Kota Bharu. Saya singgah di sebuah kedai menjual buku-buku agama dan lain-lain seperti VCD dan kaset ceramah agama yang rata-ratanya adalah penceramah pembangkang. Pada masa itu, sebuah rakaman ceramah yang dibuat oleh Shahrir Long itu dimainkan. Saya terkejut apabila perkataan dajal disebut dan ia ditujukan kepada saudara. Dia melabelkan saudara telah murtad kerana tiga perkara yang telah saudara ketengahkan, terutama melalui majalah Al Islam. Yang pertama kerana saudara menyatakan rambut wanita itu bukan aurat, kedua kerana tidak ada azab kubur dan ketiga Nabi Isa tidak akan turun ke bumi di akhir zaman dan telah mati sebagaimana manusia biasa.
Jadi, saya amat-amat khuatir akan keselamatan saudara. Cuma saya hanya mampu berdoa agar saudara diberi perlindungan oleh Allah. Manalah tahu, mungkin ada yang terlalu taksub dengan kata-kata Shahrir Long akan mengambil tindakan ke atas saudara kerana bagi mereka membunuh dajal adalah jihad dan amat dituntut dalam fahaman Islam mereka. Oleh itu saya berharap agar saudara sentiasa berwaspada.
Pada mulanya saya ingin membeli VCD tersebut dan membuat salinan untuk dihantar kepada saudara, tetapi saya tidak mahu bersubahat melariskan VCD yang jahat itu. Maka saya cuma cuba mengingati kata-kata dalam ceramah yang penuh dengan hasutan supaya membenci sesama Islam sehinggakan menghalalkan darah saudara. Saya sekali lagi mengingatkan kepada saudara, bahawa nyawa saudara sedang terancam. Tetapi jangan takut, yang benar akan tetap benar. - Ust. Namra, Jerteh, Terengganu
(ust_namra@yahoo.com)
JAWAPAN:
Terima kasih tidak terhingga kepada Namra kerana tolong mengingatkan tentang keselamatan diri penulis.
Memang penulis banyak memikirkan tentang masalah keselamatan itu terutama terhadap keluarga. Anak-anak dan isteri paling tidak selesa dan mereka menuntut pergi bekerja di luar negara setiap kali mendengar berita kurang baik.
Penulis baru saja menonton VCD Shahrir Long itu dua hari lepas dan didapati beliau benar-benar mengancam keselamatan penulis. Ini kerana beliau dengan terang-terang menghasut orang-orang yang menghadiri ceramah beliau di masjid Pantai Dalam itu (sebenarnya Masjid Lembah Pantai ) supaya membunuh penulis.
Penulis tidak kenal siapa penceramah pembangkang itu, tetapi tahun lalu pun ada seorang penyokong pembangkang menghubungi penulis dari Terengganu. Dia menghubungi penulis sebanyak dua kali dan di antara soalan yang dia cetuskan ialah apakah bersedia untuk berdebat dengan Ustaz Shahrir Long? Penulis menyoal penyokong pembangkang itu, siapa Ustaz Shahrir Long?
Dia menjawab Ustaz Shahrir Long adalah seorang penceramah agama yang selalu menyampaikan ceramah di Terengganu. Beliau dalam ceramahnya selalu mencabar penulis, kata penyokong pembangkang itu.
Penulis memberitahu penyokong Pas itu biarlah penceramah itu mencabar dan penulis tidak mahu berdebat dengan beliau, tetapi bersedia untuk berjumpa dengan beliau bagi membincang isu-isu agama yang dipertikai.
Ketika di Kelantan penulis memberitahu penyokong pembangkang itu supaya memberitahu penceramah itu agar berjumpa dengan penulis di Kota Bharu. Penulis berikan nombor telefon bimbit peribadi. Bagaimanapun, tiga hari penulis berada di Kota Bharu bukan saja batang hidung penceramah tidak kelihatan, tetapi telefon daripada penyokong pembangkang berkenaan pun tidak ada.
Selepas menerima e-mel saudara minggu lepas, penulis terus menghubungi orang-orang tertentu untuk bertanya mereka siapakah penceramah yang merupakan pelampau agama itu? Tetapi tiada seorang pun yang kenal beliau.
Akhirnya penulis bertemu nama dan nombor telefon beliau dalam senarai nama para penceramah Pas. Justeru penulis menghubungi beliau. Pada mulanya penulis menghubungi rumahnya dan didapati beliau tiada di rumah.
Lalu penulis menghubungi beliau melalui telefon bimbitnya. Penulis memperkenalkan diri sebagai Hassan Abdul Rahman (nama benar penulis) dari Utusan. Penulis memberitahu bahawa penulis ada dengar berita bahawa beliau menghukum Astora Jabat sebagai murtad.
Apakah betul ustaz menghukum Astora begitu? Tanya penulis.
Beliau menjawab Astora itu seorang penulis yang sesat. Beliau memberi contoh dianggap Astora sesat kerana dia berkata azab kubur tidak ada.
Penulis menyoal beliau lagi mana beliau belajar agama?
Beliau tidak mahu menjawab. Seterusnya penulis menjelaskan bahawa Astora tidak berkata, azab kubur tidak ada, tetapi dia berkata azab itu berlaku ke atas roh dan bukan ke atas jasad.
Belum dapat menghurai panjang lebar tentang isu azab kubur, beliau mengesyaki bahawa orang yang bercakap dengan beliau adalah Astora Jabat.
Siapa ni? Astora Jabat ke?
Penulis menjawab: Ya. Sayalah Astora Jabat.
Menyedari hakikat itu beliau menjadi bertambah tidak sopan dan mengutuk penulis habis-habisan.
Penulis berusaha dengan sedaya upaya mengajak beliau berbincang dengan tenang terutama berhubung seruan beliau supaya para hadirin dalam masjid di Pantai Dalam (Lembah Pantai) itu membunuh penulis, tetapi beliau menolak. Beliau mendakwa tidak ada waktu dan bateri telefon hampir habis. Lantas beliau menutup felefon.
Ketika menyampaikan ceramah sebagaimana dirakam dalam VCD, beliau menjelaskan bahawa penulis murtad sebanyak tiga kali kerana penulis menulis dalam majalah Al Islam menganggap rambut wanita bukan aurat, tiada azab kubur dan Nabi Isa tidak akan turun di akhir zaman. Bagaimanapun, beliau sendiri mengakui tidak membaca Al Islam.
Memang jika orang yang mempunyai akal yang waras membaca Al Islam, dia akan mengetahui bahawa bukan penulis yang menulis rencana rambut wanita bukan aurat dan Nabi Isa tidak akan turun di akhir zaman itu.
Malah rencana yang ditulis oleh penulis mengenai azab kubur pun bukan pandangan penulis, tetapi pandangan orang lain yang bersifat pro dan kontra termasuk pandangan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya. Manakala penulis pula menganggap keazaban selepas mati hanya berlaku ke atas roh dan tidak berlaku ke atas jasad.
Pandangan penulis ini sama dengan pandangan ramai ulama terdahulu dan sekarang.


0 comments:
Post a Comment