Jihad atau minyak punca perang di Afghanistan?


Oleh ASTORA JABAT

Sudah ramai orang Islam bukan Afghan, termasuk rakyat Malaysia yang mati di Afghanistan pada tahun 80-an kerana kononnya berjihad pada jalan Allah. Kini pun sudah ada puluhan orang Islam bukan Afghan mati diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kerana kononnya berjihad pada jalan Allah.

Kebanyakan mereka adalah orang Pakistan yang menjadi anggota Harakat-e-Mujahidin dan segelintir daripada mereka adalah orang Arab yang menjadi anggota pertubuhan al-Qaedah atau penyokong Osama bin Laden. Semua mereka dianggap mati syahid dan penulis pun berdoa supaya mereka ganjaran syahid.

Tetapi sedarkah kita bahawa di sebalik apa yang dianggap oleh orang Islam sebagai jihad itu ada pelbagai kepentingan ekonomi termasuk kepentingan minyak dan gas yang menjadi rebutan antara beberapa negara terutamanya AS dan Kesatuan Soviet (Soviet)?

Soviet menghantar tentera ke Afghanistan pada tahun 1997 juga bermotif pelbagai kepentingan ekonomi termasuk untuk mendapatkan laluan ke Laut Arab. Soviet pada ketika itu telah menguasai gas di Afghanistan. Ia menguasai gas Afghanistan sejak tahun 1967.

Pada tahun 1980-an jumlah besar gas Afghanistan hanya dieksport ke Soviet dan dengan mendapat laluan ke Laut Arab ini membolehkannya meluaskan pengeksportan gas dan lain-lain ke Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik.

Tetapi rancangan Soviet akhirnya digagalkan oleh AS melalui memperalatkan orang Islam dalam apa yang disebut sebagai jihad menentang Komunis di Afghanistan. Ekorannya, Soviet berundur dari Afghanistan pada tahun 1989.

Selepas itu AS dijangka akan membolot perusahaan gas Afghanistan di samping simpanan minyak yang banyak di utara banjaran gunung Hindu Khosh yang belum diusahakan disebabkan oleh peperangan itu.

Malah lebih menguntungkan lagi, selepas kejatuhan Soviet AS mendapat pula durian runtuh daripada negara-negara Asia Tengah dan Laut Caspian.

Pemimpin Tertinggi Taliban, Mullah Mohammad Omar turut terhidu durian runtuhan itu, tetapi belum sempat makan isi durian dengan sebaik-baiknya kerana hubungan beliau dengan Osama bin Laden menjadi halangan.

CIA menyedari tentang potensi Mullah Omar di Afghanistan sejak mula Taliban menunjukkan kemenangan di Kandahar. Lalu ia minta Perdana Menteri Pakistan ketika itu, Benazir Bhutto mendampingi dan memberi bantuan kepada militia pelajar itu.

Selepas Taliban menguasai 90 peratus bumi Afghanistan, hubungan AS dengan Taliban semakin terjalin. Kini AS yang mahu membina saluran paip daripada negara-negara Asia Tengah dan Laut Caspian melalui Afghanistan dan Pakistan untuk dipasarkan ke Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik menyedari ia perlukan kerajaan yang kuat seperti Taliban.

Dengan itu pentadbiran Bill Clinton sejak mula muncul Taliban pada tahun 1994 sehingga kejatuhan Kabul pada tahun 1996 telah melobi untuk syarikat minyak AS, Unocal. Ini kerana AS mahu projek pembinaan saluran paip dari Turkmenistan ke Pakistan menerusi Afghanistan yang menelan belanja sebanyak AS$5 bilion itu diselenggarakan oleh Unocal.

AS percaya dengan bantuan Pakistan dan Arab Saudi bahawa Taliban boleh mewujudkan kestabilan dalam negara memandangkan mereka menguasai hampir seluruh Afghanistan. Pelbagai puak Mujahidin yang kini dikenali sebagai Perikatan Utara hanya menguasai lima sehingga 10 peratus saja wilayah Afghanistan dan mereka sudah tentu tidak akan berjaya memerintah negara atau mengancamnya.

AS juga percaya walaupun Taliban ultra konservatif dan jumud serta tidak menghormati hak-hak asasi manusia termasuk menindas wanita, tetapi berjuta-juta dolar yang akan mengalir kepada mereka akan menyebabkan mereka berubah.

AS mempunyai contoh yang serupa dengan Saudi di mana kekayaan dan kemewahan menyebabkan puak Wahhabiah yang tidak begitu berbeza dengan Taliban itu jinak dan lembut.

Lantaran itu Unocal telah menyumbangkan banyak dana untuk membuat persiapan melabur di Afghanistan termasuk menyumbang dana awal berjumlah AS$900,000 kepada Pusat Pengajian Afghanistan di Universiti Omaha, Nebraska.

Pusat Pengajian Afghanistan itu telah pun menubuhkan sebuah pusat latihan dan bantuan kemanusiaan untuk orang Afghan termasuk menubuh sebuah sekolah latihan di Kandahar di mana ia telah memberi latihan kepada 400 orang guru, juruelektrik, tukang kayu, tukang cat dan lain-lain. Semua mereka itu bakal dijadikan pekerja dengan Unocal.

Ini tidak termasuk berjuta-juta bantuan kemanusiaan yang disalurkan secara rasmi oleh AS kepada Taliban dalam beberapa tahun lalu.

Bantuan kemanusiaan itu diteruskan juga pada era pemerintahan Presiden George W. Bush.

Pada Julai lalu, Penolong Setiausaha Negara AS bahagian Asia Tenggara, Christina Rocca telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Taliban di Islamabad dan mengumumkan penyaluran bantuan kemanusiaan bermotif politik berjumlah AS$43 juta.

Dengan bantuan itu ia menjadikan kesemua bantuan kemanusiaan meningkat kepada AS$124 juta untuk tahun ini saja.

Bagaimanapun, Osama bin Laden dilihat menjadi di antara halangan AS dan Taliban tidak dapat menjalinkan hubungan dalam peringkat diplomasi.

Sebagai contoh selepas Kabul jatuh ke tangan Taliban pada tahun 1996, AS mahu mengadakan hubungan diplomasi dengan Taliban. Jurucakap Jabatan Negara AS, Glyen Davies berkata, AS dapat tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap usaha Taliban untuk menguatkuasakan undang-undang Islam.

Dengan itu beberapa pegawai AS mengadakan kunjungan ke Kabul seperti bekas Penolong Setiausaha Negara bahagian Asia Selatan, Robin Raphel dan penggantinya Karl Inderfurth, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Politik, Thomas Pickering dan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bill Richardson. Richardson adalah merupakan pegawai AS yang paling tinggi membuat kunjungan ke Afghanistan.

Bagaimanapun, serangan bom ke atas dua kedutaan AS di Afrika Timur pada Ogos dan Disember 1998 yang didakwa dilakukan oleh Osama bin Laden telah membantutkan usaha menjalinkan hubungan antara AS dan Taliban.

Pun begitu, usaha AS untuk mengadakan hubungan diplomasi belum tertutup sepenuhnya. Dengan itu tidak hairan jika para pegawai AS terus berhubung dengan Taliban selepas itu sehingga ke peringkat mengadakan lawatan ke Kabul.

Sehingga beberapa hari sebelum serangan ke atas New York dan Washington pada 11 September lalu masih terdapat tiga orang pegawai AS membuat kunjungan ke Kabul.

Selepas 11 September, AS masih bertolak ansur dengan Taliban. AS hanya meminta Taliban menyerahkan Osama bin Laden dan berjanji tidak akan menyerang Afghanistan.

Malah setelah melancarkan serangan ke atas Afghanistan Presiden George W. Bush masih lagi memberi peluang kepada Taliban dan hanya menuntut penyerahan Osama.

Bagaimanapun Mullah Omar tidak mempercayai Bush. Malah Mullah Omar bukan saja tidak percaya kepada Bush dan memberi perlindungan kepada Osama, beliau juga mengancam kepentingan AS di Afghanistan.

Beliau seterusnya bertindak dengan tidak memberi kontrak pembinaan saluran paip dari Turkmenistan ke Pakistan melalui Afghanistan kepada Unocal, serta menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat Pridas dari Argentina.

Hamid Mir dalam akhbar mingguan Friday Times keluar 12-18 Oktober berkata, perkara itu menjadi punca kemarahan AS dan ia menjadi permulaan konfrontasinya dengan Taliban.

Sampai di sini penjelasan penulis dan penulis percaya para pembaca dapat mengetahui apa sebenarnya di sebalik seruan jihad itu. - Mingguan

0 comments:

Post a Comment