Sekolah agama Pakistan berbahaya0 comments Friday, June 25, 2010Oleh ASTORA JABAT Sekolah-sekolah agama rakyat di Pakistan nampaknya melencong jauh daripada peranan asalnya dalam memberi pendidikan agama kerana kebanyakannya terlibat dalam menganjurkan pengajian bersifat sektarianisme, melatih tentera, membimbing murid-murid untuk menjadi militia dalam mana-mana pergerakan bersenjata di Afghanistan dan Kashmir. Kebanyakan sekolah agama rakyat itu didirikan oleh pelbagai pertubuhan agama dan politik dalam negeri. Ada juga yang ditubuhkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama dan politik luar negeri. Di antara pertubuhan agama dan politik dalam negeri yang terlibat dalam menubuhkan sekolah-sekolah agama itu ialah Jamiat-e-Islami (JI), Jamiat Ulema e-Islami (JUI ), Jamiat Ahle Hadis, Sipah e-Sahaba, Tanzim e-Islami Pakistan, Difa e-Islami Mahaz dan lain-lain. Ada juga sekolah-sekolah yang ditubuh oleh pihak yang tidak ada kaitan dengan pertubuhan-pertubuhan itu. Malah ada juga sekolah-sekolah agama rakyat yang didirikan oleh beberapa pertubuhan agama bersifat amal dan pertubuhan agama bersifat politik dari negara-negara Arab. Puak-puak pelampau agama yang diharamkan di negara-negara Arab turut mempunyai sekolah-sekolah agama sendiri untuk mendoktrinasikan muda-mudi atau sekurang-kurangnya orang mereka terlibat dalam pendidikan agama di sekolah-sekolah agama yang ditubuhkan oleh pihak lain. Ramai pemimpin Taliban yang ada sekarang merupakan lulusan sekolah-sekolah agama rakyat ini termasuk Mullah Mohammad Omar. Mullah Omar bekas pelajar sekolah agama aliran Deoband seperti Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Aliran Deoband berasal dari India, tetapi di seluruh Pakistan terdapat banyak sekolah aliran pondok India ini. Kini terdapat lebih satu juta anak-anak orang miskin belajar di pelbagai sekolah agama rakyat di sekolah seluruh Pakistan. Maisoon Husain dalam tulisannya yang disiarkan dalam The Review, Dawn, keluaran 4-11 Oktober merujuk kepada kajian dibuat oleh Tariq Mujahid Malik pada tahun 1998 di mana dalam kajian itu dia berkata, sekolah-sekolah agama inilah yang mendoktrinasikan para pemuda mudi sekarang. Ketika Pakistan mendapat kemerdekaan pada tahun 1947, kajian Tariq Mujahid Malik itu menyatakan, terdapat hanya 137 buah sekolah agama di Pakistan, tetapi kini di Punjab saja terdapat 3,393 buah sekolah. Kajian itu tidak menyebut bahawa kini terdapat lebih 10,000 buah sekolah agama di seluruh Pakistan termasuk sekolah agama rakyat. Separuh daripada sekolah-sekolah agama di Pakistan mempromosikan pemikiran sektarianisme, dua hingga empat peratus daripadanya pula terlibat dalam memberikan latihan senjata kepada murid-murid dan lima sehingga tujuh peratus menyediakan pekerja-pekerja keganasan di peringkat dalam negeri, kata kajian yang sama (Where have we gone wrong?, The Review, Dawn, 4 - 11 Oktober 2001) Dengan itu tidak dianggap keterlaluan jika penulis menganggap di sini bahawa sekolah agama rakyat di Pakistan sangat berbahaya dan mungkin tidak ada sekolah agama rakyat seperti itu di seluruh dunia. Dari sekolah-sekolah agama rakyat inilah lahirnya murid atau pelajar yang dipanggil Taliban dan di kalangan mereka inilah lahirnya militia Taliban yang memerintah Afghanistan sekarang. Taliban yang bermaksud pelajar agama sangat dihormati di Pakistan. Malah Taliban yang bermaksud militia pun masih dipandang dengan hormat oleh ramai penduduk negara ini. Berdasar kepada pengelaman menunaikan sembahyang Jumaat sebanyak dua kali di sini, penulis dapati keseluruhan jemaah menyokong militia Taliban. Semua mengaminkan bila imam mendoakan kemenangan kepada militia Taliban. Malah kebanyakan mengangkat tangan bila imam menyeru berjihad membantu militia Taliban. Khutbah Jumaat dan ceramah sebelum khutbah juga tidak ada perkara lain yang dibincangkan kecuali memberi sokongan kepada militia Taliban dan Osama bin Laden serta menentang AS dan Britain. Doa yang dibaca pula sangat panjang dan hampir separuhnya digunakan untuk menyokong Militia Taliban dan Osama bin Laden. Salah sebuah pergerakan agama yang banyak melahirkan murid atau pelajar untuk dijadikan militia Taliban melalui sekolah-sekolah agamanya ialah JUI yang dipimpin oleh Maulana Fazlur Rehman. Beliau terlibat dengan Taliban kerana dari suku kaum yang sama dengan Mullah Mohammad Omar dan kebanyakan ahli Taliban. Ia adalah suku Pashtun atau Pathan. Fazlur Rehman mendakwa beliau telah mengumpul ramai sukarelawan untuk dihantar berjihad menentang AS di Afghanistan, tetapi tidak mengumumkan jumlah mereka. Beliau adalah antara beberapa pemimpin agama Pakistan yang terkenal mempunyai pendirian keras dan radikal. Sesetengah kalangan di sini menyifat beliau sebagai pelampau agama yang suka kekecohan. Yang anehnya, beliau tidak disukai oleh sesetengah pelarian Afghan di Peshawar di mana mereka menganggap beliau sebagai orang politik yang mencari makan atas nama Taliban. Bagaimanapun, perlu diakui bahawa Fazlur Rehman merupakan seorang bintang yang sedang naik. Berbanding pemimpin-pemimpin pergerakan agama lain, beliau dianggap paling menonjol kini. Cara beliau menggembleng orang ramai melalui ceramah dan tunjuk perasaan pula tampak sama dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas. Tetapi kerana pergerakan agama di Pakistan terlalu banyak, Fazlur Rehman atau JUI pimpinannya jauh lebih lemah daripada Pas. Di antara contoh kelemahan Fazlur Rehman atau JUI ialah kini beliau dikenakan tahan rumah buat kali kedua sejak AS menyerang Afghanistan minggu lalu, tetapi belum nampak penyokong-penyokong mahu memberontak atau mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk menuntut kebebasan beliau. Sekolah-sekolah agama JUI dan sekolah-sekolah swasta yang lain bukan saja tidak memberi pendidikan agama yang bersifat pemikiran, tetapi pendidikan agama yang umum pun lemah juga. Ini kerana kebanyakan sekolah agama hanya mengajar hafaz al-Quran saja. Dulu terdapat sebilangan rakyat Malaysia menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu termasuk sekolah-sekolah agama di Peshawar yang terkenal sebagai kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar berjihad di Afghanistan. Tetapi kini tidak ramai rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu seperti sekolah agama aliran Deoband dan sekolah hafaz al-Quran. Rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dianggap menjadi kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar ke Afghanistan juga tidak ada menurut penelitian rambang penulis selama dua minggu di Peshawar. - Mingguan Petua menawan hati orang Pakistan0 commentsOleh ASTORA JABAT Ada tiga petua yang perlu diketahui bagi sesiapa yang mahu menjadi orang yang dihormati dan diberi layanan baik di Pakistan. Jika anda dapat menggunakan petua itu dengan tepat, anda tidak akan mempunyai masalah untuk menjelajah mana-mana bumi Pakistan. Petua pertama ialah memperkenalkan diri sebagai orang Islam dan tip ini boleh digunakan untuk semua lapisan masyarakat. Petua kedua ialah menyebut, anda dari Malaysia - anda mesti dihormati dengan cara yang luar biasa. Petua ini boleh digunakan pada banyak kalangan. Petua ketiga ialah menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Bagi petua pertama iaitu Islam, ia memberi kesan yang dapat dilihat serta merta. Sebagai contohnya dengan menyebut kita orang Islam atau dengan hanya memberi salam saja, orang Pakistan akan menjadi ceria dan mesra dengan kita. Apa pun jika anda boleh berbalas-balas membaca ayat-ayat al-Quran dengan mereka, suasana keceriaan dan kemesraan sudah tentu berlebih-lebihan dan anda boleh pun menguasai mereka. Kebanyakan orang Pakistan sebenarnya kuat agama. Ketika tiba waktu sembahyang, mereka berduyun-duyun pergi ke masjid. Dengan itu pemandangan orang sembahyang di kaki lima boleh dilihat di mana-mana. Mereka pula sembahyang dengan pakaian harian mereka sahaja dan tidak menukar memakai kain sarung seperti dilakukan orang Islam di Malaysia. Pakaian mereka jika mengikut pandangan orang kita ketika melaksanakan ibadat, sudah tentu tidak sah. Tetapi sebenarnya cara yang dilakukan oleh orang Pakistan dalam mengerjakan sembahyang adalah tepat dengan hukum-hakam Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya. Dengan itu penggunaan petua di atas memberi kesan yang serupa dengan golongan kuat agama yang sentiasa beriltizam mengerjakan ibadat sembahyang. Malah orang Pakistan yang suka menipu orang asing seperti penguasa hotel, pemandu kereta sewa yang `cari makan' dengan wartawan serta pemandu pelancong dan penterjemah akan lembut hati bila kita memberi salam dan membaca al-Quran. Namun yang tidak akan lembut hati pun ada juga, walaupun kita berkhutbah panjang dengan mereka. Tetapi berdasarkan kepada pengalaman berada seminggu di sini, hanya seorang yang ditemui berperangai begitu. Petua kedua ialah menyebut nama Malaysia. Ini kerana Malaysia sebagai negara Islam contoh mempunyai daya tarikan khas di kalangan orang Pakistan yang tergolong daripada cerdik pandai dan orang yang sentiasa mengikuti perkembangan politik melalui media massa tempatan. Ramai cerdik pandai dan pelajar di Peshawar ini kagum dengan Malaysia. Sebut saja nama Malaysia mereka akan berpaling memberi perhatian dan menghormati kita. Malah turut memberi reaksi yang sama ialah orang awam yang sudah kenal Malaysia sebagai negara Islam. Mungkin ramai kalangan kita masih ingat bahawa pada tahun 1970-an dulu ramai cerdik pandai Islam di Malaysia mengambil cara melaksanakan Islam seperti yang dilakukan di Pakistan. Karya-karya agama yang dihasilkan oleh al-Maududi dan lain-lain selalu dirujuk oleh cerdik pandai Islam di Malaysia. Namun kini perkara itu menjadi sebaliknya dan ini dijelaskan oleh seorang pensyarah Universiti Peshawar, Dr. Aman Khan. Dr. Aman berkata, Pakistan dan negara-negara Islam lain perlu mencontohi Malaysia kerana ia berjaya dalam pembangunan. Bila penulis berkata, dulu Malaysia pun banyak mengambil pengalaman Pakistan, Dr. Aman berkata, pengalaman negaranya kini tidak lagi relevan dengan Malaysia, sebaliknya pengalaman Malaysia yang relevan dengan negaranya dan negara-negara Islam lain. Seorang wartawan Perancis, Cloud yang mengikuti penulis atau Noor Azam Shairi ke mana-mana di Peshawar ini kerana beliau mempunyai masalah untuk mengadakan hubungan dengan para pejuang Afghanistan mengaku Malaysia negara Islam terbaik. Cloud yang pernah berkunjung ke Malaysia berkata, dia juga cukup hairan bagaimana Malaysia yang jauh dari negaranya (Perancis) dan Eropah boleh membangun seperti itu. Petua ketiga ialah menyebut nama Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang sangat popular khususnya di kalangan wartawan dan cerdik pandai secara amnya. Setiap kali penulis menyebut Malaysia pada mereka ini, nama Dr. Mahathirlah yang mereka sentuh. Pengaruh peristiwa pemecatan pemimpin politik daripada kerajaan dan parti kerana terlibat dalam kegiatan salah laku seks, yang menimbulkan salah faham ramai orang Islam di luar negara tidak ada kesan di sini. Mungkin kesan seperti itu hanya terdapat di kalangan pergerakan-pergerakan agama yang mempunyai hubungan dengan pemimpin politik itu. Pengarang kanan akhbar The News yang merupakan penganalisis politik Pakistan terkenal, Rahimullah Yusufzai berkata, beliau mengikuti apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dan beliau berharap Dr. Mahathir dapat meneruskan perjuangannya. Perlu diterangkan bahawa penulis menceritakan nama Islam, Malaysia dan Mahathir sangat popular di sini, bukan bermaksud untuk menggalakkan pembaca menggunakan nama-nama itu untuk meraih kepentingan-kepentingan tertentu. Sebaliknya penulis mahu menjelaskan bahawa selain Islam, nama Malaysia dan Dr. Mahathir sangat harum di sini. Dengan itu jika ada mana-mana rakyat Malaysia masih berfikiran menentang dan mahu menjatuh dan memusnahkan nama serta imej Malaysia dan Dr. Mahathir di luar negara, maka hendaklah berfikir berkali-kali. - Utusan Umat tertipu dengan jihad Afghan0 commentsOleh ASTORA JABAT Penyertaan orang Malaysia dalam peperangan Afghanistan yang dipanggil jihad itu tidak begitu besar berbanding bangsa-bangsa Islam yang lain. Dengan itu mereka tidak terkenal di kalangan penduduk pelbagai suku kaum di Peshawar ini walaupun ada di kalangan telah mati di medan perang. Sebaliknya yang terkenal ialah orang Arab, orang Moro dan lain-lain bangsa. Begitu juga rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa ada orang Malaysia ikut serta dalam peperangan di Afghanistan kecuali selepas terdedahnya Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Ini kerana selain pemergian mereka adalah rahsia, mereka juga mempunyai matlamat untuk menggunakan ilmu dan kepakaran dalam ketenteraan yang dipelajari di Peshawar dan Afghanistan untuk mengguling Kerajaan Malaysia. Mereka ini walaupun kebanyakannya merupakan ahli Pas atau menjadi penyokongnya, tetapi bermentaliti seperti Ibrahim Libya kerana tidak percaya bahawa perjuangan melalui parlimen atau pilihan raya boleh menyebabkan parti mereka memerintah negara. Ini bermaksud mereka sendiri tidak bersetuju dengan Pas yang masih berpegang dengan demokrasi. Perkara ini samalah dengan yang berlaku ke atas al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan) di Mesir di mana pejuang-pejuang darah mudanya yang sempit fikiran dan cenderung kepada kekerasan meninggalkan al-Ikhwan dan menubuhkan kumpulan-kumpulan sendiri yang dikenali sebagai puak-puak pelampau agama seperti puak Takfir Wal Hijrah, puak al-Jihad dan lain-lain. Kembali kepada penyertaan orang Malaysia dalam peperangan di Afghanistan yang dipanggil jihad itu, apakah betul ia merupakan jihad? Jika melihat apa yang berlaku pada tahun 80-an, maka sudah tentu peperangan di Afghanistan itu boleh diterima secara reserve untuk dipanggil jihad kerana pada waktu itu para pejuang Islam, sama ada orang Afghan, pelbagai bangsa Arab dan bangsa Islam seluruh dunia termasuk Malaysia berperang menentang tentera Komunis. Tetapi jika melihat apa yang berlaku pada tahun 90-an di mana tujuh pertubuhan puak Mujahidin berperang sesama sendiri, maka sudah tentu peperangan di Afghanistan tidak lagi dapat dianggap jihad. Begitu juga yang berlaku antara puak Taleban dan Pakatan Utara (sisa-sisa pelbagai puak Mujahidin). Perlu diterangkan bahawa Perikatan Utara turut mendapat bekalan senjata daripada Komunis atau Russia yang mereka perangi pada tahun 80-an. Manakala Taleban pula mendapat bekalan senjata dari Pakistan sebelum Islamabad terpaksa tunduk kepada Washington. Untuk memahami secara lebih jelas apakah peperangan di Afghanistan itu jihad atau tidak, tidak dapat tidak kita mesti mengambil kira perbalahan politik yang berlaku di negara itu sejak beberapa dasawarsa. Penulis di sini hanya merujuk kepada perbalahan politik yang berlaku di kalangan orang-orang politik yang gilakan kuasa yang berlaku sejak 70-an. Dimulakan dengan kejadian gila kuasa aneh Raja Afghanistan, Zahir Shah diguling oleh sepupunya yang merupakan bekas Perdana Menteri, Mohammad Daoud. Daoud melakukan konspirasi itu pada tahun 1973 dengan mendapat bantuan Kesatuan Soviet (Soviet). Daoud menjadikan Afghanistan sebagai republik. Kerana naik ke kekuasaan secara kekerasan, Daoud juga mengalami kesudahan dengan kekerasan. Dia dibunuh pada tahun 1978 oleh Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA). Noor Mohammad Taraki yang juga berkiblat kepada Kremlin dilantik menjadi presiden. Taraki telah melaksanakan dasar yang menimbulkan kemarahan pergerakan-pergerakan agama, iaitu dasar pemulihan tanah (land reform) dan mewajibkan wanita belajar. Pergerakan-pergerakan agama melancarkan jihad menentang Taraki kerana dasar pemulihan tanah menyentuh hak orang kaya dan mewajibkan wanita belajar dianggap bercanggah dengan ajaran agama pada pandangan golongan ultrakonservatif. Itu antara titik permulaan isytihar jihad di Afghanistan, iaitu jihad menentang Taraki dan jihad tidak membenar wanita menuntut ilmu. Jihad pertama agak relevan kerana Taraki boneka Kremlin, tetapi jihad kedua bercanggah dengan ajaran Islam yang menganggap menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan perempuan. Setahun lepas itu Taraki melayang dibunuh timbalan presiden yang juga gila kuasa melampau batas, Hafizullah Amin. Amin menamat kisah hidupnya tiga bulan selepas itu kerana dikenakan hukuman bunuh ke atasnya. Perbalahan politik di kalangan orang-orang gila kuasa di Afghanistan menjadi bertambah teruk selepas Soviet menghantarkan tentera ke Afghanistan pada Disember 1979. Soviet melantik pemimpin PDPA dalam buangan di Moscow Babrak Karmal sebagai presiden. Sejak itu pelarian Afghan di Peshawar mula mendapat perhatian. Tujuh pertubuhan Mujahidin di Peshawar dipilih oleh Pakistan dan Amerika Syarikat (AS) sebagai berkelayakan untuk mendapat bantuan. Senjata mula mengalir kepada tujuh pertubuhan Mujahidin. Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) mula melatih pelarian untuk menjadi Mujahidin. Negara-negara Islam mula bergerak di bawah telunjuk AS dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mula membincangkan isu Afghan dalam persidangan-persidangannya. Pada tahun 1986 Moscow melantik Mohammad Najibullah sebagai presiden menggantikan Karmal untuk meredakan tentang terhadap kerajaan bonekanya di Kabul. Bagaimanapun keadaan menjadi bertambah buruk kerana Soviet tidak lagi berperang dengan puak-puak Afghan yang menentang kerana bonekanya, tetapi berperang dengan AS, kebanyakan negara Barat dan Islam. Selain itu selepas sangat ramai tentera Soviet terkorban, Mikhail Gorbachev mengisytiharkan pada tahun 1988 pengunduran tenteranya dari Afghanistan secara bertahap dalam jangka masa 10 bulan. Malangnya kemenangan tidak membawa sebarang erti kepada bangsa Afghanistan kerana pelbagai puak Mujahidin mula bertarung sesama sendiri. Mereka mengubah jihad menentang tentera Soviet kepada jihad sesama Islam. Tujuh parti pakatan yang dikenali sebagai mujahidin membentuk kerajaan sementara pada tahun 1989 di mana Sibghatullah Mojaddedi sebagai presiden. Puak Syiah dikeluarkan daripada kerajaan itu. Itulah antara titik awal permulaan jihad sesama Islam. Pada bulan Ogos tahun yang sama Menteri Luar Negeri Gulbuddin Hekmatyar, pemimpin parti radikal Hizbi Islami keluar pakatan kerana beliau menganggap diri lebih berhak menjadi presiden. Kini Hekmatyar dalam buangan di Iran dan beliau dikatakan akan berpihak kepada musuh lamanya, Taliban jika AS serang Afghanistan. Pada tahun 1990 tembelang AS mula terdedah apabila ia bersepakat dengan Soviet untuk mengekalkan boneka Moscow , Najibullah sebagai presiden sehingga satu pilihan raya di bawah penyeliaan antarabangsa dapat diadakan. Lantas pada tahun 21 Mei 1991 AS putuskan bantuan kepada pelbagai puak Mujahidin. April 1992 memperlihatkan pelbagai puak Mujahidin dapat menakluki Kabul. Pemimpin puak Mujahidin di Peshawar bersepakat perkongsian kuasa dalam pembentukan kerajaan peralihan. Hekmatyar enggan menandatangani persepakatan itu. Beliau terus memberontak tanpa menyedari mainan politik baru AS dan Soviet. Pada 24 Jun, tahun yang sama Burhanuddin Rabbani diisytiharkan sebagai presiden peralihan Republik Islam Afghanistan selama enam bulan. Hekmatyar terus menggila dan beliau lancarkan serangan roket ke atas Kabul. Antara bulan Julai-Ogos pada tahun yang sama perang merebak dan melibatkan puak-puak Mujahidin yang lain. Umat Islam seluruh dunia kecewa dengan apa yang dilakukan oleh pelbagai puak Mujahidin. Kemudian Rabbani dianggap mencabar perjanjian Peshawar kerana beliau diisytiharkan sebagai presiden selama dua tahun. Perkara itu berlaku pada 30 Disember 1992. Pada 19 Januari 1993, kerajaan Rabbani melancarkan serangan besar-besaran menentang Hekmatyar. Pada 7 Mac 1993, tempoh pemerintah Rabbani dipendekkan kepada 18 bulan, Hekmatyar dipujuk untuk dijadikan Perdana Menteri. Dua hari kemudian perang meletus pula kerana masalah tidak dapat diselesaikan antara Menteri Pertahanan Ahmad Shah Masoud dan Jeneral Rashid Dostum. Dostum adalah bekas tentera komunis yang perang di pihak Soviet dan beliau berpaling tadah dan dilantik menjadi jeneral dan diberi gelaran Khalid bin Walid. Dostum yang melarikan diri ke Turki selepas hampir 80 peratus wilayah Afghanistan jatuh ke tangan Taleban kembali ke Afghanistan beberapa minggu lalu untuk menyertai Perikatan Utara melancarkan serangan ke atas Taliban. Manakala Masoud baru saja meninggal dunia bulan lalu kerana dibunuh oleh dua penyerang berani daripada Algeria. Dikatakan orang Osama bin Laden yang bertanggungjawab atas pembunuhan Masoud itu kerana Osama tidak mahu membiarkan AS menggunakan Masoud melancarkan serangan ke atas Taliban. Osama dan Taleban menganggap Masoud dan lain-lain pemimpin Mujahidin dalam Perikatan Utara sebagai alat AS. Cuma perlu diterangkan bahawa Perikatan Utara kini juga mendapat bantuan ketenteraan dari Rusia. Ini bererti demi untuk memerangi Taliban dan Osama yang dulu juga merupakan sekutu AS, pelbagai puak Mujahidin dalam Perikatan Utara sanggup bekerjasama dengan Rusia. Pada 7 Mac 1993, Hekmatyar mengangkat sumpah menjadi perdana menteri, dan Masoud yang tidak dapat menerima sahsiah anarkis seperti Hekmatyar itu meletak jawatan dalam kerajaan. Pada 1 Januari 1994 Hekmatyar muncul sebagai kambing hitam sekali lagi apabila beliau membentuk pakatan dengan Dostum melancarkan serangan besar-besaran ke atas Kabul. Selepas itu pada Oktober 1994 Kandahar jatuh kepada militia pelajar agama yang dikenali sebagai Taliban dan dipimpin oleh guru agama paling ultrakonservatif, Mullah Mohammad Omar. Pada 27 September 1996 Taleban menakluki Kabul dan mengisytiharkan sebuah negara Islam yang sempurna. Tiga negara mengiktirafkan kerajaan Taliban. Pertama Pakistan yang dianggap pencipta Taleban, kedua, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). Kini selepas ditekan oleh AS, UAE tarik balik pengiktirafan kepada kerajaan Taliban. Kemudian Saudi pula selepas beberapa teragak-agak terpaksa ikut telunjuk AS. Bagaimanapun, Saudi mempunyai sebab yang boleh diterima kenapa ia terpaksa memutuskan hubungan dengan Taliban AS kerana Mullah Omar sendiri tidak pernah berterima kasih kepada Saudi sebagai negara Islam yang paling banyak membantu perjuangan di Afghanistan. Malah beliau sering menghentam Saudi dan menyokong Osama menggunakan kekerasan mengguling takhta keluarga Saudi. Kesimpulannya ialah apa yang berlaku di Afghanistan sejak tahun 70-an sehingga ke era pembentukan pelbagai puak Mujahidin dengan bantuan Pakistan dan AS pada tahun 80-an bukan boleh dinamakan jihad kerana ia hanya perbalahan politik dan perebutan kuasa semata-mata. - Utusan Kisah rakyat Malaysia belajar dengan Taliban0 commentsOleh ASTORA JABAT Kesungguhan sesetengah anak muda Melayu dalam usaha menuntut ilmu agama di luar negara patut dipuji, tetapi jika ada yang sampai sanggup belajar dengan anak-anak pelarian Afghanistan di Peshawar yang dikenali sebagai Taliban, itu tidak patut dipuji sebaliknya dikeji. Kenapa? Kerana tidak patut rakyat Malaysia belajar di sekolah-sekolah agama yang dibina khusus untuk anak-anak pelarian Afghan itu. Ini menggambarkan seolah-olah tidak ada sekolah-sekolah agama yang lebih baik di Malaysia dan negara-negara Islam lain. Selain itu sekolah-sekolah agama untuk anak pelarian Afghan sangat daif dan kekurangan dalam serba-serbi. Malah di Peshawar ini, walaupun ada sekolah-sekolah lain yang lebih baik serta ada pula universiti-universiti moden, tetapi suasana kucar-kacir, tidak terurus di bandar yang penuh dengan pelarian dan sentiasa berlaku bermacam-macam jenayah ini tidak layak dijadikan tempat menuntut ilmu bagi rakyat kita. Jika mahu belajar juga boleh memilih sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang berwibawa di Islamabad, Lahore, Karachi dan lain-lain. Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad umpamanya sangat berwibawa. Beberapa pelajar universiti itu yang sempat penulis bertukar fikiran dengan mereka, didapati berfikiran terbuka dan boleh bertutur bahasa Arab dengan baik. Dengan itu, ada kemungkinan besar rakyat Malaysia yang pernah atau masih berlajar di Peshawar bukan tujuan utamanya untuk menuntut ilmu, tetapi mendapatkan latihan ketenteraan dan berjihad di Afghanistan. Inilah juga yang menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia yang datang menuntut di Peshawar adalah mereka yang tidak pernah belajar agama secara formal atau gagal dalam pembelajarannya itu di Malaysia, jelas seorang pelajar di Islamabad. Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Peshawar pada masa lalu, tetapi yang pasti ialah anak seorang pemimpin sebuah negeri di Malaysia pernah belajar di Peshawar dan dia juga pernah pergi ke Afghanistan sebagaimana diakui oleh bapanya sendiri. Seorang lagi rakyat Malaysia yang pernah belajar di Peshawar ialah anak kepada bekas ulama parti pembangkang dan kini sudah pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, tidak dapat diketahui apakah masih ada rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar kini. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Sopian Ahmad ketika menyampai taklimat kepada para pelajar di Rumah Malaysia di Islamabad Ahad lalu berkata, beliau ada mendengar khabar kini terdapat seramai 20 orang rakyat Malaysia menuntut di Peshawar. Tetapi beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana di kalangan 410 orang pelajar yang mendaftar diri di Kedutaan Malaysia di Islamabad, tidak terdapat pelajar yang menuntut di Peshawar. Ini bererti, menurut Sopian, jika benar terdapat 20 orang rakyat Malaysia belajar di Peshawar, ia sudah tentu antara pelajar yang tidak melapor dan mendaftarkan diri dengan Kedutaan Malaysia. Sementara beberapa orang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad pula memberitahu penulis bahawa mungkin terdapat rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar terdiri daripada mereka yang tidak melaporkan diri di Kedutaan Malaysia. Mereka ini tiba ke negara ini secara senyap-senyap dan menuntut di merata tempat di Pakistan termasuk Peshawar. Bagaimanapun, sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dahulunya diketahui menerima rakyat Malaysia sebagai pelajarnya telah pun ditutup dan antaranya ialah Sekolah al-Salman, kata mereka. Sebuah sumber Kedutaan Malaysia memberitahu bahawa ada pelajar-pelajar Malaysia yang dahulu tidak mendaftarkan diri di kedutaan, kini telah pun datang untuk mendaftarkan diri mereka kerana bimbang kesukaran yang mungkin timbul kepada diri mereka jika perang meletus. Dengan itu pegawai kedutaan itu berkata, kemungkinan sudah tidak ada lagi pelajar Malaysia yang tidak mendaftarkan diri mereka di kedutaan. Sementara itu orang Arab yang bertugas sebagai guru di sekolah-sekolah agama di Peshawar ini semakin berkurangan dan mereka dikawal rapi oleh pihak berkuasa di sini. Segelintir daripada mereka yang masih ada di Peshawar akan dihantar pulang oleh kerajaan Pakistan dalam masa terdekat. Akhbar The Nation dalam laporan pada 3 Oktober lalu menyebut bahawa pentadbiran Wilayah Sempadan Barat Laut (NWFP) menuntut Kerajaan Persekutuan Pakistan menghantar pulang lebih awal 56 orang warga Arab yang bertugas di pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Peshawar dan kawasan-kawasan berhampirannya kerana pentadbiran NWFP tidak akan berupaya menjaga keselamatan mereka jika perang meletus. Pentadbir NWFP dalam surat yang diutus kepada Kerajaan Pakistan menyebut bahawa orang Arab yang berasal dari beberapa negara Arab seperti Sudan, Iraq, Syria, Algeria, Morocco dan Jordan itu bertugas dalam tujuh NGO yang memberi khidmat kepada para pelarian Afghanistan. Kemungkinan juga rakyat Malaysia yang dikatakan masih ada menuntut di Peshawar ini berada di pelbagai sekolah agama di kem-kem pelarian Afghan yang dikendalikan oleh NGO itu. Walaupun kini belum jelas tentang wujud atau tidak rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar, tetapi berdasarkan pada masa lalu mungkin ada rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar. - Utusan Bila jihad berubah jadi keganasan0 commentsOleh ASTORA JABAT Jihad fi sabilillah atau berperang pada jalan Allah mempunyai maksud yang sangat luhur dalam ajaran Islam dan bidangnya pula sangat luas bermula daripada menuntut ilmu sehingga kepada pembangunan tamadun bangsa. Berjihad pula ada yang dianggap lebih besar, lebih baik dan lebih utama. Berjihad melawan hawa nafsu disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai jihad lebih besar daripada jihad di medan perang. Malah berbuat baik dan berjasa kepada dua ibu bapa dianggap lebih baik dan perlu diberi keutamaan daripada berjihad di medan perang seperti disebut dalam satu hadis ini. (Datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w dan dia meminta izin baginda untuk pergi berjihad. Lantas Nabi menyoalnya: "Apakah dua ibu bapa kamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya." Lalu Nabi memberitahu lelaki itu: "Berjihadlah engkau pada mereka berdua.") (Hadis al-Bukhari No. 2783) Selain itu perang tidak semestinya di medan perang. Malah perang juga tidak semestinya memegang pedang atau senapang, tetapi memegang pena, buku, keyboard komputer juga dianggap perang atau jihad. Begitu juga medan perang tidak semestinya di tanah lapang, dalam hutan, laut dan di udara, tetapi dalam bidang ilmu, teknologi, pembangunan ekonomi ummah dan lain-lain. Pada waktu yang sama perang atau jihad yang dilaksanakan di Afghanistan sejak dua dasawarsa lalu sukar untuk dipanggil jihad sebagaimana yang telah penulis jelaskan Jumaat lalu kerana ia sebenarnya lebih bersifat perbalahan politik dan perebutan kuasa antara pelbagai puak politik Afghanistan termasuk yang memanggil diri sebagai Mujahidin. (Sila baca rencana berkenaan di www.utusan.com.my) Dalam pada itu jika melihat kepada orang Islam yang datang ke Afghanistan kononnya untuk berjihad, sebenarnya tidak semua mereka berniat untuk berjihad, tetapi datang untuk belajar ilmu ketenteraan bagi menggunakannya untuk mengguling kerajaan mereka. Golongan inilah sangat ramai. Ada juga yang datang mencari kerja. Golongan ini juga ramai kerana ramai pemuda Arab yang hidup susah dan melarat di negara sendiri mahu keluar negeri dengan apa cara jua. Mereka ini berjaya dikerahkan oleh pergerakan-pergerakan agama tertentu untuk ke Peshawar atau ke mana-mana bandar sempadan di Afghanistan seperti Jalalabad. Beberapa orang daripada pemuda ini pernah diwawancara oleh akhbar-akhbar Mesir beberapa tahun lalu. Seorang lelaki Arab dari Jordan yang mahu dikenali sebagai Abu al-Laith memberitahu penulis Isnin lalu bahawa memang benar terdapat orang yang datang ke Peshawar untuk mencari kerja dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah yang ada di sini. Dia yang merupakan pegawai NGO sebuah negara Arab di kawasan Teluk berkata, suatu ketika dulu pertubuhannya pernah mengambil ramai pemuda Arab dari Mesir, Algeria, Maghribi, Tunisia, Pakistan dan lain-lain. Tetapi kini kebanyakan mereka pulang ke negara masing-masing atau berpindah ke negara lain. Abu al-Laith mendakwa, semua pemuda itu tidak pernah pergi berjuang di Afghanistan, tetapi ada di antara mereka pergi ke Afghanistan untuk tujuan lain termasuk menjalani latihan tentera secara ringkas. Beberapa orang bekas penuntut sekolah Salafi, Sekolah Anak Yatim Othman bin Affan berkata semua guru mereka orang Arab. "Semua guru saya tidak pergi berperang di Afghanistan dan jika mereka memasuki Afghanistan melalui jalan bukit mereka akan balik pada hari yang sama," kata Najibullah Rehman yang berasal dari Kunar, Afghanistan. Sekolah agama yang didirikan oleh Perhimpunan Pemulihan Warisan Islam (Jami'iah Ihya' at-Turathi al-Islami atau JITI) dari Kuwait itu terletak di Bajaur, kira-kira dua jam perjalanan dengan bas dari Peshawar. JITI mempunyai tiga sebuah sekolah di Peshawar dan salah sebuah sekolah dipindahkan ke Jalalabad, Afghanistan. Sekolah-sekolah agama JITI ini masih memberi perkhidmatan kepada anak-anak pelarian Afghanistan dan tidak ditutup oleh Pakistan disebabkan ia sekolah rasmi yang sah. Dulu terdapat penuntut dari Asia menuntut di sekolah JITI di Bajaur Agency ini, tetapi dari China dan bukan dari Malaysia. Gul Masood yang sangat fasih bahasa Arab berkata, terdapat penuntut Malaysia menuntut di Sekolah Imam Muhamamd bin Ismail Al-Bukhari yang terletak di Chamkani More, kira-kira 15 kilometer di pinggir bandar Peshawar. Penulis akan membuat kunjungan ke sekolah agama berkenaan dan sekolah-sekolah agama lain dalam waktu terdekat ini untuk mencari 20 orang pelajar Malaysia yang didakwa menuntut di Peshawar. Mereka dikatakan tidak mendaftarkan diri di Kedutaan Malaysia di Islamabad. Penulis ingin memberi penjelasan sedikit mengenai kawasan-kawasan yang mempunyai perkataan agency di akhirnya termasuk Bajaur Agency dan Khyber Agency sebenarnya merupakan kawasan yang berkongsi kuasa antara kerajaan persekutuan dengan bermacam-macam suku di Pakistan. Semua suku itu mempunyai bermacam-macam kuasa istimewa seperti pemungutan cukai atau bayaran perlindungan yang dikenakan ke atas orang asing yang memasuki kawasan mereka. Di sesetengah kawasan mereka mempunyai kuasa untuk menjual-beli barang-barang larangan seperti senjata, dadah dan lain-lain. Kembali kepada isu orang Arab yang didakwa datang untuk berjihad di Afghanistan. Gul Masood seterusnya berkata, semasa beliau belajar dulu terdapat seorang guru dari Maghribi bernama Abu Aiman yang pernah ditahan selama setahun dalam penjara di Peshawar kerana dituduh terlibat dengan puak pengganas. "Kebanyakan guru yang mengajar sekolah saya adalah dari Sudan dan beberapa orang daripada mereka dari Somalia. Mereka dipilih mengajar kerana mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Mereka berperangai baik, sederhana pemikiran dan tidak terlibat dengan puak pengganas. "Sesetengah orang Arab sangat berbahaya seperti orang Palestin, Mesir, Iraq, Algeria dan Maghribi. Sekolah kami tidak lagi mengambil mereka sebagai guru dan orang Afghan juga tidak sukakan mereka kerana mereka terlibat dalam keganasan di merata tempat," katanya. Apa yang dapat disimpul daripada penjelasan bekas belajar JITI ini ialah, JITI mempunyai agenda perjuangan sendiri di sebalik kebajikan memberi pendidikan agama kepada anak-anak pelarian Afghan. Agendanya berbeza dengan agenda lain-lain pergerakan atau pertubuhan agama seperti al-Ikhwan al-Muslim (al-Ikhwan) yang memilih pendekatan politik sederhana, puak al-Jihad yang melampau dan lain-lain. Al-Ikhwan dalam misinya di Peshawar lebih memberi tumpuan kepada jihad perkhidmatan ilmu moden, komunikasi dan perubatan. Manakala puak Jihad dan lain-lain puak pelampau agama berperang di medan perang adalah jihad yang sebenar. Dari aspek lain JITI bergerak dengan saluran rasmi. Sedangkan kebanyakan pergerakan atau pertubuhan agama lain kecuali al-Ikhwan bergerak di bawah di tanah. Mereka di Peshawar dan di Afghanistan diterima sebagai pejuang termasuk Osama bin Laden, tetapi tidak dikehendaki oleh negara mereka sendiri. Jika ada di antara mereka yang berani pulang ke negara sendiri, mereka akan dipenjara atau dibunuh. Atas alasan menyokong perjuangan pembangkang atau membalas dendam terhadap kerajaan yang mengerahkan mereka untuk pergi berjihad dan kemudian tidak membenarkan mereka pulang, mereka mengubahkan apa yang didakwa sebagai jihad menentang tentera Soviet itu menjadi keganasan menentang kerajaan sendiri. Mereka melancarkan percubaan bunuh ke atas pemimpin negara mereka seperti yang dilakukan lebih 10 kali terhadap Presiden Hosni Mubarak. Mereka meletupkan bom pada sasaran-sasaran kerajaan mereka di dalam dan luar negeri seperti yang dilakukan ke atas Mesir dan Arab Saudi pada tahun 90-an. Babak baru jihad berubah menjadi keganasan akan bermula jika AS menyerang Afghanistan. - Mingguan Kumpulan agama ancam kedudukan Musharraf0 comments
Oleh ASTORA JABAT
Nampaknya penjelasan Presiden Jeneral Pervez Musharraf bahawa Pakistan hanya memerangi keganasan dan bukan memerangi Afghanistan sukar diterima di kalangan orang ramai di sini. Penjelasan itu juga memakan diri Musharraf sendiri. Bukan saja pergerakan-pergerakan agama yang sekarang melancarkan tunjuk perasaan setiap hari di setiap pelosok Pakistan, tetapi golongan intelek pun sukar menerima penjelasan Musharraf itu. Penganalisis politik Pakistan terkenal Rahimullah Yusufzai dalam satu wawancara eksklusif dengan penulis kelmarin menggambarkan bahawa sesiapa saja berhak mencurigai apa yang didakwa sebagai perang ke atas keganasan berdasar kepada tindakan yang sama dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) pada masa lalu. "Serangan ke atas sasaran pengganas yang dilakukan oleh AS pada masa lalu sama ada di Afghanistan mahupun di negara-negara lain, biasanya melibatkan sasaran awam yang menyebabkan ramai orang tidak berdosa terbunuh. "Malah ada juga sasaran-sasaran yang diserang oleh AS adalah sekolah, hospital, kilang susu dan lain-lain infrastruktur awam," jelas Rahimullah yang merupakan penganalisis politik Pakistan yang paling sibuk kini dan mukanya selalu muncul di kaca televisyen dunia. Malah Rahimullah yang menolak untuk menjadi menteri dalam kabinet Musharraf juga berkata, AS tidak dapat membukti dalam serangan ke atas Afghanistan pada tahun 1998 bahawa Osama bin Laden terlibat dalam keganasan mengebom beberapa kedutaan AS di Afrika. Seperti kes-kes terdahulu dan terbaru kes serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon pada 11 September lalu, Osama menafikan bahawa beliau terlibat. Yang menarik, seperti jelas Rahimullah yang pernah mewawancara Osama sebanyak dua kali dan beliau juga merupakan merupakan wartawan terakhir mewawancara pemimpin yang menjadi hero ramai orang Islam di sini, ialah Osama mahu meninggalkan Afghanistan kerana beliau sedar bahawa kewujudannya di negara itu boleh mendatangkan malapetaka yang tidak terhingga kepada bangsa Afghanistan. Malah Osama enggan membuat sebarang kenyataan sekarang kerana sedar,segala ungkapan yang keluar dari mulut beliau akan membawa padah dan kesengsaraan kepada Afghanistan dan rakyatnya. Washington Post dalam laporan Sabtu lalu melaporkan, tidak ada bukti bahawa empat hingga 19 orang ahli kumpulan al-Qaeda yang berada di AS beberapa tahun lalu, mempunyai kaitan dengan 19 orang perampas pesawat AS yang digunakan dalam serangan pada 11 September itu. Kumpulan yang dipanggil `usrah' oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS itu diperhatikan dengan rapi oleh agensi itu dan mereka tidak ditahan kerana mereka memasuki AS dengan cara yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menyalahi undang-undang. Ketidakpastian AS ini barangkali menyebabkan pentadbiran Presiden Bush mahu memperluaskan tindakan memerangi keganasan di semua tempat dan ia juga berkata tindakan itu mungkin memakan masa bertahun-tahun. Sehubungan itu, jika betul pentadbiran Presiden Bush mahu memperluaskan tindakan memerangi keganasan di semua tempat dalam jangka masa yang lama, ia mungkin meletuskan konflik lama antara Pakistan dengan India. Ini kerana India dan pihak-pihak tertentu di Barat menentang usaha Pakistan untuk mewujudkan satu kuasa nuklear umat Islam dengan menggunakan isu Kashmir untuk menekan Islamabad. Kelmarin beberapa laporan televisyen Barat dan India menonjolkan Islam sebagai bertanggungjawab ke atas keganasan kerana ia menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan wilayah Islam itu. Malah televisyen berkenaan menuduh Islamabad terlibat dalam menciptakan Taleban. Bagaimanapun, Forum Wartawan Kashmir mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Islamabad menuntut Setiausaha Agungnya, Kofi Annan menggesa India menghentikan keganasan tenteranya ke atas wilayah Kashmir yang didudukinya. Kini terdapat 700,000 orang tentera India yang melakukan bermacam keganasan ke atas penduduk Islam di wilayah itu, jelas forum berkenaan. Forum yang sama juga mengutuk serangan ke atas AS. Perkembangan tempatan pula, beberapa pergerakan agama dan pemimpin agama Pakistan nampaknya boleh mengancam kedudukan kerajaan Musharraf terutama jika perang meletus. Jama'at Islami yang lahir sebelum pemisahan benua India hingga tertubuhnya negara Pakistan adalah antara pergerakan agama yang melancarkan tunjuk perasaan menentang serangan yang bakal dilancar oleh AS. Pengasas pergerakan Jama'at Islami ialah al-Marhum Abu al-A'la al-Maududi (1903-1979). Al-Maududi mula aktif berdakwah melalui dunia kewartawanan pada 1918. Beliau antara orang yang mempengaruhi Sayed Qutb dalam mengungkapkan teori mengkafirkan masyarakat moden di negara-negara Islam dan menyebabkan orang tertentu dalam al-Ikhwan al-Muslimin (al-Ikhwan) menggerakkan kegiatan sayap pelampau agama yang menggunakan kekerasan dan keganasan sebagai cara berjuang. Pemikiran al-Maududi sangat popular di Malaysia dan menjadi salah satu rujukan utama Pas. Dengan itu tidak hairan jika dalam Pas terdapat puak-puak pelampau agama seperti kumpulan al-Ma'unah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) kerana pemikiran al-Maududi yang tidak relevan dengan Malaysia sudah berakar tunjang dalam pemikiran ramai orang Pas. Kenapa pemikiran al-Maududi tidak relevan dengan Malaysia? Jawabnya, kerana salah satu bukunya yang ditulis dan diedar pada tahun 1928 adalah sebagai respons terhadap penjajah Inggeris, puak-puak Hindu dan lain-lain puak serta sebagai respons kepada usaha menubuhkan negara Islam berdasar kepada perbezaan agama. Bagaimanapun, Musharraf mendakwa pergerakan-pergerakan agama tidak mampu mengancam pemerintah beliau. Ini kerana menurut beliau, segelintir saja rakyat Pakistan yang menentang tindakan kerajaan beliau yang berpihak kepada AS dalam usaha untuk melancarkan perang ke atas keganasan kali ini. Tetapi penganalisis Pakistan, Rahimullah memberitahu penulis, kata-kata Musharraf tidak tepat kerana jumlah rakyat yang menentang tindakan beliau tunduk kepada AS adalah sangat ramai. Meskipun sekarang mereka dilihat tidak ramai, tetapi jumlah itu akan meningkat bila AS menyerang Afghanistan. Malah seorang penduduk tempatan yang tidak dikenali berkata, jika perang berlaku, Musharraf pun akan kecundang juga. - Utusan Taliban cuba meraih simpati media Barat0 comments
ASTORA JABAT
Perang di Afghanistan bukan saja serangan udara dan darat yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Britain, tetapi juga merupakan perang media melalui pelbagai saluran media cetak dan elektronik. Bagaimanapun, perkara ini bukan saja berlaku dalam perang di Afghanistan, tetapi juga dalam semua perang yang dicetuskan oleh manusia, makhluk terpintar di muka bumi ini. Taliban atau Afghanistan boleh dikatakan kalah dalam semua perang itu kerana ia tidak mempunyai kelengkapan atau persediaan untuk berhadapan dengan serangan AS dan Britain. Bagaimana Afghanistan boleh mempunyai kelengkapan atau persediaan kerana ia tidak ubah seperti negara yang berada di abad pertengahan dulu? Bagaimana mungkin negara yang berada di zaman gelap boleh berhadapan dengan perang yang dilancarkan oleh negara paling maju dari segi peralatan perang di dunia. Dalam tulisan ini, kita hanya membincangkan dari sudut perang media saja. Ada beberapa kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh Taliban berkaitan dengan perang media ini. Kesilapan dan kelemahan pertama ialah Taliban mengharamkan gambar berdasarkan pada kepada beberapa hadis yang dilihat di luar konteks yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. Selain hadis itu, terdapat juga hadis ahad yang tidak begitu kuat serta ia bercanggah dengan hadis-hadis yang lain seperti hadis Rasulullah membenarkan isterinya yang masih kecil Aisyah bermain dengan patung. Taliban telah menggunakan hadis-hadis yang tidak kuat itu sebagai hujah untuk mengharamkan semua bentuk gambar, sama ada gambar lukisan, foto dan video mahupun dalam bentuk ukiran. Mungkin pembaca masih ingat bagaimana Taliban memusnahkan dua patung besar Buddha di Bamiyan tidak lama dulu menimbulkan kekecohan seluruh dunia. Ulama-ulama besar dunia Islam pun turut membantah perbuatan Taliban itu. Bagaimanapun, Taliban ada bertolak ansur juga dalam hal ini. Pada peringkat awal, Taliban mengharamkan segala bentuk gambar, tetapi selepas menerima banyak kritikan, mereka bertolak ansur terhadap gambar yang dianggap perlu dan tidak dapat dielakkan seperti gambar untuk kad pengenalan dan pasport. Tetapi bergambar atau mengambil gambar tanpa keperluan tetap dianggap haram. Sedangkan gambar video atau televisyen masih dianggap haram mutlak. Dengan itu di Afghanistan kini tidak ada televisyen. Seorang wartawan Pakistan bernama Farooq Ahmad memberitahu penulis, beberapa akhbar Afghanistan yang diterbitkan dalam bahasa Pashtun juga tidak menyiarkan sebarang gambar. Kerana tidak ada televisyen dan akhbar-akhbar yang menyiarkan gambar menyebabkan Taliban tidak dapat membalas perang media terhadap AS, Britain dan sekutunya, walaupun di peringkat dalam negara untuk menggerak dan menggemblengkan rakyat. Ia satu kerugian besar kerana gambar, sama ada foto mahupun video lebih berkesan daripada tulisan untuk menggerakkan dan menggemblengkan perjuangan rakyat. Kesilapan dan kelemahan kedua ialah Taliban lebih mengutamakan media Barat terutama yang merupakan media elektronik gergasi seperti CNN, BBC daripada media-media dari negara-negara Islam. Jadi ini bererti walaupun Taliban mengharamkan gambar dalam akhbar dan televisyen di Afghanistan, tetapi mereka mahu menggunakan media-media Barat yang menyiarkan gambar dan video (yang dianggap haram) untuk menyampai maklumat kepada masyarakat dunia dalam usahanya menyerang balas perang media terhadap AS, Britain dan sekutu. Untuk menjayakan matlamat itu Taliban telah membenarkan sekumpulan wartawan asing terutama dari negara-negara Barat memasuki Afghanistan dua minggu lalu. Beberapa wartawan Pakistan turut mengikuti rombongan media itu. Mereka dibawa menjelajah ke kawasan awam di Jalalabad yang dibom dalam serangan udara AS dan Britain itu. Bagaimanapun, pihak Taliban tidak berjaya mencapai matlamat yang dihajatinya kerana media Barat tidak melaporkan apa yang sebenarnya terjadi di Afghanistan. Malah wartawan-wartawan CNN dan BBC dalam laporan mereka hanya berkata mereka tidak dapat memastikan kerosakan harta benda dan kematian orang awam sebagai hasil daripada serangan udara AS dan Britain itu. Kedutaan Afghanistan di Pakistan menyedari bahawa media Barat tidak melaporkan perkara yang sebenar seperti mana diberitahu oleh beberapa orang pegawainya kepada penulis. Abdul Ahad Nasiri dan Sadiqullah berkata, sekumpulan wartawan asing yang dibenarkan masuk ke Afghanistan dua minggu lalu tidak melaporkan perkara sebenar yang berlaku di sana. Mereka dibawa ke kawasan-kawasan yang dibom, tetapi mereka berkata tidak dapat dipastikan jumlah orang yang terkorban. Malah kata mereka, para wartawan Barat mendakwa, mereka dikawal dan tidak dapat bergerak bebas, tetapi sebenarnya perkara itu dilakukan hanya untuk menjaga keselamatan mereka saja. Penulis berhujah dengan Abdul Ahad, Sadiqullah dan lain-lain bahawa mereka tidak boleh marah kepada para wartawan Barat itu kerana kerajaan mereka sendiri melalui kedutaannya di Islamabad yang memilih dan menentukan siapa dan media mana yang akan dibenarkan membuat liputan di Afghanistan. Seterusnya penulis berhujah, Taliban pun mengetahui bahawa media Barat secara khusus tidak pernah melaporkan kecuali perkara yang buruk tentang Afghanistan di bawah Taliban kini. Sebagai contoh penulis menyebutkan bahawa media Barat membuat laporan bahawa Taliban terlibat dalam penanaman popi secara besar-besaran. Padahal sebuah badan pembanterasan dadah dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan terbarunya berkata, Taliban sejak berkuasa berjaya mengurangkan penanaman popi sebanyak 90 peratus. Penulis juga berhujah, mungkin media dari negara-negara Islam atau negara-negara bukan Islam yang membuat laporan dari kaca mata sendiri berbeza pandangan dan tidak setuju dengan Taliban, tetapi ia akan berpihak kepada AS dan Britain yang menyerang sasaran awam dan lebih banyak membunuh orang tidak berdosa itu. Untuk mengatasi masalah laporan berat sebelah atau tidak benar itu penulis mencadangkan kepada para pegawai Kedutaan Afghanistan itu supaya membenarkan satu kumpulan wartawan akhbar dan televisyen dari negara-negara Islam memasuki Afghanistan. Para pegawai kedutaan Afghanistan itu menerima pandangan dan cadangan penulis itu dan mereka berjanji akan mempertimbangkannya, tetapi sampai sekarang belum terbayang pun penulis, Noor Azam Shairi dan Abdul Kadir Bachok akan mendapat visa untuk masuk ke Afghanistan. Ada sesetengah wartawan Arab membuat permohonan untuk mendapat visa sejak lebih sebulan, tetapi belum dapat juga. Penulis pergi setiap hari ke Kedutaan Afghanistan kerana jika bernasib baik, terbuka hati pihak kedutaan itu membenarkan penulis dan kawan-kawan memasuki Afghanistan. Bagaimanapun, kini sudah masuk minggu kedua penulis berada di Islamabad dan meninggalkan kawan-kawan di Peshawar sehingga dapat berkenalan dengan ramai pegawai kedutaan Afghanistan. Walaupun ada yang sangat baik dengan penulis, tetapi nampaknya tidak ada harapan untuk mendapatkan visa. Sebenarnya ada cara lain untuk masuk ke Afghanistan, iaitu masuk secara haram dengan membayar wang kepada orang Afghan atau orang Taliban di Peshawar, tetapi risikonya besar. - Utusan Pertembungan ulama kerajaan, pembangkang0 comments
Oleh ASTORA JABAT
Ulama kerajaan dan ulama yang menyokong kerajaan di Pakistan sama dengan ulama kerajaan dan ulama yang menyokong kerajaan di Malaysia. Mereka tidak menonjol berbanding ulama politik di kalangan pelbagai puak pembangkang agama yang selalu mengadakan ceramah dan tunjuk perasaan menentang kerajaan. Kini selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang Afghanistan mereka menambah pula satu moto baru dalam semua acara ceramah dan tunjuk perasaan mereka, iaitu moto anti-AS dan sekutu. Kehadiran orang ramai dalam majlis ceramah dan tunjuk perasaan ulama-ulama pembangkang pula meningkat setiap kali meningkatnya mangsa keganasan AS dan sekutu di Afghanistan. Sepuluh dua puluh ribu kehadiran adalah menjadi angka biasa dalam majlis ceramah dan tunjuk perasaan di Pakistan kini terutama di Peshawar, Quetta dan Karachi. Tetapi angka itu tidak menakutkan, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Islamabad, Datuk Sopian Ahmad kerana sebelum perang pun serang diadakan tunjuk perasaan sebesar itu dan begitu juga jika diukur dari saiz penduduk Pakistan. Pakistan mempunyai penduduk seramai 150 juta orang. Beberapa orang pelajar Malaysia di Islamabad ini pula berkata, tunjuk perasaan di Pakistan adalah perkara lumrah dan perbalahan antara puak dan mazhab agama pun boleh meletuskan tunjuk perasaan dan rusuhan yang melibat beribu-ribu orang. Selain itu ramai juga terbunuh jika perkara itu berlaku. Seorang wartawan bernama Habib Khan berkata, jumlah orang ramai yang ikut serta dalam tunjuk perasaan bertambah ramai berbanding hari-hari pertama AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan pada 7 Oktober lalu, tetapi masih dianggap kecil. "Parti-parti agama yang menjadi pembangkang walaupun berjaya menggerakkan massa ke jalan raya, tetapi ketika diadakan pilihan raya mereka hanya peroleh 10 peratus undi saja. "Mereka tidak kuat dan tidak mungkin memerintah, tetapi dapat membuat kacau kepada pemerintah," katanya. Pokoknya walaupun ulama pembangkang daripada pelbagai parti dan puak agama nampak sangat menonjol nama mereka kini, tetapi kemampuan mereka untuk mengubah status quo tidak ada, apatah lagi jika sampai ke pihak memerintah negara. Kenapa? Jawapannya selain alasan-alasan yang telah disebut di atas terdapat perkara lain yang menyebabkan ulama-ulama Pakistan lantang suara, tetapi lemah kuasa iaitu kerana mereka mempunyai terlalu banyak parti politik. Sedangkan ulama kerajaan dan ulama yang menyokong menyokong kerajaan walaupun berpuak-puak, mazhab dan parti, tetapi semua mereka mempunyai satu matlamat, iaitu menjaga dan memelihara kesatuan negara dan umat Pakistan dari segala ancaman dalam dan luar. Dengan ada sikap patriotik yang direstui Islam inilah menyebabkan ulama-ulama yang menyokong kerajaan dari pelbagai puak, mazhab dan parti seperti Pir Muhammad Ibrahim, Maulana Abdul Qadir Azad, Nufti Abdul Rashid, Qari Afzal Qadri, Syed Kazim Raza, Shakir Raza Rizvi, Maulana Munir Madni, Shakir Ali Rizvi, Haider Ali Mirza dan lain-lain keluar menyatakan pendirian menyokong polisi kerajaan Presiden Jeneral Pervez Musharraf berhubung Afghanistan dan India pada waktu sekarang. Semua nama ulama di atas itu adalah hanya ulama yang menyokong kerajaan dan bukan lagi ulama kerajaan dalam erti ulama yang berada dalam kerajaan dan memegang jawatan-jawatan tertentu di dalamnya. Ulama-ulama yang menyokong kerajaan ini menyatakan pendirian mereka dalam satu sidang yang dipanggil sebagai Persidangan Menyelamatkan Pakistan ( Tahafuz-I-Pakistan Conference) diadakan di Lahore pada hari Selasa, 22 Oktober lalu. Para ulama itu dalam pernyataan persidangan berkenaan menyebut bahawa mereka menyokong polisi kerajaan Presiden Musharraf berhubungan Afghanistan kerana polisi itu dapat menyelamatkan Pakistan daripada menjadi sasaran persekongkolan jahat India untuk diumumkan Pakistan sebagai negara pengganas. Pakistan dituduh sebagai negara pengganas oleh India kerana ia memberi sokongan kepada perjuangan umat Islam di Kashmir. Pakistan membuat tuduhan yang sama dengan India kerana ia juga memberi sokongan kepada golongan yang berkuasa di Kashmir di bahagian yang berada di bawah India. Ulama-ulama pembangkang yang menentang polisi kerajaan Pakistan dan mengguna pendekatan menghasut rakyat keluar mengadakan tunjuk perasaan adalah bukan kawan Pakistan, tetapi kawan India kerana India sama seperti dengan ulama-ulama pembangkang itu kerana sama-sama mahu kerajaan Pakistan dan rakyatnya berlaga antara satu sama lain, kata pernyataan itu. Apa yang betul sekarang ialah menyelamatkan negara dan bukan menciptakan masalah kepadanya menerusi peletusan tunjuk perasaan-tunjuk perasaan yang menganjurkan kekerasan. Majoriti penduduk mahukan keselamatan kepada negara dan mereka akan keluar menentang golongan yang mahu mencipta kekacauan dalam negara, kata pernyataan itu seterusnya. Sebenarnya mereka yang menentang tunjuk perasaan pelbagai puak pembangkang telah pun keluar menyatakan pendirian mereka dalam satu perarakan yang kecil diadakan di Islamabad minggu lalu. Tetapi mujurlah perarakan itu tidak melibatkan penyertaan ramai orang. Jika tidak, selain ia akan menjadi seperti tunjuk perasaan pembangkang, mungkin pula akan meletuskan rusuhan yang besar kerana pertembungan antara penyokong kerajaan dan menyokong pembangkang. Ia akan menjadi lebih teruk lagi jika majoriti senyap keluar ke jalan raya juga. Pada pandangan penulis walaupun para ulama yang menyokong kerajaan perlu menyatakan pandangan dan kekuatan mereka kepada ulama-ulama pembangkang dan masyarakat, tetapi tidak patut menggunakan tunjuk perasaan kaunter oleh kerana ia akan menjahamankan negara. Seterusnya pernyataan persidangan ulama-ulama yang menyokong kerajaan itu menyelar parti-parti pembangkang agama dan pemimpin-pemimpinnya seperti Maulana Fazlur Rehman, Maulana Samiul Haq kerana mereka tidak mengambil pendirian terhadap keganasan antara puak dan mazhab yang berleluasa di Pakistan ini. Pakistan adalah sebuah negara Islam yang paling teruk menghadapi masalah keganasan sektarianisme yang menyebabkan berlaku pembunuhan antara Sunnah dan Syiah dan antara pelbagai mazhab dan puak agama. - Utusan Pimpinan ulama Taliban0 comments
Oleh ASTORA JABAT
Apakah betul menganggap politik tidak dapat dipisah daripada agama? Tafsiran terhadap pengucapan sebegitu dianggap tidak betul, malah karut. Oleh kerana menganggap politik tidak dapat dipisahkan daripada agama, maka negara Islam itu mesti diperintah oleh orang agama iaitu ulama! Pemimpin sekular tidak boleh memerintah negara Islam, golongan tok guru lebih layak daripada pemimpin politik berwibawa menjadi perdana menteri dan bermacam-macam lagi. Jika kita mengambil kira anggapan tidak betul dan karut-marut itu sebagai kriteria kepimpinan, sudah tentu semua negara Islam sejak zaman Umawiyah sehingga ke zaman Abbasiyah, Uthmaniah dan negara-negara orang Islam hari ini bukan negara Islam belaka kerana tiada seorang pun ulama yang memerintah negara-negara tersebut. Para ulama yang mula muncul pada akhir pemerintahan Umawiyah dan awal pemerintah Abbasiyah sehingga ke zaman ini hanya menjadi penasihat atau membantu para pemerintah saja. Malah kadangkala mereka hanya menjadi penasihat dan membantu para pemerintah dari jauh tanpa mahu terikat dengan jawatan rasmi. Dan inilah yang dilakukan oleh ramai ulama zaman silam termasuk ulama empat mazhab seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafi'I, Imam Ahmad bin Handal. Penulis tidak akan membincangkan secara ilmiah tentang negara pimpinan ulama dalam tradisi Yahudi dan Kristian dan bila ia berlaku di kalangan orang Islam, tetapi hanya akan membincangkan tentang satu saja model negara pimpinan ulama pada zaman ini, iaitu negara Taliban di Afghanistan. Negara Taliban adalah negara pimpinan ulama sebenar kerana semua yang memegang jawatan dalam kerajaan bermula daripada pemimpin negara sehingga kepada pak menteri pun adalah mullah belaka. Malah duta-duta Taliban pun mullah juga. Mullah dalam bahasa Afghan dan Parsi bermaksud ulama. Tetapi jika dihalusi lagi, perkataan mullah digunakan dalam banyak maksud dan konteks. Bagaimanapun, semuanya berkaitan dengan kedudukan agama tinggi yang ada pada orang seorang tokoh agama. Di Iran, Turki dan selatan India umpamanya mullah dimaksud ulama. Manakala mullah di kalangan penganut Syiah bermazhab Ismailiyah diberi maksud pemimpin spiritual yang dianggap sebagai pengganti Imam Mahdi yang belum turun ke bumi. Mullah di kalangan penganut Syiah bermazhab Imamiyah pula adalah ahli fiqah atau hakim atau mujtahid (yang boleh membuat hukum sendiri) dalam masyarakat. Di Pakistan ini mullah disebut dalam bahasa Urdu sebagai maulana, kata orang Pakistan. Maulana berasal daripada bahasa Arab dan ia bermaksud `tuan kami'. Maulana atau `tuan kami' boleh bermaksud Tuhan ataupun manusia. Jika maulana atau `tuan kami' dikaitkan dengan manusia pula, boleh diertikan raja atau pemilik hamba atau orang yang sangat dihormati. Penggunaan istilah ini dalam bahasa Urdu bermaksud ulama kerana ulama merupakan orang yang sangat dihormati. Ini agaknya samalah dengan istilah ustaz yang digunakan di kalangan orang Islam di Malaysia secara salah dengan maksud mereka sebagai orang yang pakar dalam bidang agama. Padahal ustaz adalah bererti cikgu, guru dan profesor secara umum. Malah ustaz dalam penggunaan bahasa harian orang awam di negara-negara Arab bermaksud tuan dan encik. Mungkin ada orang bertanya bagaimana Afghanistan yang berperang tidak berhenti-henti selama 22 tahun boleh mempunyai barisan pemerintah yang merupakan ulama sepenuhnya? Dari manakah datang begitu ramai ulama yang pandai dalam politik dan pentadbiran negara? Tidakkah yang memerintah Afghanistan hanya penuntut sekolah agama kerana Taliban itu penuntut agama? Jika ada timbul persoalan-persoalan seperti itu dalam diri para pembaca, penulis ingin jelaskan begini. Mereka yang dianggap ulama di Afghanistan sebenarnya tidak sama dengan ulama di Malaysia dan negara-negara Arab. Ini kerana ulama di Afghanistan bukan orang berpendidikan agama tinggi dan pernah terlibat dalam penyelidikan yang mendalam, tetapi hanya penuntut sekolah-sekolah agama rakyat di Afghanistan dan Pakistan yang dipanggil sebagai madrasah. Pendidikan agama di sekolah-sekolah agama itu pula hanya memberi lebih tumpuan kepada hafaz al-Quran berbanding mata pelajaran agama lain. Mata pelajaran agama yang bersifat pemikiran termasuk yang berkaitan falsafah dan politik tidak ada langsung. Sekolah-sekolah agama rakyat di Afghanistan dan Pakistan itu bukan saja tidak mempunyai pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang sepatut ada termasuk bangunan yang sesuai, tetapi pembelajaran pun tidak pernah diadakan secara teratur dan sempurna. Perang yang berterusan sejak tahun 1979 sehingga kini menyebabkan sekolah-sekolah agama itu lebih memainkan peranan dalam mengeluarkan tenaga perang daripada tenaga dakwah. Dalam keadaan yang serba berkurangan dan lemah ini, muncullah murid-murid agama yang lebih besar serban daripada ilmu dalam kepala dan diberi gelaran ulama. Justeru berlakulah pelaksanaan Islam yang tidak betul, tidak dapat membezakan antara ajaran Islam dan adat orang Islam, tidak mengetahui yang mana perlu diutamakan dan yang mana tidak perlu, tidak mengetahui yang mana bersifat qati'I (putus dan muktamad) yang mesti dilaksanakan secara bulat-bulat dan yang mana khilafiyah yang terserah kepada pilihan seseorang Islam dan macam-macam lagi. Ulama pembangkang Mesir terkenal Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasel terkejut besar apabila membuat kunjungan ke Afghanistan untuk memujuk Taliban supaya tidak memusnahkan dua patung Buddha di Bamiyan dulu. Pemimpin tertinggi Taliban Mullah Muhammad Omar yang bergelar Amir Mu'minin itu menyifatkan kedatangan Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel sebagai silap jalan kerana beliau menganggap patung wajib dihapuskan dalam negara Islam. Taliban tidak mengendah fatwa Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel yang tidak membenarkan dimusnahkan kedua-dua patung Buddha itu. Lalu mereka memusnahkannya sebelum pesawat yang membawa Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel sempat mendarat di Kandahar, Afghanistan. Apa yang menyebabkan Dr. al-Qaradawi dan Dr. Wasel terkejut besar ialah kerana mereka dapati bahawa ulama-ulama Afghanistan yang sempat berbincang dengan mereka tidak ada hubungan dengan dunia luar termasuk hubungan institusi-institusi ulama di negara-negara Islam dan ini menyebabkan mereka mempunyai pemikiran zaman pertengahan dulu. Kesimpulannya perang selama 22 tahun menyebabkan muncul `ulama-ulama' bermentaliti kurun pertengahan itu. Jika Amerika Syarikat (AS) dan sekutu meneruskan perang terhadap Afghanistan begitu lama seperti perang Vietnam, mungkin ulama-ulama Taliban akan terhapus, tetapi muncul pula `ulama-ulama' berfikiran zaman batu. Dan jika dulu AS dengan bantuan Arab Saudi yang dianggap bertanggungjawab dalam melahirkan ulama-ulama Taliban, maka AS juga yang bertanggungjawab dalam melahirkan bakal ulama zaman batu itu. - Utusan Jihad atau minyak punca perang di Afghanistan?0 commentsOleh ASTORA JABAT Sudah ramai orang Islam bukan Afghan, termasuk rakyat Malaysia yang mati di Afghanistan pada tahun 80-an kerana kononnya berjihad pada jalan Allah. Kini pun sudah ada puluhan orang Islam bukan Afghan mati diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kerana kononnya berjihad pada jalan Allah. Kebanyakan mereka adalah orang Pakistan yang menjadi anggota Harakat-e-Mujahidin dan segelintir daripada mereka adalah orang Arab yang menjadi anggota pertubuhan al-Qaedah atau penyokong Osama bin Laden. Semua mereka dianggap mati syahid dan penulis pun berdoa supaya mereka ganjaran syahid. Tetapi sedarkah kita bahawa di sebalik apa yang dianggap oleh orang Islam sebagai jihad itu ada pelbagai kepentingan ekonomi termasuk kepentingan minyak dan gas yang menjadi rebutan antara beberapa negara terutamanya AS dan Kesatuan Soviet (Soviet)? Soviet menghantar tentera ke Afghanistan pada tahun 1997 juga bermotif pelbagai kepentingan ekonomi termasuk untuk mendapatkan laluan ke Laut Arab. Soviet pada ketika itu telah menguasai gas di Afghanistan. Ia menguasai gas Afghanistan sejak tahun 1967. Pada tahun 1980-an jumlah besar gas Afghanistan hanya dieksport ke Soviet dan dengan mendapat laluan ke Laut Arab ini membolehkannya meluaskan pengeksportan gas dan lain-lain ke Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik. Tetapi rancangan Soviet akhirnya digagalkan oleh AS melalui memperalatkan orang Islam dalam apa yang disebut sebagai jihad menentang Komunis di Afghanistan. Ekorannya, Soviet berundur dari Afghanistan pada tahun 1989. Selepas itu AS dijangka akan membolot perusahaan gas Afghanistan di samping simpanan minyak yang banyak di utara banjaran gunung Hindu Khosh yang belum diusahakan disebabkan oleh peperangan itu. Malah lebih menguntungkan lagi, selepas kejatuhan Soviet AS mendapat pula durian runtuh daripada negara-negara Asia Tengah dan Laut Caspian. Pemimpin Tertinggi Taliban, Mullah Mohammad Omar turut terhidu durian runtuhan itu, tetapi belum sempat makan isi durian dengan sebaik-baiknya kerana hubungan beliau dengan Osama bin Laden menjadi halangan. CIA menyedari tentang potensi Mullah Omar di Afghanistan sejak mula Taliban menunjukkan kemenangan di Kandahar. Lalu ia minta Perdana Menteri Pakistan ketika itu, Benazir Bhutto mendampingi dan memberi bantuan kepada militia pelajar itu. Selepas Taliban menguasai 90 peratus bumi Afghanistan, hubungan AS dengan Taliban semakin terjalin. Kini AS yang mahu membina saluran paip daripada negara-negara Asia Tengah dan Laut Caspian melalui Afghanistan dan Pakistan untuk dipasarkan ke Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik menyedari ia perlukan kerajaan yang kuat seperti Taliban. Dengan itu pentadbiran Bill Clinton sejak mula muncul Taliban pada tahun 1994 sehingga kejatuhan Kabul pada tahun 1996 telah melobi untuk syarikat minyak AS, Unocal. Ini kerana AS mahu projek pembinaan saluran paip dari Turkmenistan ke Pakistan menerusi Afghanistan yang menelan belanja sebanyak AS$5 bilion itu diselenggarakan oleh Unocal. AS percaya dengan bantuan Pakistan dan Arab Saudi bahawa Taliban boleh mewujudkan kestabilan dalam negara memandangkan mereka menguasai hampir seluruh Afghanistan. Pelbagai puak Mujahidin yang kini dikenali sebagai Perikatan Utara hanya menguasai lima sehingga 10 peratus saja wilayah Afghanistan dan mereka sudah tentu tidak akan berjaya memerintah negara atau mengancamnya. AS juga percaya walaupun Taliban ultra konservatif dan jumud serta tidak menghormati hak-hak asasi manusia termasuk menindas wanita, tetapi berjuta-juta dolar yang akan mengalir kepada mereka akan menyebabkan mereka berubah. AS mempunyai contoh yang serupa dengan Saudi di mana kekayaan dan kemewahan menyebabkan puak Wahhabiah yang tidak begitu berbeza dengan Taliban itu jinak dan lembut. Lantaran itu Unocal telah menyumbangkan banyak dana untuk membuat persiapan melabur di Afghanistan termasuk menyumbang dana awal berjumlah AS$900,000 kepada Pusat Pengajian Afghanistan di Universiti Omaha, Nebraska. Pusat Pengajian Afghanistan itu telah pun menubuhkan sebuah pusat latihan dan bantuan kemanusiaan untuk orang Afghan termasuk menubuh sebuah sekolah latihan di Kandahar di mana ia telah memberi latihan kepada 400 orang guru, juruelektrik, tukang kayu, tukang cat dan lain-lain. Semua mereka itu bakal dijadikan pekerja dengan Unocal. Ini tidak termasuk berjuta-juta bantuan kemanusiaan yang disalurkan secara rasmi oleh AS kepada Taliban dalam beberapa tahun lalu. Bantuan kemanusiaan itu diteruskan juga pada era pemerintahan Presiden George W. Bush. Pada Julai lalu, Penolong Setiausaha Negara AS bahagian Asia Tenggara, Christina Rocca telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Taliban di Islamabad dan mengumumkan penyaluran bantuan kemanusiaan bermotif politik berjumlah AS$43 juta. Dengan bantuan itu ia menjadikan kesemua bantuan kemanusiaan meningkat kepada AS$124 juta untuk tahun ini saja. Bagaimanapun, Osama bin Laden dilihat menjadi di antara halangan AS dan Taliban tidak dapat menjalinkan hubungan dalam peringkat diplomasi. Sebagai contoh selepas Kabul jatuh ke tangan Taliban pada tahun 1996, AS mahu mengadakan hubungan diplomasi dengan Taliban. Jurucakap Jabatan Negara AS, Glyen Davies berkata, AS dapat tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap usaha Taliban untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Dengan itu beberapa pegawai AS mengadakan kunjungan ke Kabul seperti bekas Penolong Setiausaha Negara bahagian Asia Selatan, Robin Raphel dan penggantinya Karl Inderfurth, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Politik, Thomas Pickering dan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bill Richardson. Richardson adalah merupakan pegawai AS yang paling tinggi membuat kunjungan ke Afghanistan. Bagaimanapun, serangan bom ke atas dua kedutaan AS di Afrika Timur pada Ogos dan Disember 1998 yang didakwa dilakukan oleh Osama bin Laden telah membantutkan usaha menjalinkan hubungan antara AS dan Taliban. Pun begitu, usaha AS untuk mengadakan hubungan diplomasi belum tertutup sepenuhnya. Dengan itu tidak hairan jika para pegawai AS terus berhubung dengan Taliban selepas itu sehingga ke peringkat mengadakan lawatan ke Kabul. Sehingga beberapa hari sebelum serangan ke atas New York dan Washington pada 11 September lalu masih terdapat tiga orang pegawai AS membuat kunjungan ke Kabul. Selepas 11 September, AS masih bertolak ansur dengan Taliban. AS hanya meminta Taliban menyerahkan Osama bin Laden dan berjanji tidak akan menyerang Afghanistan. Malah setelah melancarkan serangan ke atas Afghanistan Presiden George W. Bush masih lagi memberi peluang kepada Taliban dan hanya menuntut penyerahan Osama. Bagaimanapun Mullah Omar tidak mempercayai Bush. Malah Mullah Omar bukan saja tidak percaya kepada Bush dan memberi perlindungan kepada Osama, beliau juga mengancam kepentingan AS di Afghanistan. Beliau seterusnya bertindak dengan tidak memberi kontrak pembinaan saluran paip dari Turkmenistan ke Pakistan melalui Afghanistan kepada Unocal, serta menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat Pridas dari Argentina. Hamid Mir dalam akhbar mingguan Friday Times keluar 12-18 Oktober berkata, perkara itu menjadi punca kemarahan AS dan ia menjadi permulaan konfrontasinya dengan Taliban. Sampai di sini penjelasan penulis dan penulis percaya para pembaca dapat mengetahui apa sebenarnya di sebalik seruan jihad itu. - Mingguan
Subscribe to:
Posts (Atom)
|
