Umat tertipu dengan jihad AfghanOleh ASTORA JABAT Penyertaan orang Malaysia dalam peperangan Afghanistan yang dipanggil jihad itu tidak begitu besar berbanding bangsa-bangsa Islam yang lain. Dengan itu mereka tidak terkenal di kalangan penduduk pelbagai suku kaum di Peshawar ini walaupun ada di kalangan telah mati di medan perang. Sebaliknya yang terkenal ialah orang Arab, orang Moro dan lain-lain bangsa. Begitu juga rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa ada orang Malaysia ikut serta dalam peperangan di Afghanistan kecuali selepas terdedahnya Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Ini kerana selain pemergian mereka adalah rahsia, mereka juga mempunyai matlamat untuk menggunakan ilmu dan kepakaran dalam ketenteraan yang dipelajari di Peshawar dan Afghanistan untuk mengguling Kerajaan Malaysia. Mereka ini walaupun kebanyakannya merupakan ahli Pas atau menjadi penyokongnya, tetapi bermentaliti seperti Ibrahim Libya kerana tidak percaya bahawa perjuangan melalui parlimen atau pilihan raya boleh menyebabkan parti mereka memerintah negara. Ini bermaksud mereka sendiri tidak bersetuju dengan Pas yang masih berpegang dengan demokrasi. Perkara ini samalah dengan yang berlaku ke atas al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan) di Mesir di mana pejuang-pejuang darah mudanya yang sempit fikiran dan cenderung kepada kekerasan meninggalkan al-Ikhwan dan menubuhkan kumpulan-kumpulan sendiri yang dikenali sebagai puak-puak pelampau agama seperti puak Takfir Wal Hijrah, puak al-Jihad dan lain-lain. Kembali kepada penyertaan orang Malaysia dalam peperangan di Afghanistan yang dipanggil jihad itu, apakah betul ia merupakan jihad? Jika melihat apa yang berlaku pada tahun 80-an, maka sudah tentu peperangan di Afghanistan itu boleh diterima secara reserve untuk dipanggil jihad kerana pada waktu itu para pejuang Islam, sama ada orang Afghan, pelbagai bangsa Arab dan bangsa Islam seluruh dunia termasuk Malaysia berperang menentang tentera Komunis. Tetapi jika melihat apa yang berlaku pada tahun 90-an di mana tujuh pertubuhan puak Mujahidin berperang sesama sendiri, maka sudah tentu peperangan di Afghanistan tidak lagi dapat dianggap jihad. Begitu juga yang berlaku antara puak Taleban dan Pakatan Utara (sisa-sisa pelbagai puak Mujahidin). Perlu diterangkan bahawa Perikatan Utara turut mendapat bekalan senjata daripada Komunis atau Russia yang mereka perangi pada tahun 80-an. Manakala Taleban pula mendapat bekalan senjata dari Pakistan sebelum Islamabad terpaksa tunduk kepada Washington. Untuk memahami secara lebih jelas apakah peperangan di Afghanistan itu jihad atau tidak, tidak dapat tidak kita mesti mengambil kira perbalahan politik yang berlaku di negara itu sejak beberapa dasawarsa. Penulis di sini hanya merujuk kepada perbalahan politik yang berlaku di kalangan orang-orang politik yang gilakan kuasa yang berlaku sejak 70-an. Dimulakan dengan kejadian gila kuasa aneh Raja Afghanistan, Zahir Shah diguling oleh sepupunya yang merupakan bekas Perdana Menteri, Mohammad Daoud. Daoud melakukan konspirasi itu pada tahun 1973 dengan mendapat bantuan Kesatuan Soviet (Soviet). Daoud menjadikan Afghanistan sebagai republik. Kerana naik ke kekuasaan secara kekerasan, Daoud juga mengalami kesudahan dengan kekerasan. Dia dibunuh pada tahun 1978 oleh Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA). Noor Mohammad Taraki yang juga berkiblat kepada Kremlin dilantik menjadi presiden. Taraki telah melaksanakan dasar yang menimbulkan kemarahan pergerakan-pergerakan agama, iaitu dasar pemulihan tanah (land reform) dan mewajibkan wanita belajar. Pergerakan-pergerakan agama melancarkan jihad menentang Taraki kerana dasar pemulihan tanah menyentuh hak orang kaya dan mewajibkan wanita belajar dianggap bercanggah dengan ajaran agama pada pandangan golongan ultrakonservatif. Itu antara titik permulaan isytihar jihad di Afghanistan, iaitu jihad menentang Taraki dan jihad tidak membenar wanita menuntut ilmu. Jihad pertama agak relevan kerana Taraki boneka Kremlin, tetapi jihad kedua bercanggah dengan ajaran Islam yang menganggap menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan perempuan. Setahun lepas itu Taraki melayang dibunuh timbalan presiden yang juga gila kuasa melampau batas, Hafizullah Amin. Amin menamat kisah hidupnya tiga bulan selepas itu kerana dikenakan hukuman bunuh ke atasnya. Perbalahan politik di kalangan orang-orang gila kuasa di Afghanistan menjadi bertambah teruk selepas Soviet menghantarkan tentera ke Afghanistan pada Disember 1979. Soviet melantik pemimpin PDPA dalam buangan di Moscow Babrak Karmal sebagai presiden. Sejak itu pelarian Afghan di Peshawar mula mendapat perhatian. Tujuh pertubuhan Mujahidin di Peshawar dipilih oleh Pakistan dan Amerika Syarikat (AS) sebagai berkelayakan untuk mendapat bantuan. Senjata mula mengalir kepada tujuh pertubuhan Mujahidin. Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) mula melatih pelarian untuk menjadi Mujahidin. Negara-negara Islam mula bergerak di bawah telunjuk AS dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mula membincangkan isu Afghan dalam persidangan-persidangannya. Pada tahun 1986 Moscow melantik Mohammad Najibullah sebagai presiden menggantikan Karmal untuk meredakan tentang terhadap kerajaan bonekanya di Kabul. Bagaimanapun keadaan menjadi bertambah buruk kerana Soviet tidak lagi berperang dengan puak-puak Afghan yang menentang kerana bonekanya, tetapi berperang dengan AS, kebanyakan negara Barat dan Islam. Selain itu selepas sangat ramai tentera Soviet terkorban, Mikhail Gorbachev mengisytiharkan pada tahun 1988 pengunduran tenteranya dari Afghanistan secara bertahap dalam jangka masa 10 bulan. Malangnya kemenangan tidak membawa sebarang erti kepada bangsa Afghanistan kerana pelbagai puak Mujahidin mula bertarung sesama sendiri. Mereka mengubah jihad menentang tentera Soviet kepada jihad sesama Islam. Tujuh parti pakatan yang dikenali sebagai mujahidin membentuk kerajaan sementara pada tahun 1989 di mana Sibghatullah Mojaddedi sebagai presiden. Puak Syiah dikeluarkan daripada kerajaan itu. Itulah antara titik awal permulaan jihad sesama Islam. Pada bulan Ogos tahun yang sama Menteri Luar Negeri Gulbuddin Hekmatyar, pemimpin parti radikal Hizbi Islami keluar pakatan kerana beliau menganggap diri lebih berhak menjadi presiden. Kini Hekmatyar dalam buangan di Iran dan beliau dikatakan akan berpihak kepada musuh lamanya, Taliban jika AS serang Afghanistan. Pada tahun 1990 tembelang AS mula terdedah apabila ia bersepakat dengan Soviet untuk mengekalkan boneka Moscow , Najibullah sebagai presiden sehingga satu pilihan raya di bawah penyeliaan antarabangsa dapat diadakan. Lantas pada tahun 21 Mei 1991 AS putuskan bantuan kepada pelbagai puak Mujahidin. April 1992 memperlihatkan pelbagai puak Mujahidin dapat menakluki Kabul. Pemimpin puak Mujahidin di Peshawar bersepakat perkongsian kuasa dalam pembentukan kerajaan peralihan. Hekmatyar enggan menandatangani persepakatan itu. Beliau terus memberontak tanpa menyedari mainan politik baru AS dan Soviet. Pada 24 Jun, tahun yang sama Burhanuddin Rabbani diisytiharkan sebagai presiden peralihan Republik Islam Afghanistan selama enam bulan. Hekmatyar terus menggila dan beliau lancarkan serangan roket ke atas Kabul. Antara bulan Julai-Ogos pada tahun yang sama perang merebak dan melibatkan puak-puak Mujahidin yang lain. Umat Islam seluruh dunia kecewa dengan apa yang dilakukan oleh pelbagai puak Mujahidin. Kemudian Rabbani dianggap mencabar perjanjian Peshawar kerana beliau diisytiharkan sebagai presiden selama dua tahun. Perkara itu berlaku pada 30 Disember 1992. Pada 19 Januari 1993, kerajaan Rabbani melancarkan serangan besar-besaran menentang Hekmatyar. Pada 7 Mac 1993, tempoh pemerintah Rabbani dipendekkan kepada 18 bulan, Hekmatyar dipujuk untuk dijadikan Perdana Menteri. Dua hari kemudian perang meletus pula kerana masalah tidak dapat diselesaikan antara Menteri Pertahanan Ahmad Shah Masoud dan Jeneral Rashid Dostum. Dostum adalah bekas tentera komunis yang perang di pihak Soviet dan beliau berpaling tadah dan dilantik menjadi jeneral dan diberi gelaran Khalid bin Walid. Dostum yang melarikan diri ke Turki selepas hampir 80 peratus wilayah Afghanistan jatuh ke tangan Taleban kembali ke Afghanistan beberapa minggu lalu untuk menyertai Perikatan Utara melancarkan serangan ke atas Taliban. Manakala Masoud baru saja meninggal dunia bulan lalu kerana dibunuh oleh dua penyerang berani daripada Algeria. Dikatakan orang Osama bin Laden yang bertanggungjawab atas pembunuhan Masoud itu kerana Osama tidak mahu membiarkan AS menggunakan Masoud melancarkan serangan ke atas Taliban. Osama dan Taleban menganggap Masoud dan lain-lain pemimpin Mujahidin dalam Perikatan Utara sebagai alat AS. Cuma perlu diterangkan bahawa Perikatan Utara kini juga mendapat bantuan ketenteraan dari Rusia. Ini bererti demi untuk memerangi Taliban dan Osama yang dulu juga merupakan sekutu AS, pelbagai puak Mujahidin dalam Perikatan Utara sanggup bekerjasama dengan Rusia. Pada 7 Mac 1993, Hekmatyar mengangkat sumpah menjadi perdana menteri, dan Masoud yang tidak dapat menerima sahsiah anarkis seperti Hekmatyar itu meletak jawatan dalam kerajaan. Pada 1 Januari 1994 Hekmatyar muncul sebagai kambing hitam sekali lagi apabila beliau membentuk pakatan dengan Dostum melancarkan serangan besar-besaran ke atas Kabul. Selepas itu pada Oktober 1994 Kandahar jatuh kepada militia pelajar agama yang dikenali sebagai Taliban dan dipimpin oleh guru agama paling ultrakonservatif, Mullah Mohammad Omar. Pada 27 September 1996 Taleban menakluki Kabul dan mengisytiharkan sebuah negara Islam yang sempurna. Tiga negara mengiktirafkan kerajaan Taliban. Pertama Pakistan yang dianggap pencipta Taleban, kedua, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). Kini selepas ditekan oleh AS, UAE tarik balik pengiktirafan kepada kerajaan Taliban. Kemudian Saudi pula selepas beberapa teragak-agak terpaksa ikut telunjuk AS. Bagaimanapun, Saudi mempunyai sebab yang boleh diterima kenapa ia terpaksa memutuskan hubungan dengan Taliban AS kerana Mullah Omar sendiri tidak pernah berterima kasih kepada Saudi sebagai negara Islam yang paling banyak membantu perjuangan di Afghanistan. Malah beliau sering menghentam Saudi dan menyokong Osama menggunakan kekerasan mengguling takhta keluarga Saudi. Kesimpulannya ialah apa yang berlaku di Afghanistan sejak tahun 70-an sehingga ke era pembentukan pelbagai puak Mujahidin dengan bantuan Pakistan dan AS pada tahun 80-an bukan boleh dinamakan jihad kerana ia hanya perbalahan politik dan perebutan kuasa semata-mata. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
FollowersBlog Archive
About Me |

0 comments:
Post a Comment