Petua menawan hati orang PakistanOleh ASTORA JABAT Ada tiga petua yang perlu diketahui bagi sesiapa yang mahu menjadi orang yang dihormati dan diberi layanan baik di Pakistan. Jika anda dapat menggunakan petua itu dengan tepat, anda tidak akan mempunyai masalah untuk menjelajah mana-mana bumi Pakistan. Petua pertama ialah memperkenalkan diri sebagai orang Islam dan tip ini boleh digunakan untuk semua lapisan masyarakat. Petua kedua ialah menyebut, anda dari Malaysia - anda mesti dihormati dengan cara yang luar biasa. Petua ini boleh digunakan pada banyak kalangan. Petua ketiga ialah menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Bagi petua pertama iaitu Islam, ia memberi kesan yang dapat dilihat serta merta. Sebagai contohnya dengan menyebut kita orang Islam atau dengan hanya memberi salam saja, orang Pakistan akan menjadi ceria dan mesra dengan kita. Apa pun jika anda boleh berbalas-balas membaca ayat-ayat al-Quran dengan mereka, suasana keceriaan dan kemesraan sudah tentu berlebih-lebihan dan anda boleh pun menguasai mereka. Kebanyakan orang Pakistan sebenarnya kuat agama. Ketika tiba waktu sembahyang, mereka berduyun-duyun pergi ke masjid. Dengan itu pemandangan orang sembahyang di kaki lima boleh dilihat di mana-mana. Mereka pula sembahyang dengan pakaian harian mereka sahaja dan tidak menukar memakai kain sarung seperti dilakukan orang Islam di Malaysia. Pakaian mereka jika mengikut pandangan orang kita ketika melaksanakan ibadat, sudah tentu tidak sah. Tetapi sebenarnya cara yang dilakukan oleh orang Pakistan dalam mengerjakan sembahyang adalah tepat dengan hukum-hakam Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya. Dengan itu penggunaan petua di atas memberi kesan yang serupa dengan golongan kuat agama yang sentiasa beriltizam mengerjakan ibadat sembahyang. Malah orang Pakistan yang suka menipu orang asing seperti penguasa hotel, pemandu kereta sewa yang `cari makan' dengan wartawan serta pemandu pelancong dan penterjemah akan lembut hati bila kita memberi salam dan membaca al-Quran. Namun yang tidak akan lembut hati pun ada juga, walaupun kita berkhutbah panjang dengan mereka. Tetapi berdasarkan kepada pengalaman berada seminggu di sini, hanya seorang yang ditemui berperangai begitu. Petua kedua ialah menyebut nama Malaysia. Ini kerana Malaysia sebagai negara Islam contoh mempunyai daya tarikan khas di kalangan orang Pakistan yang tergolong daripada cerdik pandai dan orang yang sentiasa mengikuti perkembangan politik melalui media massa tempatan. Ramai cerdik pandai dan pelajar di Peshawar ini kagum dengan Malaysia. Sebut saja nama Malaysia mereka akan berpaling memberi perhatian dan menghormati kita. Malah turut memberi reaksi yang sama ialah orang awam yang sudah kenal Malaysia sebagai negara Islam. Mungkin ramai kalangan kita masih ingat bahawa pada tahun 1970-an dulu ramai cerdik pandai Islam di Malaysia mengambil cara melaksanakan Islam seperti yang dilakukan di Pakistan. Karya-karya agama yang dihasilkan oleh al-Maududi dan lain-lain selalu dirujuk oleh cerdik pandai Islam di Malaysia. Namun kini perkara itu menjadi sebaliknya dan ini dijelaskan oleh seorang pensyarah Universiti Peshawar, Dr. Aman Khan. Dr. Aman berkata, Pakistan dan negara-negara Islam lain perlu mencontohi Malaysia kerana ia berjaya dalam pembangunan. Bila penulis berkata, dulu Malaysia pun banyak mengambil pengalaman Pakistan, Dr. Aman berkata, pengalaman negaranya kini tidak lagi relevan dengan Malaysia, sebaliknya pengalaman Malaysia yang relevan dengan negaranya dan negara-negara Islam lain. Seorang wartawan Perancis, Cloud yang mengikuti penulis atau Noor Azam Shairi ke mana-mana di Peshawar ini kerana beliau mempunyai masalah untuk mengadakan hubungan dengan para pejuang Afghanistan mengaku Malaysia negara Islam terbaik. Cloud yang pernah berkunjung ke Malaysia berkata, dia juga cukup hairan bagaimana Malaysia yang jauh dari negaranya (Perancis) dan Eropah boleh membangun seperti itu. Petua ketiga ialah menyebut nama Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang sangat popular khususnya di kalangan wartawan dan cerdik pandai secara amnya. Setiap kali penulis menyebut Malaysia pada mereka ini, nama Dr. Mahathirlah yang mereka sentuh. Pengaruh peristiwa pemecatan pemimpin politik daripada kerajaan dan parti kerana terlibat dalam kegiatan salah laku seks, yang menimbulkan salah faham ramai orang Islam di luar negara tidak ada kesan di sini. Mungkin kesan seperti itu hanya terdapat di kalangan pergerakan-pergerakan agama yang mempunyai hubungan dengan pemimpin politik itu. Pengarang kanan akhbar The News yang merupakan penganalisis politik Pakistan terkenal, Rahimullah Yusufzai berkata, beliau mengikuti apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dan beliau berharap Dr. Mahathir dapat meneruskan perjuangannya. Perlu diterangkan bahawa penulis menceritakan nama Islam, Malaysia dan Mahathir sangat popular di sini, bukan bermaksud untuk menggalakkan pembaca menggunakan nama-nama itu untuk meraih kepentingan-kepentingan tertentu. Sebaliknya penulis mahu menjelaskan bahawa selain Islam, nama Malaysia dan Dr. Mahathir sangat harum di sini. Dengan itu jika ada mana-mana rakyat Malaysia masih berfikiran menentang dan mahu menjatuh dan memusnahkan nama serta imej Malaysia dan Dr. Mahathir di luar negara, maka hendaklah berfikir berkali-kali. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
FollowersBlog Archive
About Me |

0 comments:
Post a Comment