Sekolah agama Pakistan berbahaya



Oleh ASTORA JABAT

Sekolah-sekolah agama rakyat di Pakistan nampaknya melencong jauh daripada peranan asalnya dalam memberi pendidikan agama kerana kebanyakannya terlibat dalam menganjurkan pengajian bersifat sektarianisme, melatih tentera, membimbing murid-murid untuk menjadi militia dalam mana-mana pergerakan bersenjata di Afghanistan dan Kashmir.

Kebanyakan sekolah agama rakyat itu didirikan oleh pelbagai pertubuhan agama dan politik dalam negeri. Ada juga yang ditubuhkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama dan politik luar negeri.

Di antara pertubuhan agama dan politik dalam negeri yang terlibat dalam menubuhkan sekolah-sekolah agama itu ialah Jamiat-e-Islami (JI), Jamiat Ulema e-Islami (JUI ), Jamiat Ahle Hadis, Sipah e-Sahaba, Tanzim e-Islami Pakistan, Difa e-Islami Mahaz dan lain-lain. Ada juga sekolah-sekolah yang ditubuh oleh pihak yang tidak ada kaitan dengan pertubuhan-pertubuhan itu.

Malah ada juga sekolah-sekolah agama rakyat yang didirikan oleh beberapa pertubuhan agama bersifat amal dan pertubuhan agama bersifat politik dari negara-negara Arab. Puak-puak pelampau agama yang diharamkan di negara-negara Arab turut mempunyai sekolah-sekolah agama sendiri untuk mendoktrinasikan muda-mudi atau sekurang-kurangnya orang mereka terlibat dalam pendidikan agama di sekolah-sekolah agama yang ditubuhkan oleh pihak lain.

Ramai pemimpin Taliban yang ada sekarang merupakan lulusan sekolah-sekolah agama rakyat ini termasuk Mullah Mohammad Omar. Mullah Omar bekas pelajar sekolah agama aliran Deoband seperti Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Aliran Deoband berasal dari India, tetapi di seluruh Pakistan terdapat banyak sekolah aliran pondok India ini.

Kini terdapat lebih satu juta anak-anak orang miskin belajar di pelbagai sekolah agama rakyat di sekolah seluruh Pakistan.

Maisoon Husain dalam tulisannya yang disiarkan dalam The Review, Dawn, keluaran 4-11 Oktober merujuk kepada kajian dibuat oleh Tariq Mujahid Malik pada tahun 1998 di mana dalam kajian itu dia berkata, sekolah-sekolah agama inilah yang mendoktrinasikan para pemuda mudi sekarang.

Ketika Pakistan mendapat kemerdekaan pada tahun 1947, kajian Tariq Mujahid Malik itu menyatakan, terdapat hanya 137 buah sekolah agama di Pakistan, tetapi kini di Punjab saja terdapat 3,393 buah sekolah.

Kajian itu tidak menyebut bahawa kini terdapat lebih 10,000 buah sekolah agama di seluruh Pakistan termasuk sekolah agama rakyat.

Separuh daripada sekolah-sekolah agama di Pakistan mempromosikan pemikiran sektarianisme, dua hingga empat peratus daripadanya pula terlibat dalam memberikan latihan senjata kepada murid-murid dan lima sehingga tujuh peratus menyediakan pekerja-pekerja keganasan di peringkat dalam negeri, kata kajian yang sama (Where have we gone wrong?, The Review, Dawn, 4 - 11 Oktober 2001)

Dengan itu tidak dianggap keterlaluan jika penulis menganggap di sini bahawa sekolah agama rakyat di Pakistan sangat berbahaya dan mungkin tidak ada sekolah agama rakyat seperti itu di seluruh dunia.

Dari sekolah-sekolah agama rakyat inilah lahirnya murid atau pelajar yang dipanggil Taliban dan di kalangan mereka inilah lahirnya militia Taliban yang memerintah Afghanistan sekarang.

Taliban yang bermaksud pelajar agama sangat dihormati di Pakistan. Malah Taliban yang bermaksud militia pun masih dipandang dengan hormat oleh ramai penduduk negara ini. Berdasar kepada pengelaman menunaikan sembahyang Jumaat sebanyak dua kali di sini, penulis dapati keseluruhan jemaah menyokong militia Taliban. Semua mengaminkan bila imam mendoakan kemenangan kepada militia Taliban. Malah kebanyakan mengangkat tangan bila imam menyeru berjihad membantu militia Taliban.

Khutbah Jumaat dan ceramah sebelum khutbah juga tidak ada perkara lain yang dibincangkan kecuali memberi sokongan kepada militia Taliban dan Osama bin Laden serta menentang AS dan Britain. Doa yang dibaca pula sangat panjang dan hampir separuhnya digunakan untuk menyokong Militia Taliban dan Osama bin Laden.

Salah sebuah pergerakan agama yang banyak melahirkan murid atau pelajar untuk dijadikan militia Taliban melalui sekolah-sekolah agamanya ialah JUI yang dipimpin oleh Maulana Fazlur Rehman. Beliau terlibat dengan Taliban kerana dari suku kaum yang sama dengan Mullah Mohammad Omar dan kebanyakan ahli Taliban. Ia adalah suku Pashtun atau Pathan.

Fazlur Rehman mendakwa beliau telah mengumpul ramai sukarelawan untuk dihantar berjihad menentang AS di Afghanistan, tetapi tidak mengumumkan jumlah mereka.

Beliau adalah antara beberapa pemimpin agama Pakistan yang terkenal mempunyai pendirian keras dan radikal. Sesetengah kalangan di sini menyifat beliau sebagai pelampau agama yang suka kekecohan.

Yang anehnya, beliau tidak disukai oleh sesetengah pelarian Afghan di Peshawar di mana mereka menganggap beliau sebagai orang politik yang mencari makan atas nama Taliban.

Bagaimanapun, perlu diakui bahawa Fazlur Rehman merupakan seorang bintang yang sedang naik. Berbanding pemimpin-pemimpin pergerakan agama lain, beliau dianggap paling menonjol kini.

Cara beliau menggembleng orang ramai melalui ceramah dan tunjuk perasaan pula tampak sama dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas.

Tetapi kerana pergerakan agama di Pakistan terlalu banyak, Fazlur Rehman atau JUI pimpinannya jauh lebih lemah daripada Pas.

Di antara contoh kelemahan Fazlur Rehman atau JUI ialah kini beliau dikenakan tahan rumah buat kali kedua sejak AS menyerang Afghanistan minggu lalu, tetapi belum nampak penyokong-penyokong mahu memberontak atau mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk menuntut kebebasan beliau.

Sekolah-sekolah agama JUI dan sekolah-sekolah swasta yang lain bukan saja tidak memberi pendidikan agama yang bersifat pemikiran, tetapi pendidikan agama yang umum pun lemah juga. Ini kerana kebanyakan sekolah agama hanya mengajar hafaz al-Quran saja.

Dulu terdapat sebilangan rakyat Malaysia menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu termasuk sekolah-sekolah agama di Peshawar yang terkenal sebagai kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar berjihad di Afghanistan.

Tetapi kini tidak ramai rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama rakyat itu seperti sekolah agama aliran Deoband dan sekolah hafaz al-Quran. Rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dianggap menjadi kilang mengeluarkan pejuang untuk dihantar ke Afghanistan juga tidak ada menurut penelitian rambang penulis selama dua minggu di Peshawar. - Mingguan

0 comments:

Post a Comment