Kisah rakyat Malaysia belajar dengan TalibanOleh ASTORA JABAT Kesungguhan sesetengah anak muda Melayu dalam usaha menuntut ilmu agama di luar negara patut dipuji, tetapi jika ada yang sampai sanggup belajar dengan anak-anak pelarian Afghanistan di Peshawar yang dikenali sebagai Taliban, itu tidak patut dipuji sebaliknya dikeji. Kenapa? Kerana tidak patut rakyat Malaysia belajar di sekolah-sekolah agama yang dibina khusus untuk anak-anak pelarian Afghan itu. Ini menggambarkan seolah-olah tidak ada sekolah-sekolah agama yang lebih baik di Malaysia dan negara-negara Islam lain. Selain itu sekolah-sekolah agama untuk anak pelarian Afghan sangat daif dan kekurangan dalam serba-serbi. Malah di Peshawar ini, walaupun ada sekolah-sekolah lain yang lebih baik serta ada pula universiti-universiti moden, tetapi suasana kucar-kacir, tidak terurus di bandar yang penuh dengan pelarian dan sentiasa berlaku bermacam-macam jenayah ini tidak layak dijadikan tempat menuntut ilmu bagi rakyat kita. Jika mahu belajar juga boleh memilih sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang berwibawa di Islamabad, Lahore, Karachi dan lain-lain. Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad umpamanya sangat berwibawa. Beberapa pelajar universiti itu yang sempat penulis bertukar fikiran dengan mereka, didapati berfikiran terbuka dan boleh bertutur bahasa Arab dengan baik. Dengan itu, ada kemungkinan besar rakyat Malaysia yang pernah atau masih berlajar di Peshawar bukan tujuan utamanya untuk menuntut ilmu, tetapi mendapatkan latihan ketenteraan dan berjihad di Afghanistan. Inilah juga yang menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia yang datang menuntut di Peshawar adalah mereka yang tidak pernah belajar agama secara formal atau gagal dalam pembelajarannya itu di Malaysia, jelas seorang pelajar di Islamabad. Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Peshawar pada masa lalu, tetapi yang pasti ialah anak seorang pemimpin sebuah negeri di Malaysia pernah belajar di Peshawar dan dia juga pernah pergi ke Afghanistan sebagaimana diakui oleh bapanya sendiri. Seorang lagi rakyat Malaysia yang pernah belajar di Peshawar ialah anak kepada bekas ulama parti pembangkang dan kini sudah pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, tidak dapat diketahui apakah masih ada rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar kini. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Sopian Ahmad ketika menyampai taklimat kepada para pelajar di Rumah Malaysia di Islamabad Ahad lalu berkata, beliau ada mendengar khabar kini terdapat seramai 20 orang rakyat Malaysia menuntut di Peshawar. Tetapi beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana di kalangan 410 orang pelajar yang mendaftar diri di Kedutaan Malaysia di Islamabad, tidak terdapat pelajar yang menuntut di Peshawar. Ini bererti, menurut Sopian, jika benar terdapat 20 orang rakyat Malaysia belajar di Peshawar, ia sudah tentu antara pelajar yang tidak melapor dan mendaftarkan diri dengan Kedutaan Malaysia. Sementara beberapa orang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad pula memberitahu penulis bahawa mungkin terdapat rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar terdiri daripada mereka yang tidak melaporkan diri di Kedutaan Malaysia. Mereka ini tiba ke negara ini secara senyap-senyap dan menuntut di merata tempat di Pakistan termasuk Peshawar. Bagaimanapun, sekolah-sekolah agama di Peshawar yang dahulunya diketahui menerima rakyat Malaysia sebagai pelajarnya telah pun ditutup dan antaranya ialah Sekolah al-Salman, kata mereka. Sebuah sumber Kedutaan Malaysia memberitahu bahawa ada pelajar-pelajar Malaysia yang dahulu tidak mendaftarkan diri di kedutaan, kini telah pun datang untuk mendaftarkan diri mereka kerana bimbang kesukaran yang mungkin timbul kepada diri mereka jika perang meletus. Dengan itu pegawai kedutaan itu berkata, kemungkinan sudah tidak ada lagi pelajar Malaysia yang tidak mendaftarkan diri mereka di kedutaan. Sementara itu orang Arab yang bertugas sebagai guru di sekolah-sekolah agama di Peshawar ini semakin berkurangan dan mereka dikawal rapi oleh pihak berkuasa di sini. Segelintir daripada mereka yang masih ada di Peshawar akan dihantar pulang oleh kerajaan Pakistan dalam masa terdekat. Akhbar The Nation dalam laporan pada 3 Oktober lalu menyebut bahawa pentadbiran Wilayah Sempadan Barat Laut (NWFP) menuntut Kerajaan Persekutuan Pakistan menghantar pulang lebih awal 56 orang warga Arab yang bertugas di pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Peshawar dan kawasan-kawasan berhampirannya kerana pentadbiran NWFP tidak akan berupaya menjaga keselamatan mereka jika perang meletus. Pentadbir NWFP dalam surat yang diutus kepada Kerajaan Pakistan menyebut bahawa orang Arab yang berasal dari beberapa negara Arab seperti Sudan, Iraq, Syria, Algeria, Morocco dan Jordan itu bertugas dalam tujuh NGO yang memberi khidmat kepada para pelarian Afghanistan. Kemungkinan juga rakyat Malaysia yang dikatakan masih ada menuntut di Peshawar ini berada di pelbagai sekolah agama di kem-kem pelarian Afghan yang dikendalikan oleh NGO itu. Walaupun kini belum jelas tentang wujud atau tidak rakyat Malaysia yang menuntut di sekolah-sekolah agama di Peshawar, tetapi berdasarkan pada masa lalu mungkin ada rakyat Malaysia yang menuntut di Peshawar. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
FollowersBlog Archive
About Me |

0 comments:
Post a Comment