Bila jihad berubah jadi keganasan


Oleh ASTORA JABAT

Jihad fi sabilillah atau berperang pada jalan Allah mempunyai maksud yang sangat luhur dalam ajaran Islam dan bidangnya pula sangat luas bermula daripada menuntut ilmu sehingga kepada pembangunan tamadun bangsa.

Berjihad pula ada yang dianggap lebih besar, lebih baik dan lebih utama. Berjihad melawan hawa nafsu disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai jihad lebih besar daripada jihad di medan perang. Malah berbuat baik dan berjasa kepada dua ibu bapa dianggap lebih baik dan perlu diberi keutamaan daripada berjihad di medan perang seperti disebut dalam satu hadis ini.

(Datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w dan dia meminta izin baginda untuk pergi berjihad. Lantas Nabi menyoalnya: "Apakah dua ibu bapa kamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya." Lalu Nabi memberitahu lelaki itu: "Berjihadlah engkau pada mereka berdua.") (Hadis al-Bukhari No. 2783)

Selain itu perang tidak semestinya di medan perang. Malah perang juga tidak semestinya memegang pedang atau senapang, tetapi memegang pena, buku, keyboard komputer juga dianggap perang atau jihad. Begitu juga medan perang tidak semestinya di tanah lapang, dalam hutan, laut dan di udara, tetapi dalam bidang ilmu, teknologi, pembangunan ekonomi ummah dan lain-lain.

Pada waktu yang sama perang atau jihad yang dilaksanakan di Afghanistan sejak dua dasawarsa lalu sukar untuk dipanggil jihad sebagaimana yang telah penulis jelaskan Jumaat lalu kerana ia sebenarnya lebih bersifat perbalahan politik dan perebutan kuasa antara pelbagai puak politik Afghanistan termasuk yang memanggil diri sebagai Mujahidin. (Sila baca rencana berkenaan di www.utusan.com.my)

Dalam pada itu jika melihat kepada orang Islam yang datang ke Afghanistan kononnya untuk berjihad, sebenarnya tidak semua mereka berniat untuk berjihad, tetapi datang untuk belajar ilmu ketenteraan bagi menggunakannya untuk mengguling kerajaan mereka. Golongan inilah sangat ramai. Ada juga yang datang mencari kerja.

Golongan ini juga ramai kerana ramai pemuda Arab yang hidup susah dan melarat di negara sendiri mahu keluar negeri dengan apa cara jua. Mereka ini berjaya dikerahkan oleh pergerakan-pergerakan agama tertentu untuk ke Peshawar atau ke mana-mana bandar sempadan di Afghanistan seperti Jalalabad.

Beberapa orang daripada pemuda ini pernah diwawancara oleh akhbar-akhbar Mesir beberapa tahun lalu.

Seorang lelaki Arab dari Jordan yang mahu dikenali sebagai Abu al-Laith memberitahu penulis Isnin lalu bahawa memang benar terdapat orang yang datang ke Peshawar untuk mencari kerja dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah yang ada di sini.

Dia yang merupakan pegawai NGO sebuah negara Arab di kawasan Teluk berkata, suatu ketika dulu pertubuhannya pernah mengambil ramai pemuda Arab dari Mesir, Algeria, Maghribi, Tunisia, Pakistan dan lain-lain. Tetapi kini kebanyakan mereka pulang ke negara masing-masing atau berpindah ke negara lain.

Abu al-Laith mendakwa, semua pemuda itu tidak pernah pergi berjuang di Afghanistan, tetapi ada di antara mereka pergi ke Afghanistan untuk tujuan lain termasuk menjalani latihan tentera secara ringkas.

Beberapa orang bekas penuntut sekolah Salafi, Sekolah Anak Yatim Othman bin Affan berkata semua guru mereka orang Arab.

"Semua guru saya tidak pergi berperang di Afghanistan dan jika mereka memasuki Afghanistan melalui jalan bukit mereka akan balik pada hari yang sama," kata Najibullah Rehman yang berasal dari Kunar, Afghanistan.

Sekolah agama yang didirikan oleh Perhimpunan Pemulihan Warisan Islam (Jami'iah Ihya' at-Turathi al-Islami atau JITI) dari Kuwait itu terletak di Bajaur, kira-kira dua jam perjalanan dengan bas dari Peshawar.

JITI mempunyai tiga sebuah sekolah di Peshawar dan salah sebuah sekolah dipindahkan ke Jalalabad, Afghanistan. Sekolah-sekolah agama JITI ini masih memberi perkhidmatan kepada anak-anak pelarian Afghanistan dan tidak ditutup oleh Pakistan disebabkan ia sekolah rasmi yang sah.

Dulu terdapat penuntut dari Asia menuntut di sekolah JITI di Bajaur Agency ini, tetapi dari China dan bukan dari Malaysia.

Gul Masood yang sangat fasih bahasa Arab berkata, terdapat penuntut Malaysia menuntut di Sekolah Imam Muhamamd bin Ismail Al-Bukhari yang terletak di Chamkani More, kira-kira 15 kilometer di pinggir bandar Peshawar.

Penulis akan membuat kunjungan ke sekolah agama berkenaan dan sekolah-sekolah agama lain dalam waktu terdekat ini untuk mencari 20 orang pelajar Malaysia yang didakwa menuntut di Peshawar. Mereka dikatakan tidak mendaftarkan diri di Kedutaan Malaysia di Islamabad.

Penulis ingin memberi penjelasan sedikit mengenai kawasan-kawasan yang mempunyai perkataan agency di akhirnya termasuk Bajaur Agency dan Khyber Agency sebenarnya merupakan kawasan yang berkongsi kuasa antara kerajaan persekutuan dengan bermacam-macam suku di Pakistan.

Semua suku itu mempunyai bermacam-macam kuasa istimewa seperti pemungutan cukai atau bayaran perlindungan yang dikenakan ke atas orang asing yang memasuki kawasan mereka. Di sesetengah kawasan mereka mempunyai kuasa untuk menjual-beli barang-barang larangan seperti senjata, dadah dan lain-lain.

Kembali kepada isu orang Arab yang didakwa datang untuk berjihad di Afghanistan.

Gul Masood seterusnya berkata, semasa beliau belajar dulu terdapat seorang guru dari Maghribi bernama Abu Aiman yang pernah ditahan selama setahun dalam penjara di Peshawar kerana dituduh terlibat dengan puak pengganas.

"Kebanyakan guru yang mengajar sekolah saya adalah dari Sudan dan beberapa orang daripada mereka dari Somalia. Mereka dipilih mengajar kerana mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Mereka berperangai baik, sederhana pemikiran dan tidak terlibat dengan puak pengganas.

"Sesetengah orang Arab sangat berbahaya seperti orang Palestin, Mesir, Iraq, Algeria dan Maghribi. Sekolah kami tidak lagi mengambil mereka sebagai guru dan orang Afghan juga tidak sukakan mereka kerana mereka terlibat dalam keganasan di merata tempat," katanya.

Apa yang dapat disimpul daripada penjelasan bekas belajar JITI ini ialah, JITI mempunyai agenda perjuangan sendiri di sebalik kebajikan memberi pendidikan agama kepada anak-anak pelarian Afghan. Agendanya berbeza dengan agenda lain-lain pergerakan atau pertubuhan agama seperti al-Ikhwan al-Muslim (al-Ikhwan) yang memilih pendekatan politik sederhana, puak al-Jihad yang melampau dan lain-lain.

Al-Ikhwan dalam misinya di Peshawar lebih memberi tumpuan kepada jihad perkhidmatan ilmu moden, komunikasi dan perubatan. Manakala puak Jihad dan lain-lain puak pelampau agama berperang di medan perang adalah jihad yang sebenar.

Dari aspek lain JITI bergerak dengan saluran rasmi. Sedangkan kebanyakan pergerakan atau pertubuhan agama lain kecuali al-Ikhwan bergerak di bawah di tanah. Mereka di Peshawar dan di Afghanistan diterima sebagai pejuang termasuk Osama bin Laden, tetapi tidak dikehendaki oleh negara mereka sendiri. Jika ada di antara mereka yang berani pulang ke negara sendiri, mereka akan dipenjara atau dibunuh.

Atas alasan menyokong perjuangan pembangkang atau membalas dendam terhadap kerajaan yang mengerahkan mereka untuk pergi berjihad dan kemudian tidak membenarkan mereka pulang, mereka mengubahkan apa yang didakwa sebagai jihad menentang tentera Soviet itu menjadi keganasan menentang kerajaan sendiri.

Mereka melancarkan percubaan bunuh ke atas pemimpin negara mereka seperti yang dilakukan lebih 10 kali terhadap Presiden Hosni Mubarak. Mereka meletupkan bom pada sasaran-sasaran kerajaan mereka di dalam dan luar negeri seperti yang dilakukan ke atas Mesir dan Arab Saudi pada tahun 90-an.

Babak baru jihad berubah menjadi keganasan akan bermula jika AS menyerang Afghanistan. - Mingguan

0 comments:

Post a Comment