Oleh ASTORA JABAT
SYEIKH Al-Azhar Dr. Mohammad Sayed Tantawi sekali lagi membuat kenyataan menganggap Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain. Beliau mahu negara-negara Islam lain mengambil contoh daripada kejayaan Malaysia.
Pada tahun 1997, beliau pernah membuat kenyataan yang serupa dalam wawancara dengan penulis yang disiarkan dalam akhbar ini, Utusan Malaysia dan TV1. Tidak ragu lagi barisan pemimpin Pas tidak akan bersetuju dengan pengakuan Dr. Mohammad Tantawi ini dan mereka akan melempar bermacam-macam tuduhan terhadap ulama agung itu seperti yang pernah dilakukan pada tahun 1997.
Bagaimanapun, perbincangan dalam Multaqa Ulama Sedunia yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada 10 hingga 12 Julai lalu turut menyentuh perkara yang disentuh oleh Syeikh Al-Azhar itu.
Prof. Datuk Dr. Osman Bakar sebagai contoh menggunakan bahasa yang serupa dengan Dr. Mohammad Sayed Tantawi. Beliau berkata, Malaysia menjadi model negara Islam moden yang mampu menjadikan prinsip-prinsip Islam berupaya berinteraksi dengan pemodenan. Malah beberapa orang peserta dalam multaqa ulama itu terutama yang datang dari luar negara turut membincangkan perkara yang sama.
Sebenarnya Dr. Mohammad Sayed Tantawi merupakan tetamu asing paling istimewa dan kehadiran beliau dalam Multaqa Ulama Sedunia kali ini memberi erti yang besar kepada Malaysia. Dengan itu ada baiknya penulis menyiarkan di sini pandangan ulama yang mempunyai kedudukan sama dengan seorang perdana menteri itu.
Beliau dalam ucaptama di bawah tajuk Pengagamaan (at-Tadayyun) Hakiki Pada Zaman Globalisasi menjelaskan bahawa pengagamaan (at-tadayyun) itu bermaksud seseorang itu berpegang dengan sesuatu akidah dan dia percaya dan membelanya dengan sungguh-sungguh.
Pengagamaan merupakan perkara tabii dalam kehidupan. Penulis agung Mesir, Mahmud Akkad -Rahimahulla - dalam bukunya Allah mempunyai satu pandangan yang sangat berharga tentang topik itu. Dia berkata: Lapar kepada akidah dan agama adalah menjadi tabiat semula jadi manusia sama seperti rasa lapar perut kepada makanan...
Dr. Mohammad Sayed Tantawi seterusnya berkata: Adalah menjadi perkara hak yang tidak boleh dipertikaikan bahawa cita rasa agama mempunyai kehadiran yang mendalam dalam diri manusia. Dan ia menjadi perkara hak juga bahawa manusia mesti beriman dan dia tidak boleh tinggal dalam dunia ini tanpa keimanan.
Menurutnya, pengagamaan hakiki ialah pengagamaan yang keluar daripada akidah benar, yang ikhlas beribadat kepada Allah Maha Esa dan Maha Penggagah, dan juga beriman dengan rasul-rasul, serta malaikat-malaikat dan kitab-kitab-Nya serta hari akhirat dan penentuan baik dan jahat.
Dr. Mohammad Sayed Tantawi berkata, al-Quran telah menyebut tentang sifat orang yang mengamal pengagamaan hakiki dalam puluhan ayat. Di antaranya ialah firman Allah Taala: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan syalat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia - (al-Anfal: 2-4)
Pelanggaran hak
Rasulullah s.a.w. turut menyebut tentang pengagamaan hakiki para sahabatnya seperti disebut dalam hadis: Orang Muslim itu ialah orang menyelamatkan orang Islam daripada (angkara) lidah dan tangannya. Dan orang mukmin ialah orang yang menyelamatkan darah dan harta mereka (orang Islam). Dan penghijrah itu ialah orang berhijrah daripada apa yang ditegah oleh Allah.
Begitu juga sabda Nabi s.a.w.: Orang mukmin yang kuat lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah. Dan pada setiap perkara baik, berilah perhatian kepada perkara yang memberi manfaat kepada kamu, dan minta pertolonganlah kamu kepada Allah dan jangan berasa lemah. Jika kamu terkena sesuatu, janganlah berkata jika aku lakukan begitu, ia akan menjadi begitu dan begini, tetapi katalah itu takdir Allah dan jika Dia menghendaki terjadi. Dan sesungguhnya perkataan jika itu membuka perbuatan syaitan.
Yang dimaksudkan kuat di sini ialah orang mukmin itu mesti menjadi kuat dalam agama, akhlak, perilaku, kelurusan, kesucian, mempertahan kebenaran dan penghapusan kebatilan.
Pengagamaan hakiki juga ialah seseorang itu beriltizam dalam melaku dan melaksanakan sepenuhnya hukum dan adab Islam serta melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan semua larangannya.
Seterusnya Dr. Mohammad Sayed Tantawi berbincang tentang globalisasi. Beliau berkata, jika globalisasi dimaksudkan bahawa semua manusia di dunia ini mesti berkenalan, berhubungan antara satu sama lain dan saling bertukar kepentingan yang dihalalkan oleh Allah berdasarkan keadilan, kebenaran dan kemanfaatan, maka saya sebagai orang Islam mengalu-alukannya kerana Allah memberitahu kita dalam kitab-Nya bahawa Dia menjadikan semua manusia daripada bapa dan emak yang sama.
Allah berfirman: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai... - (an-Nisa: 1)
Jika dimaksudkan globalisasi itu pertukaran kepentingan yang dihalalkan oleh Allah antara manusia yang berbeza akidah, mazhab dan aliran, sama ada merupakan kepentingan yang terhasil daripada pertanian mahupun yang terhasil daripada perindustrian dan lain-lain, saya sebagai pakar syarak tidak menganggap menjadi masalah.
Jika dimaksudkan globalisasi itu ialah menyebar ilmu yang berguna, budaya (kultur) yang menyinarkan pemikiran dan memberi petunjuk kepada hati, membentuk tamadun yang membawa kemajuan kepada orang perseorangan, kelompok dan ummah, maka saya sebagai ulama tidak memandang perlu menyekat aliran itu.
Tetapi saya tidak bersetuju, jika globalisasi dimaksudkan negara-negara tertentu berusaha untuk menundukkan negara-negara lain bagi menguasai ekonomi, kewangan dan politiknya.
Saya ingin menegaskan kepada semua mereka yang berbeza akidah dengan kita bahawa agama Islam menghulur tangan untuk menegakkan perdamaian dengan mereka yang menghulur tangan kepada kita. Dalam Islam tidak wujud paksaan dalam akidah kerana paksaan dalam akidah itu tidak dapat melahirkan orang mukmin yang sebenar, tetapi melahirkan orang mukmin yang munafik dan berbohong. Juga Islam menyuruh penganutnya berdamai dengan orang yang berdamai dengan mereka dan melawan orang yang melakukan pelanggaran hak ke atas mereka.
Kita dapat melihat neraca itu dalam dua ayat ini, iaitu firman Allah: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim - (al-Muntahanah: 8-9)
Akhir sekali penulis ingin menjelaskan kepada orang yang membuat pengaduan kepada Dr. Mohammad Sayed Tantawi mengenai tulisan penulis berhubung isu Salafi dan Wahhabi bahawa jika dia masih belum lagi berpuas hati dengan jawapan bijak daripada ulama agung itu, boleh berhubung dengan penulis. Penulis bersedia membincangkan isu itu dengan mana-mana pihak pada bila-bila masa sahaja.

0 comments:
Post a Comment