BICARA AG
20/06/2004
Oleh ASTORA JABAT
BIASANYA dialog yang melibatkan pelbagai parti jarang dapat diadakan di negara ini. Bagaimanapun, Khamis lalu salah satu dialog yang melibatkan pelbagai parti, sama ada dalam peringkat ahli panel dialog mahupun dalam peringkat para hadirin berjaya diadakan. Ia dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dan Konrad Adrenuer Foundation (KAF). Topik dialog pula sangat panas dan kontroversi, Masa Depan Politik Teologi (Agama).
Yang dianggap menarik dalam dialog berkenaan ialah perbincangan yang bersifat perang intelektual antara Khalid Jaafar, Pengarah IKD (Parti Keadilan Rakyat) dan Dr. Dzulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas. Khalid yang juga ketua penerangan Keadilan itu menyerang politik teologi, tetapi Dr. Zulkifli membelanya. Pandangan Khalid tidak begitu berbeza dengan penulis yang turut menjadi ahli panel dialog tersebut.
Malangnya UMNO tidak dijemput menjadi ahli panel dialog. Jika tidak, perdebatan akan menjadi lebih panas.
Dialog seperti itu jika diadakan pada tahun 1998, 1999, 2000 dan 2001 boleh menyebabkan berlaku perbalahan sengit yang mengakibatkan pelontaran bermacam-macam tuduhan, fitnah, makian dan cacian seperti yang pernah dihadapi penulis.
Ketika itu kebanyakan kita menganggap menjadi pantang larang membawa pandangan pro dan kontra dalam membincangkan isu-isu agama. Puncanya kerana kita telah terbiasa dengan pandangan satu hala itu lebih selesa menjadi pak turut hukum fikah yang diformulakan sejak lebih seribu tahun lalu. Kita rela menerima hukum fikah itu sebagai tatahidup kita seolah-olah ia muktamad daripada Allah tanpa berupaya untuk melihat kontekstual pembentukan hukum fikah berkenaan.
Bagaimanapun, keadaan sedikit berubah beberapa tahun kebelakangan ini di mana pandangan pro dan kontra dalam membincangkan isu-isu agama mula diterima sedikit demi sedikit. Jika dulu ramai melihat perbezaan pandangan dalam agama itu sebagai perkara negatif kerana dimomokkan boleh menyebabkan perpecahan, tetapi kini mereka mula melihatnya sebagai perkara positif dan menganggapnya sebagai kelonggaran dan keizinan daripada Allah untuk kemudahan hidup kita.
Dalam suasana baru yang lebih terbuka ini penulis berpeluang ikut serta dalam beberapa dialog intelektual dan yang dianggap sangat baik ialah dialog anjuran IKD dan KAF itu.
Para hadirin majlis dialog itu pula bersifat eksklusif yang dijemput khusus oleh penganjur dan kebanyakannya orang muda yang menjadi para penyokong Pas, Keadilan, DAP, bebas, wartawan dan penulis pembangkang.
Dialog bermula dengan perbincangan Khalid Jaafar yang membuat serangan intelektual kecil-kecilan sebagai pembukaan. Beliau mempersoalkan kaitan antara politik dan teologi yang dianggap kontradiksi atau bercanggah antara satu sama lain.
Khalid melihat kontradiksi terdapat dalam istilah politik teologi itu kerana teologi bersifat wahyu kerana ia daripada Allah. Manakala politik pula perundingan manusia untuk menjaga kepentingan dan ia merupakan ijtihad manusia
Beliau berkata, ada usaha untuk mengintegrasikan politik dengan teologi itu seperti yang dilakukan oleh presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser di akhir pemerintahannya, tetapi tidak berjaya.
Bagaimanapun, Khalid menganggap teologi juga mempengaruhi politik dan dengan itu ia tidak dapat dipisahkan daripada politik.
Perbincangan Khalid walaupun bersifat umum dan tidak menyebut nama Pas sedikit pun ketika memperkatakan tentang kontradiksi antara politik dan teologi, tetapi Dr. Dzulkifli yang terang-terang menyatakan bahawa beliau mewakili Pas berasa panas. Khalid mendakwa beliau tidak mewakili Keadilan dan beliau percaya juga kebanyakan pandangan yang beliau ben-tangkan dalam dialog itu tidak akan disetujui oleh partinya.
Penulis juga tidak mewakili mana-mana pihak dan apa yang dijelaskan dalam dialog yang memakan masa hampir tiga jam itu adalah pandangan peribadi belaka.
Jadi dengan itu Dr. Dzulkifli sahajalah yang mewakili pihak tertentu, iaitu Pas. Keberanian Dr. Dzulkifli tampil dalam majlis dialog yang dilihat oleh ramai orang sebagai menghukumkan Pas perlu dihargai. Ini kerana beliau hanya ahli panel bidan terjun kerana mengganti pemimpin-pemimpin Pas lain yang tidak berani menampilkan diri bagi membincangkan topik panas itu.
Dalam respons kepada perbincangan Khalid, Dr. Dzulkifli membela habis-habisan politik teologi Pas.
Beliau menganggap tidak ada percanggahan antara politik dan teologi seperti dakwa Khalid.
Katanya, beliau boleh menerima dakwaan Khalid itu sekiranya merujuk kepada pengalaman Barat, tetapi melihat dari sudut pandangan Islam politik adalah serasi dengan teologi.
Menurut beliau, politik teologi bererti politik ketuhanan atau politik berasas agama. Istilah ini tidak dianggap bercanggah.
Penulis pula membincang tentang perbezaan antara politik teologi dan politik Islam. Penulis menjelaskan bahawa politik teologi tidak wujud, tetapi yang wujud adalah politik Islam menurut pandangan ramai ulama pada zaman ini. Demikian itu kerana mereka berkata, negara teologi (ad-daulah ad-diniah/negara agama) tidak wujud dalam Islam, tetapi yang wujud ialah negara Islam (ad-daulah al-Islamiah).
Kemudian penulis menjelaskan pula bahawa perbezaan antara negara teologi dan negara Islam itu hanya berlaku dalam peringkat teori saja, tetapi di alam nyata tidak ada perbezaan itu sama sekali.
Penulis menyebut beberapa contoh negara umat Muslim yang didakwa sebagai negara Islam tulen seperti Arab Saudi, Iran dan Afghanistan tidak pun berbeza dengan negara teologi yang terdapat dalam teori itu. Seterusnya menjelaskan pula tentang orang Muslim yang rela tinggal di negara sekular daripada tinggal di negara Islam dalam erti kata negara Islam itu dikuasai oleh puak-puak agama.
Penulis membawa contoh seorang cerdik pandai Muslim India terkenal, Abu al-Hassan al-Nadwi menolak negara Islam Pakistan dan menerima negara sekular India.
Rasional
Syeikh an-Nadwi lebih rela berada di negara asalnya daripada berada dalam negara yang didirikan atas asas pemisahan agama (Pakistan) yang diperjuangkan oleh rakan-rakannya termasuk Abu al-Ala al-Maududi, pemimpin Jamaat-e- Islami (JI).
Pendirian an-Nadwi menolak penubuhan negara teologi atau negara Islam amat rasional sekali. Ini bukan saja dilihat dalam konteks Pakistan yang ditubuh atas asas pemisahan agama antara Islam dan Hindu tidak berjaya, tetapi juga dilihat dalam konteks keberbahayaan bila India dikuasai parti agama.
Kerana menyedari keberbahayaan itulah umat Muslim India yang berjumlah kira-kira 150 juta itu memberi undi mereka kepada Parti Kongres dan parti komunis kerana menolak parti pelampau agama Hindu.
Pemikir dan ulama Mesir terkenal. Dr. Fathi Osman juga tidak berbeza dengan Syeikh an-Nadwi. Dr. Fathi pernah berkata, nasib baik negara-negara Arab tidak dikuasai oleh puak-puak agama. Kerana pada pandangan tokoh Muslim yang berasal dari pergerakan al-Ikhwan al-Muslim itu, jika puak-puak agama berkuasa, mereka akan melakukan kezaliman lebih teruk daripada pemimpin nasionalis Arab Mesir, Presiden Gamal Abdel Nasser.
Dalam sesi soal jawab dengan para hadirin, pemimpin kanan Keadilan Tian Chua membentangkan satu teguran yang amat relevan dengan topik dialog. Beliau yang menujukan teguran itu kepada Dr. Dzulkifli mengingatkan wakil Pas itu bahawa pandangannya mengenai politik teologi tidak tepat. Ini kerana yang dilaksanakan oleh Pas adalah politik Islam dan bukan politik teologi. Beliau berkata, Pas menolak politik teologi seperti yang dijelaskan para pemimpinnya.
Tian Chua membezakan antara politik Islam dan politik teologi seperti penulis telah jelaskan di atas. Kebanyakan soalan yang dibangkit oleh hadirin adalah mengenai politik teologi yang dikaitkan dengan Pas.
Mereka membentangkan soalan demi soalan menjurus ke arah mempertikaikan relevansi politik teologi dengan suasana politik hari ini. Suasana dialog menjadi bertambah panas apabila Khalid yang pada awalnya membuat serangan intelektual kecil-kecilan berubah menjadi serangan intelektual besar-besaran dan terang-terang menjadikan Pas sebagai sasaran utama.
Akibatnya Dr. Dzulkifli menerima asakan bertalu-talu daripada hadirin dan Khalid sekali gus. Penulis hanya menjadi pemerhati.
Khalid dalam salah satu serangannya ketika menjawab soalan hadirin menyifatkan antara yang menjadi punca menyebabkan Keadilan kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-11 lalu adalah kerana bersekongkol dengan Pas. Beliau mendakwa DAP sempat mengasingkan diri daripada Pas dan mendapat kemenangan lebih baik daripada pilihan raya umum tahun 1999.
Bagaimanapun, Dr. Zulkifli dalam respons kepada soalan yang dibangkitkan oleh beberapa hadirin mendakwa kekalahan Pas dan kekalahan Parti Bharatiya Janata (BJP) di India baru-baru ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk mengatakan pengundi menolak politik teologi.
Sebagai contoh, kekuatan politik teologi Pas itu dapat dilihat pada sokongan rakyat di mana dalam pilihan raya umum yang lalu jumlah undi popular untuk parti itu meningkat.
Seperkara lagi yang dicatat di sini, iaitu soalan agak luar biasa dibangkitkan oleh karikaturis Zunar. Soalan beliau itu menimbulkan tanda tanya ramai orang yang menghadiri majlis dialog berkenaan. Soalan beliau berbunyi lebih kurang, apakah mungkin dengan diteruskan politik teologi ini, tetapi pada suatu hari nanti Pas akan dikuasai oleh golongan bukan ulama?
Pandangan yang diungkap oleh Zunar itu berlegar dalam kepala ramai anak muda dalam Pas. Malah ia sama dengan pandangan yang disuarakan oleh kebanyakan penduduk Iran kini tidak dapat menerima penguasaan para mullah ke atas kerajaan.
Akhir sekali penulis ingin jelaskan bahawa penulis lebih rela tinggal di negara sekular seperti negara-negara Barat daripada negara yang dikuasai oleh parti politik teologi atau ulama

0 comments:
Post a Comment